Berita

Sampai Hati Ibu! Kanak-Kanak 11 tahun Maut, Dua Adik Kritikal Dipercayai Diberi Minum Methadone

Share

Sampai Hati Ibu! Kanak-kanak 11 tahun Maut, Dua Adik Kritikal Dipercayai Diberi Minum Methadone mengejutkan negara apabila seorang kanak-kanak lelaki maut manakala dua adiknya kini kritikal selepas dipercayai diberi minum methadone dalam satu kejadian di Sungai Ramal Baru, Kajang.

Kasih ibu hingga ke syurga, itu pepatah yang selalu kita dengar. Kasih yang tak bertepi, cinta yang tak pernah minta balasan. Namun kali ini, sebuah berita benar-benar merobek hati setiap naluri seorang ibu.

Bayangkan darah daging sendiri, anak yang dikandung sembilan bulan, dijaga sejak tapak kaki sebesar dua jari… didakwa diberi minum cecair berbahaya. Bukan orang luar. Bukan orang asing. Tetapi insan yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat buat mereka.

Kejadian Di Sungai Ramal Baru, Kajang

Dalam satu kejadian menyayat hati di Sungai Ramal Baru pada Rabu, seorang ibu dipercayai tergamak memberikan cecair jenis methadone kepada tiga anak lelakinya. Tindakan itu akhirnya membawa kepada tragedi yang tak mungkin dipadam daripada memori keluarga ini.

Kejadian terbongkar apabila ketiga-tiga kanak-kanak tersebut dihantar ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri. Hospital Tengku Permaisuri Norashikin (HTPN) menerima mereka sekitar jam 7.50 pagi untuk rawatan kecemasan.

Namun takdir berkata lain. Seorang daripada mereka, kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, disahkan meninggal dunia. Dua lagi adiknya yang berusia sembilan dan lima tahun kini sedang bertarung nyawa seorang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala seorang lagi dirawat di Zon Merah Unit Kecemasan.

Siasatan Kes Methadone

Polis menerima maklumat mengenai kejadian tersebut pada jam 9.01 pagi hasil laporan yang dibuat oleh pegawai perubatan hospital berkenaan.

Siasatan awal mendapati insiden itu dipercayai berlaku selepas ibu mangsa yang berusia 35 tahun memberi ubat jenis methadone kepada ketiga-tiga anaknya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Tragedi Yang Menggoncang Hati Masyarakat

Tragedi ini bukan sekadar laporan jenayah. Ia adalah luka besar pada makna “kasih ibu” yang selama ini kita agungkan. Tiga anak kecil yang sepatutnya bangun pagi ke sekolah, bermain dan ketawa… kini seorang pergi buat selama-lamanya, dua lagi masih bertarung antara hidup dan mati.

Kes methadone Sungai Ramal ini membuka mata masyarakat tentang bahaya penyalahgunaan ubat terkawal serta pentingnya pemantauan dan sokongan terhadap keluarga yang berdepan tekanan hidup.

Masyarakat kini menantikan hasil siasatan penuh pihak berkuasa bagi merungkai motif sebenar kejadian ini. Doa terus mengiringi dua lagi kanak-kanak yang sedang dirawat agar diberikan kesembuhan sepenuhnya.

Hati mana yang tak luluh membaca berita sebegini.

Sumber: Sinar Harian  

Published by
Nor Yusoff