
Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan sebanyak 10 kluster baharu penyakit Tuberkulosis atau tibi telah dikesan di tujuh negeri setakat Sabtu lalu. Johor muncul sebagai negeri paling terjejas dengan 37 kes direkodkan diikuti Selangor.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan, daripada jumlah kes di Johor itu, 29 melibatkan kanak-kanak manakala lapan lagi adalah golongan dewasa. Beliau turut menjelaskan bahawa indeks kes bagi salah satu kluster berpunca daripada seorang wanita berusia 72 tahun di Kota Tinggi.
Menurut beliau, usaha pengesanan aktif yang digerakkan oleh pegawai KKM memainkan peranan besar dalam mengenal pasti kes lebih awal. Daripada keseluruhan kes yang direkodkan, 36 kes dikesan hasil tindakan turun padang termasuk ujian saringan dan penjejakan kontak rapat.
“Daripada pengesanan kontak sehingga 7 Feb, kita telah mengenal pasti 903 kontak rapat yang telah menjalani saringan dengan sesiapa yang mempunyai simptom terus diberikan rawatan di fasiliti KKM.
“Semua kes dilaporkan telah dimulakan rawatan dan dipantau, iaitu rawatan pemerhatian langsung (DOTS) secara harian di fasiliti kesihatan terdekat,” katanya ketika menjawab soalan dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Selain Johor, Selangor mencatatkan jumlah kedua tertinggi dengan 10 kes melibatkan empat kluster. Sabah pula merekodkan lima kes daripada satu kluster, diikuti Pahang dengan empat kes dan satu kluster. Kedah, Kelantan serta Perlis masing-masing melaporkan dua kes melibatkan satu kluster di negeri berkenaan.
Mengulas kaedah pengesanan, Dzulkefly berkata saringan simptom dijalankan dengan meneliti tanda-tanda seperti batuk berpanjangan, demam, hilang selera makan, penurunan berat badan secara mendadak serta pemeriksaan klinikal paru-paru.
Dalam pada itu, beliau turut menjawab soalan tambahan berkaitan keberkesanan imunisasi terhadap penyakit seperti tibi. Katanya, tahap liputan imuniti kelompok di bawah Program Imunisasi Kebangsaan adalah sangat tinggi dengan hampir 99 peratus kanak-kanak telah menerima suntikan imunisasi.
“Bagi bayi daripada keseluruhan hampir 500,000 kelahiran yang didaftarkan setiap tahun, liputan (imunisasi) melindungi jangkitan tibi dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini memang menepati sasaran,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih peka terhadap simptom tibi dan segera mendapatkan pemeriksaan sekiranya mengalami tanda-tanda berpanjangan. Mengelakkan tempat sesak, menjaga kebersihan diri serta mematuhi arahan kesihatan awam adalah langkah penting bagi membendung penularan penyakit berjangkit ini.
Sumber: Bernama