“Sakit Pun 3/10 Je” – Pempengaruh Dedah Pengalaman Implanon, Tetap Aktif Urus Anak & Bersenam

Share

Bagi pasangan berkahwin, isu merancang keluarga sering menjadi keutamaan, terutama bagi mereka yang mahu menjarakkan kelahiran atau belum bersedia menambah cahaya mata. Antara kaedah moden yang semakin mendapat perhatian kini ialah implanon, sejenis implan kecil yang dipasang pada lengan dan mampu mencegah kehamilan sehingga tiga tahun dengan kadar keberkesanan hampir 99.9 peratus.

Baru-baru ini, pempengaruh popular dan ibu kepada tiga cahaya mata, Iman Abdul Rahim, berkongsi pengalaman sebenar menanggalkan serta memasang semula implanon selepas tiga tahun digunakan.

Prosedur Mudah & Tak Menyakitkan

Menurut Iman, prosedur tersebut sangat ringkas dan tidak menakutkan seperti yang dibayangkan. Doktor hanya membuat torehan kecil pada kulit lengan dengan bius setempat sebelum memasukkan implan.

“Untuk rate kesakitan, saya bagi 3/10 sebab ada bius. Lepas tu memang tak rasa sangat. Aktiviti harian termasuk bersenam pun tidak terganggu,” katanya dalam video di media sosial.

Beliau menambah, walaupun sibuk dengan aktiviti pilates, mengangkat barang berat serta senaman, implanon langsung tidak menjejaskan gaya hidupnya.

Perlu Maklumkan Jika Mahu Berurut

Namun, Iman menasihati para ibu yang menggunakan implanon agar berhati-hati jika mahu berurut. Katanya, sebaiknya maklumkan kepada tukang urut terlebih dahulu supaya tidak menekan bahagian lengan yang dipasang implan.

Apa Itu Implanon?

Implanon ialah rod halus seakan batang mancis yang dimasukkan ke bawah kulit lengan atas. Ia mengandungi hormon etonogestrel yang bertindak:

  • Menghalang proses ovulasi.

  • Menebalkan mukus serviks untuk menyukarkan sperma menembusi rahim.

Kaedah ini hanya boleh dilakukan oleh doktor bertauliah dan mampu memberikan perlindungan berpanjangan sehingga tiga tahun tanpa perlu risau tentang pengambilan pil setiap hari.

Kesan Sampingan Yang Mungkin Dialami

Seperti kaedah perancang keluarga lain, implanon turut mempunyai beberapa kesan sampingan, antaranya:

  • Perubahan corak haid (ada yang jadi tidak teratur atau kurang darah haid).

  • Ketidakselesaan kecil di kawasan lengan.

  • Simptom ringan seperti sakit kepala atau perubahan emosi, bergantung individu.

Namun begitu, majoriti pengguna mendapati kaedah ini lebih praktikal kerana tidak mengganggu aktiviti seharian.

Pilihan Praktikal Untuk Pasangan Berkahwin

Dengan tahap keberkesanan hampir 100 peratus, implanon kini menjadi pilihan praktikal dan selamat bagi pasangan berkahwin yang mahu merancang keluarga dengan lebih yakin. Apa pun, setiap ibu perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu untuk memastikan kaedah ini sesuai dengan keadaan kesihatan masing-masing.

Published by
Nana