
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Pelakon dan pengacara terkenal, Shah Iskandar, berkongsi berita duka di Instagram apabila isterinya, Siti Sarah Mohd Noor, kini sedang melalui proses pengguguran selepas bayi dalam kandungan mereka disahkan menghidap Sindrom Edwards.
Dalam perkongsian penuh sebak itu, Shah mengakui keputusan tersebut antara yang paling sukar dalam hidup mereka sebagai suami isteri. Namun atas nasihat doktor, mereka terpaksa akur bahawa prosedur itu perlu dilakukan demi keselamatan isteri tersayang yang baru sahaja menjalani pembedahan Caesarean lapan bulan lalu.
Menurut Shah, isterinya kini hamil 16 minggu anak ketiga, namun bayi mereka telah dikesan menghidap Sindrom Edwards, atau dikenali sebagai trisomi 18 keadaan genetik apabila terdapat lebihan kromosom yang memberi kesan besar kepada perkembangan bayi.
“Lapisan di belakang leher bayi menunjukkan ketebalan 4.8 sentimeter. Doktor menasihatkan supaya proses kelahiran diinduksi lebih awal dan kandungan digugurkan kerana menunggu lebih lama boleh mendatangkan risiko berbahaya kepada Sarah,” jelasnya lagi.
Lebih menyayat hati, bayi yang dikandung itu hanya mempunyai kebarangkalian lima peratus untuk terus hidup, dan sekiranya berjaya dilahirkan, jangka hayatnya dijangka hanya antara enam bulan hingga setahun dengan bantuan alat sokongan hayat.
“Dengan hati yang amat berat, saya dan Sarah membuat keputusan untuk meneruskan proses pengguguran ini. Kami merasakan akan menjadi terlalu kejam untuk membiarkan bayi itu menanggung penderitaan hidup bergantung kepada mesin dalam tempoh enam bulan hingga setahun itu,” ujarnya dengan nada reda.
Dalam hantaran sama, pelakon drama Nora Elena
dan Jika Itu Takdirku itu turut memohon agar orang ramai mendoakan kesihatan isterinya serta dipermudahkan segala urusan proses pengguguran akibat Sindrom Edwards.“Sarah telah dimasukkan ke wad sejak malam tadi dan telah melalui proses induksi kali kedua pada jam 5 petang tadi. Mohon semua doakan keselamatan Sarah serta agar proses pengguguran ini berjalan dengan lancar.
Semoga anak perempuan syurga kami menyambut kami di jannah nanti, insya-ALLAH.
Saya hanya memohon agar kalian semua mendoakan untuk anak saya, Maryam Inara, dan isteri saya, Siti Sarah. Terima kasih. Al-Fatihah,” titipnya.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 16 Januari 2016 dan dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki, Yusuf Zulkarnaen dan Noah Arjuna.
Walau pahit menerima takdir, kasih seorang ayah dan suami jelas terpancar dalam setiap kata-kata Shah Iskandar reda, namun tetap sarat dengan doa dan harapan agar satu hari nanti mereka dapat bertemu semula dengan anak perempuan syurga mereka di alam abadi.
Semoga Allah mengurniakan kekuatan dan ketabahan kepada pasangan ini dalam menghadapi ujian Sindrom Edwards yang amat berat ini.