
Hati ibu mana yang tidak gundah bila anak yang dikandung, dibesarkan penuh kasih sayang, akhirnya terpalit ujian besar? Lima tahun bukan tempoh yang sekejap untuk seorang ibu menanggung resah, doa dan harapan.
Itulah yang dilalui oleh Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz, ibu kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Hari ini, Mahkamah Rayuan di Putrajaya akhirnya melepaskan dan membebaskan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
“Sebagai seorang ibu, lima tahun itu bukan sekejap. Penuh cabaran, penuh dugaan. Tapi di hati Saddiq, apa yang dia lakukan kerana Allah SWT dan untuk rakyat,” luah Datin Sharifah Mahani dalam nada yang penuh kelegaan.
Dalam detik-detik penuh emosi itu, ibu ini juga berkongsi betapa dia pernah berasa berat hati bila anak kesayangan memilih untuk berkecimpung dalam dunia politik.
“Kadang-kadang, sebagai seorang ibu, hati berdetak nak kata janganlah masuk politik. Susah sangat, ramai yang tak beri kerjasama,” katanya dengan penuh jujur.
Siapa sangka, di sebalik senyuman dan semangat juang Saddiq di mata rakyat, ada seorang ibu di belakang tabir yang menahan perasaan, menyimpan keresahan, namun akhirnya akur dan reda atas pilihan anaknya demi negara tercinta.
Sebagai ibu, tiada apa yang lebih utama selain keselamatan dan kebaikan untuk anak-anak. Meski diuji dengan fitnah, dugaan, dan kata-kata yang menyakitkan, doa seorang ibu tetap mengiringi.
“Bagi mereka yang menganiaya anak saya, saya hanya mendoakan supaya Allah memberi hidayah kepada mereka. Hidup ini sementara, bukan selama-lamanya. Jangan aniaya orang lain,” pesan beliau penuh makna.
Malah, dalam keikhlasan hatinya, Datin Sharifah Mahani juga memilih untuk memaafkan mereka yang menzalimi keluarganya.
“Saya maafkan mereka atas penganiayaan ke atas anak dan keluarga. Kita semua manusia biasa…”
Walau perit, walau berat, ibu ini tidak pernah patah semangat untuk memberi sokongan kepada perjuangan anaknya.
“Syukur alhamdulillah Saddiq dikelilingi orang yang menyayanginya. Semangat dia kuat untuk rakyat, kuat untuk Malaysia. Tak kira bangsa dan agama. Sebagai ibu, saya diamanahkan untuk memastikan perjuangan dia berjaya kerana Allah,” katanya penuh keyakinan.
SUMBER : Beautifulnara
BACA LAGI : “Besarkan Tiga Anak Istimewa, Ini Hadiah Terindah” — Ibu Pelajar Autistik Raih STPM 4.0