Khabar duka yang pernah meruntun hati rakyat Malaysia suatu ketika dahulu, kini bertukar menjadi berita yang sarat dengan rasa syukur dan kegembiraan.

Setahun berlalu sejak pemergian bayi kecil bernama Muhammad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri, anak kepada pasangan Mejar (Ir) TS Mohd Fikry Amri Abd Halim dan isterinya Sabrina Hakiem Zaini. Luka di hati kedua ibu bapanya mungkin belum sepenuhnya sembuh, namun takdir Allah itu sungguh indah.

Hadiah Dari Allah Setelah Kehilangan Al Fateh

Setahun Selepas Pemergian Al Fateh, Tiga Puteri Hadir Indahnya Aturan Allah

Kini, pasangan tabah ini kembali tersenyum apabila dikurniakan tiga puteri comel, masing-masing dinamakan penuh makna  Maryam Al Lubna, Maryam Al Khawla dan Maryam Al Arwaa. Tiga nama indah yang menjadi lambang cinta, doa dan kekuatan setelah ujian yang begitu berat menimpa mereka.

Perkongsian yang dimuat naik oleh Mejar (Ir) TS Mohd Fikry Amri menerusi hantaran di Facebook semalam mengundang sebak dan senyuman serentak di hati warganet. Beliau  yang pernah menjadi tumpuan umum selepas tragedi kehilangan anak sulungnya, Al Fateh  kini menzahirkan rasa syukur atas kurniaan Allah SWT.

Syukur Atas Kurniaan Tiga Puteri

Setahun Selepas Pemergian Al Fateh, Tiga Puteri Hadir Indahnya Aturan Allah

Dalam coretannya yang penuh makna, beliau menulis:

Ads

“Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT. Patik berdua menjunjung kasih Tuanku di atas kurniaan tajaan IVF dan sokongan moral, jutaan terima kasih juga diucapkan kepada semua yang telah mendoakan untuk kesejahteraan kami.

Sukacita saya ingin memaklumkan isteri saya telah selamat melahirkan anak kembar tiga (triplet perempuan) secara czer pada hari Jumaat (24 Okt 2025) yang mulia ini tepat jam 9.40 pagi di Hospital Melaka. Isteri dan anak² saya semuanya dalam keadaan baik dan sihat. Alhamdulillah.

Tidak dilupakan juga ucapan terima kasih kepada semua doktor, jururawat dan staf Hospital Melaka yang telah melaksanakan tugas dan amanah selama 73 hari isteri saya berada di dalam wad untuk pemantauan hospital sehingga tiba saat untuk isteri saya melahirkan anak² kami. Semoga Allah SWT membalas jasa kalian dengan pahala berganda dan dijadikan asbab untuk kita semua masuk syurga tanpa hisab.”

Setahun Selepas Pemergian Al Fateh, Tiga Puteri Hadir Indahnya Aturan Allah

Dari Hari Air Mata Ke Hari Syukur

Bagi yang mengikuti perjalanan hidup mereka, nama Al Fateh pasti masih melekat di hati. Bayi kecil itu pergi menghadap Ilahi ketika baru beberapa bulan merasai kasih ibu dan ayah. Namun kini, hari Jumaat yang dahulu menjadi saksi kehilangan itu kembali membawa makna baru  hari Jumaat yang sama, tiga tangisan kecil menggantikan kesunyian yang pernah dirasai.

 

Setahun Selepas Pemergian Al Fateh, Tiga Puteri Hadir Indahnya Aturan Allah

“Al Fateh pasti tersenyum di taman syurga tengok mummy daddy dia sekarang ni. Rindu pada Al Fateh. Hari Jumaat Al Fateh dijemput menghadap PenciptaNya, Jumaat juga Allah hadirkan puteri² adik Al Fateh kepada kami. Perancangan Allah adalah yang terbaik. Syukur dengan nikmatNya. Rezeki berganda datang pelbagai cara. Jangan pernah jemu memohon pertolongan kepada Allah SWT.”

Hikmah Di Sebalik Takdir

Setahun Selepas Pemergian Al Fateh, Tiga Puteri Hadir Indahnya Aturan Allah

Kata-kata itu menusuk hati siapa saja yang membacanya. Ia bukan sekadar luahan gembira, tetapi juga pengakuan bahawa setiap takdir Allah itu, walau pahit, pasti membawa hikmah.

Ads

Jika dulu Jumaat menjadi hari air mata, kini Jumaat menjadi hari syukur. Tangisan pilu berganti dengan tangisan bahagia. Dari kehilangan seorang, Allah gantikan tiga. Dari ujian, lahirlah kekuatan.

Indahnya Aturan Allah

Ramai yang menzahirkan rasa syukur dan sebak di ruangan komen.

“Allahuakbar, sungguh indah aturan Allah. Al Fateh di syurga, dan kini Allah hadiahkan tiga puteri syurga di bumi.”

Kisah mereka menjadi bukti bahawa doa tidak pernah sia-sia. Walau 13 tahun menanti zuriat dan diuji dengan kehilangan, akhirnya Allah gantikan dengan rezeki yang berlipat ganda. Selama 73 hari si isteri bertarung di hospital demi memastikan tiga nyawa kecil itu selamat, akhirnya doa dan pengorbanan itu berbalas dengan keajaiban yang luar biasa.

Ads

Anugerah & Pengharapan Baru

Setahun Selepas Pemergian Al Fateh, Tiga Puteri Hadir Indahnya Aturan Allah
Kenangan bersama arwah Al Fateh

Kini, Maryam Al Lubna, Maryam Al Khawla dan Maryam Al Arwaa bukan sekadar pengganti, tetapi anugerah yang membawa harapan dan kekuatan baru buat pasangan ini.

Di akhir perkongsiannya, pasangan ini tidak lupa menulis tanda pagar yang pernah menjadi simbol perjuangan dan cinta abadi mereka:

Tanda yang menjadi ingatan bahawa kasih seorang ibu dan ayah itu tidak akan pernah luput, walau anaknya telah kembali ke syurga.

 Dari Ujian Ke Keindahan

Dari Jumaat yang menguji, kini Jumaat yang menggembirakan. Dari air mata duka, kini air mata syukur. Kisah pasangan ini mengingatkan kita bahawa setiap kehilangan bukan penamat, tetapi permulaan kepada sesuatu yang lebih indah.

Kerana bila tiba waktunya, Allah akan gantikan setiap air mata dengan senyuman, setiap luka dengan pelukan, dan setiap ujian dengan ganjaran yang tidak ternilai.

Sumber: FB Mejar (Ir) TS Mohd Fikry Amri

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads