
Status G6PD dalam buku merah sering menjadi persoalan ibu ayah baru. Setiap kali ibu menerima buku merah (buku kesihatan bayi) di hospital, antara perkara awal yang nurse akan tulis dan highlight adalah status G6PD anak. Kadang siap letak sticker khas, siap underline lagi. Sampai ada ibu ayah yang tertanya-tanya:
“Kenapa kena tulis besar-besar dalam buku pink? Apa penting sangat pasal G6PD ni?”
Sebenarnya, catatan G6PD dalam buku merah bukan sekadar prosedur. Ia adalah maklumat kritikal yang boleh menyelamatkan nyawa terutamanya pada minggu-minggu awal selepas bayi dilahirkan. Dan ya, sebab itulah doktor selalu pesan tentang kacang parang, ubat tertentu, bau ubat gegat dan macam-macam lagi. Ada kaitan rapat dengan G6PD.
Jom fahamkan dengan cara paling mudah dan jelas, berdasarkan maklumat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Apa Sebenarnya G6PD?
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, Glucose-6-Phosphate Dehydrogenase (G6PD) ialah enzim penting dalam sel darah merah yang membantu:
- mengekalkan kestabilan membran sel darah merah,
- melindungi sel darah merah daripada rosak,
- memastikan sel darah merah boleh berfungsi dengan normal walaupun terdedah kepada tekanan oksidatif.
Dalam keadaan normal, enzim ini bertindak seperti pelindung yang memastikan sel darah merah tidak “pecah” secara tiba-tiba. Inilah sebabnya status G6PD menjadi rujukan penting sejak hari pertama bayi lahir.
G6PD dan Genetik: Kenapa Lelaki Lebih Terjejas?
G6PD deficiency adalah penyakit genetik yang diwarisi melalui kromosom X:
- Lelaki: hanya ada satu kromosom X. Jika ia membawa gen kekurangan G6PD, risiko anak lelaki menunjukkan simptom adalah lebih tinggi.
- Perempuan: biasanya pembawa (carrier). Mereka mempunyai dua kromosom X, dan jika satu normal, enzim masih boleh berfungsi.
Ini menjelaskan kenapa dalam beberapa keluarga, anak lelaki lebih mudah terkesan manakala anak perempuan selalunya pembawa sahaja.
Apa Berlaku Jika Anak Kekurangan Enzim Ini?

Anak yang kekurangan G6PD mempunyai sel darah merah yang lebih rapuh dan mudah pecah. Bila sel darah merah pecah banyak dan mendadak, berlakulah:
➡️ Hemolysis (pemecahan sel darah merah)
dan seterusnya boleh membawa kepada:
➡️ Anemia Hemolitik
Apabila ini berlaku, badan tidak cukup sel darah merah untuk membawa oksigen. Ia boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius jika tidak dirawat segera.
Paling Bahaya Untuk Bayi Baru Lahir

KKM menyatakan bahawa bayi dengan G6PD deficiency lebih mudah mengalami jaundis teruk (Neonatal Jaundice). Untuk bayi G6PD, jaundis boleh:
- naik mendadak,
- menyebabkan bilirubin terlalu tinggi,
- menjejaskan otak,
- mengakibatkan kecacatan kekal,
- dan dalam kes ekstrem—boleh membawa maut.
Itulah sebabnya hospital memantau bayi G6PD dengan ketat dan memastikan status G6PD dicatat jelas dalam buku merah.
Kenapa Kacang Parang Selalu Disebut?

Kacang parang (fava beans) mengandungi bahan yang boleh mencetuskan hemolysis kepada penghidap G6PD. Makan sedikit pun boleh mencetuskan masalah serius.
Selain kacang parang, bahan lain yang boleh mencetuskan hemolysis termasuk:
- Vitamin C sintetik / asid askorbik tiruan
- Produk soya atau makanan kacang terproses
- Ubat gegat / naphthalene
- Ubat anti-malaria tertentu
- Jamu, herba atau senseh
- Makanan dengan pewarna kimia tertentu
Pantang Larang Penghidap G6PD (Rujukan KKM)

1. Makanan
- Kacang Parang (Fava Beans)
- Vitamin C sintetik / Asid askorbik tiruan
- Gula-gula atau makanan berperisa menthol tertentu
- Sesetengah produk soya atau makanan kacang terproses
- Produk bebas gluten tertentu
- Makanan dengan pewarna kimia methylene blue / toluidine blue
2. Persekitaran / Bahan Kimia
- Ubat nyamuk (pyrethium)
- Ubat gegat (naphthalene)
- Jamu, ubat herba atau senseh
- Ubat anti-malaria tertentu
- Sesetengah ubat sakit kepala (mengandungi tylenol tertentu)
- Bahan kimia tertentu dalam produk rumah
Kenapa Wajib Dicatat Dalam Buku Merah?

Catatan status G6PD adalah untuk:
- ✔️ Memastikan doktor tahu ubat dan makanan yang selamat
- ✔️ Memberi amaran kepada pengasuh / guru / taska
- ✔️ Memantau jaundis bayi dengan ketat
- ✔️ Menjadi rujukan sepanjang hayat (G6PD adalah keadaan kekal)
Apa Yang Ibu Ayah Perlu Buat?
- Maklumkan kepada setiap doktor bahawa anak mempunyai G6PD deficiency.
- Elakkan semua makanan dan bahan kimia yang disenaraikan.
- Pantau jaundis bayi terutama pada minggu pertama kelahiran.
- Pastikan tadika / taska / pengasuh diberi senarai pantang.
- Simpan salinan keputusan G6PD anak untuk rujukan.
Status G6PD dalam buku merah bukan catatan biasa. Ia penanda keselamatan yang membantu ibu ayah dan pihak penjaga menjaga anak daripada komplikasi serius. Dengan pemahaman, pengawasan dan kepatuhan terhadap pantang larang, anak G6PD deficiency boleh hidup normal, sihat dan aktif seperti kanak-kanak lain.
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia , Diari Mak-Mak
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!



















