Pelakon, Syatilla Melvin, bersyukur anak keduanya yang dilahirkan pada 17 April lalu, Sarima Samheizy, tidak banyak kerenah dan mudah untuk dijaga.
Menurut bintang Dia Isteri Luar Biasa itu, keadaan terbabit membolehkan dirinya menjalani proses berpantang dengan lancar.
“Alhamdulillah, anak perempuan saya senang untuk dijaga. Dia cuma akan menangis apabila lapar dan ketika dimandikan. Pendek kata, susah nak dengar suaranya sebab dia tidak merengek tanpa sebab. Pada sebelah malam pula, Sarima selalunya akan tidur lena selama dua atau tiga jam sebelum bangun untuk menyusu.
“Sama seperti ketika menjaga abangnya dahulu, Syeriv, saya bertuah kerana dapat berpantang tanpa banyak gangguan kerana mengambil khidmat bersalin.
Ads
“Sekurang-kurangnya sepanjang tempoh 44 hari berpantang adalah orang membantu menguruskan si kecil. Sekiranya tidak larat atau sebagainya, mereka mengambil giliran untuk membantu memberikan susu pada sebelah malam,” katanya.
Syatilla atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla Amirol Melvin, 28, dan Shaheizy Sam, 36, mendirikan rumah tangga pada 8 Februari 2016 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Syeriv Samheizy, pada 9 Mei 2017.
Syatilla juga berhasrat menunggu sehingga puterinya berusia enam bulan sebelum menerima sebarang tawaran lakonan.
Ads
“Tunggulah sehingga Sarima sudah berusia enam bulan ke atas, barulah saya akan mempertimbangkan untuk menerima tawaran. Bukan apa, seperti sebelum ini, saya sedih apabila terpaksa berenggang dengan Syeriv yang masih kecil,” katanya yang sehingga kini belum menayangkan wajah puterinya itu kepada peminat.
Syatilla turut memberitahu, buat waktu ini dia sibuk mengendalikan perniagaan kosmetik, Kekasih, yang diasaskan bersama adik-beradiknya. Produk berkenaan baru sahaja dilancarkan pada 1 Mei lalu.
Setiap pasangan yang berkahwin pasti mengimpikan cahaya mata sebagai pelengkap dan penyeri kehidupan. Namun sebaliknya yang berlaku kepada pasangan muda ini apabila anaknya dijemput Ilahi setelah 14 hari dilahirkan. Berat ujian yang datang namun pasangan ini reda dengan ketentuan daripada pencipta. Ikuti perkongsian daripada Encik Muhamad Syafiq.
30/09/2018 ( AHAD )
Jarum jam meniti tepat pukul 5.30 petang, isteriku mula menunjukkan tanda-tanda sakit di bahagian peranakkannya. Aku terus mempersiapkan barang-barang kelengkapan bersalin isteriku dan terus memandu tenang ke hospital berdekatan. HUSM Kubang Kerian menjadi pilihan kami pada hari tersebut. Aku menolak perlahan isteriku ke bahagian pendaftaran.
Aku gelisah menunggu kelahiran ‘malaikat kecil’ di bahagian menunggu sementara isteriku sedang menanggung kesakitan di wad 2 Baiduri. Tanpa berlengah aku terus mencapai kain pelikat dan terus membuat solat sunat hajat dihadapan Wad 2 Baiduri tanpa menghiraukan sesiapa yang melihat perbuatan ‘aneh’ ku di kawasan tersebut. Bagi aku asal isteri dan anakku selamat sahaja. Hanya Allah swt tempat aku bergantung harap.
Jam menunjukkan pukul 3.00 pagi isteriku belum melahirkan anak, aku yang keletihan terus tertidur di atas kerusi menunggu beralaskan kain pelikat tadi. Aku bermimpi sesuatu yang aneh, di dalam mimpi tersebut aku bersama isteriku dan satu lagi pasangan sedang mendaki gunung yang sangat tinggi pada waktu malam yang gelap. Tetapi apa yang menghairankan aku pasangan tersebut mendaki sambil mengengdong bayi lelaki mereka tetapi aku dan isteri tidak memangku anak dan akhirnya aku dan isteri sampai dahulu di kemuncak gunung berbanding pasangan tadi. Di kemuncak gunung aku melihat ada satu cahaya bulan purnama yang sangat terang menerangi kami dan memadam kepekatan malam pada hari itu. Apakah petanda mimpi tersebut?
01/10/2018 ( ISNIN )
Alhamdulillah segala puji bagi Tuhan sekalian alam, pukul 9.30 pagi aku sudah usai khatam Quran dengan pengakhiran surah An-Nas dan kalimat ‘Sodaqallahulazim’ dilafazkan yang memberi maksud ‘benarlah kalam Allah yang Maha Agung’. Berdebar hati ini, berdegup kencang jantung ini menanti namaku dipanggil oleh jururawat bertugas bagi menyaksikan kelahiran anak sulungku.
Jam menunjukkan tepat pukul 10.20 pagi akhirnya isteriku selamat melahirkan anak kami secara normal setelah bertarung nyawa melahirkan anak kami. Bayi seberat 2.89kg diazankan oleh aku sebagai bapa kandungnya. Ya Allah anak aku! Kata aku yang tidak percaya anak yang selama ini dikandung 9 bulan oleh isteriku kini sudah Allah zahirkan dihadapan aku. Menitis air mata jantanku tanda bersyukur Allah memberikan aku nikmat sebesar ini.
Wajahnya seiras wajahku, putih berseri kemerah merahan, matanya yang bulat dibuka luas melihat dunia. Bayi lelaki ini diberi nama Muhammad Uwais Al-Qarni bin Muhamad Syafiq. Aku diminta oleh guruku untuk ke surau bagi menunaikan solat sunat syukur ke atas kelahiran pertama ini. Ini amanah dari Allah, ini tanggungjawab dari Allah kata guruku kepadaku melalui corong telefon. Tanpa berlengah aku terus turun ke surau bagi melengkapi permintaan guruku.
Seronok gembira hati ini hanya Allah yang tahu, kelahiran anak lelaki sulung ini memberikan seribu makna kepada aku dan isteri. Bagaikan dunia ini ana yang punya.
02/10/2018 ( SELASA )
Hari ini merupakan ulang tahun kelahiran aku yang ke-25. Kelahiran anak lelaki pertamaku merupakan satu anugerah Allah paling besar sepanjang hidupku, ini adalah hadiah paling berharga yang Allah berikan kepada aku. Aku bersyukur masih diberikan nyawa oleh Allah. Terima kasih emak Norshita Shawal sebab lahirkan abang ke dunia ini. Besar jasa dan pengorbanan emak dan abah. Apabila aku melihat proses kelahiran anak aku dan susah payah isteriku melahirkan anak, baru aku tahu bagaimana emak bersusah payah melahirkan aku ke dunia. Hanya Allah sahaja yang mampu balas jasa emak. Isteriku sudah boleh pulang ke rumah tetapi anak kami tidak boleh pulang bersama atas alasan anak kami kemungkinan disyaki ada jangkitan kuman di bahagian paru-paru.
03/10/2018 ( RABU )
Sedih hati ini melihat katil anak aku ditolak ke dalam wad Nilam 2 atas faktor anak aku dijangkiti kuman di bahagian darah. Kata doktor, isteriku turun air ketuban awal dan demam sewaktu melahirkan Uwais, maka doktor terpaksa kuarintin Uwais di wad tersebut bagi mengelakkan perkara-perkara sebaliknya berlaku. Aku melihat pernafasan anak aku turun dan naik begitu pantas berbanding bayi yang lain. Allahu akhbar! Hal ini sungguh merisaukan aku dan isteriku. “Nak , cepat sembuh ye, nanti dah sihat, ikut Walid jalan-jalan” bisikku ke telinga Uwais.
04/10/2018 ( KHAMIS )
Bermulah rutin harianku, ini sudah hari keempat aku ulang alik ke hospital bersama isteriku ke hospital untuk menyusukan anak kami. Jarak hampir 8km dari rumah ke HUSM tidak aku hiraukan, isteriku yang masih di dalam pantang digagahi jua demi untuk melihat perkembangan anak kami dan menyusukan anak soleh kami Muhammad Uwais Al-Qarni. Seperti kebiasaan, sebelum jari jemari ini menyentuh lembut ubun-ubun dan fizikal Uwais, aku akan memberikan salam kepadanya “Assalamualaikum Muhammad Uwais Al-Qarni, anak soleh Walid”. Usai meberikan salam pasti anak comel ini akan mengerutkan dahi dan keningnya tanda memberi respons kepadaku. Cerdik sungguh.
05/10/2018 ( JUMAAT )
Hari kelima, tali pusat Uwais dah mula tercabut, Uwais kelihatan sihat dan sedikit bertenaga berbanding sebelum ini. Uwais dah pandai membuat pelbagai reaksi di wajah, mengeliat seperti Umminya, menendang perlahan dan mengigit kuat jari kami seperti bayi yang berusia 5 bulan. Cerdik sungguh kamu wahai anak. Setiap hari kami menunggu dan menemani Uwais di wad tersebut sehingga lewat pukul 1.30 pagi. Aku dan isteriku tidak mengiraukan keletihan dan sakit sakit di badan yang kami alami sepanjang ulang alik ke hospital asalkan sahaja dapat bersama Uwais si cinta hati kami. Ya Tuhan, tak sabar rasanya menunggu anak cerdik ini pulang ke rumah kami.
06/10 – 09/10/2018
Ulang alik ke hospital seperti biasa menjenguk, menjaga, menukar pampers, memandikan dan menidurkan Uwais. Berat Uwais sedikit turun. Proses ultrasounds dilakukan keatas Uwais untuk menentukan tahap kesihatan Uwais. Hari ke 7, ada satu hal yang terjadi, seperti kebiasaan selepas Uwais bangun dari tidurnya, dia akan mengeliat kepuasan, apa yang mengejutkan kami ialah selepas dia mengangkat tangan ke atas untuk mengeliat, pasti dia meletakkan kedua tangannya di atas dada seperti perbuatan orang sedang qiam dalam solat. Hal ini berterusan sehingga ke hari hari seterusnya. Allahu akhbar!
10/10/2018 ( RABU )
Kami dikejutkan dengan berita Uwais dimasukkan ke wad Nilam 1 N.I.C.U (kes lebih berat), Uwais mula dimasukkan ubat antibiotik tahap kedua kerana ubat antibiotik tahap pertama tidak memberikan tindak balas positif pada darahnya. Uwais mula dipakaikan wayar oksigen di hidungnya bagi menyokong pernafasannya. Sesekali Uwais menangis tanda sakit dan mahukan perhatian dari kami. Uwais bersin berkali-kali. Lucu melihat reaksi anak comel ini bersin. Ya Allah, Engkau sembuhkanlah anak aku ya Allah.
11/10/2018. ( KHAMIS )
Darah Uwais semakin pekat kata doktor, doktor pakar mula mengambil kes Uwais dan anakku akan dikawal sepenuhnya oleh doktor pakar bagi memantau perkembangan Uwais. Kata doktor kuman semakin tinggi di dalam darah anak aku dan kemungkinan akan berlaku pendarahan dalaman keatasnya. Hati ini mula semakin risau, tidur tidak nyenyak, selera makan sudah tiada memikirkan tentang anak sulung kami. Begitu juga dengan isteriku jangankan air, apatah lagi nasi untuk dijamah jauh sekali. Sesiapa yang mempunyai anak pasti tahu bagaimana perasaan ini.
Emak dan abahku sudah pulang ke Pulau Pinang atas sebab bapa saudara aku di sana dikhabarkan keadaannya semakin tenat. Ini kali kedua Emak dan Abah datang ke Kelantan selepas datang kali pertama pada 1 Oktober lepas. Emak dan abahku belum pernah menyentuh cucu sulung mereka lagi .
12/10/2018 ( JUMAAT )
Aku dikejutkan dengan berita kematian bapa saudaraku di Pulau Pinang. Bapa saudara aku yang paling rapat dengan ahli keluarga kami. Aku begitu sedih dengan berita tersebut tambahan pula aku tidak boleh pulang ke Pulau Pinang atas faktor isteri dan anakku dalam keadaan begini. Sedihku bukan kepalang ibarat jatuh ditimpa tangga. Al-Fatihah untuk Allahyarham Mazlan bin Shawal.
13/10/2018 ( SABTU)
Seharian bersama Uwais bermain , pada hari yang sama isteriku bermimpi telah didatangi seorang lelaki berjubah membawanya ke sebuah bangunan hospital yang sangat besar dan apabila isteriku masuk ke dalam hospital isteri tercinta aku melihat sebujur jasad kaku anak kami Uwais tidak bernyawa . Bangun dari tidur , isteriku menangis tersesak-esak sambil memelukku tanpa menceritakan perihal sebenar mimpi tersebut . Malam hari aku dan isteri bersama Uwais , seperti biasa Uwais minum susu dengan banyaknya tetapi pada hari tersebut susu isteriku sudah kering .
Aku mengusap perlahan kepala anak kesayanganku sambil bercakap dengannya . Dahinya yang lembut ku cium dan kucup berulang-ulang kali . “Sayang….Uwais anak Walid , cepat sihat nak , cepat sembuh , cepat-cepat keluar hospital , semua tunggu Uwais kat rumah . Nanti dah sihat Uwais teman Walid , kita pergi masjid sama-sama ye nak “ kataku sambil matanya merenung tepat kearah mataku , bulat dan hitam penuh anak matanya . Redup dan sayu matanya melihat aku lama lalu tanpa aku sedari mengalir air mata Uwais dan mulut kecilnya terkumat kamit seolah-olah ingin memberitahu sesuatu kepadaku . Jarinya menggengam kemas jariku tanpa ada isyarat mahu dilepaskan .
Jam menunjakkan pukul 1 pagi , isteriku mahu meletakkan Uwais ke atas katil , hari sudah lewat , kami diminta oleh jururawat untuk pulang tetapi anak kami Uwais tidak mahu melepaskan Umminya , erat dan kemas memeluk tangan isteriku , menangis merengek Uwais apabila mahu diangkat keatas katil seolah olah tidak mahu berpisah dengan Umminya yang telah berada didalam kandungan selama 9 bulan . Dia seperti mahu bersama Umminya sampai ke bila-bila . Aku dan isteri tidak sedap hati dan merasakan bagai ada sesuatu bakal terjadi . Kami meninggalkan Uwais di atas katil dengan beribu kesedihan .
14/10/2018 ( AHAD )
Di subuh yang hening , tiba-tiba telefon aku berdering kuat dan kelihatan nombor hospital tertera di skrin telefon aku , berdebar jantung ini seperti nyawa aku bakal dicabut . “Encik , boleh datang ke hospital dengan segera tak ?” tanya doktor kepadaku . Ya Allah ya Tuhanku , berat sungguh kaki ini nak melangkah .
Sesampainya di wad aku sudah melihat katil Uwais dikelilingi oleh ramai doktor pakar , Uwais sudah tidak sedarkan diri , dia di kelilingi mesin dan alat bantuan pernafasan . Luluh hancur hati ini melihat darah daging aku dalam keadaan begini . Kata yang merawat , Uwais muntah susu dan keluar banyak darah pada pukul 5 pagi tadi . Ya Allah ! Dugaan apa yang Engkau berikan kepadaku ini , baru semalam sahaja Uwais nampak sihat dan bermain dengan Walid dan Umminya , pagi ini Uwais sudah tidak sedarkan diri .
Seharian kami menunggu di wad , kami mengambil peluang untuk pulang ke rumah sebentar untuk mandi dan bersihkan badan . Emak , abah , kakak , adikku dan abang iparku baru sahaja sampai setelah menempuh perjalanan hampir 6 jam dari Pulau Pinang .
Jam pukul 9.00 malam sekali lagi hospital menelefon aku , sambil menyuruh aku membawa ahli keluarga terdekat . Petanda apakah ini ?
Sampai di katil Uwais , ketua bahagian perubatan di wad tersebut bersama doktor pakar yang lain sedang membuat sesuatu keatas Uwais , ketika itu hanya Allah yang Maha Mengetahui apa yang aku rasa . Isteriku tidak henti-henti menangis keesakkan sehinggakan ditenangkan oleh jururawat bertugas .
Doktor menjemput aku dan isteri ke bilik perjumpaan dan doktor menerangkan tentang situasi Uwais . “ Encik Syafiq dan Puan Nurul Fatihah, kita dah cuba sehabis baik tetapi Allah yang memegang kita , anak Encik sekarang sudah berada di tahap 50/50 dan kita hanya menunggu keajaiban dari Allah sahaja , bila kita buat ultrasounds kita lihat penuh tumpah darah dalam badan anak Encik , hati dia telah rosak dan pecah “ . Bayangkan kalian berada disituasi aku dan isteri ketika itu .
Akhirnya Uwais di pangkuan isteriku dan semasa diribaan isteri tercintaku , satu persatu wayar di badan Uwais dicabut perlahan , tekanan nadi dan jantung Uwais semakin lemah , tepat jam 12.15 pagi anak kesayangan kami MUHAMMAD UWAIS AL-QARNI BIN MUHAMMAD SYAFIQ telah dijemput kembali oleh Allah swt setelah genap 14 hari dia bertarung melawan kuman dalam badan . Dilahirkan pada hari Isnin dan diambil kembali oleh Allah juga pada hari Isnin .
Di penghujung detik nafas Uwais yang terakhir aku sempat menyaksikan kaki dan tangan anak syurga ini terangkat sedikit ke atas dan kelopak matanya terbuka melihat tepat kearah kami dan kelihatan anak mata nya yang pekat jernih kehitaman tersebut, tiba-tiba tanpa disedari sekali lagi terbit air matanya mengalir perlahan-lahan mula jatuh ke pipi . Dengan wajahnya yang sayu tanda seolah olah ingin memberitahu Walid dan Umminya bahawa dia akan pergi selama-lamanya meninggalkan kami di dunia yang fana ini . Kini tiada lagi rengekan manja Uwais terhadap kami . Luluh jiwa ini .
Kata jururawat yang menjaga dan merawat Uwais sepanjang dua minggu , dia anak yang sangat senang dijaga , tidak banyak ragam dan susah untuk dengar Uwais menangis . Isteriku terus memangku jasad anaknya yang kini sudah tidak bernyawa lagi sambil mengesat air matanya yang tidak henti-henti mengalir . “Uwais , uwais bangun nak , bangun anak Ummi , Ummi rindu Uwais , siapa nak hisap susu ummi lagi” isteriku diam sejenak diselangi dengan tangisannya tanpa penghujung . “Sayang anak ummi…ummi dah halalkan susu ummi untuk Uwais…tak apalah sayang pergilah dengan tenang..” kata isteriku perlahan. Allah , aku yang melihat bagaikan hendak pengsan . Lahaulawala khuwataillahbillah hila’liyula’zim . Kuatkan kami Ya Allah !
Aku redha Ya Allah , aku terima ujian darimu walaupun pedih dan pahit untuk aku tempuh semua ini . Uwais dicipta untuk hidup didunia ini hanya 14 hari sahaja . Perjanjian dia dengan Sang Pencipta telah ditunaikan . Semua ini terasa bagaikan mimpi . Terlalu pantas berlalu namun inilah realiti yang perlu ditanggung oleh aku dan isteri .
Ketahuilah sesungguhnya Ummi & Walid amat merinduimu wahai anak . Kita jumpa di syurga nanti ye nak. Maafkan Walid tak sempat bawak Uwais ke masjid bersama-sama, Walid hanya sempat mengengdong jasad Uwais yang sudah tidak lagi bernyawa ke masjid untuk menunaikan solat jenazah Uwais. Jasad Uwais wangi sangat sangat, selama Walid hidup atas dunia ini tidak pernah sekali Walid bau sewangi wangian Uwais itu.
Bercucuran air mata ini mengalir laju ketika nukilan ini disiapkan. Aku dan isteri masih mencari semangat . Walaupun kami sudah terpisah jasad dengan Uwais, kami berada di atas tanah dan anak tersayang kami di bawah tanah namun roh Uwais Al-Qarni dalam keadaan sangat tenang di sana sambil berlari-lari di dalam syurga Allah swt. Aku terima, aku redha, aku pasrah dan hanya kepada-MU jualah aku bertawakal.
Wahai kesayangan Walid & Ummi , damailah engkau di sana . Walaubagaimana sayangnya kami kepada Uwais , walau setinggi dan sebesar manapun kasih dan cinta kepada Uwais tetapi Allah swt lebih menyayangimu . Kerana sifat Ar-Rahman & Ar-Rahim itu sangat tinggi melebihi segala-galanya.
Ada satu hal yang dapat meredakan kepedihan hati aku dan isteriku , Uwais adalah HAK Allah swt dan aku perlu kembalikan semula HAK Allah swt tersebut , maka aku tidak boleh ‘kedekut’ tentang pemberian tersebut dan aku serahkan kepada yang MAHA BERHAK .
INNALILLAHI WAINNAILAIHI ROJIUN . Dari Allah kita datang , kepada Allah jualah kita kembali
“ Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya…
(Al-Baqarah: 286)
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
(Al-Ankabut: 2)
Manakala berkaitan hadith yang menceritakan tentang kanak-kanak yang belum baligh akan menunggu ibubapa mereka di pintu syurga disebut oleh Imam al-Thabarani di dalam mu’jamnya yang diriwayatkan oleh Habibah RA, beliau berkata:
“Aku berada bersama Aisyah RA maka telah datang Nabi SAW sehingga baginda SAW masuk lalu bersabda: Tidaklah dua orang muslim meninggal dunia, di antara keduanya ada tiga orang anak (mereka adalah tiga bersaudara) yang belum berusia dewasa (baligh) kecuali Allah akan datangkan mereka pada hari Kiamat sehingga didirikan pada pintu-pintu syurga lalu dikatakan kepada mereka: Masuklah kamu ke dalam Syurga. Mereka menjawab: Sehingga dimasukkan ibubapa kami. Maka dikatakan kepada mereka: Masuklah kamu dan juga ibubapa kamu ke dalam Syurga”
Kebanyakkan bayi yang menyusu sepenuhnya dengan susu ibu akan menyusu sekurang-kurangnya lapan hingga 12 kali sehari. Bergantung kepada bayi, ada yang menyusu dengan lebih kerap pada siang hari. Ada juga yang menyusu dengan lebih lama pada waktu malam.
Kebiassaanya bayi menyusu 15-20 minit setiap kali tempoh penyusuan. Ini hanyalah anggaran penyusuan yang biasa dilakukan bayi di awal kelahiran. Corak penyusuan bayi berbeza.
Jika berat badan bayi berada di bawah paras yang sepatutnya, ibu bapa harus menganalisa semula corak pembuangan bayi, kekerapan penyusuan dan pelengkap yang betul bagi memastikan dia mendapat susu secukupnya. Jika kesemuanya baik. Ibu bapa tidak perlu risau.
Ibu bapa boleh mempraktikkan cara-cara berikut bagi meningkatkan kembali berat badannya. Perlu diingatkan bahawa pengambilan makanan yang berlemak oleh ibu tidak akan mempengaruhi berat badan bayi. Ikuti Perkongsian dari pakar Laktasi, Puan Ratzuraini Rahim;
Menyusu sekurang-kurangnya 2 jam sekali sepanjang hari dan pada waktu malam. Pastikan bayi menyusu dengan lebih kerap pada waktu malam kerana pada ketika itu, paras hormone prolactin adalah lebih tinggi dan penghasilan susu akhir (hindmilk) yang kaya dengan lemak dapat membantu pertambahan berat bayi
Jangan tukar payu dara dengan segera sebelum bayi mendapatkan hindmilk yang kaya dengan lemak penting untuk tumbesaran bayi. Bagi bayi yang mempunyai masalah kurang berat badan, puan boleh mengepam dahulu susu awal (foremilk) dan disimpan supaya semasa sesi penyusuan, bayi dapat lebih banyak hindmilk.
Banyakkan sentuhan kulit ke kulit apabila menyusukan bayi. Ia dapat menghilangkan stress dan mengeratkan hubungan anda berdua. Sentuhan kulit ke kulit juga dapat membantu meningkatkan berat badan bayi. Gunakan penggendong bayi untuk memudahkan sesi sentuhan kulit ke kulit.
Urut payudara perlahan-lahan ketika menyusu ia dapat membantu hindmilk yang kaya dengan kalori dikeluarkan dengan lebih efektif. Gunakan sebelah tangan untuk melakukan urutan perlahan-lahan dengan pergerakan ke bawah agar susu mengalir ke ductus dan seterusnya ke puting.
Sumber: Majalah Pa&Ma
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Gangguan jin Ummu Sibyan dikatakan sering berlaku ke atas bayi yang berusia bawah 2 tahun.
Elakkan bayi daripada kena gangguan jin ini yang biasanya akan menyebabkan si comel menangis tanpa henti dalam jangka masa panjang.
Puan Sarah Hussin yang berpengalaman melaluinya detik cemas tersebut bila bayinya menangis tanpa henti waktu malam tanpa mengetahui apa sebabnya.
Oleh itu dia berkongsi cara untuk elakkan bayi terkena gangguan serta langkah-langkah yang boleh diamalkan oleh ibu ayah untuk mengelakkan rumah dari gangguan syaitan.
ASSALAMUALAIKUM ibu-ibu semua. Ini kes anak saya, Safiyyah, beberapa bulan lepas. Semoga menjadi iktibar untuk kita semua.
Masa kejadian, Safiyyah tidur jam 8 malam. Selepas menidurkan anak, saya terus pergi ke dapur untuk makan. Baru saja nak suapkan nasi ke mulut, Safiyyah sudah merengek, kemudian menangis.
Terus saya pergi mendapatkan dia. Masa itu Safiyyah menangis tak buka mata, dalam hati sudah terdetik mesti ada sesuatu yang tak kena.
Safiyyah menangis dengan kuat pada masa itu. Dari saya cuba dukung, beralih ke suami, sehingga abang Iman agah-agah pun tak jalan juga. Dari jam 8.30 malam hingga 10 malam berterusan menangis.
Pada mulanya saya syak Safiyyah mungkin menangis disebabkan kembung perut. Disapu minyak angin di bahagian perut, kaki, betis dan tapak tangan. Tetapi Safiyyah masih begitu juga dan semakin kuat pula tangisannya.
Apa yang saya perasan pada masa itu, Safiyyah menangis dalam tidur, tanpa membuka mata. Bila saya cuba kejutkan dia, dia buka mata kemudian matanya ditutup semula. Ibarat Safiyyah mengantuk sangat-sangat.
Disebabkan kami semua sudah buntu pada masa itu, Rafi terus menghubungi mak dia dan ajak pergi berubat. Jam 10.30 malam, lalu di tempat yang agak gelap. Sepanjang jalan buka ayat Al-Quran. Tetapi semasa Safiyyah berada di dalam kereta, dia tak menangis pun, elok saja tidurnya.
Sampai di rumah Pakcik Hussin, baca ayat Al-Quran. Disapu badan Safiyyah dengan air yang dibacakan itu. Safiyyah memang sudah tidak menangis lagi.
Menurut Pakcik Hussin, ada ‘orang’ tarik-tarik kaki Safiyyah. Patutlah Safiyyah menangis tetapi kaki dia macam menendang-nendang seperti ada sesuatu di kakinya. Semasa saya pegang kaki Safiyyah pun tendang-tendang tangan saya.
Dalam otak terus terfikir, apalah yang saya sudah buat sehingga menyebabkan Safiyyah menjadi begitu? Baru saya teringat yang hari itu adalah hari Khamis, malam Jumaat.
Saya ada bawa Safiyyah berjalan-jalan di depan rumah. Masa itu hari tak elok, nak hujan dan angin kuat. Selepas itu abang Iman ajak main pop-pop di luar.
Semasa Iman bermain itu, jam 6.30 petang dan angin kuat. Saya leka duduk di luar rumah dengan angin yang kuat.
Maafkan mama, Safiyyah. Semasa menidurkan Safiyyah, saya lupa nak pasang ayat Al-Quran di sebelahnya. Rasa hari itu banyak sangat leka sampai semua benda terlupa nak buat. Maafkan mama Safiyyah.
Sebelum pulang, Pakcik Hussin berpesan yang ‘benda’ itu sudah tak ada tetapi dia tidak jamin kalau dalam perjalanan pulang nanti ‘benda’ itu datang balik. Berderau darah saya mendengar kata-katanya itu.
Selepas pulang, Safiyyah okey sahaja, dia menyusu sehingga tertidur. Tetapi pada jam 1 pagi, Safiyyah menangis lagi, sama seperti kejadian awal tadi.
Terus rasa seperti nak menangis pada masa itu. Banyak salah yang saya buat hari ini sehingga Safiyyah jadi begitu.
Saya terus ambil air yang diberi oleh Pakcik Hussin dan usap pada muka Safiyyah sambil selawat dan meminta perlindungan Allah. Alhamdulillah Safiyyah menangis sekejap sahaja.
Dan bila difikir-fikirkan, mungkin inilah yang selalu disebut-sebut orang iaitu Ummu Syibyan. Selama ini selalu baca tentang Ummu Syibyan tetapi tidak sangka boleh terkena pada Safiyyah. Memang kena ambil langkah berhati-hati selepas ini.
1. Lafazkan ASSALAMUALAIKUM DAN BISMALLAH sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. Begitu juga ketika menutup pintu apabila keluar dari rumah sebab syaitan yang memecahbelahkan keamanan keluarga sentiasa menunggu peluang untuk masuk ke kediaman kita.
Lebih bagus bagi salam setiap kali masuk ke mana-mana pintu kecuali bilik air sebab itu adalah tempat lepak syaitan. Jadi tak perlu beri salam, cuma kena baca doa meminta Allah melindungi kita dari gangguan syaitan.
2. Lazimi membaca dan memasang ayat suci Al-Quran dalam rumah.
3. Gunakan semua bilik yang ada dalam rumah. Jangan biar satu bilik kosong lama-lama.
4. Tutup tong sampah dan jangan biarkan sampah berterabur terutamanya tulang temulang sebab itu adalah makanan jin.
5. Sebelum maghrib, tutup semua pintu dan tingkap. Malam-malam elakkan buka pintu atau tingkap sebab angin malam tidak elok untuk tubuh badan. Kebiasaannya sihir dihantar menggunakan jin dan angin merupakan kenderaan jin.
6. Angkat pakaian di ampaian sebelum maghrib. Ini semua ada kaitan dengan sihir melalui angin. Sebab itu sesetengah alim ulama akan membasuh semula pakaian yang terdampar dpada waktu maghrib ke atas.
7. Kalau orang yang sedang tidur mengigau, sentuh dan kejutkan dia. Kejut dengan lembut, jangan secara kasar.
8. Tidur dalam keadaan mengiring ke kanan. Kalau tidur terlentang, letak bantal atas badan. Orang perempuan bila tidur, rambut kena letak bawah kepala, jangan lepaskan ke atas bantal.
9. Bagi rumah yang pintu-pintunya berhadapan dengan pintu-pintu lain, tutup salah satu pintu dan buka salah satu. Sebab pintu-pintu yang saling berhadapan boleh menjadi laluan makhluk halus. Kalau terlupa bagi salam semasa masuk rumah, keluar semula dan masuk balik dengan memberi salam.
10. Elakkan ketawa dan bersedih berlebihan.
11. ‘Pagar’ rumah setiap hari, baca ayat kursi dengan tujuh tempat wakaf dan tiup pada setiap penjuru bilik. Selalu baca surah Al-Baqarah.
12. Selalu alihkan barang-barang dalam rumah. Jaga suasana baik dalam rumah. Jangan buat perkara lalai sebab perkara-perkara seperti ini yang menarik perhatian makhluk halus.
Semoga Allah SWT melindungi kita semua dari gangguan syaitan laknatullah. Semoga menjadi iktibar pada kita semua.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Uyaina Arshad selamat bersalin anak ketiga apabila pengacara dan pelakon popular itu dikurniakan seorang bayi lelaki yang sihat, sekali gus menamatkan debaran selepas melalui...