Berita

Kanak-Kanak Melecur Di Muka, Panaskan ‘Squishy Toys’ Dalam Microwave

Share

Walaupun insiden ini berlaku di luar negara, ia tetap wajar dijadikan pengajaran buat ibu bapa di Malaysia. Dalam dunia digital hari ini, trend viral di media sosial boleh sampai ke mana-mana dalam sekelip mata, dan kadangkala sesuatu yang nampak seronok  sebenarnya membawa risiko besar kepada anak-anak.

Baru-baru ini, satu trend berbahaya melibatkan permainan popular squishy toy tular di media sosial seperti TikTok, Instagram dan YouTube apabila pengguna berkongsi video memanaskan permainan tersebut di dalam microwave untuk menjadikannya lebih lembut dan anjal. Trend squishy toy dengan memanaskan menggunakan microwave ini amat bahaya hingga mencetuskan kebimbangan ramai pihak. Lantaran itu ibu ayah disarankan untuk mengawasi anak-anak terutama penggunaan sosial media untuk mengelak kejadian sebegini.

Squishy Toy Microwave Bahaya: Cedera Selepas Main Di Rumah Kawan

Parut pada wajah anak perempuannya itu mungkin kekal seumur hidup

Namun, trend ini bertukar menjadi mimpi ngeri buat seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, Bella, dari Bristol, United Kingdom apabila dia mengalami kecederaan melecur serius di bahagian muka selepas meniru trend berkenaan.

Menurut ibunya, Charlotte, 42, kejadian berlaku ketika Bella bermain di rumah rakannya dan cuba melakukan trend yang sedang viral itu.

Charlotte berkata, sebaik sahaja anaknya pulang ke rumah, dia terus menyedari sesuatu tidak kena.

“Bila Bella masuk rumah, saya nampak wajahnya merah menyala. Seolah-olah dia terkena hentakan di muka. Ada kesan melecur, kulit tertanggal dan mula timbul lepuh,” katanya.

Difahamkan, permainan squishy tersebut mempunyai lapisan luar silikon yang menyebabkan mereka tidak dapat mengesan suhu sebenar di bahagian dalam.

Akibatnya, selepas dipanaskan, salah seorang kanak-kanak memicit permainan itu sebelum ia tiba-tiba meletup dan cecair panas tersembur ke muka mereka. Inilah risiko utama dalam trend squishy toy microwave bahaya yang ramai tidak sedar.

“Anak saya menangis tidak berhenti. Dia sangat kesakitan,” tambah Charlotte.

Risiko Parut Kekal Di Wajah

Charlotte berkata anaknya  melihat video trend tersebut di TikTok.

Lebih menyedihkan, Bella kini berisiko mengalami parut kekal akibat kecederaan tersebut.

Charlotte memaklumkan permainan itu dibeli dari kedai tempatan dan tidak mempunyai jenama khusus.

Selepas kejadian, beberapa ibu bapa lain memaklumkan kepadanya bahawa trend memanaskan squishy toy dalam microwave memang sedang viral di TikTok.

“Saya cari sendiri di internet dan nampak banyak video kanak-kanak serta orang dewasa menunjukkan kononnya ia ‘seronok’ dan ‘menarik’ bila squishy toy dipanaskan untuk jadi lebih elastic,” katanya.

Hakikatnya, trend squishy toy microwave bahaya ini boleh menyebabkan kecederaan serius jika tidak dikawal.

Bukan Kes Terpencil

Rupa-rupanya, Bella bukan satu-satunya mangsa.

Seorang lagi ibu dari Bristol, Gemma Wells, turut berkongsi pengalaman sama apabila anaknya mengalami kecederaan melecur serius selepas melakukan perkara serupa.

Dalam gambar yang dikongsikan, anaknya mengalami luka melepuh di pipi.

“Itu antara pengalaman paling menakutkan pernah kami lalui. Sangat traumatik,” tulisnya di Facebook.

Kejadian ini membuktikan bahawa isu squishy toy microwave bahaya bukan sekadar kes terpencil.

TikTok: Kandungan Berbahaya Akan Dipadam

Jurucakap TikTok berkata, mana-mana kandungan yang mempromosikan tingkah laku berbahaya dan boleh menyebabkan kecederaan serius melanggar garis panduan komuniti platform tersebut dan akan dipadamkan.

Namun begitu, ramai ibu bapa berpendapat tindakan lebih tegas perlu diambil bagi melindungi kanak-kanak daripada kandungan berisiko.

Charlotte sendiri menyokong sekatan terhadap kandungan sebegini.

“Banyak aplikasi nampak mesra kanak-kanak, tapi sebenarnya boleh membahayakan mereka. Saya tak mahu perkara ini berlaku pada keluarga lain,” katanya.

Ibu Bapa Perlu Lebih Peka

Pegawai polisi daripada Royal Society for the Prevention of Accidents (RoSPA), Rhiain Reynolds turut mengingatkan bahawa penyalahgunaan peralatan rumah seperti microwave boleh membawa akibat serius.

“Microwave bukan mainan. Ibu bapa perlu berbincang dengan anak-anak tentang bahaya meniru trend online tanpa memahami risikonya,” katanya.

Kes squishy toy microwave bahaya ini menjadi peringatan penting kepada semua ibu bapa.

Apa Perlu Buat Jika Anak Melecur?

Perkhidmatan kesihatan UK, NHS menasihatkan ibu bapa untuk mendapatkan bantuan segera jika anak mengalami luka melecur atau terkena cecair panas.

Dapatkan rawatan kecemasan segera jika:

  • Luka melecur besar atau dalam
  • Melibatkan muka, alat sulit atau punggung
  • Anak menunjukkan kesakitan melampau atau lepuh serius

Pengajaran Untuk Semua

Trend viral bukan semuanya selamat untuk ditiru. Apa yang nampak lucu atau menyeronokkan di skrin telefon boleh bertukar menjadi tragedi dalam beberapa saat.

Sebagai ibu bapa, penting untuk sentiasa memantau kandungan yang ditonton anak, berbincang tentang bahaya trend media sosial dan ajar mereka supaya tidak mudah mencuba sesuatu hanya kerana ia sedang viral. Kes squishy toy microwave bahaya ini harus dijadikan pengajaran bersama.

Sumber: BBC.COM

Published by
Nor Yusoff