
Kejadian menyayat hati seorang kanak-kanak yang terjatuh ke dalam tangki kumbahan baru-baru ini masih segar di ingatan. Pemergian Allahyarham Abdul Fatah Khairol Riza memberi kesedihan yang mendalam buat keluarga, malah turut menggores hati sahabat baiknya Qarnain.
Dalam kejadian tragis itu, arwah Abdul Fatah, 9 tahun, menghembuskan nafas terakhir selepas terjatuh ke dalam tangki septik di sebuah sekolah kebangsaan di Lenggeng, Sabtu lalu.
Di TikTok, perkongsian terbaru daripada Ayah Fattah menerusi akaun abifattah benar-benar meruntun jiwa warganet. Beliau memuat naik tiga gambar kenangan Abdul dan Qarnain di sekolah.
Lebih menyayat hati, Qarnain dikatakan setiap hari menziarahi pusara sahabatnya. Segala pemberian dan hadiah daripada Abdul disimpannya dengan penuh kasih tanda betapa kuatnya ikatan persahabatan yang tulus walaupun dipisahkan oleh ajal.
Menerusi perkongsian itu, sejak hari pertama Allahyarham Abdul Fatah Khairol Rizal dikebumikan, kelibat seorang sahabat baiknya dilihat tidak pernah jemu menziarahi pusara kecil itu.
Beberapa keping foto yang merakamkan rakan sekelasnya, Qarnain, setia mengunjungi kubur Abdul Fatah telah dikongsi oleh bapa arwah di media sosial.
Namun, gambar ketiga itulah yang paling menyentuh perasaan menggambarkan betapa akrabnya persahabatan mereka. Perkongsian itu nyata meruntun jiwa netizen, menyaksikan betapa dalamnya nilai persahabatan meskipun di usia sekecil itu.
Anak sekecil ini sudah mengajar kita sesuatu yang besar: bahawa persahabatan sejati lahir daripada hati yang bersih, tanpa syarat, dan penuh dengan kejujuran.
Kisah Abdul dan Qarnain ini wajar menjadi renungan untuk kita semua. Kasih sayang yang suci di usia kanak-kanak adalah cerminan nilai persahabatan sebenar. Moga Abdul ditempatkan di syurga, dan Qarnain membesar menjadi anak soleh yang membahagiakan keluarga.
Sumber: abifattah