Kesihatan

Simptom Disleksia Pada Anak: Tanda Awal Yang Ibu Ayah Perlu Ambil Serius

Share

Anak susah membaca dan menulis walaupun dah belajar? Ibu ayah perlu kenali simptom Disleksia kerana keadaan ini bukan berpunca daripada sikap malas atau kurang usaha anak, sebaliknya melibatkan perbezaan cara otak mereka memproses maklumat.

Ramai ibu bapa berasa buntu apabila melihat anak sudah belajar bersungguh-sungguh, diulang ajar berkali-kali, namun masih gagal menguasai kemahiran asas seperti membaca, menulis atau mengeja. Hakikat yang perlu diterima, ada anak yang belajar dengan cara berbeza dan mereka memerlukan pendekatan yang sesuai.

Gambar Hiasan AI

Apa Itu Disleksia?

Disleksia ialah sejenis masalah pembelajaran khusus yang menjejaskan keupayaan kanak-kanak untuk membaca, menulis, mengeja dan mengira walaupun mereka:

  • Mempunyai tahap intelektual yang normal
  • Telah menerima rangsangan pembelajaran yang mencukupi
  • Berusaha keras dalam pembelajaran

Masalah utama Disleksia adalah perbezaan cara otak menghubungkan simbol visual seperti huruf dan nombor dengan bunyi, menyebabkan proses pembelajaran menjadi lebih mencabar.

Dianggarkan sekitar 4 hingga 8 peratus pelajar sekolah mengalami Disleksia, dan kanak-kanak lelaki didapati lebih ramai mengalaminya berbanding kanak-kanak perempuan.

Gambar Hiasan AI

Simptom Disleksia Seawal Peringkat Prasekolah

Ibu bapa digalakkan peka terhadap simptom Disleksia sejak usia prasekolah. Antara tanda awal yang boleh diperhatikan termasuk:

  • Lambat bercakap atau pelat
  • Sukar menyebut perkataan dengan jelas
  • Sukar menulis nama sendiri
  • Payah mengenal bentuk atau warna
  • Sukar menceritakan kembali perkara yang telah didengari

Walaupun tanda ini kelihatan kecil, ia tidak wajar dipandang remeh jika berlaku secara berterusan.

Simptom Disleksia Apabila Anak Bersekolah

Apabila melangkah ke alam persekolahan, simptom Disleksia biasanya menjadi lebih ketara. Antara yang sering berlaku ialah:

  • Sukar menguasai membaca, menulis, mengeja atau mengira
  • Tidak suka membaca dan sering mengelak apabila diminta membaca di kelas
  • Keliru membaca huruf, perkataan atau nombor seperti 15 dibaca sebagai 51
  • Perkataan “was” dibaca sebagai “saw”
  • Huruf ‘b’ dan ‘d’ sering tertukar
  • Kurang koordinasi motor halus seperti sukar mengikat tali kasut
  • Keliru dengan konsep masa seperti ‘semalam’, ‘hari ini’ dan ‘esok’
  • Sukar memahami dan mengikuti arahan
  • Kerap kehilangan barang atau kerja sekolah

Disleksia Bukan Halangan Untuk Berjaya

Penting untuk ibu bapa tahu, Disleksia bukan petanda anak tidak bijak. Ramai tokoh terkenal dunia dikenal pasti mempunyai Disleksia seperti Albert Einstein, Leonardo da Vinci, Whoopi Goldberg dan Lee Kuan Yew.

Kebanyakan kanak-kanak Disleksia memiliki kelebihan tersendiri seperti:

  • Daya imaginasi yang tinggi
  • Tahap kreativiti luar biasa
  • Kebolehan berfikir di luar kotak
  • Kemahiran tangan atau kecemerlangan dalam bidang sukan

Potensi mereka boleh berkembang dengan sokongan yang betul.

Gambar Hiasan AI

Risiko Jika Disleksia Tidak Dikesan Awal

Jika simptom Disleksia tidak dikenal pasti lebih awal, kanak-kanak berisiko:

  • Disalah label sebagai malas atau lembab
  • Mengalami masalah emosi seperti rendah diri dan kemurungan
  • Menunjukkan tingkah laku memberontak
  • Mencatat pencapaian akademik rendah hingga keciciran sekolah

Bagaimana Ibu Bapa Boleh Membantu Anak Disleksia?

Langkah paling penting ialah memahami keadaan anak dan membina keyakinan diri mereka. Antara pendekatan yang disarankan termasuk:

  • Memberi sokongan emosi dan mengelakkan kata-kata negatif
  • Mengenal pasti gangguan berkaitan seperti Gangguan Hiperaktif dan Kurang Tumpuan (ADHD)
  • Menggunakan pendekatan pembelajaran pelbagai deria

Antara kaedah yang berkesan ialah sentuhan (melakar huruf di atas kertas pasir), pendengaran (bunyi dan pengulangan), serta pergerakan bibir dan latihan menulis secara berulang.

Selain itu, terdapat Program Pendidikan Khas Integrasi di sekolah terpilih bagi membantu kanak-kanak Disleksia mengikuti pembelajaran mengikut keupayaan mereka.

Pesanan Buat Ibu Bapa

Anak Disleksia bukan gagal. Mereka cuma memerlukan masa, kefahaman dan pendekatan yang sesuai. Dengan intervensi awal dan sokongan berterusan, setiap anak berpeluang untuk berjaya mengikut potensi masing-masing.

BACA LAGI : Bila Bacaan Menjadi Cabaran: Fahami Disleksia Sebelum Menghakimi

Kredit: My Health Portal

Published by
Nana