Kenali Sindrom Asperger, Anak High-Functioning Autism, Kisah Inspirasi Greta Thunberg & Muhammad Umair

Share

Dalam dunia keibubapaan moden, bila sebut tentang Sindrom Asperger, ramai ibu bapa terus terbayang anak yang tidak pandai bercakap, suka menyendiri atau sukar dikawal emosi. Tapi tahukah anda, spektrum autism itu sangat luas?

Di hujung spektrum itu, ada satu kategori yang dipanggil Sindrom Asperger iaitu sejenis high-functioning autism yang sering disalah anggap sebagai “anak pelik” atau “anak terlalu genius tapi tak pandai berkawan”.

Kanak-kanak dengan sindrom ini memiliki tahap intelektual normal atau tinggi, namun berbeza dari segi cara berkomunikasi, memahami emosi orang lain dan menyesuaikan diri dalam situasi sosial.

Bagaimana Nak Kenal Ciri-Ciri Sindrom Asperger?

Bagi ibu ayah yang ada anak kecil (usia 0–6 tahun), tanda-tanda Sindrom Asperger kadang nampak halus dan mudah terlepas pandang. Antara ciri yang boleh diperhatikan ialah:

  • Anak lebih suka bermain sendiri, tidak tertarik untuk berkongsi mainan atau bermain secara bergilir.
  • Kurang eye contact bila bercakap, nampak seolah-olah ‘dalam dunia sendiri’.
  • Sangat obses pada minat tertentu — contohnya dinosaur, angka, planet atau mesin.
  • Suka pada rutin yang tetap, jadi cepat marah bila jadual berubah.
  • Nada suara datar atau gaya percakapan seperti orang dewasa bila berbicara tentang minatnya.
  • Kadang-kadang nampak bijak luar biasa dalam bidang tertentu, tapi sukar faham perasaan orang lain.

Walaupun begitu, anak dengan Sindrom Asperger sebenarnya mempunyai kelebihan luar biasa — daya fokus tinggi, pemikiran logik yang tajam dan kebolehan menyelesaikan masalah dengan cara yang kreatif. Mereka cuma melihat dunia dengan perspektif yang berbeza.

Greta Thunberg: ‘Superpower’ Gadis Asperger Dari Sweden

Salah satu contoh terbaik ialah Greta Thunberg, gadis dari Sweden yang kini dikenali di seluruh dunia kerana perjuangannya menyelamatkan bumi. Greta ialah seorang aktivis alam sekitar dan juga ahli pasukan Global Sumud Flotilla (GSF)  kumpulan aktivis antarabangsa yang lantang memperjuangkan kemanusiaan dan keadilan untuk Palestin.

Greta didiagnosis dengan Sindrom Asperger sewaktu remaja. Dia sendiri mengakui, sindrom itu bukan kelemahan  malah disebut sebagai “superpower” yang memberinya keupayaan fokus tinggi dan kejujuran mutlak terhadap kebenaran.

Bagi Greta, dia tidak mampu berpura-pura. Bila dia nampak ketidakadilan atau kemusnahan alam, dia bercakap dan bertindak  tanpa peduli pandangan orang lain. Keberaniannya membuktikan bahawa autisme bukan penghalang untuk mencipta perubahan besar.

Muhammad Umair: Remaja Autistik Yang Berjiwa Gaza

Baru berusia 15 tahun, namun nama Muhammad Umair Alwi Shahrul Nizam mula tular apabila menyatakan hasrat untuk menyertai misi kemanusiaan ke Gaza, Palestin.

Menurut laporan Harian Metro, di sebalik wajah tenangnya, Umair sebenarnya menghidap Autism Spectrum Disorder (ASD) tahap ringan serta ADHD  namun dalam masa sama mempunyai IQ yang tinggi.

Ibunya, Fatimah Muzaffar, berkongsi bahawa Umair sudah menunjukkan tanda luar biasa sejak kecil. Pada usia dua tahun, dia mampu menyusun ratusan kepingan puzzle, dan ketika empat tahun, minatnya terhadap astronomi mula terserlah.

Bukan itu saja, Umair pernah menjuarai pelbagai pertandingan dan menghasilkan lukisan 3D menggunakan teknologi komputer, dimuat naik ke YouTube hingga menjana pendapatan sendiri. Namun, yang paling menyentuh hati ialah cara dia menggunakan pendapatan itu untuk tujuan amal disalurkan kepada NGO antarabangsa bagi membantu penduduk Gaza.

‘Saya Tak Takut Mati’ – Umair

Ibunya menceritakan, baru-baru ini Umair meluahkan rasa kagum melihat aktivis GSF termasuk Greta Thunberg yang berani ke Palestin. Apabila ditanya, “Kalau Umair diberi peluang, nak pergi ke Gaza tak?”  Umair menjawab, “Nak.”

Lalu ibunya bertanya lagi, “Umair tak takut mati?” Jawapan Umair tenang, tapi menikam kalbu: “Tak.”

Menurut ibunya, anak autistik seperti Umair ini hatinya lurus, polos dan tidak terikat dengan cinta dunia. Dia tidak mengimpikan barangan mewah, malah hasil pendapatannya banyak disalurkan kepada adik-adik dan kerja amal.

Fatimah akui reda sekiranya suatu masa nanti anaknya memilih untuk syahid di jalan Allah.

EKSTRA 1: Apa Ibu Ayah Boleh Belajar Dari Kisah Ini

Kisah Umair dan Greta mengajar kita satu perkara penting — bahawa setiap anak dilahirkan dengan potensi tersendiri. Sebagai ibu ayah, kita perlu belajar melihat di sebalik ‘kelainan’ itu dan bantu anak menyerlahkan keistimewaan mereka.

Berikut beberapa tip berguna untuk ibu bapa yang mungkin sedang membesarkan anak dengan ciri Sindrom Asperger:

  • Belajar Faham Dunia Anak: Anak Asperger bukan degil, tapi mereka melihat dunia dengan cara tersendiri. Bila kita faham cara mereka berfikir, kita lebih mudah berkomunikasi dengan mereka.
  • Gunakan Bahasa Jelas dan Ringkas: Mereka sukar faham kiasan atau sindiran. Jadi, gunakan ayat terus terang dan ringkas bila memberi arahan.
  • Kekalkan Rutin Harian: Rutin beri rasa selamat dan stabil. Cuba elak perubahan mendadak tanpa beri mereka masa untuk bersedia.
  • Galakkan Minat Anak: Jika mereka minat planet, robot atau muzik — sokong! Minat itulah pintu kepada potensi luar biasa mereka.
  • Ajarkan Empati Dengan Perlahan: Anak Asperger boleh belajar memahami perasaan orang lain, tapi perlu panduan. Gunakan cerita atau situasi sebenar untuk bantu mereka faham emosi.
  • Beri Sokongan Emosi Pada Diri Sendiri: Membesarkan anak istimewa perlukan tenaga dan kesabaran. Ibu ayah juga perlu rehat, ruang dan sokongan komuniti supaya tidak burnout.

myata, setiap anak adalah istimewa, cuma cara mereka menzahirkan potensi itu berbeza. Kadang-kadang, anak yang kelihatan “lain” itulah yang mampu ubah dunia dengan cara mereka sendiri.

Greta melawan demi bumi. Umair berjuang demi Gaza. Dan mungkin, anak kecil di rumah anda juga sedang membina kekuatan yang belum kita nampak hari ini. Yang penting  lihat dengan mata kasih, bukan mata perbandingan.

 

 

 

Published by
Nor Yusoff