Kerohanian

Solat Ketika Sakit Bersalin. Air Ketuban & Darah Dah Keluar, Masih Wajib Solat?

Share

Melayan kontraksi bersalin yang datang beberapa minit sekali adakalanya membuatkan kita hilang fokus terutama untuk melakukan rutin menunaikan solat. Ada juga yang menyatakan sebaik air ketuban pecah atau tompok darah keluar, ibu tidak lagi wajib solat. Betul ke cara macam ni?

Menurut penjelasan daripada Ustazah Asma’ Harun, wanita yang sedang menahan sakit bersalin masih tertakluk kepada kewajipan solat. Namun, Islam memberikan kelonggaran dalam keadaan tertentu bagi memastikan ibadah tetap dapat dilaksanakan tanpa membebankan.

Solat Ketika Sakit Bersalin Masih Wajib

Dalam keadaan apa sekalipun, termasuk ketika menghadapi kesakitan kontraksi, kewajipan solat tidak gugur. Prinsip ini penting difahami kerana masih ramai yang keliru tentang solat ketika sakit bersalin

, terutamanya apabila melibatkan situasi fizikal yang sangat mencabar.

Bagi wanita yang mengalami kesakitan yang kuat sehingga menyukarkan pergerakan untuk bersuci dan menunaikan solat pada waktunya, diharuskan untuk melakukan solat jamak sama ada secara taqdim atau takhir. Kelonggaran ini diberikan kerana sakit yang dialami dianggap sebagai satu keuzuran yang membolehkan penggabungan waktu solat.

Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa solat secara qasar tidak dibenarkan kecuali dalam keadaan musafir. Ini bermaksud dalam konteks solat ketika sakit bersalin, hanya jamak dibenarkan, bukan qasar.

Hukum Air Ketuban dan Darah Sebelum Bersalin

Tambah Ustazah lagi, dalam masa sama, walaupun air ketuban atau darah telah keluar sebelum bersalin, wanita tetap wajib menunaikan solat. Air ketuban merupakan cecair yang berada dalam kantung rahim dan akan keluar sebagai tanda hampir bersalin.

Dari sudut hukum, ia dikategorikan sebagai najis dan boleh membatalkan wuduk. Ini bermaksud wanita perlu mengambil langkah bersuci sebelum menunaikan solat ketika sakit bersalin

.

Keadaan Air Ketuban Keluar Berterusan

Sekiranya air ketuban keluar secara berterusan, keadaannya diqiyaskan seperti istihadah. Dalam situasi ini, wanita perlu membersihkan najis sekadar mampu, kemudian berwuduk dan segera menunaikan solat.

Kaedah ini penting difahami agar pelaksanaan solat ketika sakit bersalin dapat dilakukan dengan betul tanpa rasa ragu atau terbeban.

Darah Sebelum Bersalin, Fasad atau Haid?

Begitu juga dengan darah yang keluar sebelum bersalin, ia dikenali sebagai darah fasad dan bukan darah haid atau nifas. Maka, kewajipan solat masih berjalan seperti biasa.

Namun, jika darah tersebut memenuhi ciri-ciri darah haid dan bersambung mengikut syarat tertentu, ia boleh dihukumkan sebagai haid menurut pandangan dalam Mazhab Syafie. Dalam keadaan biasa, darah sebelum bersalin tetap dikira sebagai darah fasad dan tidak menggugurkan kewajipan solat ketika sakit bersalin

.

Kelonggaran Islam Dalam Ibadah

Islam sememangnya agama yang tidak membebankan umatnya. Dalam situasi kesakitan seperti ini, rukhsah atau kelonggaran diberikan agar ibu tetap dapat menunaikan tanggungjawab tanpa memudaratkan diri.

Jika tidak mampu berdiri, solat boleh dilakukan secara duduk atau baring. Jika tidak mampu menggunakan air, boleh bertayammum. Semua ini termasuk dalam kemudahan yang diberikan dalam pelaksanaan solat ketika sakit bersalin.

Kesimpulannya, walaupun berdepan detik mencabar menjelang kelahiran, kewajipan solat tetap perlu ditunaikan mengikut kemampuan. Kefahaman yang betul tentang hukum ini amat penting supaya ibadah tidak ditinggalkan tanpa sebab yang sah.

Published by
SRM