
Rindu yang dipendam tanpa suara akhirnya menemui penghujung. Selepas 18 bulan terpisah akhirnya adik kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin kanak-kanak yang kini berusia enam tahun dipulangkan semula ke pangkuan bapanya, Zaim Ikhwan Zahari.
Sebelum ini dijaga oleh nenek saudara bersama pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selepas Mahkamah Majistret pada Jumaat memutuskan bahawa kanak-kanak ini dikembalikan kepada bapanya.
Menurut Sinar Harian, mendengar keputusan berkenaan, Zaim Ikhwan, 30, memeluk anak keduanya itu sambil diperhatikan ahli keluarga termasuk ibu bapa yang berusia 58 tahun, Zahari Mohd Reba dan Hasni Zakaria.
Kelihatan ceria didukung bapanya, kanak-kanak yang menghidap autisme itu pastinya rindu pelukan bapanya.
“Alhamdulillah, keputusan ini menjadi penguat semangat untuk kami terus berjuang,” kata Zaim Ikhwan ketika di luar mahkamah.
Dalam pada itu, peguam, Lavanesh Haresh Mahadevan yang mengendalikan kes pengabaian membabitkan ibu kanak-kanak autisme itu berkata, Majistret, Ameera Mastura Khamis memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan dibuat Zaim Ikhwan.
Bagaimanapun penyerahan penjagaan itu bersyarat dengan memenuhi 14 syarat yang dikemukakan pihak JKM.
“Antara syarat berkenaan ialah bapa kandung perlu memastikan kanak-kanak ini tidak ditinggalkan berseorangan tanpa pengawasan orang dewasa dan tiada kes penganiayaan atau pengabaian berlaku.
“Bapa kandung hendaklah memastikan kanak-kanak ini mendapat pendidikan dan terapi sewajarnya
“Mereka dikehendaki tinggal di alamat yang dinyatakan dalam perintah mahkamah namun jika mahu berpindah, perkara ini perlu dimaklumkan kepada JKM,” katanya.
Selain itu beliau berkata, kanak-kanak ini tidak boleh dijadikan bahan kandungan di media sosial.
Sekiranya bapa kandung melanggar salah satu syarat yang telah ditetapkan, beliau berkata, pihak pelindung JKM boleh mengambil kanak-kanak itu semula dan ditempatkan di institusinya.
Beliau berkata, permohonan berkenaan dibuat kerana Zaim Ikhwan telah dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 21 Julai lalu.
Menurut peguam berkenaan lagi, tiada sebarang keperluan untuk pihak JKM mengekalkan hak penjagaan sementara anak Zaim Ikhwan kepada keluarga saudara.
Dalam pada itu, kata-kata datuk kepada kanak-kanak itu begitu meruntun jiwa.
“Dia mesti merindui kasih sayang dan pelukan kedua ibu bapanya sejak ditempatkan di rumah saudara, 18 bulan yang lalu, “ ujar Zahari.
“Saya percaya, setiba di rumah kelak, dia mesti mencari ‘Mommy’ (Ismanira) malah sebelum ini, dia sering mencari kelibat Zayn Rayyan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, hak penjagaan sementara adik arwah diserahkan kepada nenek saudaranya bermula 9 Ogos 2024.
Sumber: Sinar Harian