Untuk pengetahuan para mommy dan daddy di luar sana, terlalu manjakan anak boleh buat si manja tidak berdikari dan selalu mengharapkan anda sahaja.
Perkara ni perlu diberi lebih perhatian sebab ia boleh buat anak anda membesar menjadi individu yang kurang skil dalam pengurusan hidup mereka dewasa kelak.
Jadi, ajar si manja untuk buat kerja rumah seawal usia mereka lagi. Tapi, jangan pulak anda minta anak anda yang masih kecil untuk pergi beli ikan di pasar. Tunggu sehingga umur yang sesuai okay!
Ads
Kerja rumah sesuai untuk ana mengikut usia;
2-3 Tahun
– Simpan mainan di tempat asal
– Isi makanan haiwan peliharaan
– Lap tumpahan makanan/minuman
– Letak pakaian kotor di dalam besen
4-5 Tahun – Kemas tempat tidur
– Kemas meja makan
– Siram pokok bunga
– Basuh pinggan plastik di singki
Ads
6-7 Tahun
– Sapu lantai
– Buang daun kering
– Bantu ibu memasak
– Hidang makanan di dapur
8-9 Tahun – Vakum lantai
– Mop lantai
– Jahit butang baju
– Bawa haiwan peliharaan berjalan
Seronoknya mama papa bila dengar perkataan pertama si kecil tersayang. Ada yang siap rekodkan video bila anak sebuat perkataan pertama dan ada juga tulis dalam jurnal untuk dijadikan sebagai kenangan bila mereka besar nanti.
Kemahiran anak untuk bercakap merupakan perkara penting dalam tumbesaran si kecil, jadi untuk mendidik mereka supaya cekap bercakap ada beberapa perkara yang boleh dibuat oleh mama papa sendiri.
Seperti yang disebutkan dalam penulisan Dr Airil Haimi Mohd Adnan, Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Perak dan penyelidik aktif ilmu psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal (0-6 tahun) di peringkat ASEAN. Ketahui lebih lanjut dalam artikel di bawah:
8 PETUA MENDIDIK SI KECIL UNTUK CEKAP BERCAKAP
Kemahiran berbahasa atau bercakap merupakan suatu kemahiran yang penting, lebih-lebih lagi untuk kanak-kanak pada peringkat usia pendidikan praformal 0-6 tahun (tahun-tahun sebelum pendidikan formal bemula di sekolah rendah kelak). Kita semua manusia yang hidup dalam dunia sosial sama ada dalam unit keluarga, komuniti atau masyarakat. Kemahiran berbahasa atau bercakap dapat membina jambatan antara si kecil dengan dunia sekeliling seawal usianya.
Untuk memahami betapa pentingnya kemahiran komunikasi lisan ini, anda sebagai papa dan mama hanya perlu membayangkan kepayahan yang dihadapi oleh seorang anak kecil yang tidak boleh bercakap kerana dilahirkan dalam keadaan kurang upaya atau yang lambat bercakap kerana faktor fisiologi, psikologi dan sebagainya. Dalam keadaan seperti, walaupun ia tidaklah bererti dunia sudah pun berakhir, banyak kepayahan yang perlu dihadapi sebelum si kecil dalam memahirkan diri dengan bahasa isyarat misalnya.
Oleh itu, memandangkan betapa pentingnya kemahiran berbahasa atau bercakap dalam hidup kanak-kanak pada peringkat usia sebelum pendidikan praformal bermula, pada bulan ini izinkan saya berkongsi dengan mama, papa dan pendidik prasekolah semua lapan petua yang boleh dicuba supaya si kecil akan cekap bercakap.
Pertama: Cuba gunakan bahasa orang dewasa dalam percakapan seharian
Memang benar, tujuan proses komunikasi lisan ialah untuk memastikan kita memahami maksud yang disampaikan oleh orang lain dan kita dapat pula menyampaikan hasrat, maksud atau menzahirkan perasaan yang kita rasai. Walaupun papa atau mama mahu si kecil memahami anda dengan cepat lagi mudah, itu tidak bermakna anda tidak boleh memasukkan perkataan orang dewasa ke dalam perbendaharaan kata mereka.
Sesekali gunakan perkataan, frasa atau ayat yang anak anda mungkin tidak faham, tetapi yang sering digunakan dalam perbualan orang dewasa. Pastikan anda galakkan si kecil anda untuk meminta penjelasan apabila dia tidak memahami sesuatu dan pastikan anda bersedia memberi penerangan. Penggunaan bahasa bayi (baby talk) memang comel tetapi bila dibiarkan hanya akan menjengkelkan dan mungkin memalukan si kecil anda kelak.
Dua: Berhenti membaca cerita dan minta si kecil anda untuk mula bercerita
Mungkin anda antara mama dan papa yang beruntung kerana dapat membaca cerita dongeng setiap malam kepada anak anda atau bergiliran berbuat demikian. Sudah tentu, ini cara terbaik untuk mengembangkan kemahiran membaca dan berbahasa si kecil. Apa kata selepas ini, anda simpan sahaja buku cerita si kecil dan minta si kecil anda pula untuk merekacipta kisah dongengnya sendiri, dengan bantuan anda pastinya.
Aktifkan skema minda (schema activation) si kecil dengan menunjukkan gambar, permainan atau apa sahaja bahan yang boleh membuatkan dia mula berfikir lantas berimaginasi. Pastikan anda bertanya soalan retorik semasa si kecil bercerita untuk memperkenalkan perkataan dan konsep baharu. Hasilnya kelak, bukan sekadar kemahiran komunikasi lisan si kecil yang akan berkembang maju tetapi juga kemahiran berfikirnya.
Tiga: Banyakkan percakapan bukan sama-sama menatap telefon pintar / tablet
Hari ini kita semua rata-rata seperti tidak boleh hidup tanpa telefon pintar atau tablet, lebih-lebih lagi dalam keadaan seperti Perintah Kawalan Pergerakan baru-baru ini. Memang benar, si kecil boleh belajar berbahasa, menyanyi malah berjoget apabila menonton video di atas talian. Namun, kemahiran bahasa si kecil kesayangan anda sebenarnya lebih cepat meningkat apabila anak anda dan anda bercakap lebih banyak.
Maka, mulakanlah perbualan dengan lebih kerap sebelum si kecil comel anda ke peringkat usia remaja dan dia semakin ‘malas’ bersembang dengan anda. Kanak-kanak pada usia pendidikan praformal sentiasa menyerap semua yang mereka dengar. Semakin mereka mendengar anda bercakap, semakin banyak anda boleh mengajar mereka dan berkongsi masa dan luahan rasa dengan penuh bermakna.
Empat: Cuba main alat permainan bahasa yang sudah sedia ada
Kita semua tahu tentang permainan Sahibba atau Scrabble. Maka, jika ada pendapatan lebih silakan dibeli permainan bahasa seperti ini untuk dimainkan bersama-sama si kecil anda yang lebih tua sekitar usia 5-6 tahun. Untuk yang lebih muda, ada banyak permainan kata lain yang boleh anda cuba dengan si kecil comel anda. Hari ini, aplikasi telefon pintar atau tablet boleh dimuat turun untuk pembelajaran bahasa yang lebih bermakna dan percuma.
Cuma pastikan anda menghadkan masa yang digunakan untuk gajet dan aplikasi elektronik lain. Tidak dapat kita nafikan bahawa si kecil zaman ini teramat suka bermain dengan telefon pintar atau tablet. Oleh sebab itu, petua keempat ini memperkenalkan aplikasi belajar bahasa dengan santai sebagai helah untuk menarik tangan dan minda si kecil ke alam pengajaran dan pembelajaran tanpa dia sedari.
Lima: Tampal label-label untuk memberi nama kepada barangan di rumah
Hujung minggu ini, silakan ambil masa untuk mencetak atau menulis dengan cantik-cantik nama-nama barang rumah dan tampal sebanyak mungkin untuk manfaat si kecil kesayangan anda. Melekatkan label di atas item isi rumah anda ialah suatu cara yang hebat untuk memperkenalkan kanak-kanak kepada perbendaharaan kata baharu, tidak kira usia mereka. Namun usaha ini amat baik untuk si kecil 0-3 tahun yang baru belajar bercakap.
Lebih menarik lagi, tidak kira usia anak anda walaupun dia masih belum boleh bercakap atau masih pelat dalam percakapan, label-label seperti ini dapat membantu si kecil itu mengaitkan perkataan bertulis dengan item atau barang tertentu. Pastikan papa dan mama sama-sama menyemak setiap item dengan si kecil sambil menyebut, kemudian sama-sama mengeja (apabila dia semakin cekap berbahasa).
Enam: Pantau perbendaharaan kata si kecil dan perkembangan bahasanya
Tidak ada alasan lagi, mama dan papa perlu mengambil peranan proaktif supaya si kecil dapat cepat lagi cekap bercakap serta berkomunikasi. Sekiranya papa dan mama mahu kemahiran berbahasa si kecil menjadi lebih elok dalam tempoh masa yang pendek, sila pantau perbendaharaan katanya secara serius, lebih-lebih lagi untuk si kecil 4-6 tahun yang sedang bersedia untuk memulakan pendidikan secara formal di sekolah rendah.
Apabila si kecil kesayangan anda bertanya tentang sesuatu perkataan yang telah didengar olehnya, pastikan anda mengambil peluang itu untuk mengajar definisi dan sebutan yang betul. Lakukan yang terbaik untuk memudahkan pemahaman definisi berkenaan, tetapi berikan butiran dan contoh yang banyak. Sekiranya anda ditanya oleh si kecil, “Papa, apa maksud ‘raksasa’?” Berilah jawapan dan gambaran yang lebih daripada ‘besar.’ Buat perbandingan misalnya gajah amat ‘besar’ jika dibandingkan dengan manusia, tetapi gajah adalah ‘raksasa’ jika dibandingkan dengan semut.
Tujuh: Tidak perlu diperbetulkan semua kesilapan si kecil dalam percakapan
Memang suatu yang semulajadi bagi kanak-kanak untuk tersalah cakap atau salah dalam penggunaan perkataan baharu. Yang paling utama, anda janganlah pula terus-menerus menegur atau terlalu cepat memperbetulkan anak kecil anda apabila dia membuat kesilapan yang tidak terlalu serius.
Sebaliknya, beri pujian dan sokong usaha si kecil anda itu. Tunjukkan perkataan yang dia sebut dengan betul, kemudian semak cara yang lebih tepat untuk menggunakan atau mengucapkan perkataan tersebut. Semakin menyeronokkan dan positif pengalaman yang dirasai, semakin tinggi minat si kecil untuk bercakap dan berkomunikasi!
Lapan: Banyakkan bersabar dalam mendidik si kecil anda untuk cekap bercakap
Mama dan papa mungkin perlu mengulang perkataan dan makna beberapa kali sebelum si kecil memahami konsep itu. Ini perkara normal dalam peringkat usia pendidikan praformal 0-6 tahun. Selanjutnya, jika anak jiran atau anak saudara yang sebaya dengan anak kecil anda sudah boleh bersembang seperti seorang pembaca berita lagaknya, ingatlah bahawa mendidik si kecil bukan suatu peraduan!
Kanak-kanak berkembang maju mengikut acuan dan kadar mereka sendiri. Hormati dan imbangi keperluan mereka supaya pembelajaran tidak menjadi suatu penyeksaan! Walaupun anda mahu si kecil kesayangan anda maju, anda tentu tidak mahu dia merasai perasaan negatif atau tekanan yang tidak wajar, bukan?
Penyelidikan di Universiti Arizona, Amerika Syarikat membuktikan bahawa pendedahan kepada buku, pendedahan kepada bahasa, penjelasan tentang dunia sekeiling – semua ini memberi peluang kepada kanak-kanak untuk cekap bercakap kelak. Apabila papa dan mama melihat si kecil manja lagi comel anda bertambah cekap berbahasa kelak, anda pasti akan lega dan puas hati dengan segala-gala usaha yang dilakukan selama ini.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anak suka ugut. Nak dibiarkan atau anak pujuk. Dilema ini sering berlaku pada ibu bapa walaupun anak masih di usia kecil.
Sebagai contoh “Kalau mama tak sayang saya, kalau mama tak beli mainan, saya lari keluar biar kereta tu langgar saya.” Ini antara situasi yang biasa dan pernah berlaku pada anak seawal usia 5 tahun.
Sama ada nak dibiarkan atau nak pujuk? Di sinilah peranan setiap ibu bapa untuk membentuk kelakuan anak supaya tidak menjadi tabiat sehingga terbawa-bawa apabila dah besar.
Pakar Keibubapaan dan Kekeluargaan, Ibu Rose berkata, ibu bapa harus sedar kita adalah pemimpin untuk anak. Peranan ibu bapa sangat penting untuk menerangkan perbuatan itu salah. Kalau dah rasa anak lebih had kena jelaskan betul-betul pada anak.
Bagaimanapun, pada masa yang sama cuba selidik dulu diri sendiri. Adakah kita pun terbiasa mengugut anak. Jika Ya mungkin anak belajar dari perbuatan kita sebelum ni tapi tak perasan.
Contohnya, “kalau malas belajar, mama pukul kamu!”
Sekiranya kita tak pernah amalkan konsep mengugut ini, boleh jadi anak belajar dari orang lain dan sebagai ibu ayah kena cepat bertindak dengan menerangkan kepada anak bahawa perbuatan itu salah dan tak patut ulang lagi selepas ini. Dalam hal ini kena bertegas.
Persoalannya apa yang patut ibu ayah buat untuk pastikan anak tidak menjadikan ugutan senjata untuknya mendapatkan sesuatu yang dia mahu. 4 perkara ini sangat penting
Di sini pentingnya komunikasi berkesan dengan anak dan anda layak untuk menjadi ibu bapa sempurna mendidik amanah yang sangat besar dalam hidup anda.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mendidik anak lelaki dan perempuan sudah tentu berbeza ekoran personalitinya yang berbeza. Malah sikap anak-anak paling ketara yang boleh kita lihat apabila mereka usia lima dan enam tahun yang mana ketika ini mempunyai akecenderungan dan minat yang berbeza antara kanak-kanak perempuan dengan kanak-kanak lelaki.
Ikuti perkongsian panduan daripada Dr Airil Haimi Mohd Adnan adalah Ketua Pusat Pengajian di UiTM Cawangan Perak dan penyelidik aktif psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal.
Pada masa yang sama, tidak adil untuk kita mengandaikan bahawa kanak-kanak lelaki semuanya sukakan blok binaan dan kanak-kanak perempuan hanya sukakan aktiviti yang berbentuk kesenian. Personaliti setiap individu adalah unik dan berbeza. Hari ini wanita sudah ramai menjadi jurutera, juruterbang dan melakukan pelbagai pekerjaan lasak; lelaki pula ramai yang menjadi tukang masak profesional dan pereka fesyen yang berjaya.
Sedikit tentang perbezaan gender dan perkembangan usia pendidikan praformal
Banyak yang perlu mama dan papa ketahui tentang perbezaan gender dan perkembangan, lebih-lebih lagi pada usia pendidikan praformal dari 0 hingga 6 tahun. Sekitar usia 3 tahun, kanak-kanak sudah pun tahu sama ada mereka lelaki atau perempuan. Tetapi, kerana pemikiran mereka terlalu konkrit, pemahaman mereka mengenai jantina terhad kepada tingkah laku dan penampilan fizikal sahaja.
Sekitar usia empat tahun pula, kanak-kanak mula menggunakan ciri-ciri seperti pakaian dan panjang rambut seseorang untuk membezakan jantina. Pada usia ini, mereka masih lagi kurang pasti tentang konsep ‘jantina’. Sebagai contoh, mereka tidak pasti sama ada seorang budak lelaki akan ‘kekal’ menjadi lelaki… atau berubah menjadi seorang gadis ketika dia membesar.
Menghampiri usia lima tahun pula, kanak-kanak akan menyedari bahawa keadaan fizikal mereka tidak berubah dan mereka kekal menjadi perempuan atau lelaki sesuai dengan fitrah kelahiran mereka yang ditentukan Tuhan. Namun, pada usia ini juga, si kecil mula ingin tahu tentang keadaan fizikal tubuh badan mereka dan apakah yang menjadikan seorang perempuan itu ‘perempuan’ dan apakah yang menjadikan lelaki, ‘lelaki’?
Untuk papa, mama yang mempunyai anak kecil comel pada usia pendidikan praformal ini pastikan anda tahu tentang tahap-tahap perkembangan (‘developmental milestones’) berkaitan gender dan identiti jantina ini. Tips pendidikan si kecil perempuan dengan si kecil lelaki dikongsikan di bawah.
PENDIDIKAN PRAFORMAL UNTUK SI KECIL PEREMPUAN:
Sekitar usia 4 ke 6 tahun, si kecil perempuan akan menunjukkan ciri ‘keperempuanan’ yang agak melampau (‘too girly’). Misalnya, mereka mungkin hanya mahu memakai pakaian sedondon merah jambu sahaja atau yang berwarna ungu, mereka hanya mahu menonton kartun cerita puteri hikayat sahaja dan hanya mahu bermain masak-masak atau main ‘rumah-rumah’.
TIPS UNTUK SI KECIL PEREMPUAN #1
Banyakkan aktiviti bermain yang berciri lemah-lembut dengan si kecil perempuan kerana kehadiran hormon oxytocin dalam dirinya. Hormon ini membantu ibu membina ikatan kepada bayinya dan menggalakkan kanak-kanak perempuan menjaga dan menyayangi anak patung atau beruang Teddy (kanak-kanak lelaki cenderung melihat permainan seperti itu sebagai benda mati yang boleh dilempar).
TIPS UNTUK SI KECIL PEREMPUAN #2
Untuk si kecil perempuan, kemahiran lisannya berkembang lebih awal dan dia cenderung menggunakan kesemua derianya (anak lelaki pula bergantung terutamanya kepada isyarat visual).
Banyakkan aktiviti bercerita dan ‘mendengar cerita’ si kecil perempuan anda. Layanlah dia bersembang dengan sekerap mungkin dan dengar setiap satu pengalaman yang dia kutip untuk hari itu untuk meningkatkan kemahiran lisannya kelak.
TIPS UNTUK SI KECIL PEREMPUAN #3
Semakin meningkat usia si kecil perempuan ke tahap pendidikan sekolah rendah, semakin dia akan rapat dengan ayahnya. Si kecil itu akan memilih untuk memperbanyakkan aktiviti dengan ayahnya termasuk juga bermanja dan merengek pada setiap masa dan ketika. Hal ini adalah normal dan sesuatu yang sihat, maka golongan papa tidak boleh melepaskan peluang ini untuk perapatan (‘attachment’) dan sebagai pendidikan awal buat si kecil.
PENDIDIKAN PRAFORMAL UNTUK SI KECIL LELAKI:
Anak-anak lelaki cenderung kepada aktiviti yang lebih bersifat lasak seperti bermain dengan kereta permainan, gajet atau alatan lain. Ini kerana, si kecil lelaki ada kebolehan dan ‘otak’ mekanikal yang berorientasi membina sesuatu (juga merosakkannya dengan mencabut, menyambung, mengetuk, membuka skru, dan lain-lain aktiviti fizikal lagi). Ada juga si kecil perempuan yang menunjukkan kecenderungan seperti ini.
TIPS UNTUK SI KECIL LELAKI #1
Oleh sebab mereka cenderung untuk menikmati permainan berbentuk mekanikal dan ‘spatial’ yang memerlukan ruang fizikal yang luas, kanak-kanak lelaki memerlukan lebih banyak tempat untuk eksplorasi berbanding dengan kanak-kanak perempuan yang lebih imaginatif. Berikan ruang untuk si kecil lelaki anda berlari, bermain dengan permainan mereka di kawasan yang luas dan kreatif melakukan apa sahaja yang dia minati.
TIPS UNTUK SI KECIL LELAKI #2
Kanak-kanak lelaki sebenarnya tidak dapat mendengar sebaik kanak-kanak perempuan pada peringkat usia pendidikan praformal.
Hal ini tidak perlu dikhuatiri tetapi papa, mama dan pendidik prasekolah mungkin perlu bercakap dengan sedikit kuat, memegang lengan atau mengusap belakang mereka untuk mendapatkan perhatian. Jika si kecil lelaki mengabaikan arahan, minta dia ulang sekali lagi arahan yang diberikan.
TIPS UNTUK SI KECIL LELAKI #3
Seperkara lagi, jangan terlalu risau jika anda melihat si kecil lelaki anda suka bermain lasak (bukan kasar atau biadap) dengan teman-teman lelakinya. ‘Pertengkaran’ olok-olok adalah cara semula jadi lelaki untuk membina ikatan persahabatan sedari awal. Namun, jangan pula aktiviti seperti ini tidak dipantau kerana perlawanan olok-olok boleh sahaja menjadi pergaduhan sebenar apabila kanak-kanak lelaki hilang sabar atau tidak berpuas hati.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Gigi berlubang pada kanak-kanak bukan sekadar menyebabkan sakit gigi, malah boleh membawa kepada jangkitan serius yang mengancam nyawa jika tidak dirawat. Ketahui tanda bahaya, rawatan dan cara pencegahannya.