
Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Untuk Semua mula disalurkan bermula hari ini dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM2.2 bilion, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia dewasa, menurut Kementerian Kewangan (MoF).
Inisiatif SARA Untuk Semua merupakan antara langkah utama kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela, khususnya dalam menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin mencabar. Bantuan ini diberikan secara menyeluruh tanpa mengira latar belakang pekerjaan, selagi penerima merupakan warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

Bantuan RM100 Sekali Bayar Sah Digunakan Hingga 2026
Dalam satu kenyataan rasmi, MoF memaklumkan setiap penerima layak menerima bantuan sebanyak RM100 secara sekali beri yang boleh digunakan sehingga 31 Disember 2026.
Pemberian secara sekali bayar ini memberi fleksibiliti kepada penerima untuk merancang perbelanjaan mengikut keperluan masing-masing, terutamanya bagi pembelian barangan asas harian. Tempoh penggunaan yang panjang juga membolehkan bantuan ini dimanfaatkan secara berperingkat tanpa tekanan untuk berbelanja dalam masa singkat.
Isi Rumah Terima Bantuan Berganda Mengikut Ahli Dewasa
Menurut kenyataan itu, pelaksanaan SARA Untuk Semua membolehkan isi rumah menerima jumlah bantuan yang lebih tinggi bergantung kepada bilangan ahli dewasa yang layak dalam sesebuah keluarga.
“SARA Untuk Semua membolehkan isi rumah menerima bantuan berganda bergantung pada jumlah ahli dewasa yang layak.
“Sebagai contoh, keluarga dengan suami, isteri dan dua anak berumur 18 tahun ke atas akan menerima keseluruhan RM400, tidak termasuk bantuan SARA Bulanan sekiranya berkelayakan,” menurut kenyataan tersebut.
Pendekatan ini dilihat lebih adil kerana mengambil kira struktur sebenar sesebuah keluarga dan keperluan perbelanjaan yang berbeza mengikut bilangan tanggungan dewasa.

Kategori Barangan Layak Diperluas Kepada 15 Kategori
MoF turut memaklumkan bahawa kerajaan mengambil kira maklum balas rakyat dengan menambah baik kemudahan pembelian menerusi peluasan kategori barangan yang layak.
Antara penambahbaikan itu termasuk penambahan kategori makanan sejuk beku, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 15 kategori.
Berikut ialah senarai barang MyKasih 2026 yang diluluskan, dibahagikan mengikut 15 kategori utama berserta contoh jenama bagi memudahkan rujukan penerima bantuan:
- Beras: Jasmine, Jati, Saga, Bernas, Faiza, Cap Rambutan, Cap Gajah, Cap Masjid
- Roti: Gardenia, Massimo, Mighty White
- Telur: CP, NutriPlus, QL Eggs
- Minyak Masak: Alif, Knife, Saji, Daisy, Seri Murni, Buruh, Vesawit
- Tepung: Blue Key, Cap Sauh, Faiza, MFM, Cap Ros
- Biskut: Munchy’s, Tiger, Chipsmore, Hwa Tai, Julie’s, KERK, Kraft Foods, Jacob’s, Hup Seng
- Mi Segera: Indomie, Maggi, Mamee, Mi Sedaap, Cintan
- Minuman: Dutch Lady, MILO, BOH, Nescafé, F&N, Fernleaf, Marigold, Horlicks, Quaker
- Makanan Dalam Tin: TC Boy, Ayam Brand, Adabi, Yeo’s, Kimball, King Cup
- Bahan Perasa: Puteri, Kimball, Maggi, Tamin, Adabi, Faiza, Planta, Life, Jalen, CSR, Babas, Mak Siti
- Produk Kebersihan Diri: Colgate, Kotex, Dettol
- Ubat-Ubatan (OTC): Prospan, Hurix’s, Strepsils, Sterimar, Panadol, Difflam
- Barangan Persekolahan: Stabilo, Faber-Castell, Staedtler, Bata, Campap, Canggih
- Barangan Kebersihan Rumah: Sabun dan serbuk pencuci pakaian, sabun pencuci pinggan, pencuci lantai
- Makanan Sejuk Beku (kategori baharu): Ayam sejuk beku, nugget, sosej, bebola ikan, bebola ayam, produk sejuk beku berlabel makanan asas yang diluluskan

10,000 Kedai Runcit Kecil Disasar Jadi Rakan Niaga
Selaras dengan Perutusan Tahun Baharu 2026 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan menyasarkan seramai 10,000 kedai runcit kecil dilantik sebagai Rakan Niaga SARA menjelang hujung tahun ini.
Pada masa sama, jarak kedai runcit terdekat untuk kegunaan penerima turut dikurangkan daripada 10 kilometer kepada 7 kilometer. Usaha ini bertujuan memudahkan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan pinggir bandar, untuk menebus bantuan tanpa perlu menempuh perjalanan jauh.
Semakan Status & Amaran Penipuan
Orang ramai boleh membuat semakan status pengkreditan serta mendapatkan maklumat lanjut dan soalan lazim (FAQ) menerusi portal rasmi di https://sara.gov.my.
Dalam pada itu, MoF menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan. Kementerian menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah meminta sebarang maklumat peribadi melalui SMS atau WhatsApp.
Segala maklumat rasmi berkaitan SARA Untuk Semua hanya disalurkan melalui portal rasmi STR dan saluran komunikasi kerajaan yang sah.
Sumber: Bernama
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





