
Sejak kebelakangan ini, makin ramai ibu ayah mula rasa bimbang. Bukan sebab cuaca semata-mata, tapi khabarnya ada sekolah dan tadika yang terpaksa ditutup sementara gara-gara peningkatan kes jangkitan Influenza A.
Di media sosial pun penuh perkongsian ibu bapa yang risau anak-anak demam, batuk dan selesema serentak. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula mengesahkan minggu ini saja ada peningkatan mendadak kluster influenza dan jangkitan saluran pernafasan di seluruh negara.
Menurut laporan KKM untuk Minggu Epidemiologi (ME) ke-39 tahun 2025, sebanyak 15 kluster baharu dilaporkan, majoritinya melibatkan sekolah dan tadika. Walaupun belum ada kematian dicatat, situasi ini tanda jelas bahawa virus Influenza A kembali aktif dalam komuniti, terutamanya selepas musim cuti panjang bila aktiviti sosial dan perjalanan meningkat.
KKM turut menjelaskan tiada mutasi baharu dikesan dan peningkatan kes berpunca daripada strain sedia ada, dengan dominasi Influenza A (H3) sama seperti trend jangkitan di Hemisfera Selatan.

Kemas Kini Influenza A Di Malaysia



TERKINI Pada 10 Oktober 2025, kenyataan media KKM mengesahkan sebanyak 97 kluster jangkitan Influenza A dan B dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 40/2025, berbanding 14 kluster minggu sebelumnya, dengan majoriti melibatkan institusi pendidikan.
Antara negeri paling terjejas ialah Selangor (43 kluster), Kuala Lumpur dan Putrajaya (15 kluster), Pulau Pinang (10 kluster), Johor (9 kluster) dan Kedah (5 kluster). Semua negeri menunjukkan peningkatan ketara kes jangkitan influenza.
Kenali Influenza A, Simptom Dan Cara Jaga Diri & Anak

Musim ini ramai ibu ayah mengeluh baru saja anak sembuh, giliran adik pula demam. Tak lama lepas tu, mak ayah pun ikut sekali. Rupanya bukan “demam biasa”, tapi Influenza A yang kini aktif di banyak sekolah dan tadika.
Peningkatan kluster influenza membuktikan bahawa virus ini mudah merebak, terutama di tempat tertutup seperti kelas, taska atau pusat jagaan. Sebagai ibu bapa, peranan kita bukan sekadar jaga anak yang sakit, tapi juga bantu cegah penularan. Ajar anak jaga kebersihan, elak berkongsi makanan dan sentiasa basuh tangan dengan sabun.
Influenza A mungkin nampak macam “flu biasa”, tapi dengan kesedaran dan tindakan pantas, kita boleh elak komplikasi serius dan pastikan anak-anak kekal sihat dan ceria.
Apa Itu Influenza A?
Influenza A ialah sejenis virus selesema yang menyerang sistem pernafasan. Ia mudah merebak apabila seseorang batuk, bersin atau bercakap — titisan halus boleh menjangkiti orang sekeliling tanpa disedari.
Walaupun nampak seperti selesema biasa, tetapi Influenza A boleh jadi serius bagi:
- Kanak-kanak kecil
- Ibu hamil
- Warga emas
- Individu dengan penyakit kronik
Jika tidak dirawat dengan betul, jangkitan ini boleh menyebabkan pneumonia atau komplikasi lain yang berbahaya.
Simptom Influenza A Yang Patut Ibu Bapa Waspada
Memang susah nak beza antara demam biasa dengan Influenza A, tapi perhatikan tanda-tanda berikut:
- Demam tinggi mendadak (lebih 38°C)
- Badan menggigil & sakit sendi
- Batuk kering, tekak perit
- Hidung berair & selsema berpanjangan
- Cepat letih & hilang selera makan
- Muntah atau cirit-birit (biasa pada kanak-kanak)
Jika simptom ini berlarutan lebih dua atau tiga hari tanpa pulih, segera dapatkan rawatan doktor.
Tindakan Ibu Ayah Lindungi Anak Dari Influenza A Di Sekolah
- Pastikan anak cukup tidur & makan nutrisi seimbang
- Bekalkan sanitizer & tisu basah setiap hari
- Galakkan anak pakai pelitup muka bila perlu
- Ajar etika batuk dan bersin dengan betul
- Kenal tanda awal jangkitan supaya boleh bertindak cepat
- Pastikan tidur anak mencukupi 8–10 jam
- Berikan makanan bantu imuniti seperti buah sitrus, madu, sup ayam & sayur hijau
- Kurangkan makanan bergula dan jajan
- Galakkan aktiviti luar ringan untuk kuatkan imun semula jadi
Apa Nak Buat Kalau Dah Dijangkiti Influenza A?

Bila satu rumah dah mula berjangkit, jangan panik! Yang penting tahu cara nak kawal:
- Rehat & asingkan sementara – Ahli keluarga yang demam, biar rehat di bilik sendiri dan elak berkongsi tuala atau cawan.
- Jumpa doktor – Doktor akan buat ujian (swab) untuk sahkan jangkitan Influenza A dan berikan ubat antiviral.
- Minum air banyak & makan ringan – Bubur, sup dan air kosong bantu badan lawan virus.
- Pakai pelitup muka – Walaupun di rumah, elok pakai bila berinteraksi rapat.
- Pantau keadaan ahli keluarga – Jika ada sesak nafas atau demam tidak surut, terus ke hospital.
Ibu Ayah Pun Kena Jaga Diri

Apabila anak sakit, ramai ibu bapa terlalu fokus hingga lupa jaga diri sendiri. Akibatnya, imun badan menurun dan mudah dijangkiti Influenza A juga. Pastikan anda cukup rehat, makan berkhasiat dan kurangkan aktiviti luar buat sementara waktu.
Kita memang tak boleh elak virus 100%, tapi kita boleh kuatkan pertahanan badan sendiri. Dengan kesedaran, tindakan cepat dan penjagaan rapi, seluruh keluarga boleh kekal sihat walaupun musim influenza sedang aktif.
Sumber: KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!













