Bercerai susu adalah situasi yang bukan sekadar biasa. Ia melibatkan emosi dan dalam masa yang sama memerlukan persediaan mental ibu, anak, bapa dan sesiapa sahaja yang rapat.
Menurut Dr Zaharah Sulaiman, Pensyarah Kanan dan Perunding Laktasi, Unit Perkembangan Kesihatan Wanita, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan, USM, bercerai susu diumpamakan seperti tindakan memisahkan si manja dengan ‘sesuatu’ yang bersama dengannya sejak dari hari pertama kelahirannya.
Tidak sekadar isu payudara yang bengkak yang bakal dihadapi ibu, ia tentu akan memberikan kesan psikologi yang tidak kurang hebatnya kepada si manja. Situasi ini tentu sukar dan memerlukan strategi dan bantuan daripada pelbagai pihak.
Kebiasaannya ibu akan mula terfikir untuk bercerai susu apabila si kecil mencecah usia dua tahun dan sebaiknya ia dilakukan secara berperingkat. Garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menyarankan penyusuan secara eksklusif dilaksanakan selama enam bulan dan meneruskan penyusuan sehingga bayi berusia dua tahun atau lebih.
Bercerai susu bukan bermaksud menukar daripada memberi susu ibu kepada susu formula. Sebaliknya, apabila bayi sudah berusia enam bulan, makanan pelengkap perlu dimulakan untuk membekalkan nutrient dan tenaga secukupnya kepada bayi. Dengan ini pemberian susu ibu mula berkurangan. Dan apabila si manja sudah memceah dua tahun, susu ibu bukan lagi penyumbang utama kepada kepeluan nutrient mereka. Sebalinya ibu haruslah memberikan makanan seimbang untuk memastikan tumbesaran yang sihat buat si manja.
4 SITUASI CERAI SUSU
#1.TERJADI SENDIRI
Cerai susu boleh terjadi apabila si kecil tidak lagi mahu menyusu. Bayi yang selalunya berusia setahun ke atas yang sudah mendapat nutrien daripada makanan pejal dan berupaya minum sendiri dari cawan akan mula kurang menyusu secara berperingkat. Lazimnya kanak-kanak yang dibiarkan bercerai susu sendiri akan mula ‘melepaskan’ antara usia dua hingga empat tahun. Tiada usia yang spesifik, malah ada yang lebih awal dan lebih lewat daripada usia ini.
#2.CERAI SUSU YANG DICETUSKAN OLEH IBU
Anda sendiri boleh mendorong si kecil dengan kasih sayang, kesabaran, fleksibel dan tanpa paksaan. Dengan cara ini, si kecil dapat bercerai susu tanpa protes dan kurang ragam. Anda boleh melakukannya dengan perlahan-lahan dengan cara tidak menawarkan susu ibu kepada anak tetapi dalam masa yang sama tetapi tidak pula menolak apabila si manja mahukannya. Tetapi, anda disarankan untuk menunggu sehingga usia si kecil 18 bulan di mana si manja berupaya memahami perkataan ‘tidak’.
#3.CERAI SUSU SECARA TIBA-TIBA
Cara ini boleh merjadi secara tiba-tiba tanpa dirancang. Ia boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. Sebagai contoh, kesihatan ibu seperti terpaksa mendapatkan rawatan perubatan yang melibatkan ubat-ubatan tertentu yang boleh memasuki susu ibu dan memberikan impak negatif kepada si kecil. Hormon yang berubah secara drastik akan menyebabkan perubahan emosi pada ibu iaitu tekanan perasaan dan perasaan yang mudah tersentuh.
Jika ini terjadi kepada anda dan perlu bercerai susu secara tiba-tiba, berbincanglah dengan pakar atau kaunselor laktasi untuk mendapatkan pandangannya. Anda juga boleh meminta pendapat tentang pilihan lain yang ada selain bercerai susu jika si kecil masih lagi kecil. Tidak semua ubat memberi kesan negatif kepada bayi. Kebanyakkan ubat antibiotik selamat diambil untuk ibu yang menyusukan bayi mereka. Oleh itu penting unuk ibu mendapatkan maklumat yang betul sebelum menghentikan penyusuan secara tiba-tiba.
#4.CERAI SUSU BERPERINGKAT
Cerai susu cara ini lebih terancang dan selamat. Anda boleh menggantikan sesi penyusuan kepada si manja iaitu dengan makanan yang berkhasiat. Kerana fungsi penyusuan bukan terhad kepada mengenyangkan dan menghilangkan dahaga, ia lebih kepada pertalian antara ibu dan anak. Justeru, tingkatkan kekerapan komunikasi dan sentuhan agar dia tidak berasa perubahan yang ketara ‘kehilangan’ jalinan yang erat sebelum ini .
TANDA-TANDA SI KECIL BELUM SEDIA UNTUK CERAI SUSU
Kanak-kanak mempunyai keupayaan untuk bercerai susu pada pelbagai tahap umur. Ada yang awal dan yang lewat. Jika si kecil menunjukkan tanda-tanda ini, bermakna terlalu awal untuk bercerai susu. Dia masih belum bersedia.
Kesukaran untuk berpisah dengan anda.
Meningkatnya pelbagai ragam seperti tangisan, kebergantungan dan tantrum.
Kerap tersedar ketika tidur pada waktu malam.
Menggigit walau pun sebelumnya tidak pernah berlaku.
Dia mula memiliki atau semakin rapat objek kesayangan seperti selimut, bantal, mainan dan sebagainya.
Hisap jari atau memerlukan puting tiruan.
Sakit perut, sembelit, muntah-muntah atau keengganan untuk makan, kemungkinan sebagai cara untuk menunjukkan tidak setuju dihentikan penyusuan. Jika hal ini berterusan dan mengganggu kesihatan si comel, maka perlulah dirujuk ke hospital.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Neelofa ambil kaunselor Laktasi demi memastikan dia dapat belajar dengan betul tentang ilmu penyusuan. Ibu kepada Muhammad Bilal yang baru sahaja habis berpantang ini berkongsi pengalaman penyusuan bayi pertamanya dengan pelakon cantik Izara Aishah dalam sesi live di Instagram Naelofar malam semalam.
Usahawan dan pengacara popular ini mengakui perjalanan menyusukan bayi merupakan satu tugas yang sangat mencabar terutama bagi ibu pertama kali sepertinya yang langsung tiada ilmu tentang penyusuan terutama bila berhadapan situasi bengkak susu.
“Kalau tahu menyusukan bayi satu tugas yang mencabar dah tentu masa mengandung, Lofa akan lantik seseorang yang pakar tentang penyusuan untuk ajar betul-betul.
Nobody told me about breastfeeding. Macam mana mana nak latch baby betul-betul, kalau bengkak susu apa nak buat, semua kena belajar sendiri. So sad,” katanya yang memberitahu yang dia mungkin terlepas pandang ilmu tersebut sepanjang pemeriksaan antenatal di hospital dalam sesi live tersebut.
Katanya kalau boleh berpatah balik semula masa awal-awal bersalin, saya nak ambil short course belajar tentang penyusuan.
Neelofa ambil konsultan laktasi
Bagaimanapun isteri Haris atau lebih dikenali sebagai PU Riz ini bersyukur kerana dia baru sahaja berjaya menghubungi seorang Kaunselor Laktasi yang akan mengajarnya daripada A sampai Z ilmu penyusuan.
Neelofa turut berazam sekiranya dia boleh kembali semula ke landasan yang betul dalam bab menyusukan bayi, dia akan berkerjasama dengan Kaunselor Laktasi tersebut untuk mewujudkan kesedaran tentang pentingnya bakal ibu dan ibu-ibu belajar ilmu penyusuan.
Bercerita tentang pengalaman dan perasaannya selepas menghabiskan tempoh berpantang lebih 40 hari, dia sangat respect kepada semua ibu yang ada ramai anak termasuklah ibunya sendiri.
“Tak mudah nak lalui saat dalam pantang sebab ada banyak benda baru yang berlaku dalam hidup kita. Tak kisahlah ibu bersalin normal atau caesarean sebab tempoh dua minggu pertama itu sangatlah mencabar.
Bagi yang pertama kali jadi ibu, nak sesuaikan dengan rutin baru, nak faham anak, nak belajar banyak benda dan menyusukan anak, memang semuanya mencabar.”
Bagaimanapun ibu jelita ini bersyukur kerana dikurniakan kesihatan yang baik sehingga hari ini dan turut berkongsi perasaannya yang bakal pertama kali menyambut Ramadan dengan gelaran ibu.
Wanita yang mesra dengan panggilan Lofa ini, secara jujur memberitahu sehingga hari ini dia masih lagi membiasakan dengan rutin berjaga malam kerana bayinya dalam fasa kerap terjaga malam sehingga mencapai usia tiga bulan.
“Kalau nak ikutkan sampai Ramadan lah Bilal akan kerap berjaga malam. Jadi perkara yang baik tentang hal ini iaitu mudahlan bagi saya untuk berjaga malam. Jadi memang akan ambil peluang untuk lebihkan buat amalan berzikir dan membaca al-Quran bila mudah berjaga malam,” demikian beritahu Neelofa yang berazam tidak akan tinggalkan amalan zikri pagi dan petang.
Untuk rekod, Neelofa mendirikan rumah tangga dengan Haris pada 26 Mac 2021 dan pasangan selebriti popular ini dikurniakan cahayamata pertama pada 29 Januari 2022.
Persoalan tentang komplikasi popular waktu mengandung dan baby baru lahir akan dihuraikan oleh Pakar Perunding O&G, Dr Maiza Tusimin dan Pakar Pediatrik, Dr Hairin Anisa dalam Talk To Doctor Bersama Moms To Be daftar di SINI
Nak join kelas penyediaan makanan anak?
Sebagai ibu, sudah tentu kita mahukan yang terbaik buat si manja. Pemakanan yang sihat dan seimbang sangat kita titikberatkan supaya anak dapat membesar dengan baik.
Nak tahu rahsia sediakan hidangan enak yang buat anak berselera makan? Jom, sertai E-Workshop Kelas Penyediaan Makanan Anak: Sedap, Sihat & Selamat di KELAS PENYEDIAAN MAKANAN ANAK SEDAP SIHAT SELAMAT
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bidan kongsi cara atasi masalah perut buncit selepas bersalin. Masalah perut buncit dan menggelebeh antara masalah yang merunsingkan ibu-ibu selepas bersalin. Belum lagi dengan kesan stretch mark dan selulit pada kawasan tersebut yang boleh menjejaskan keyakinan diri.
Bidan Kongsi Cara Atasi Masalah Perut Buncit Selepas Bersalin
Sebenarnya, mak-mak boleh rujuk panduan daripada Ketua Jururawat di sebuah klinik kerajaan dan Bidan Berdaftar, Tengku Azmanira Raja Husin ini mengenai cara atasi perut buncit selepas bersalin.
10 CARA ATASI PERUT BUNCIT SELEPAS BERSALIN
Membentuk tubuh langsing dan mendapatkan semula berat badan ideal selepas bersalin adalah idaman setiap ibu. Namun, pastinya ia tidak semudah disangka dan lebih sukar terutama buat ibu yang memberikan susu badan kepada bayi mereka.
Bahagian perut yang buncit serta kehadiran selulit dan tanda regangan membuatkan ramai ibu yang gelisah. Lemak yang terkumpul di perut mendedahkan Ibu kepada masalah yang serius seperti diabetes dan penyakit jantung.
Masalah perut buncit, ‘Spare Tyre’ atau perut menggeleber selepas bersalin adalah perkara normal bagi setiap ibu selepas bersalin. Namun, jika dibiarkan sahaja tanpa sebarang tindakan susulan ianya akan berkekalan dan boleh menjejaskan penampilan ibu. Atas faktor kesihatan, saiz ukuran pinggang ibu disarankan tidak melebihi 35 inci. Saiz lingkaran pinggang berlebihan mendedahkan ibu kepada pelbagai risiko penyakit.
Individu dengan kadar lemak yang tinggi di perut cenderung mempunyai nafsu makan yang besar. Lemak berlebihan dalam tubuh menghalang pelepasan hormon yang mengendalikan nafsu makan. Justeru membuatkan individu sukar mengawal nafsu makan mereka dan makan dalam jumlah yang banyak. Akibatnya, masalah perut buncit sukar diatasi.
Tubuh yang langsing sememangnya menjadi idaman setiap ibu. Ada segelintir ibu yang ingin langsing cepat dengan mengambil ubat-ubatan tanpa memikirkan kesannya terhadap kesihatan diri dan bayi. Apakah rahsia untuk kekal langsing secara sihat? Kak Engku ingin berkongsi tip yang lebih selamat untuk menghilangkan masalah perut buncit selepas bersalin dengan kaedah yang mudah dan murah.
Ikuti 10 tip berikut:
1. Penyusuan
Penyusuan bukan hanya memberi manfaat kepada bayi sahaja, malah ianya juga sangat membantu Ibu untuk langsing semula. Ibu digalakkan menyusukan anaknya hanya dengan susu ibu sebaik sahaja bayi dilahirkan. Sebaik-baiknya lakukan penyusuan secara ekslusif sehingga bayi berumur 6 bulan tanpa memberi makanan dan minuman tambahan selain dari susu ibu. Juga disarankan agar penyusuan diteruskan sehingga bayi berumur 2 tahun.
Ibu yang menyusukan bayi akan cepat berasa lapar dan dahaga. Ini disebabkan air dan banyak kalori diperlukan untuk menghasilkan susu ibu. Oleh sebab itulah, ibu menyusu dinasihatkan mengamalkan pemakanan seimbang terutama makanan yang rendah lemak dan tinggi serat. Diet ideal ialah makanan yang tinggi kandungan protein dan vitaminnya. Kalori juga harus dikira supaya ada penyusutan berat badan. Perlu diingat, kalori yang sesuai bagi ibu menyusu adalah sekitar 2500 kcal. Kalau terlalu kurang, dikhuatiri kualiti susu yang dihasilkan tidak memuaskan.
Penyusuan dan pemakanan seimbang mampu membantu menurunkan berat badan. Setiap kali sesi penyusuan 85kcal akan di bakar bagi 100ml susu badan yang dihasilkan. Untuk 6 bulan pertama, purata susu badan dihasilkan sehari adalah sebanyak 750ml. Ini bermakna sebanyak 650kcal akan dibakar hanya dengan menyusukan susu badan. 650kcal kalori yang dibakar adalah bersamaan dengan naik tangga berterusan selama 90 minit. Penyusuan juga membantu mengecutkan rahim ibu dan bantu mengembalikan bentuk badan asal dengan cepat. Jadi teruskanlah menyusukan anak dengan susu ibu.
2. Pemakaian Bengkung
Aspek penjagaan diri bagi ibu-ibu bersalin semakin dipandang remeh dan diambil ringan oleh ramai wanita hari ini, terutama amalan berurut, bertuam, bertungku, bertangas dan berbengkung atau berbarut. Tidak dinafikan amalan tersebut agak leceh dan remeh tetapi kesan dan hasilnya berpanjangan.
Amalan berbengkung yang dilakukan secara berdisiplin boleh membantu seseorang ibu mengembalikan bentuk badan asal secara semulajadi. Pemilihan dan penggunaan bengkung yang sesuai serta cara pemakaian yang betul mampu merampingkan pinggang ibu.
Di samping itu, berbengkung bertujuan untuk memejalkan semula otot-otot badan, perut dan pinggul. Ia juga mengempiskan semula perut yang menggeleber dan mengetatkan peranakan agar tidak jatuh. Ibu perlu berbengkung untuk mendapatkan kembali tubuh yang langsing kerana fizikal badan berubah semasa mengandung. Otot menjadi kendur dan perlu ditegangkan semula agar tubuh menjadi kemas dan langsing semula.
Waktu sesuai berbengkung adalah selepas mandi pagi dan setelah di urut. Ulangi semula pada sebelah petang selepas mandi hinggalah pagi keesokannya. Ibu pasti tersenyum melihat hasilnya.
3. Amalan Bertungku
Bertungku adalah amalan tradisional ibu-ibu untuk memecahkan darah beku selepas bersalin. Amalan ini semakin kurang mendapat sambutan kerana khasiat dan kebaikan bertungku sudah tidak dititikberatkan. Tujuan bertungku adalah untuk membantu mengecutkan rahim dan mengeluarkan darah beku, memecahkan lemak dan mengecutkan rahim bagi ibu selepas bersalin.
4. Kawal Diet Pemakanan
Untuk 6 bulan pertama, ibu yang menyusukan bayi secara eksklusif dinasihatkan mengamalkan pemakanan sihat yang rendah lemak dan tinggi serat. Manakala bagi Ibu yang sudah tidak menyusukan bayi, Ibu boleh mengawal diet pemakanan secara teratur. Kurangkan pengambilan karbohidrat, lemak dan minyak. Lebihkan pengambilan protein bagi membina otot tubuh dan menganjalkan semula perut yang menggeleber. Tingkatkan juga pengambilan makanan yang dapat mempercepatkan proses pembakaran lemak seperti oat, kekacang, bayam dan madu.
Ingin sentiasa kenyang pada masa yang sama mampu mengecilkan saiz pinggang? Cuba amalkan oat, cendawan, asparagus, bawang dan pisang. Ini kerana makanan tersebut menghasilkan lebih hormon yang mengawal selera yang membuatkan Ibu sentiasa berasa kenyang.
5. Kepentingan Sarapan Pagi
Bagi ibu yang ingin kembali langsing, jangan pandang remeh akan perkara ini. Bersarapan dapat meningkatkan metabolisma dalam badan dan menyebabkan kadar pembakaran tenaga berlaku dengan lebih cepat. Namun, cuba ambil makanan dalam kuantiti yang kecil tetapi makan dengan lebih kerap. Amalkan makanan tinggi serat, kurangkan gula ringkas dan makan lemak yang sihat.
6. Teh Hijau Dan Jus Limau Nipis
Untuk mengempiskan perut, selain menjaga pemakanan dan bersenam secara teratur, Ibu boleh mempercepatkan proses tersebut dengan mengamalkan minum teh hijau. Sejak dahulu lagi, teh hijau disebut sebagai minuman pelangsing kerana memiliki kandungan Catechin yang berupaya meningkatkan pembakaran lemak, sekali pun sewaktu ibu tidak bergerak.
Catechin adalah sejenis polifenol yang terdapat di dalam daun teh yang memiliki sifat sebagai antioksidan. Ibu disarankan meminum teh hijau selepas makan makanan yang berlemak. Kaedah ini sesuai untuk ibu yang tidak menyusukan bayi dengan susu ibu.
Selain mengamalkan minum teh hijau, minum minuman yang masam akan menggalakkan pembakaran lemak di dalam tubuh. Amalkanlah minum air limau nipis atau jus oren segar sebaik-baiknya tanpa gula.
Pelik tapi benar. Menurut satu kajian, ibu yang minum 2 gelas air sebelum sarapan, makan tengahari dan malam mampu mengurangkan berat badan sebanyak 12kg setahun. Ibu yang minum 2 gelas air mendapat 75 kalori berbanding yang tidak minum air. Ia juga meningkatkan metabolisma tubuh.
Elakkan makan bersulam air. Ramai yang gemar menikmati makanan dengan ditemani segelas air. Mungkin sudah terbiasa makan diselangi minum air agar tidak tercekik dan tersedak. Sebenarnya minum bersulam air boleh memberi kesan buruk kepada sistem penghadaman dan meningkatkan insulin dengan cepat. Bukan sahaja masalah kesihatan, tetapi turut membuatkan lemak berkumpul di bahagian perut dengan cepat.
8. Selepas Makan, Gerak 25 Langkah
Kurangkan segera kalori selepas makan! Setiap 25 langkah anda berjalan, satu kalori akan digunakan. Lebih-lebih lagi jka anda menaiki tangga. Lakukan dengan santai kerana perut baru diisi. Selain memberi peluang makanan untuk hadam, amalan berjalan-jalan sesudah makan membantu menghabiskan sebahagian kalori daripada makanan yang diambil.
9. Senaman Secara Teratur
Sebaik sahaja bersalin, senaman kurang sesuai dilakukan kerana ibu perlu berehat bagi menyembuhkan luka pada vagina (kelahiran normal) atau perut (kelahiran caesarean). Selepas 3 bulan bersalin, pemulihan ibu sudah sempurna. Usaha untuk merampingkan pinggang perlu dititikberatkan. Pelajari cara dan panduan untuk menurunkan berat badan yang betul dan jangan lakukan diet secara membuta tuli, ini boleh menjejaskan kesihatan anda.
Senaman hendaklah dilakukan dengan betul dan teratur agar ia dapat memberi manfaat. Senaman mestilah sesuai dengan individu yang melakukannya. Sebagai contoh, individu yang mempunyai perut geleber haruslah melakukan senaman yang boleh membakar lemak.
Senaman juga mestilah seiring dengan diet yang betul. Tisu lemak akan hanya digunakan oleh badan apabila kita membakar kalori melalui senaman lebih tinggi daripada jumlah kalori yang diambil pada hari sebelumnya. Sebagai contoh; sekiranya kita mengambil 2,500 kalori pada hari sebelumnya, kita mesti bersenam untuk membakar 3,000 kalori pada hari berikutnya.
Ibu yang ingin kembali ramping, mesti melakukan senaman setiap hari untuk membakar kalori yang cukup agar lemak yang tersimpan dapat digunakan. Diet makanan yang sihat mestilah diteruskan supaya tiada lebihan lemak yang boleh disimpan kembali oleh badan.
Senaman kardio vaskular dan abdomen tertentu boleh membantu mengempiskan perut. Senaman yang dilakukan secara konsisten boleh mendapatkan kesan terbaik. Untuk mengempiskan perut juga, gerakan punggung secara perlahan boleh dilakukan contohnya dengan melakukan tarian gelek, dangdut atau hula-hula.
10. Petua Tradisional
Selain daripada berbengkung, masalah perut buncit selepas bersalin boleh juga diatasi dengan mengamalkan petua tradisional. Caranya, dua hari selepas bersalin, ambil kapur sirih, perahkan sebiji asam limau kepada kapur sirih tadi, lumurkan campuran tersebut di permukaan perut Ibu sehingga rata, biarkan seketika sehingga kering. Sapuan ini akan menyebabkan perut terasa hangat kerana kesan kapur. Oleh itu jangan sapu terlalu banyak.
Tujuannya adalah untuk mengempiskan perut yang membuncit dan membakar lemak. Namun rawatan ini mengambil masa yang lama untuk perut kembali kempis. Amalkan petua ini selama tempoh berpantang (44 hari) berturut-turut.
Kebiasaannya jika dilakukan secara berdisplin selepas tempoh berpantang, perut ibu beransur kempis, kelihatan licin, anjal dan tidak berkedut-kedut. Keadaan perut kembali menarik seperti sebelum ibu bersalin.
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan menjadi rujukan buat mak-mak yang lepas bersalin untuk kembali ramping, dan elak perut menjadi buncit.
Saat dapat tahu diri hamil, seorang ibu pastinya mengharapkan anak yang dilahirkan selamat dan sihat. Begitu juga sepanjang melalui proses kehamilan, ibu sentiasa mahukan semuanya lancar.
Bagaimanapun, jika Allah dah takdirkan sesuatu perkara akan berlaku, mahu atau tak, kita kena terimanya dengan reda. Seperti perkongsian ibu ini, Alyeen Al, kisahnya yang diuji dengan masalah kesihatan ketika mengandung dan pemergian anak syurganya benar-benar meruntun hati. Tapi apa yang bagusnya dia tetap positif dengan ketentuan ilahi.
Mama yakin Allah sebaik-baik perancang
Mama decide untuk simpan SENYUMAN ni di dalam Muka Buku ni. Masa ni Maryam masih ada dalam perut.
Tiap kali doktor pakar ROUND mama akan lemparkan muka yang ceria. Konon nak pujuk doktor sebab nak discharge. Namun kata salah sorang MO di situ.. Puan.. Sila bermimpi dahulu untuk pulang.
Seluruh badan mama bengkak, kaki bengkak, muka bengkak, jari-jari bengkak. Di usia kandungan 25 minggu bengkak macam tu bukan satu hal yang normal ya wahai semua ibu mengandung. Tambahan lagi pada anak sulung.
Ya, mama akui, mama banyak bekerja, tak bed rest, dan otak sentiasa memikir. Tapi, jangan salahkan mama ya, tamparan ujian Covid19 kepada mama seorang usahawan menjadikan mama perlu jadi lebih kuat.
Mengalami preeclampsia
Mama tiada pilihan. Preeclampsia. Itulah nama sakit yang mama hadapi. Bahasa lainnya adalah sawan ketika mengandung. Namun alhamdulillah mama belum sampai tahap sawan.
Tekanan darah mama ketika berada di Emergency Department adalah 190/110 sangat tinggi. Doktor-doktor O&G terus decide masukkan mama ke PE room. Di situ 24 Hours mama just lay down atas katil. Di check tekanan darah 1/2 jam sekali, collection air kencing 24 jam.
Tidak boleh berhubung dengan siapa-siapa. Mama diletakkan dalam bilik labour room setiap jam mama dengar teriakkan ibu dan baby baru lahir. Mama jadi takut.
Setiap kali doktor datang dia maklum kami akan pantau tekanan darah puan. Dan puan kena stay lama di hospital. Mama ingat esok mama dah boleh keluar.
Dengar-dengar macam tu mama try activate Mind to Muscle. Dan cakap kat anak dalam perut. InshaAllah kita akan jadi case yang keluar ward paling awal ya sayang sambil usap perut.
24 jam berlalu alhamdulillah. Mama keluar dan dipindahkan ke OB 1 iaitu wad bersalin. 25 minggu pakai baju bersalin mama rasa mcm janggal.
Masuk pula ke wad bersalin setiap hari orang masuk, sakit bersalin kemudian discharged.
Mama sentiasa berkumat kamit. Berdoa pada Allah. Serahkan diri pada Allah. Wa ufawwidu amri ilallah ( dan daku serahkan segala urusan aku, kedukaan aku, kesakitan aku, kerisauan aku, urusan anakku,) kepadamu Ya Allah. Innallah ha basir run bil ibad. Sungguh Engkau Maha Mengetahui HAMBANYA.
Mama serah sebulatnya pada Allah. Alhamdulillah.. Setiap hari tekanan darah mama cantik, air kencing masih ada protein, fetal rate baby 142/146. Cantik. Mama sentiasa positivekan diri.
Setiap kali doktor round.. Dia kata alhamdulillah tekanan darah puan cantik dengan hanya 1 ubat sahaja. Tapi puan kena duduk lama lagi ya untuk pantauan puan dan baby.
Satu hari, scan baby, air ketuban baby dah makin skit. Mama scan sebelum-sebelum ni diswasta selalu ukuran baby seminggu kecil dari usia kandungan mama. Tapi kali ni, doktor nampak ukuran lilit baby mengecil. Doktor risau dan decide untuk tahan mama lagi.
Untuk kebaikan mama gan Maryam mama redha duduk dalam hospital lama-lama.
Tapi bila dah tahu mama Preeclampsia mama dah buat research apa simptom-simptomnya. Dan apa keberangkalian akan berlaku.
Tanda-tanda preeclampsia
1.Tekanan darah tinggi
2.Adanya protein di dalam air kencing
3.Bengkak
4.Sakit kepala
5.Kenaikan berat badan secara tiba-tiba
Semua tanda di atas mama ada. Tapi selepas mendapat rawatan mama dah tak ada beberapa simptom tu kecuali tekanan darah, proteinurine, bengkak kaki.
Tiba-tiba tak dengar denyutan jantung baby
Mama kuatkan diri, senyum ja, walaupun dalam hati Allah ja tau. Hari ke-9 mama duduk ward, bila tiba time nak check jantung baby. Tetiba semua nurse tak dengar. Nurse panggil doktor dan buat scan. 2 doktor check. Memang nampak baby dah songsang. Doktor tanya abah ada mana. Dan minta panggil. Mama tanya why doktor?
Dia cakap minta maaf Puan, kami tak dapat selamatkan baby puan. Mama call mak Norina Abdul Majid sekuat hati Mama nangis. Semua doktor Ho/Mo/ specialist/ nurses semua terkejut.
Depa sangat-sangat terkejut. Sebab memang kesihatan mama dah terkawal. Mama nangis masa mak mai dekat sebelah. Kemudian, mama terfikir. Ya Allah. Hamba dah serahkan segalanya pada Allah. Adakah yang ini yang terbaik Allah. Maryam mama Allah ambil.
Teringat kata doktor, mama kena deliver awal untuk pastikan keduanya selamat. Cukup Maryam 1kg mama kena deliver. Atau mengikut kepada keadaan kesihatan mama yang semasa. Allah Maha Mengetahui. Diambilnya Maryam terlebih dahulu.
Mama tiada pilihan melainkan redha. Speacilist datang dan cakap takziah mereka tak sangka, dan bgtau process untuk bersalin biasa akan mengambil masa yang lama. Perlu induce dan ambil masa lama untuk deliver kalau perlu balik kita bagi balik dulu. Terus mama set dalam minda. Anak mama akan lahir awal.
2 jam mama sakit, mama selamat lahirkan Maryam
Dua hari setengah. Maryam meninggal dalam perut pada 21/7/2021 pukul 4, mama minta pada Allah mama nak deliver Jumaat malam sebab Sabtu tu 24 /07/2021 birthday abah dan juga anniversary mama abah yang 1st.
Alhamdulillah Allah kabulkan. 2 jam ja mama sakit. Terus Maryam dilahirkan. Waktu lahir mama senyum ja tengok maryam. MasyaAllah anak syurga mama segak sangat.
Doktor semua terkejut sekejap ya puan dah melahirkan. Maktok, tokwan, abah ambil Maryam untuk urusan pengebumian.. Dan petang 24 julai mama boleh discharge.
Specialist dan semua doktor keliling di katil mama.
Mereka kata. PUAN, kami tak pernah jumpa patient yang sekuat Puan. Puan sambut kami dengan senyuman. Puan sambut anak puan dengan senyuman. Kami sentiasa doakan yang terbaik untuk Puan. Amin.
Terima kasih Allah atas nikmat terbesar ini. Maryam Azzulaikha hadiah Allah terindah atas senyuman Hamba dan suami. Allah.. Hanya Pada Engkau Aku berserah segala sesuatu.
Senyuman ini buat semua para ibu mengandung. Anda semua adalah ibu yang hebat. Senyum. Senyum dan terus senyum.
Al-Fatihah Anak syurga Mama
Maryam Azzulaikha binti Sharul Azrie
Sertai Webinar penyusuan terbesar ‘Mama Tak Penat Susukan Anak’ yang dianjurkan Pa&Ma tahun ini.
Webinar PERCUMA ini menampilkan panel-panel hebat seperti Dato’ Dr Sheikh Muszaphar, Dr Seri Suniza, Dr Hairin Anisa, Puan Asiah Maharam dan perkongsian istimewa oleh Dato’ Siti Nurhaliza.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.