Inspirasi

Kanak-Kanak 2 Tahun Ini Berjaya Namakan 30 Serangga Dalam Seminit, Cipta Nama Dalam Malaysia Book of Records

Share

Pada usia 2 tahun, kebanyakan kanak-kanak masih lagi tenggelam dalam dunia bermain berlari tanpa arah, ketawa tanpa sebab, dan belajar tentang dunia dengan cara mereka sendiri.

Namun, di sebalik dunia kecil yang penuh warna itu  ada anak-anak yang hadir dengan sesuatu yang luar biasa. Bukan untuk dibandingkan, tetapi untuk diraikan.

Shayan Ishaan Hari Haran adalah salah satunya. Bagi dirinya, hari itu hanyalah tentang kegembiraan peluang untuk ke taman permainan kegemarannya.

“Dia sangat teruja sebab memang suka pergi sana,” kata ibunya, Harathi Dorairaja.

Shayan Berusia 2 Tahun Pahat Nama Dalam Buku Rekod Malaysia

Apa yang Shayan sendiri tidak sedar, dia sebenarnya sedang mencipta sejarah mencuba untuk memecahkan rekod dengan menamakan 30 jenis serangga dalam masa 60 saat di bawah pengiktirafan Malaysia Book of Records.

“Saya cakap dekat dia, ‘Shayan, kena cepat macam Super Mario!’ Dan kalau tak berjaya pun, tetap dapat gula-gula jelly,” kongsi ibunya.

“Dia cuma jawab, ‘Okay, Mama.’ Dia rileks je – tapi saya sendiri malam sebelum tu tak tidur sebab risau!”

Latihan dan Kejayaan Luar Biasa

Perjalanan kecil ini bukan berlaku dalam sehari. Selama tiga bulan, Shayan didedahkan dengan ratusan gambar serangga dan belajar mengenali nama-nama yang jarang diketahui oleh kanak-kanak seusianya.

Minat mendalam terhadap dunia serangga menjadikan Shayan Ishaan serangga satu fenomena unik dalam kalangan kanak-kanak.

Saat percubaan dilakukan, suasana penuh debarannamu  Shayan kekal tenang.

“Awak tak percaya, dia cuma ambil dua saat setiap gambar, dan sebut semua serangga dengan tepat,” kata Harathi.

“Rekod sebelum ini cuma 25. Dia dapat 30 dan dia nak teruskan lagi!”

Hanya satu percubaan diperlukan untuk mengesahkan pencapaian itu. Bagi seorang ibu, momen itu bukan sekadar rekod—tetapi sesuatu yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

“Saya terharu sangat. Badan saya sampai terketar-ketar,” katanya.

“Dia tahu dia buat sesuatu yang istimewa dan tak sabar nak beritahu nenek dan datuknya.”

Membesar Dengan Rasa Ingin Tahu

Di rumah mereka di Sendayan, Shayan tetap seperti kanak-kanak lain—aktif, ceria, dan penuh imaginasi. Namun, ada satu perkara yang membezakan dirinya: rasa ingin tahu yang tinggi.

Minatnya terhadap haiwan sudah dapat dilihat sejak awal, menjadikan Shayan Ishaan  satu kisah inspirasi yang unik.

“Pernah satu ketika, dia betulkan saya serangga yang saya panggil capung sebenarnya damselfly,” kata Harathi.

“Saya semak, memang betul. Saya terus minta maaf dekat dia.”

Pembelajaran bagi Shayan tidak terhad kepada buku semata-mata. Ia berlaku di mana-mana—melalui kartun, aplikasi, dan juga pengalaman seharian.

Namun, yang paling penting  dia masih seorang anak kecil yang bebas bermain.

“Dia habiskan masa di taman permainan, berbasikal, berenang, dan main gusti dengan ayahnya,” kongsi ibunya.

“Dia juga suka kereta mainan, koleksinya memang banyak.”

Dan di sebalik semua itu, ada momen kecil yang lebih bernilai daripada sebarang rekod.

“Setiap pagi dia peluk saya dan kata, ‘Good morning, Mama, you are my sunshine.’ Itu sangat istimewa.”

Lebih Dari Sekadar Pencapaian

Kisah ini bukan sekadar tentang seorang kanak-kanak yang mencipta rekod. Kisah Shayan Ishaan ini menunjukkan bagaimana minat kecil yang dipelihara dengan baik boleh berkembang menjadi sesuatu yang besar.

“Ada yang risau kalau anak suka muzik, terus cuba alihkan minat mereka ke benda lain,” kata Harathi.

“Tapi minat boleh berubah. Yang penting jangan patahkan semangat mereka.”

Akhirnya, bagi Shayan ganjaran yang paling dinantikan tetap sederhana. Lawatan ke taman permainan. Kerana bagi seorang anak berusia dua tahun itulah dunia yang sebenar. Dan mungkin, di situlah juga bermulanya sebuah kisah luar biasa.

Sumber: FMT

Published by
Nor Yusoff