
Perlukah suplemen tumbesaran kanak-kanak? Persoalan ini sering timbul dalam kalangan ibu bapa, terutamanya apabila melihat anak kelihatan lebih kecil berbanding rakan sebaya atau sukar makan. Lambakan iklan suplemen dan produk ‘penggalak tumbesaran’ di pasaran pula menambah kebimbangan, seolah-olah tanpa suplemen anak akan ketinggalan dari segi fizikal dan perkembangan.
Namun, menurut pakar pediatrik, tumbesaran kanak-kanak tidak boleh dinilai hanya melalui ketinggian semata-mata, apatah lagi disandarkan kepada pengambilan suplemen tanpa keperluan sebenar.

Tumbesaran Anak Bergantung Pada Asas, Bukan Jalan Pintas
Pakar Perunding Pediatrik dan Endokrinologi Pediatrik, Dr. Jeanne Wong Sze Lyn, menjelaskan bahawa tumbesaran optimum kanak-kanak bergantung kepada beberapa faktor utama yang saling berkait. Antaranya ialah nutrisi seimbang, tidur yang berkualiti, aktiviti fizikal yang mencukupi, tahap kesihatan umum yang baik, keseimbangan hormon serta faktor genetik.
“Ini adalah ‘penggalak tumbesaran’ yang sebenar. Tiada satu pun suplemen mampu menggantikan asas-asas ini atau meningkatkan ketinggian anak melebihi potensi genetik semula jadi mereka,” jelas beliau.
Tambahnya, kebanyakan kanak-kanak yang sihat dan aktif sebenarnya sudah mendapat nutrien mencukupi melalui pemakanan harian tanpa memerlukan suplemen tumbesaran kanak-kanak secara rutin.

Makanan Seimbang Sumber Nutrisi Terbaik
Makanan semula jadi kekal sebagai sumber terbaik untuk membekalkan makronutrien seperti protein, karbohidrat dan lemak sihat, serta mikronutrien seperti vitamin dan mineral yang penting untuk pembentukan tulang, otot dan tisu.
Pengambilan makanan lengkap seperti nasi, roti, ikan, ayam, telur, sayur-sayuran, buah-buahan serta susu dan produk tenusu mampu menyokong tumbesaran anak secara menyeluruh. Dalam kebanyakan kes, diet seimbang sudah mencukupi tanpa perlu bergantung kepada pil atau serbuk tambahan.
Peranan Ibu Bapa Dalam Membentuk Tabiat Pemakanan
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk tabiat pemakanan anak sejak kecil. Penyediaan makanan di rumah, waktu makan yang konsisten dan suasana makan yang positif membantu anak mengenali isyarat lapar dan kenyang secara semula jadi.
Amalan ini jauh lebih berkesan berbanding bergantung kepada suplemen tumbesaran kanak-kanak sebagai jalan pintas.
Bila Suplemen Tumbesaran Diperlukan?
Walaupun suplemen tidak disarankan secara rutin untuk semua kanak-kanak, terdapat keadaan tertentu yang memerlukan sokongan tambahan atas nasihat doktor. Menurut Dr. Jeanne Wong, suplemen hanya diperlukan apabila kekurangan nutrien telah dikenal pasti secara klinikal atau kanak-kanak berada dalam kumpulan berisiko.
Antara kekurangan nutrien yang sering dikesan termasuk:
- Vitamin D, lazim berlaku kerana kurang pendedahan kepada cahaya matahari dan penting untuk penyerapan kalsium.
- Zat besi, terutamanya dalam kalangan bayi, kanak-kanak kecil dan remaja perempuan yang mengalami haid berlebihan.
- Kalsium, sering dialami oleh kanak-kanak yang mengelakkan produk tenusu akibat alahan atau intoleransi.
- Vitamin B12, khususnya dalam kalangan kanak-kanak yang mengamalkan diet vegetarian atau vegan yang ketat.
Bagi kanak-kanak yang mempunyai penyakit kronik, alahan makanan yang teruk atau masalah pemilihan makanan yang sangat terhad, suplemen tumbesaran kanak-kanak mungkin penting untuk membetulkan kekurangan nutrien dan menyokong kesihatan keseluruhan.
Elakkan Ambil Suplemen Tanpa Pemeriksaan
Dr. Jeanne Wong menegaskan bahawa ujian darah merupakan kaedah paling tepat untuk menentukan tahap nutrien dalam badan kanak-kanak. Ibu bapa dinasihatkan supaya tidak bergantung kepada kaedah alternatif seperti analisis rambut yang tidak disahkan secara perubatan dan boleh mengelirukan.
Sekiranya kekurangan nutrien dikesan, doktor mungkin akan menetapkan dos rawatan tertentu untuk tempoh yang sesuai sebelum dos dikurangkan atau dihentikan. Pendekatan ini lebih selamat berbanding pengambilan suplemen tumbesaran kanak-kanak secara rawak.
Nasihat Pa&Ma Untuk Ibu Bapa
Kesimpulannya, suplemen tumbesaran bukan keperluan utama bagi semua kanak-kanak. Fokus sebenar ibu bapa seharusnya kepada rutin harian yang sihat seperti penyediaan makanan seimbang, memastikan anak mendapat tidur mencukupi dan menggalakkan aktiviti fizikal secara konsisten.
Setiap anak membesar mengikut rentak dan potensi tersendiri. Jika ibu bapa bimbang tentang tumbesaran atau selera makan anak, sebaiknya berbincang dengan doktor terlebih dahulu sebelum membuat keputusan. Ingat, asas yang kukuh di rumah adalah kunci utama untuk anak membesar sihat, seimbang dan bahagia tanpa bergantung sepenuhnya kepada suplemen tumbesaran kanak-kanak.
BACA LAGI : Vitamin Atau Suplemen Ibu Hamil, Perlu Ke Ambil?
Sumber : The Star
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





