
“Alahai… baru tinggikan suara sikit dah muncung panjang.” Situasi ini memang biasa dalam rumah yang ada anak kecil, lebih-lebih lagi anak perempuan. Pantang ditegur dengan nada sedikit tegas, terus diam, tarik muka, tak mahu bercakap. Ada yang siap peluk bantal, masuk bilik dan tak pandang muka mak ayah.
Ramai ibu ayah risau, takut anak terlalu sensitif atau manja. Hakikatnya, menurut perkongsian Penulis Keibubapaan, Mohd Fhais Salim, anak yang kuat merajuk sebenarnya membawa satu petanda yang sangat baik.
Ia tanda bonding antara anak dan mak ayah sangat kuat.
Anak kecil hanya akan menunjukkan emosi sebenar mereka kepada orang yang mereka rasa selamat. Bila anak merajuk dengan mak ayah, itu bermakna dia yakin kasih sayang ibu ayah tidak akan hilang walaupun dia menunjukkan rasa kecewa atau kecil hati.
“Kalau time kita marah atau pun time kita garang dengan anak dia cepat merajuk itu tanda yang bagus.
Sangat baik, mak ayah patut bersyukur. Sebab apa?
Anak-anak yang masih suci, bersih, masih ada ikatan bonding dengan ibu bapanya akan cepat terguris dan terasa.
Kita cakap sikit saja tingginya, dah dia kata kita marah dia. Itu tanda yang baik.
Semakin sensitif anak kepada kita, semakin kuatlah bonding itu dengan ibu bapa.
Bonding ni sangat bagus. Daripada bonding inilah anak jadi senang dengar kata, anak jadi selesa dengan kita.
Kalau ada apa-apa masalah atau isu pun dia tak cari kawan, dia akan cari mak ayah dulu. Dia akan cakap dan meluah dengan mak ayah dulu. Inilah kebaikan bonding dengan anak.
“Ramai yang menyesal ni bila dah tak ada. Jadi kalau anak tu asyik merajuk syukurlah sebab itu tandanya bonding masih kuat. Alhamdulillah.
Merajuk ialah cara anak meluahkan perasaan. Mereka belum pandai menyusun ayat seperti orang dewasa. Jadi bila terasa hati, sedih atau kecewa, merajuk menjadi bahasa emosi mereka.
Lebih menarik, anak tidak merajuk dengan semua orang. Cuba perhatikan, di sekolah atau dengan orang luar, anak mungkin kelihatan biasa saja. Tetapi bila dengan mak ayah, barulah keluar segala muncung dan rajuknya. Itu kerana mak ayah adalah “tempat paling selamat” untuk dia jadi diri sendiri.
Pertama, jangan terus label anak sebagai kuat merajuk atau terlalu manja. Elakkan juga memarahi anak kerana merajuk. Itu hanya akan membuatkan anak memendam perasaan.
Sebaliknya, dekati anak dengan tenang. Turunkan ego kita sebagai orang dewasa. Peluk dia, usap belakangnya dan tanya dengan lembut, “Anak rasa sedih ya tadi?”
Bila kita validasi emosi anak, dia belajar satu perkara penting, perasaan dia dihargai.
Lama-kelamaan, anak akan belajar cara yang lebih matang untuk meluahkan rasa kecewa. Proses ini tidak berlaku dalam sehari, tetapi bermula dengan respon kita sebagai ibu ayah.
Jadi kalau anak anda kuat merajuk, jangan cepat stres. Senyum dan bersyukurlah. Itu tanda anak selesa, percaya dan ada ikatan emosi yang kuat dengan anda.
Dan percayalah, bonding yang kuat hari ini adalah asas kepada hubungan yang lebih kukuh bila mereka meningkat remaja nanti.
Kalau yang dah keras hatinya tu yang masalah banyak. Dia tak ada ‘perasaan’ walaupun kita marah.