Sayunya melihat seorang ibu yang terpaksa meninggalkan anak-anaknya demi sebuah perjuangan yang lebih besar. Angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Syukor, memaklumkan isterinya Datin Dr Halina Mohd Yunos bakal melahirkan anak kembar mereka pada pukul 9 pagi ini melalui kaedah pembedahan.
Menerusi laman sosial Instagram miliknya, Dr Sheikh Muszaphar berkongsi sebuah video yang cukup menyentuh hati semua namun turut berkongsi kegembiraan.
Video berdurasi tidak sampai satu minit itu memperlihatkan Dr Halina yang terpaksa meninggalkan empat anak-anak di rumah untuk dimasukkan ke wad pagi ini demi melahirkan sepasang lagi bayi kembar mereka.
Sayunya melihat kasih seorang ibu dan anak-anak yang tidak mahu berpisah dengan ibu mereka. Namun inilah pengorbanan. Tidak ketinggalan juga perkongsian dari keempat-empatnya anaknya yang teruja menanti kehadiran adik baru.
Walaupun sedih meninggalkan anak-anak dan berdebar untuk menjalani pembedahan, namun Dr Halina masih lagi melemparkan senyuman cukup manis. Semoga proses kelahiran pasangan kembar kedua pasangan ini dipermudahkan.
“Sedihnya saya lihat saat Dr Halina nak meninggalkan 4 anak-anak untuk dimasukkan ke hospital pagi ini.
“Anak-anak cukup manja, tak nak berpisah Mommy mereka. Hanya untuk beberapa hari Bella, Tasha, Adam dan Noah.
“InsyaAllah mommy dan daddy akan bawa balik dua adik-beradik kecil untuk kamu hargai dan sayangi,” kongsinya di instagram.
Ads
Dalam pada itu Dr Sheikh Muszaphar turut meluahkan rasa syukurnya kerana diberikan empat orang anak yang selama ini menjadi pendamping bahagianya bersama isterinya Dr Halina.
Bapa penyayang itu turut menitipkan pesanan ringkas buat keempat-empat anaknya.
“Kami sangat-sangat bersyukur dengan kehadiran anak-anak yang cantik dengan jiwa yang indah serta penyayang” kongsinya lagi.
Terdahulu, menerusi sebuah lagi video berasingan, Dr Sheikh Muszaphar memaklumkan beliau dan isterinya memilih untuk menyambut kelahiran bayi kembar kedua mereka pada hari ini, 20 November 2020.
Dr Halina juga dijadualkan menjalani pembedahan pukul 9 pagi ini selepas mengalami masalah pre-eclampsia dan dinasihatkan untuk bersalin lebih awal. Walaupun dinasihatkan untuk bersalin pada minggu ke 34 kandungan, namun segalanya dipermudahkan dan mampu bertahan hingga ke 35 minggu.
Ads
“Dr Halina akan dimasukkan ke hospital untuk C-Section pada pukul 9 pagi. Ini yang terbaik untuk ibu dam bayi. Kami dinasihatkan untuk melahirkan bayi tersebut pada minggu lalu tapi berjaya bertahan sehingga 35 minggu.
“Dalam kes pre-eclampsia, satu-satunya rawatan yang ada adalah melahirkan bayi itu. Ia berisiko untuk menunggu lebih lama.
“Kami memilih hari Jumaat 20.11.20 dengan harapan ia akan menjadi baraqah untuk semua. Semoga Allah permudahkan segalanya,” tulisnya lagi.
Dr Sheikh Muszaphar turut memohon orang ramai untuk mendoakan keadaan isteri dan anak kembarnya sentiasa terpelihara. Semoga pembedahan berjalan lancar dan dipermudahkan kelahiran bayi kembar.
Ads
Dalam pada itu, pengikut Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Halina dilihat turut memberikan sokongan dan semangat untuk kedua-duanya.
Terdahulu, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Datin Dr Halina Mohd Yunos mendirikan rumah tangga pada 10 Oktober 2010.
Hasil perkahwinan bahagia ini, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Sophea Isabella, Sophea Natasha dan kembar lelaki iaitu Sheikh Adam dan Sheikh Noah.
Ramai ibu yang sedang menunggu masa untuk melahirkan anak ‘terlupa’ untuk solat. Sedangkan selagi bayi belum keluar, diwajibkan untuk melaksanakan rukun Islam ini. Namun ada yang terlepas pandang dan menganggap bila kontraksi dan bukaan dah ada bermakna solat itu tak perlu.
Sedangkan waktu kita menunggu untuk ‘berjuang’ antara hidup dan mati inilah sepatutnya dilakukan dulu selain minta doa banyak-banyak agar Allah permudahkan semuanya.
Seperti yang dikongsikan oleh Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita dan Kehamilan, Dr Muhammad Izzat , sebelum melahirkan bayi, ibu tetap wajib menunaikan solat. Begitu juga dalam perkongsian di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang turut menjelaskan hukum sebenar mengenai hal ini.
Soalan:
Apakah hukum bagi wanita yang keluar darah bercampur lendir beberapa hari sebelum bersalin? Adakah dia perlu mandi wajib dan bersolat? Bagaimana pula sekiranya air ketuban keluar secara berterusan sebelum bersalin?
Jawapan:
Sabda Nabi Muhammad S.A.W daripada Abdullah bin Mas’ud R.A:
إن أحدكم يجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوما نطفة، ثم يكون علقة مثل ذلك، ثم يكون مضغة مثل ذلك، ثم يرسل الله إليه الملك، فينفخ فيه الروح ويؤمر بأربع كلمات: بكتب رزقه وعمله وأجله وشقي أو سعيد
Maksudnya: “Seseorang dari kamu ditempatkan penciptanya di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian menjadi ‘alaqah selama itu pula (40 hari), kemudian menjadi mudhghah selama itu pula (40 hari); kemudian Allah mengutus seorang malaikat lalu diperintahkan empat kalimat (hal), dan dikatakan kepadanya: Tulislah amal, rezeki dan ajalnya, serta celaka atau bahagianya kemudian ditiupkan ruh kepadanya.”
Riwayat al-Bukhari (3208) dan Muslim (2643)
Hadis di atas menerangkan tentang proses kejadian manusia mengikut peringkat-peringkat tertentu di dalam rahim ibu sehinggalah proses kelahiran. Pakar perubatan mengatakan antara tanda-tanda awal proses kelahiran ialah keluar lendir bercampur darah keluar dari faraj, pecah air ketuban, sakit semakin kerap dan tempoh sakit semakin panjang. Rujuk: www.myhealth.gov.my
Berdasarkan persoalan di atas, apakah hukum lendir bercampur darah dan air ketuban yang keluar sebelum proses kelahiran ini?
Hukum darah yang keluar dari faraj wanita
Ulama’ membahagikan darah yang keluar daripada faraj wanita kepada beberapa kategori, di antaranya:
Pertama: Haid
Darah haid ialah darah tabi’e (semula jadi) yang keluar daripada pangkal rahim perempuan yakni darah itu keluar daripada rahim yang terletak di bahagian bawah saluran kencingnya semasa waktu sihatnya dan ia keluar pada hari-hari haid iaitu dalam tempoh haid selepas dia mencapai peringkat umur baligh. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 36).
Kedua: Nifas
Darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim perempuan ssetelah kosongnya rahim tersebut (tempat peranakan) daripada janin atau ketulan darah (‘alaqah) atau ketulan daging (mudghah) dan darah itu keluar sebelum berlalu masa 15 hari selepas bersalin, yakni walaupun yang keluar daripada tempat peranakan itu ialah ketulan darah (alaqah) atau ketulan daging (mudghah). (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383; Izalah al-Iltibas, hlm.803).
Ketiga: Istihadhah
Darah istihadhah ialah darah penyakit yang keluar daripada azal (hujung urat) yang berada di bawah rahim selepas tempoh sebanyak-banyak haid dan selepas tempoh sebanyak-banyak nifas, sama ada keluarnya istihadhah itu mengiringi kesan (bekas) darah haid atau tidak mengiringi darah haid. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 214).
Keadaan istihadhah:
Bagi darah istihadhah ada dua keadaan:
Pertama: Sama ada darah tersebut keluar berterusan selepas haid atau nifas yakni melebihi tempoh sebanyak-banyak haid atau nifas.
Kedua: Darah tersebut keluar bukan selepas haid atau nifas tetapi ia tidak memenuhi mana-mana syarat haid. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 219).
Hukum darah yang keluar dari faraj wanita sebelum bersalin
Secara kebiasaannya para ibu akan mengalami darah bercampur lendir keluar daripada rahim sebelum melahirkan. Ia merupakan salah satu tanda awal seseorang ibu akan bersalin. Darah ini keluar disebabkan terbukanya saluran ‘cerviks’ atau pangkal rahim dan juga pemisahan kantung bayi dari dinding rahim bahagian bawah. Darah ini akan bercampur dengan lendir yang juga dihasilkan oleh kelenjar di bahagian pangkal rahim.
Darah yang keluar kerana sakit hendak beranak ini dinamakan dam al-thalaq iaitu darah sakit hendak beranak. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).
Menurut pendapat yang paling sahih dalam mazhab Syafie, darah yang keluar daripada faraj wanita sebelum beranak bukanlah dalam kategori darah haid atau darah nifas tetapi ia adalah darah fasad. Ini juga adalah pandangan ulama’ mazhab Hanafi dan Hanbali. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383; Al-’Inayah Syarh al-Hidayah, 1/165; Al-Insof, 1/392).
Berkata Imam al-Nawawi: “Dan darah yang kelihatan (keluar) kerana al-thalaq (kesakitan beranak) itu bukanlah darah nifas dan bukan juga darah haid mengikut pendapat yang sahih”. (Rujuk: Raudhah al-Tolibin, 1/175)
Berkata Imam Ibnu Hajar al-Haitami: “Darah ini tidak dinamakan darah haid atau darah nifas kerana ia merupakan kesan daripada kesakitan hendak beranak. Dan juga tidak dinamakan darah nifas kerana darah tersebut keluar sebelum kelahiran sepenuhnya anak tersebut yakni darah itu keluar bersama keluarnya anak. Jadi kedua-dua darah tersebut ialah darah yang keluar semasa sakit hendak beranak dan darah yang keluar bersama kelahiran anak adalah dam al-thalaq (darah rosak) kecuali sekiranya darah tersebut berhubung dengan darah haid yang sebelumnya, maka ia dihukumkan darah haid (sekiranya menepati syarat-syarat haid)”. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).
Justeru, di sisi mazhab Syafie hukum darah yang keluar sebelum bersalin ialah darah fasad (rosak) dan bukannya darah haid atau darah nifas. Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan darah haid sebelum itu dan mencukupi syarat-syarat darah haid maka ia dianggap darah haid kerana wanita yang hamil juga didatangi haid menurut pandangan yang sahih dalam mazhab syafie . (Rujuk: Nihayah al-Muhtaj, 1/355).
Oleh itu, hukumnya adalah seperti hukum orang yang beristihadhah iaitu wajib bagi wanita tersebut membersihkan diri daripada najis, berwudhuk dan mengerjakan solat seperti biasa. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha:
عن عائشة رضي الله عنها قالت: (جاءت فاطمة بنت أبي حبيش إلى النبي صلى الله عليه وسلم، فقالت: يا رسول، إني امرأة أستحاض فلا أطهر، أفأَدَعُ الصلاة؟ قال: ((لا، إنما ذلك عِرْقٌ وليس بحيضٍ، فإذا أقبَلَت حيضتُك فدَعِي الصلاة، وإذا أدبَرَت فاغسلي عنك الدم ثم صلِّي )
Maksudnya: “Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha: Telah datang Fatimah binti Abi Hubaisy menemui Rasulullah S.A.W dan berkata: “Wahai Rasululullah, aku adalah seorang perempuan yang beristihadhah dan oleh kerana itu, aku tidak suci. Adakah aku perlu meninggalkan solat?”. Sabda Nabi S.A.W: “Janganlah kamu meninggalkan solat, hanyasanya istihadhah itu adalah sejenis darah penyakit dan bukannya darah haid. Apabila haid datang, maka engkau tinggalkanlah solat dan apabila ia putus yakni berhenti, maka bersihkanlah dirimu daripada darah tersebut dengan mandi dan hendaklah engkau menunaikan solat”.
Riwayat al-Bukhari (255)
Justeru, wajib bagi orang yang beristihadhah atau orang mengambil hukum istihadhah melakukan perkara berikut sebelum menunaikan solat:
Membasuh faraj. Menyumbat faraj dengan kapas atau seumpamanya supaya darah tidak menitis keluar. Wajib membalut faraj dengan kain atau seumpamanya yang boleh menahan darah daripada mengalir keluar. Bersuci dengan berwudhuk atau bertayammum. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/278)
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin
Definisi Air Ketuban
Air ketuban atau dikenali sebagai cecair amniotik dalam istilah perubatan ialah cecair jernih yang berwarna agak kekuningan yang meliputi janin di dalam rahim sepanjang proses kehamilan, ia berada di dalam kantung ketuban dan mempunyai banyak fungsi.
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin
Para ulama’ mengatakan bahawa air ketuban tidak termasuk dalam kategori nifas, kerana darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim wanita. Sedangkan air ketuban ialah ialah cecair yang berada dalam kantung ketuban yang meliputi janin. Justeru air itu keluar akibat daripada pecahnya kantung ketuban untuk memudahkan proses bersalin.
Di sisi mazhab Syafie hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk kerana semua perkara yang keluar daripada dua jalan adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Ini juga adalah pandangan jumhur ulama’ dan pandangan yang muktamad di sisi mazhab Maliki. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/111; Bada’ie al-Sona’ie, 1/24; Hasyiyah al-Dasuqi, 1/175; Syarh Muntaha al-Iradat, 1/73).
Berkata Imam Khatib al-Syarbini: “Salah satu daripadanya (perkara yang membatalkan wudhuk) ialah keluarnya sesuatu daripada qubul dan dubur kecuali mani. Yang dimaksudkan sesuatu itu ialah keluar sesuatu samada dalam bentuk zat (ain) atau angin, yang suci yang atau yang bernajis, yang kering atau basah, yang keluar secara kebiaasaan seperti seperti kencing atau secara jarang-jarang, yang sedikit atau banyak, yang keluar secara semulajadi atau dipaksa”. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/111).
Berkata Imam al-Dasuqi: “Dan wajib berwudhuk apabila keluarnya ia (air ketuban) iaitu darah putih yang keluar ketika dekatnya proses bersalin kerana hukumnya sama seperti hukum air kencing”. (Rujuk: Hasyiyah al-Dasuqi, 1/286).
Justeru, di sisi mazhab Syafie, hukum air ketuban adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Maka wanita itu perlu bersuci terlebih dahulu untuk menghilangkan najis tersebut dan berwudhuk seperti biasa sebelum solat jika air ketubannya sudah kering. Namun sebegitu, sekiranya air ketuban itu berterusan keluar, maka hukumnya adalah seperti hukum istihadhah, maka diwajibkan bagi para wanita menjaga beberapa perkara sebelum menunaikan solat sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini.
Cara Mengerjakan Solat Ketika Sakit
Oleh itu, tetap diwajibkan ke atas wanita untuk menunaikan solat ketika dia sakit hendak beranak, walaupun setelah keluar air ketuban atau darah daripada faraj sebelum beranak kerana darah itu dihukumkan sebagai darah rosak.
Sekiranya dia tidak mampu untuk solat secara berdiri, maka solat secara duduk, sekiranya tidak mampu maka solat secara mengiring di atas lambung kanan, sekiranya tidak mampu maka solat secara berbaring menelentang dan sekiranya tidak mampu maka solat melalui isyarat mata. Hal ini sebagaimana hadis nabi S.A.W yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain R.A berkata, aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W berkenaan solat. Baginda S.A.W bersabda:
Maksudnya: “Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring di atas lambung kanan.”
Riwayat al-Bukhari (1066)
Namun begitu, sekiranya keadaannya sangat sakit sehingga tidak mampu untuk mengerjakan solat, maka wajib ke atas wanita itu menqadha’ solatnya kelak.
Setelah meneliti perbahasan di atas, kami simpulkan masalah ini kepada beberapa perkara:
Di sisi mazhab Syafie, darah yang keluar sebelum bersalin atau dam al-thalaq dihukumkan sebagai darah fasad (rosak) iaitu hukumnya seperti hukum istihadhah. Justeru diwajibkan ke atas wanita untuk menunaikan solat kerana kewajipan solat tidak gugur. Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan haid yang sebelumnya maka ia dihukumkan sebagai darah haid (sekiranya mencukupi syarat-syarat haid).
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin ialah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Oleh itu diwajibkan ke atas wanita untuk bersuci kemudiannya menunaikan solat setelah air ketubannya kering. Namun sekiranya air ketuban itu keluar secara berterusan maka hukumnya adalah seperti hukum istihadhah.
Diwajibkan bagi wanita yang mengalami keadaan-keadaan istihadhah seperti yang telah disebutkan sebelum ini untuk menjaga beberapa perkara yang perlu dijaga oleh seseorang yang beristihadhah sebelum menunaikan solat (sebagaimana yang telah disebutkan di atas).
Sekiranya seseorang wanita tidak mampu untuk menunaikan solat kerana sakit hendak beranak, maka hendaklah dia solat mengikut kemampuannya iaitu samada solat secara duduk atau berbaring di atas lambung kanan atau berbaring menelentang atau melalui isyarat mata. Namun sekiranya dia tetap tidak mampu untuk bersolat, maka wajib ke atasnya untuk menqadha’ solatnya itu kelak. Wallahu a’lam.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anaknya kerap demam bengkak tonsil dan lalui pembedahan untuk membuang tonsil. Ibu ini menceritakan detik cemas dilalui akibat komplikasi pembedahan.
Puan Nurul Shazalina Zainudin, ibu kepada Alexander Akil, 5 tahun yang telah muncul dalam rancangan TV Pa&Ma yang ke udara pada 22 Januari 2019, jam 12 tengah hari & ulangannya 9 malam di slot Dewi Astro Prima & Astro Maya HD.
TONSIL..BAHAYA ATAU TIDAK
Anak saya Alexander Akil (5 tahun) menjalani satu prosedur membuang tonsilnya.Dan nasib tidak begitu baik, dia mendapat komplikasi selepas pembedahan tersebut.
Akil sudah lama ada tonsil, sejak dari kecil. Dalam umurnya 2-3 tahun dulu dah direfer ke pakar ENT, tapi doktor pakar kata tunggu dia besar sikit baru boleh buat pembedahan untuk buang.
Menurut Shazalina setiap bulan dia demam. Dan demamnya sangat tinggi. Selalunya melebihi 39°C. Dan kebanyakan masa memang disebabkan tonsilnya dijangkiti, membengkak dan merah. Rawatan antibiotik perlu diambil.
Nasib baik selalu dapatkan rawatan di klinik yang sama, jadi doktor bertugas perasan rekod Akil yang sentiasa demam dan masalah tonsil. Jadi, beliau memberi surat refer ke pakar ENT.
“Saya pun bawa Akil ke sebuah hospital di Bangi. Memang perlu dibuang. Tapi dr minta tunggu lagi dua minggu sebab nak betul-betul sihat dari demam dan sakit. Sampai tarikhnya, seawal 7 pagi admit ke wad, akil menunggu masa untuk masuk dibedah. Pukul 10.45 pagi mula pembedahan dan tamat pada 11.30 pagi. Alhamdulillah semua selamat,” kata Shazalina. Dalam pembedahan itu, Shazalina berkata doktor juga buang adenoid di belakang hidung Akil.
“Lepas pembedahan, Akil tidur je,tapi Akil tidur lama sangat. Dari lepas bedah sampai pukul 4. Tu pun puas kejutkan. Kejap2 je dia bangun merengek, pegang tekak, kata batuk2.. Maknanya dia tak selesa di tekak. Saya ingatkan perkara biasa lepas operate.
“Rupanya tak. Dia asyik menelan darah rupanya. Bila dia bangun, kejap tu, dia muntah darah.. Penuh sekatil.. Memang banyak.. Bukan darah sikit2.. Seperti dicurahkan darahnya.
“Saya masih ingat, ini kesan bius. Dan darah tu yang dia telan masa operate tadi. Bagi dia kumur dengan air ais, minum air sejuk. Lepas tu bagi makan jelly sikit.. Dia taknak aiskrim lagi. Kejap tu dia muntah lagi. Lagi banyak. Dan semuanya darah. Kebetulan nurse ada masa tu. Ok takpe.. Mungkin kesan bius lagi.
“Kali ketiga, Akil muntah darah lagi. Bukan sikit, tetap juga banyak. Saya tahu ada tak kena. Sebab Akil dah mula sangat lemah, buka mata pun tak larat, bibirnya pucat lesi.
“Tak lama tu kebetulan doktor datang, nurse pun maklumkan perkara ni. Dr check. Memang sangat pucat dah masa tu Akil. Dr terus kata, ok siap, kita masuk bilik bedah semula. Sekarang juga,” Kata Shazalina yang berdebar kerana tidak menyangka prosedur buang tonsil boleh jadi begitu teruk pendarahannya.
Kata Shazalina, sementara mereka siapkan bilik bedah, doktor menerangkan, jarang sangat komplikasi seleas surgery ni berlaku. Sejak dia di sini, Akil ni kes kedua yang ada komplikasi sepertinya. Doktor perlu siasat punca pendarahan dan hentikan sebelum keadaan lagi teruk. Kebetulan, di luar bilik bedah, Akil muntah darah lagi sekali. Depan doktor sendiri. Jadi doktor dapat tengok darahnya macam mana.
Sampai sekarang Akil dah ok. Bangun keesokannya, terus mintak makan minum sebab sangat lapar. “Saya risau nak bagi makan terus, tapi akil kata tak sakit. Alhamdulillah
Kumur dengan air ais, dengan ubat kumur (difflam) , antara cara terbaik untuk cepat sembuhkan luka pembedahan,” kata ibu ini.
Shazalina berkongsi kepada semua agar ibu bapa jangan untuk membedah membuang tonsil. “Nasib Akil je kurang baik.komplikasi bleeding. Tapi sangat cepat sembuh lukanya tu..so sepatutnya memang ok,” katanya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Letih ambil ubat.” Kak Kiah melepaskan keluhannya.
Kak Kiah bekerja sebagai operator pengeluaran. Pendapatan tidak seberapa. Kalau kerja lebih masa, dapatlah lebihan sedikit. Tinggal di Bayan Lepas tidak murah. Apatah lagi menyewa. Suami pun bekerja di sektor yang sama. Pulang ke kampung terserempak dengan Kak Kiah.
“Anak-anak selalu sakit apa?” soal saya meminta kepastian.
“Asyik demam jer budak-budak ni. Si Alif masa UPSR pun boleh demam. Akak risau keputusan dia teruk. Dalam sebulan mesti sekali atau dua kali demam. Ubat penuh dalam peti ais.
Kadang-kadang malas nak pergi klinik. Akak la jadi doktornya. Bagi dia orang makan ubat –ubat yang tak habis.” jelas Kak Kiah penuh semangat.
“Maaf Kak. Selalu anak-anak makan apa?” saya cuba mencari pangkal isu.
“Makan nasi macam biasa. Malam biasanya belilah apa-apa kat pasar malam ke. Burger ke.” kata Kak Kiah lagi.
“Makanan ringan anak-anak makan tak?” soal saya lagi.
“Itulah favourite dia orang. Dari segala jenis keropok, gula-gula, asam-asam, ais krim dan mee segera. Hari-hari mesti makan.”
Saya tarik nafas panjang. Masa berbual dengan Kak Kiah anak-anak Kak Kiah masing-masing menjinjing junk food.
Junk food atau makanan ringan melemahkan sistemimun kanak-kanak.
Apabila sistem imun lemah, penyakit dengan bangganya menghampiri. Tubuh mereka jadi sarang pembiakan penyakit. Virus mudah hinggap.
Hantar tuisyen terbaik pun tidak akan membantu. Hantar pula ke kem motivasi. Habis duit berkoyan-koyan. Balik ke rumah masih tiada perubahan.
Tuisyen atau kem motivasi itu umpama software. Walau software itu baik, andai hardware iaitu otak tidak baik masakan software dapat dimuat naik ke hardware?
Baiki hardware. Baiki otak.
Usah beri racun pada otak. Makanan ringan bukan makanan. Makanan ringan adalah racun. Usah kita racun anak dan diri sendiri.
Jaga otak, otak akan jaga kita.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Penyebab utama anemia di kalangan wanita mengandung adalah kekurangan zat besi. Semasa mengandung, badan manusia akan menghasilkan banyak darah untuk menampung tumbesaran janin.