Bukan biasa-biasa. Kemahiran anak kecil ini yang cukup mahir memasak di dapur sememangnya patut diberikan pujian ramai.
Bukan memasak menu biasa, bahkan anak kecil yang berusia enam tahun ini gemar turun ke dapur memasak menu apa sahaja yang disukainya.
Menerusi akaun Tik Tok ibunya, @syatirahabdullah, banyak video memasak yang turut dikongsikan malah amat menarik perhatian ramai.
“Siapa suruh bagi anak involve dengan kerja rumah dari dia kecik.
Ads
“Kan hari ni dia ambil order bonda babah nak makan apa,” tulisnya menerusi video yang dikongsikan.
Apa yang menarik perhatian pastinya kecekapan adik berusia enam tahun ini yang langsung tidak kekok mengendalikan peralatan di dapur dan sering untuk mencuba pelbagai resipi.
Bahkan anak kecil ini tetap membuka pesanan dari ibu dan ayahnya untuk dimasak. Bukan calang-calang.
Ads
Gaya anak kecil ini memasak hidangan menu kue tiaw goreng buat kedua orang tuanya amat menarik perhatian. Nampak sedap. Antara hidangan yang sudah pun dicuba anak kecil ini termasuklah menu kue tiaw goreng, tempe, tauhu dan sebagainya.
Wargayamaya turut meninggalkan pelbagai komen malah memuji bakat anak kecil ini yang gemar memasak.
Pendidikan tinggi sentiasa menjadi tonggak utama dalam membentuk masa depan negara. Dalam memastikan tiada pelajar tercicir dan setiap anak muda berpeluang mengejar ilmu tanpa terbeban kewangan, Kerajaan terus memperkukuh inisiatif bantuan pendidikan melalui Belanjawan 2026.
Pengumuman yang dibuat oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, jelas memperlihatkan keprihatinan terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan usaha berterusan ke arah kelestarian pendidikan tinggi negara.
Pembentangan Belanjawan 2026 bertemakan Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 10 Oktober 2025 (Jumaat) akan memberikan manfaat kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), PTPTN menyambut baik pengumuman inisiatif-inisiatif di bawah Belanjawan 2026 dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta terima kasih kepada Kerajaan atas keprihatinan terhadap kebajikan peminjam dan pelajar. Inisiatif yang diumumkan adalah seperti berikut: i. Pendidikan percuma PTPTN melibatkan 5,800 anak-anak keluarga miskin yang mengikuti pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dengan peruntukan RM120 juta setahun; ii. Pengecualian bayaran balik PTPTN kepada semua mahasiswa yang perolehi Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama di IPTA dari keluarga pendapatan rendah dan menengah. Ini memberi manfaat sekitar 6,000 peminjam dengan peruntukan RM90 juta setahun; dan iii. Sekatan perjalanan ke luar negara kepada peminjam yang mampu bayar dan bekerja di luar negara tetapi culas membuat bayaran balik.
Kerajaan sentiasa prihatin terhadap kebajikan pelajar daripada keluarga miskin. Selaras dengan komitmen memastikan akses pendidikan tinggi yang inklusif, pinjaman PTPTN kepada pelajar daripada keluarga miskin dan miskin tegar berdasarkan data e-Kasih yang melanjutkan pengajian di IPTA akan ditukar kepada biasiswa bermula tahun 2026. Langkah ini diharap dapat meringankan beban kewangan pelajar dan memberi ruang kepada mereka untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajian.
Kerajaan juga terus menitikberatkan usaha melahirkan graduan berkualiti tinggi di Malaysia. Sehubungan itu, pelajar digalakkan untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajian dan mencapai kecemerlangan akademik. Sebagai penghargaan kepada mereka yang berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA), Kerajaan memberikan pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN untuk peminjam berpendapatan B40 dan M40.
Pada masa yang sama, Kerajaan menekankan kepentingan kelestarian dana PTPTN demi memastikan generasi masa depan turut berpeluang menikmati kemudahan pembiayaan pendidikan tinggi. PTPTN merupakan kemudahan pinjaman yang perlu dilunaskan semula bagi menjamin kesinambungan dana kepada peminjam baharu. Oleh itu, sekatan perjalanan ke luar negara akan dilaksanakan secara bersasar kepada peminjam PTPTN yang mempunyai tunggakan.
Inisiatif yang diumumkan ini mencerminkan semangat pembaharuan nasional dan komitmen Kerajaan dalam melaksanakan agenda Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat serta kelestarian pendidikan negara. Perincian lanjut berkenaan pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini akan diumumkan oleh PTPTN dalam masa terdekat.
Langkah-langkah yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 ini bukan sahaja memberi kelegaan kepada ribuan pelajar dan peminjam, malah menunjukkan keikhlasan kerajaan dalam memperkukuh masa depan pendidikan negara.
Dengan bantuan yang disasarkan dan keutamaan kepada keluarga berpendapatan rendah serta sederhana, setiap pelajar kini berpeluang menamatkan pengajian tanpa dibelenggu beban hutang. Dalam masa yang sama, komitmen terhadap pembayaran balik pinjaman kekal penting untuk menjamin kesinambungan dana bagi generasi pelajar akan datang.
Belanjawan 2026 bukan sekadar angka dalam helaian bajet tetapi ia adalah harapan baru buat anak muda Malaysia untuk terus melangkah dengan yakin, membina masa depan yang lebih cerah melalui pendidikan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tip ajar anak umur 2 tahun bebas pakai lampin, boleh cuba cara ahli terapi cara kerja ini kongsi. Bukan mudah sebenarnya mengajar dan melatih anak-anak untuk bebas memakai lampin. Kesabaran yang tinggi amat diperlukan bagi memastikan anak-anak berjaya melakukannya dengan baik.
Tidak dapat dinafikan memang agak mencabar melatih anak-anak ‘melupakan’ lampin tidak kiralah lampin kain atau pun lampin pakai buang. Tidak semua anak-anak boleh melalui fasa latihan ini dengan cepat.
Ada banyak kebaikan kepada anak-anak yang sudah tidak lagi memakai lampin. Satu fasa penting dalam proses perkembangan anak-anak adalah latihan ke tandas. Perkembangan emosi dan sosial mereka akan menjadi lebih baik.
Hasil kajian yang telah diterbitkan di dalam Journal of Pediatric Urology pada tahun 2002, kebanyakan anak yang lewat bebas lampin akan meningkatkan risiko mendapat masalah mengawal pundi kencing. Untuk kesan jangka panjang pula mereka berisiko mengalami masalah usus.
Selalunya ibu bapa sudah boleh mula mengajar anak bebas lampin pada umur 2 hingga 3 tahun. Ada juga anak yang sudah menunjukkan kebolehan bebas lampin seawal 18 bulan. Untuk mengelakkan kejadian lantai basah, tilam basah atau bau hancing seluruh rumah, lebih baik ibu bapa tahu dahulu tanda-tanda anak sudah bersedia untuk bebas lampin:
1. Boleh duduk, berdiri dan melangkah anak tangga di tandas dengan sendiri.
2. Mempunyai skil motor dan koordinasi yang baik untuk membuka pintu sendiri.
3. Berminat untuk ke tandas dan proses di dalam tandas (duduk, ambil paip air atau tisu, flush)
4. Mahu mengikut sesiapa sahaja ke tandas untuk melihat proses di tandas.
5. Sudah mempunyai keupayaan untuk menahan kencing atau berak selama lebih kurang 2 jam.
6. Sudah pandai maklumkan mak ayah dengan bahasa tubuh atau beritahu nak “iyak”/ ‘pupu” atau ‘kencing/cing”.
7. Tidak minat lagi memakai lampin dan mahu membuka sendiri lampin selepas ‘membuang.’
8. Pandai mengikut arahan.
9. Mempunyai masa yang sama untuk ‘membuang’ seperti selepas bangun tidur atau selepas makan.
Tanda-tanda di atas juga boleh digunapakai untuk anak berkeperluan khas, cuma umur sahaja berbeza. Jika anak mempunyai tanda di atas, sudah tiba masanya ibu bapa mengajar anak-anak bebas daripada memakai lampin.
Ada banyak sangat cara untuk mengajar anak bebas lampin. Kalau ikut cara orang dulu-dulu ada yang buka sahaja baju anak. Jika hendak ‘membuang’ wajib beri tahu jika tidak, mereka akan didenda. Hasilnya dalam sehari dua, anak-anak tidak perlu lagi memakai lampin.
Berikut teknik yang selalu digunakan oleh ahli terapi cara kerja untuk anak berkeperluan khas, tetapi diolah sedikit untuk anak yang tipikal.
1. Pilih sama ada hendak melatih anak menggunakan tandas terus ataupun guna ‘potty’.
Kedua-duanya ada kebaikan dan keburukan. Jika ibu bapa rajin gunalah ‘potty’ mungkin agak kurang menyeramkan untuk anak, mudah dibawa dan selamat. Kalau malas hendak membasuh, gunalah tandas terus. Kalau ada duit lebih, belilah tempat duduk tandas kecil yang dilengkapi tangga.
2. Latih anak menggunakan bahasa tubuh seperti pegang perut sambil cakap “berak/iyak”, “kencing/cing”, “pee/poopoo”. Pilihlah satu perkataan paling sesuai dan sebut setiap kali menukar lampin. Tunjukkan najis pada anak setiap kali anak ‘membuang’ dalam lampin.
3. Cerita sosial (Social Story)
Ceritakan kenapa kita ke tandas, apa yang dilakukan, proses di tandas dan sebagainya. Ibu bapa boleh juga cerita dengan memggunakan patung kesukaan. Contohnya,
“Setiap pagi, selepas Didi bangun tidur. Didi akan pergi tandas untuk “iyak/poopoo”. Mula-mula Didi buka seluar, duduk di atas tandas dan meneran (sambil buat muka meneran). Abang nak jadi macam Didi tak?” Ibu bapa boleh bercerita mengikut kretiviti masing-masing sambil membuat ekspresi muka bagi menarik perhatian anak.
4. Perhatikan tingkahlaku anak sebelum ‘membuang’ contohnya resah gelisah, ke hulu k ehilir, menyorok di belakang almari atau duduk di sudut bilik.
5. Catat masa setiap kali anak ‘membuang’ selama seminggu sebelum latih anak. Selalunya anak sudah ada pola masa yang sama seperti waktu pagi selepas bangun tidur, tengahari selepas makan dan sebagainya.
6. Pastikan anak makan makanan berserat seperti buah dan sayur dengan mencukupi. Proses melatih jadi lebih sukar sekiranya anak sembelit.
7. Pakaikan lampin jenis seluar (diaper pant) dan seluar bergetah yang longgar supaya mudah untuk dibuka.
Semua tip ini boleh mula dilakukan ketika umur anak setahun ke atas sebagai persediaan bebas lampin.
Ibu bapa boleh melatih anak bebas memakai lampin apabila sudah ada jadual masa, potty dan seluar dalam anak. Berikut langkah-langkah yang boleh dilakukan.
Tahap pertama (masih memakai lampin)
1. Bawa anak ke tandas 10 minit sebelum sebelum jadual pola masa, terutamanya sejurus selepas bangun tidur, selepas makan dan sebelum tidur. Boleh juga bawa setiap 2 jam. Lebih kerap lagi bagus.
2. Tekan sedikit di bahagian pundi kencing di bahagian bawah perut anak semasa duduk di tandas dan ajar anak untuk meneran.
3. Puji anak setiap kali anak berjaya ‘membuang’ di dalam tandas.
4. Jika anak terlepas ‘membuang’ di dalam lampin, tunjukkan lampin basah kepada anak sambil menegaskan tidak boleh ‘membuang’ dalam lampin
5. Disarankan ibu bapa untuk fokus dan melatih anak-anak secara berterusan selama lebih kurang seminggu.
Tahap Dua (pakai waktu tidur sahaja)
1. Ibu bapa boleh mula pakaikan anak seluar dalam kesukaan mereka untuk menggantikan lampin.
2. Pakaikan lampin waktu tidur siang dan tidur malam sahaja.
3. Tunjuk anak lampin basah sekiranya dia terlepas.
4. Bawa anak ke tandas sejurus bangun tidur. Jadikan rutin harian.
Tahap Tiga (100% bebas lampin)
1. Boleh mula kurangkan memakai lampin pada waktu malam.
2. Letak alas katil kalis air supaya katil tidak tercemar dengan bau hancing.
Kunci utama untuk berjaya adalah kerapkan memuji anak. Pokok pun boleh mati kalau setiap hari kita datang marah-marah. Sabar, jangan terlalu memarahi anak sekiranya lambat kerana hendak berjaya perlukan masa, bukannya sekali ajar sudah pandai.
Ada yang seminggu sudah berjaya, ada yang sebulan malah ada yang setahun baru berjaya. Latihan ini perlu berterusan barulah cepat nampak kesannya. Kalau skip sehari buat, esok malas, mula balik tahun depan maka bertahunlah jawabnya.
Ketika melatih anak bebas lampin, jangan lupa untuk melatih skil urus diri seperti pakai baju dan seluar. Tak adalah sampai umur 6 tahun masih lagi ibu baoa perlu bukakan seluar dan jirus setiap kali anak hendak membuang,
Satu kebanggaan kita rakyat Malaysia. Pelajar perakaunan di peringkat asasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Ahmad Nur Iman Ahmad Fauzi, 19 menjadi kebanggaan apabila menjadi pelajar terbaik negara dan ketiga dunia dalam Merekod Transaksi Kewangan FA1 pada peperiksaan ACCA sesi Mac lalu.
Kejayaan luar biasa ini bukan sahaja membanggakan dirinya, malah turut membanggakan ibu bapa, pensyarah, universiti dan negeri asalnya, Terengganu.
Ahmad Nur Iman, anak sulung daripada empat beradik ini, membuktikan bahawa tiada yang mustahil dengan kesungguhan. Dia yang berasal dari Kampung Telaga, Hulu Terengganu dan kini pelajar dalam bidang perakaunan di peringkat asasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, tidak menyangka sama sekali impian kecilnya untuk belajar bersungguh-sungguh mampu melonjakkan namanya di persada dunia.
“Ketika mula-mula buka e-mel daripada Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) untuk melihat keputusan itu, saya baca berkali-kali untuk pastikan saya tidak salah faham,” ujarnya kepada K-Kampus.
Sejak kecil, Ahmad Nur Iman sudah menunjukkan minat mendalam terhadap subjek berkaitan pengiraan seperti Matematik dan Matematik Tambahan.
Berbekalkan keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau memilih laluan dalam bidang perakaunan di UiTM dan terus mengorak langkah menimba ilmu dalam ACCA, kelayakan profesional perakaunan bertaraf global.
Menurut Ahmad Nur Iman, pengurusan masa yang baik, membuat nota ringkas, konsisten dalam pelajaran, serta banyak berlatih dengan soalan lepas menjadi kunci utama.
Beliau juga menekankan pentingnya berani bertanya dan berkongsi ilmu dengan rakan-rakan.
Tidak dilupakan, doa dan tawakal sentiasa menjadi pelengkap usahanya sebagai seorang Muslim.
Anak muda ini berkongsi lanjut, bahawa bercita-cita menjadi akauntan bertauliah dan berharap dapat berkhidmat di firma audit antarabangsa atau syarikat korporat terkemuka.
Impian lebih besar penerima biasiswa Yayasan Terengganu (Asasi Perakaunan) itu adalah memiliki firma perakaunan sendiri yang boleh membantu graduan baharu mendapatkan pekerjaan dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Terangnya, ACCA tidak membawa gelaran ijazah, tetapi memberikan kelayakan profesional bertaraf antarabangsa.
“Selepas melengkapkan semua kertas dan pengalaman kerja, saya layak bergelar Chartered Certified Accountant dan dapat menggunakan huruf ACCA di belakang nama saya.
“Dengan adanya kelayakan profesional ini, saya ingin memantapkan lagi diri dan memperluaskan pilihan kerjaya di peringkat global,” katanya.
Untuk makluman, ACCA merupakan kelayakan profesional perakaunan yang diiktiraf di peringkat global. Di Malaysia, ia dikawal selia dan diiktiraf sebagai program profesional setara tahap sarjana muda apabila berjaya melengkapkan semua kertas.
Di United Kingdom, taraf ACCA secara rasmi diiktiraf sebagai kelayakan profesional perakaunan dan setara dengan peringkat Sarjana (Master’s Degree).
Sumber: Kosmo!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!