Ads

Salah Pilih Ton Merah? Tugasan Sains Murid Tahun 1 Dipangkah Guru, Undang Perdebatan Ramai

Satu isu yang pada mulanya kelihatan remeh kini menjadi topik hangat dalam kalangan ibu bapa dan warga pendidik selepas tular sebuah perkongsian mengenai tugasan Sains seorang murid Tahun 1 yang dipangkah gara-gara penggunaan warna merah yang dianggap tidak menepati arahan.

Perkongsian tersebut dimuat naik oleh pengguna Threads, Cikgukamil436, yang berkongsi tangkap layar perbualan WhatsApp antara seorang ibu dan guru anaknya berhubung tugasan pengelasan benda hidup dan benda bukan hidup.

Berdasarkan lembaran kerja yang dikongsikan, murid berkenaan diminta mewarnakan objek mengikut kategori yang telah ditetapkan iaitu:

  • Warna kuning untuk benda hidup
  • Warna merah untuk benda bukan hidup

Menerusi tugasan itu, murid terbabit dilihat berjaya mengelaskan semua objek dengan tepat mengikut arahan yang diberikan. Malah, jawapan bertulis pada bahagian bawah lembaran kerja juga dilaporkan betul tanpa sebarang kesilapan.

Namun begitu, sebahagian jawapannya tetap dipangkah kerana warna yang digunakan dikatakan lebih menyerupai merah hati berbanding merah terang seperti yang dimaksudkan oleh guru.

Menurut penjelasan guru tersebut, hanya seorang murid melakukan kesilapan itu manakala murid lain menggunakan warna yang dianggap lebih tepat.

“Warna merah dia tu lebih kepada merah hati kan. Setahu saya dia seorang yang salah, orang lain semua betul. Dia cakap dia tak ada warna merah terang,” jelas guru berkenaan.

Ibu Pertahankan Anak, Tegaskan Fokus Pada Kefahaman Konsep

Salah Pilih Ton Merah? Tugasan Sains Murid Tahun 1 Dipangkah Guru, Undang Perdebatan Ramai

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, ibu murid berkenaan tampil mempertahankan anaknya.

Menurutnya, objektif utama tugasan tersebut adalah untuk menilai kefahaman murid mengenai konsep pengelasan benda hidup dan benda bukan hidup, bukannya menentukan ton warna yang digunakan.

Ads

Beliau turut menjelaskan bahawa anaknya tetap mematuhi arahan soalan dengan menggunakan warna merah walaupun dalam ton yang lebih gelap.

“Dari segi pemahaman konsep, anak saya warnakan kumpulan yang betul mengikut arahan soalan. Kasihan pada murid yang sudah faham konsep Sains tapi ditolak markah hanya kerana isu ton warna pensel,” katanya.

Tambahnya lagi, isu berkenaan lebih berkait dengan kekangan alat tulis yang dimiliki murid dan bukannya kegagalan memahami arahan yang diberikan.

Walaupun penjelasan telah diberikan oleh ibu murid tersebut, guru berkenaan tetap mempertahankan tindakannya.

Menurut guru itu, langkah memangkah jawapan dibuat bagi memastikan murid lebih peka dan cakna terhadap arahan yang diberikan.

Guru tersebut turut meminta agar lembaran kerja berkenaan dibawa semula ke sekolah untuk diperbetulkan.

“Saya buat macam tu supaya anak puan cakna dengan arahan. Kalau puan nak saya betulkan semula, bawa kertas tu Jumaat,” katanya.

Ads

Salah Pilih Ton Merah? Tugasan Sains Murid Tahun 1 Dipangkah Guru, Undang Perdebatan Ramai

Netizen Persoal Keputusan Guru

Meninjau ruangan komen, ramai pengguna media sosial berpendapat bahawa warna merah tetap dianggap merah walaupun mempunyai ton yang berbeza.

Ada yang berpandangan tindakan tersebut boleh mengelirukan murid serta memberi kesan kepada motivasi mereka untuk belajar.

“Sedangkan budak tak sempat jawab atau kosong pun kita bagi peluang jawab semula. Ini pula warna yang jelas sekali warna merah,” tulis seorang pengguna.

Seorang lagi netizen yang mempunyai latar belakang dalam bidang berkaitan warna turut berkongsi pandangan yang sama.

“Red is red. Doesn’t matter whatever tone it is. It’s a Science class, bukan Art class.”

Ads

Tidak kurang juga yang berseloroh mengenai situasi tersebut dengan mempersoalkan bagaimana guru akan menentukan ton merah yang perlu digunakan jika murid mempunyai set pensel warna yang menawarkan pelbagai pilihan warna merah.

“Kalau anak bawa set 60 warna dengan tujuh tona merah berbeza, kena tanya guru dulu yang mana satu merah yang dibenarkan?”

Cikgu Fadli Salleh Turut Beri Pandangan

Dalam masa sama, pendidik terkenal, Cikgu Mohd Fadli Salleh, turut mengulas isu yang sedang menjadi perhatian ramai itu.

Menurut beliau, kesahihan perkongsian tersebut masih belum dapat dipastikan dan beliau tidak menolak kemungkinan ia sekadar kandungan yang dihasilkan bagi menarik perhatian pengguna media sosial.

Bagaimanapun, sekiranya kejadian tersebut benar-benar berlaku, beliau berpandangan bahawa guru berkenaan telah melakukan kesilapan.

“Arahan soalan jelas, warnakan merah. Bukan merah terang. Jadi apa-apa warna merah diterima betul. Bahkan kalau warna pink pun boleh diterima. Pink kan merah jambu.”

Walaupun isu ini mungkin dianggap kecil oleh sesetengah pihak, perbincangan yang tercetus memperlihatkan betapa pentingnya keseimbangan antara pematuhan arahan dan penilaian terhadap kefahaman murid, khususnya bagi pelajar sekolah rendah.

Bagi ramai ibu bapa dan pendidik, perkara yang lebih utama adalah memastikan murid benar-benar memahami konsep yang diajar, selain mengekalkan keyakinan serta semangat mereka untuk terus belajar tanpa takut melakukan kesilapan kecil yang tidak menjejaskan objektif pembelajaran.

Sumber: Threads @cikgukamil4436

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads

Untuk Papa Mama

Hebatnya! Anak 6 Tahun Pecahkan Rekod MBOR Selepas Jawab 53 Soalan...

T. Vishakan mencipta rekod MBOR selepas berjaya menjawab 53 soalan sifir dalam masa satu minit. Ketahui kisah kanak-kanak berusia enam tahun yang memiliki bakat luar biasa dalam matematik.