
Tahniah diucapkan buat pelakon Indonesia, Randy Pangalila yang selamat menimang cahaya mata sulungnya pada Rabu lalu.
Isteri kepada Randy, Chelsey Frank telah melahirkan melahirkan seorang bayi perempuan yang cantik, persis ibunya.

Menerusi Instagramnya, Randy turut berkongsi detik kelahiran anak sulungnya yang diberi nama, Blair Willow Pangalila ketika berada di dewan bersalin. Satu perkongsian penuh kegembiraan bagi pasangan ini.

” Kelmarin adalah hari yang paling bermakna untuk saya dan isteri saya. 24 Mac 2021, pukul 9.54 pagi.
“Wanita kuat ini @cfrank3030, telah melahirkan seorang bayi perempuan yang cantik, Blair Willow Pangalila anak kami,” kongsinya terharu.

Kata Randy, detik bahagia ini merupakan detik yang paling ditunggu-tunggu olehnya dan isteri.
Malah turut berterimah kasih kepada semua yang membantu proses kelahiran bayi sulungnya itu.

“Sebuah moment bahagia yang sudah ditunggu-tunggu kami berdua, terima kasih kepada para doktor dan suster yang sudah membantu kelancaran persalinan isteri saya.
“Terima kasih untuk becanda-candaan kecil yang membuat isteri saya lebih rilex dan tidak stress pada saat melahirkan.
“Saya sangat bersyukur untuk semuanya,” kongsinya lagi.

Memuat naik beberapa keping gambar ketika berada di dalam dewan, saat kelahiran Blair sudah cukup membayangkan betapa bahagianya Randy dan isteri.
Randy dan Chelsey mendirikan rumah tangga pada 19 Januari 2019 di Bali, Indonesia. Dan selepas dua tahun bersama, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata comel yang menjadi penyeri kehidupan mereka.
Artikel berkaitan: Bakal Jadi Ayah Tak Lama Lagi, Randy Pangalila Umum Isteri Hamil Anak Pertama

Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Kredit: @randpunk
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sekiranya 3-4 Minggu Lahir Tali Pusat Bayi Belum Tertanggal, Segera Rujuk Doktor

Tali pusat bayi memainkan peranan yang sangat penting sewaktu bayi di dalam kandungan. Tali pusat mula terbentuk pada usia janin lebih kurang 5 minggu dalam kandungan.
Tali pusat ini bersambung dengan ‘placenta’ atau uri dan memainkan peranan untuk menyalurkan darah yang kaya dengan nutrisi dan oksigen yang diperlukan oleh janin untuk terus hidup dan berkembang di dalam rahim si ibu. Darah yang telah ternyah-oksigen daripada bayi juga ‘dikembalikan’ kepada uri melalui tali pusat. Jadi tali pusat bolehlah dianggap seperti ‘talian hayat’ bagi bayi.
Apakah yang berlaku sewaktu kelahiran bayi?
✔️ Setelah bayi dilahirkan, tali pusat ini tidak lagi diperlukan. Beberapa ketika setelah bayi selamat dilahirkan, tali pusat yang bersambung dengan uri akan disepit menggunakan ‘cord clamp’ bagi mengelakkan darah daripada uri terus disalurkan kepada bayi. Jika tidak, ada kemungkinan terlalu banyak darah akan tersalur ke dalam sistem peredaran darah bayi yang boleh membawa pelbagai komplikasi. Tali pusat kemudian digunting supaya terpisah daripada uri. Bayi tidak merasa sakit sewaktu tali pusat ini digunting kerana tiada sistem saraf atau deria rasa pada tali pusat.

✔️ Adalah sangat penting tali pusat ini digunting dengan menggunakan alatan yang ‘steril’. Menggunakan alatan seperti pisau cukur atau gunting yang berkarat boleh menyebabkan jangkitan ‘tetanus’ yang merbahaya. Penyakit tetanus pada bayi sudah tidak dilihat dalam komuniti yang mengamalkan proses kelahiran bayi yang selamat. Namun masih ada juga kes-kes sebegini di negara kita iaitu jika kelahiran berlaku di luar dari fasiliti hospital / klinik.
✔️ Tali pusat yang ada pada bayi akan menjadi kering, berubah warna dan mengecut. Kebiasannya tali pusat yang telah kering itu akan jatuh dengan sendirinya dalam masa 2 minggu. Maka tinggallah struktur yang kita kenali sebagai ‘pusat’ pada permukaan perut bayi. Pusat ini pula mengambil masa antara 5 hingga 7 hari untuk kering sepenuhnya.
Bagaimana menjaga pusat bayi baru lahir ?
✅ Pastikan tali pusat dan kawasan di sekelilingnya berada dalam keadaan bersih dan kering. Lazimnya, ibu bapa akan dibekalkan dengan ‘alkohol’ atau bancuhan ‘antiseptik’ untuk mencuci pusat bayi. Namun, terdapat juga data yang menunjukkan bahawa mencuci tali pusat dengan air yang bersih diikuti dengan mengelap untuk mengeringkannya sudah memadai.
✅ Sewaktu mengenakan lampin atau ‘diapers’ , pastikan tali pusat bayi tidak terutup oleh lampin/diapers. Letakkan tali pusat itu di luar lampin supaya ia tidak terkena air kencing atau najis bayi. Ini akan membantu proses tali pusat untuk mengering.
✅ Tidak perlu meletakkan bedak atau ubat-ubatan tradisional pada pusat bayi yang mungkin menganggu proses semulajadi penanggalan tali pusat tersebut. Air bersih sudah memadai.
✅ Sewaktu tali pusat belum lagi tertanggal, memandikan bayi dengan cara mengelap menggunakan kain yang basah atau dengan menjirus lebih digalakkan daripada kaedah mandian yang menyebabkan tali pusat itu terendam lama dalam air. Tali pusat bolehlah dilap setelah bayi dimandikan.
✅ Jangan tarik tali pusat itu walaupun ia kelihatan akan tertanggal pada bila-bila masa sahaja lagi. Biarkanlah proses itu berlaku secara semulajadi.
Tanda- tanda jangkitan pada pusat
✔️ kawasan sekeliling pusat kelihatan merah
terdapat nanah, darah atau bau yang kurang menyenangkan pada pusat
✔️ bayi demam, kurang aktif dan kurang menyusu
Sekiranya anda melihat tanda tanda mencurigakan pada pusat seperti yang dinyatakan di atas, bawalah bayi ke hospital dengan segera untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan selanjutnya.
Jangkitan pada pusat yang tidak dirawat boleh menyebabkan jangkitan darah yang merbahaya pada bayi.
Berjumpalah juga dengan pengamal perubatan sekiranya terdapat pendarahan pada tali pusat atau tali pusat masih belum tertanggal setelah bayi berusia 3 – 4 minggu.
Sumber: Klinik Dr Asmah
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jangan Sayang Duit Untuk Suntikan Pneumococcal. Anak 2 Bulan Dah Boleh Cucuk

Kuman Pneumococcal (baca ‘neumokokal), nama sebenar: streptococcal pneumoniae. Kuman ni merupakan ‘kuman peliharaan’ di dalam hidung kanak-kanak di bawah umur 5 tahun (paling ramai, bawah 2 tahun).
Menurut Dr Salehuddin Sulaiman dalam perkongsiannya di Facebook, satu dalam lima kanak-kanak di Malaysia (dan juga di negara lain) ‘pembawa’ kuman ni.
Kuman ni boleh menyebabkan jangkitan di
1. telinga ( otitis media). Kesan jangka panjang: pekak
2. Paru paru (pneumonia). Kalau nasib tak baik, dapat paru-paru bernanah (empyema) atau masuk ICU
3. Dalam darah (bacteremia).
4. Selaput otak (meningitis). Kesannya, sama ada lumpuh atau cacat, atau meninggal.
Banyak orang sebut vaksin ni dapat cegah jangkitan paru-paru. Itu kurang tepat. Nanti saya explain.
Semua penyakit-penyakit bawaan kuman ni, majoriti kes berlaku di kalangan bayi atau kanak-kanak bawah dua tahun. Kenapa? Sebab yang saya sebut di atas (kuman ni ada dalam hidung kanak-kanak) dan juga kerana sistem pertahanan tubuh bayi tak sematang orang dewasa/ kanak-kanak besar.

Disyorkan suntik awal
Oleh sebab itu, vaksin ni sangat disyorkan dimulakan seawal mungkin (2 bulan dah boleh start cucuk).
Kuman yang boleh menyebabkan jangkitan paru-paru (dan selaput otak) ni banyak. Ada virus (contoh influenza- pernah dengar selsema burung, H1N1? Adenovirus, RSV), bakteria (salah satunya Pneumococcal ni) dan juga kulat.
Bakteria pula, ada banyak jenis. Ada hemophilus, mycoplasma, streptococcal, legionella, chlamydia. Kalau dulu (sebelum tahun 2002), hemophilus influenzae b (Hib) merupakan pemenang tempat pertama untuk carta kuman yang menyebabkan pneumonia dan meningitis. Pneumococcal dapat no 2 je.
Tapi, selepas vaksin Hib diperkenalkan oleh kementerian kesihatan mulai 2002 (dalam vaksin yang 5 atau 6 serangkai tu lah), kes yang disebabkan oleh Hib ni turun mendadak. Yang naik jadi juara siapa?
Pneumococcal lah!
Saya pernah ditanya
‘Kenapa anak saya dah diberikan vaksin Pneumococcal ni. Tapi dia dapat juga pneumonia.’
Macam saya sebut tadi, bukan Pneumococcal je yang menyebabkan pneumonia. Banyyyaaakkk lagi kuman lain menjadi punca pneumonia.
Kalau nak mudah faham, macam ni lah. Saya bagi satu analogi mudah.
Di KL, disebabkan jem sangat teruk, walaupun dah ada MRT, highway baru bla bla bla, maka kerajaan memperkenalkan satu rule baru.
Semua kereta Myvi tidak dibenarkan masuk area KL. Sebabnya, jumlah kereta paling banyak di area KL ni ialah Myvi.
(Contoh je ni. Kau jangan dok bagi statistik kereta apa paling banyak di KL pulak!)
Adakah ini bermakna, kita boleh tidur atas jalan raya di KL? Sebab kereta myvi dah takde di atas jalan di KL? Of course takleh.
Sebab kereta orang di KL ni, bukan myvi je. Ada kereta jenama lain lagi. Toyota, Honda, BMW, jaguar, audi dan apa2 je lah.
Tapi kalau nak tengok myvi, susahlah. Sebab kena block awal2 lagi. Maybe ada la seekor dua myvi yg terlepas (maybe yang dah diubahsuai nampak macam Iris kot).
So macam tu la juga konsep vaksin Pneumococcal ni. Insya Allah, bila vaksin ni dimasukkan ke dalam jadual imunisasi kebangsaan (tak tau bila..), korang akan lihat kes Pneumococcal ni berkurang. Actually, bukan korang pun, tapi doktor dan juga pegawai kesihatan yang terlibat merawat pesakit akan nampak trend ni.

Inisiatif Sendiri
Buat masa ni, memang kena keluarkan duit sendiri, cari di klinik atau hospital swasta. Sekitar RM250 untuk satu suntikan. Ada 4 dos kalau start sebelum umur 6 bulan, iaitu 3 dos sebelum umur setahun, satu lagi selepas umur setahun. Sila consult doktor anda untuk jadual suntikan anak anda.
Mahal? Kalau anak anda cacat, pekak, masuk ICU sebab tak dapat bernafas, atau meninggal, duit banyak manapun tak boleh kembalikan anak anda kepada keadaan asal sebelum dia sakit.
Ada pesakit saya mendapat paru-paru bernanah kerana Pneumococcal (siap kena tebuk paru-paru, dan kena makan antibiotik selama sebulan, pastu tiap bulan dapat serangan paru-paru sempit macam asthma).
Satu je soalan dia.
Kenapa dia tak tahu pun pasal vaksin tambahan ini. Biar berapa harga pun, dia pasti sanggup bayar. (Nasib baik dia first time jumpa saya waktu tu)
So, ini hanyalah usaha kecil saya untuk memberi kesedaran kepada anda semua. Kalau anda decide tak nak ambil, jangan kata abang tak payung.

Sumber: Dr Salehuddin Sulaiman
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mata Bayi Berair Seperti Menangis, Doktor Terangkan Punca & Cara Rawatan Sesuai. Tak Perlu Bimbang Tapi Kena Ambil Tahu

Bayi yang sedang membesar memang mudah dijangkiti penyakit. Namun ada antara penyakit yang dialami tidaklah terlalu merbahaya. Walaubagaimanapun sebagai ibu bapa adalah penting untuk sentiasa menjaga kesihatan si kecil yang mana imunitinya masih lagi sedang berkembang.
Dr Zubaidi Hj Ahmad dalam satu perkongsiannya di Facebook menjawab persoalan dari seorang ibu tentang masalah mata bayi berumur yang sering berair seperti menangis.
Menurut Dr Zubaidi selalunya perkara ini bukanlan sesuatu yang membimbangkan kerana kebanyakan bayi yang mengalami masalah ini akan sembuh selepas berumur setahun. Ikuti penjelasan lanjut mengenai masalah ini yang diterangkan secara jelas untuk makluman para ibu dan ayah.

MASALAH MATA ANAK BERAIR SEPERTI MENANGIS
“Assalamu’alaikum. Dr. Pertamanya saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana sudi menjawab pertanyaan ini. Saya merupakan seorang ibu pada seorang anak perempuan. Alhamdulillah sekarang umur anak saya hampir mencecah 8 bulan.
Saya ada satu soalan yang ingin ditanya kepada doktor. Sudilah sekiranya doktor berkongsi pengetahuan bagi soalan saya. Untuk pengetahuan doktor, mata anak saya sering mengeluarkan cecair seperti (menangis). Ia berlaku sejak dari kecil iaitu selepas kelahiran. Pada mulanya saya fikir ia hanya perkara biasa dek kerana cuaca sejuk di Jordan ketika itu. Sehingga kini ia masih lagi berair walaupun umurnya sudah hampir 8 bulan.
Sebagai seorang ibu, sudah pasti ia menjadi satu kebimbangan buat saya. Saya sudah berkali tanya kepada beberapa orang doktor berkaitan perkara ini. Jawapan yang saya terima adalah kerana saluran air mata anak saya kecil menyebabkan air mata tidak dapat mengalir dengan baik lalu keluar menjadi titisan air mata.
Saya juga ada terbaca artikel doktor berkaitan perkara ini. Alhamdulillah saya berasa tenang. Cuma saya ingin tahu. Adakah saluran mata anak saya akan kembali normal seperti biasa seiring pertambahan umurnya? Bagaimana dengan penyakit retinoblastoma? Adakah ia boleh dikesan dari awal? Terima kasih doktor.
WA ALAIKUM MUS SALAM
Terima kasih kerana puan menulis kepada saya. Saya memahami kerisauan puan. Semoga dengan penerangan saya dapat membantu meredakan kerisauan puan.
Sebagai seorang ibu sudah tentu masalah pada anak menyebabkan hati menjadi risau. Apatah lagi mungkin masalah ini mungkin disebabkan oleh sesuatu yang lebih bahaya, seperti kanser yang selalunya boleh meragut nyawa.
Sumbatan pada saluran air mata
Namun walau bagaimanapun, saya ingin memaklumkan bahawa mata anak puan yang sering mengeluarkan cecair seperti menangis itu, berkemungkinan besar hanya disebabkan oleh sumbatan pada saluran air mata beliau. Ia bukanlah sesuatu masalah yang serius. Ia berlaku pada sebilangan kecil bayi dan keadaannya akan bertambah baik apabila mereka semakin membesar.
Untuk pengetahuan puan, mata kita sentiasa dibasahi oleh cecair bagi mengelakkan ia menjadi kering. Cecair yang banyak dan melimpah, terutama apabila kita bersedih atau kesakitan, disebut sebagai airmata.

Pada kebiasaannya air mata akan mengalir masuk ke dalam saluran airmata (lacrimal duct atau tear duct), selepas ia dikeluarkan dari kelenjar airmata (tear gland). Ia akan masuk melalui dua bukaan (puncta) yang berada di kelopak mata sebelah atas dan kelopak mata sebelah bawah, berhampiran dengan hidung.
Bukaan ini menghubungkan dengan saluran airmata melalui saluran yang kecil, dinamakan canaliculi. Jika berlaku sumbatan sama ada pada puncta, atau canaliculi atau tear duct, air mata tidak dapat disalurkan keluar ke dalam hidung, menyebabkan ia melimpah sebagai airmata.
Selain dari sumbatan pada saluran airmata, limpahan tersebut mungkin disebabkan oleh:
1. Kecacatan pada sistem saliran air mata, sama bukaan (puncta), canaliculi, atau saluran airmata. Kebiasaannya kecacatan berlaku apabila tiada bukaan, sama ada pada kelopak mata yang atas atau kelopak mata yang bawah atau kedua-duannya.
2. Jangkitan kuman pada saluran airmata.
3. Lebihan tulang yang menghalang saluran air mata akibat kecederaan trauma
Sembuh selepas bayi berumur setahun
Selalunya ia bukanlan sesuatu yang membimbangkan kerana kebanyakan bayi yang mengalami masalah ini akan sembuh selepas berumur setahun. Tiada lagi limpahan air mata kerana apabila mereka membesar, saluran air mata tersebut itu juga akan membesar, memudahkan air mata mengalir masuk ke dalam saluran tersebut.
Bagi sesetengah kanak-kanak, limphan air mata adalah minima, tetapi ada juga limpahan airmata terlalu banyak sehingga membasahi bulu mata, dan pipi. Ia dapat dilihat terutamanya apabila bayi itu baru dilahirkan sehingga umurnya berusia sebulan.

Oleh itu saya mencadangkan agar puan membawa anak puan untuk pemeriksaan doctor pakar mata jika masalah ini berlangsung selepas berumur setahun. Ini bagi memastikan masalah ini bukan disebabkan oleh masalah yang lebih serius seperti masalah penyakit glaucoma yang lebih berbahaya.
Kadang-kala ia boleh menyebabkan jangkitan kuman, sehingga kelopak airmata menjadi merah dan melekat antara satu sama lain, sehingga terdapat lendiran berwarna kuning kehijauan. Keadaan ini dnamakan “dacryocystitis” apabila jangkitan kuman berlaku pada keseluruhan saluaran airmata.
Faktor penyebab
Limpahan airmata ini boleh berlaku sesekali. Oleh itu ibubapa mengadu keadaan ini kadang-kala telah sembuh tetapi berulang-ulang. Selalunya ia disebabkan oleh jangkitan kuman saluran pernafsan seperti jangkitan kuman pada hidung dan tekak, yang menyebabkan lebih banyak lendiran yang keluar di dalam hidung, menghalangkan cecair dari mata masuk ke dalam hidung.
Banyak cara rawatan yang boleh membantu mengurangkan masalah ini, antaranya rawatan ‘mengurut saluran air mata’. Caranya ialah dengan menekan perlahan-lahan bahagian hidung bagi membantu saluran ini lebih membuka dan memudahkan aliran airmata.
Jika ia tidak berkesan, mungkin rawatan yang lebih agresif boleh dilakukan oleh doctor mata bagi membuka bukaan dan saluran airmata.
Selain dari masalah sistem saluran airmata, limpahan air mata boleh disebabkan oleh lagi masalah penyakit yang lebih serius iaitu penyakit glaucoma di kalangan kanak-kanak dan kanser mata (retinoblastoma).
Glaucoma
Glaucoma adalah penyakit yang menyebabkan kerosakan saraf mata (optic nerve) apabila terdapat tekanan yang tinggi di dalam mata, menekan saraf mata sehingga menyebabkan tisu pada saraf mata menjadi rosak dan akhirnya menyebabkan kebutaan. Masalah glaucoma ini selalunya berlaku pada orang dewasa, namun ia boleh berlaku pada bayi dan kanak-kanak juga.
Glaucoma juga menyebabkan bayi atau kanak-kanak mengalami ‘limpahan air mata’ sehingga kelihatan seperti menangis, tetapi jika tiada limphan air mata ini, tidak bermakna kanak-kanak itu tidak mengalami penyakit glaucoma. Maknanya ‘limpahan air mata’ bukanlah suatu ciri utama bagi penyakit ini. Selain dari itu kanak-kanak ini sangat sensitif terhadap pancaran cahaya dan mereka cuba mengelakkan diri dari melihat cahaya yang terang. Pada bahagian permukaan mata (cornea) juga kelihatan berwarna kelabu dan tidak seperti permukaan mata yang normal.
Selalunya doctor mata akan memeriksa tekanan pada dalam mata (intraocular pressure) dan tekanan ini sangat tinggi. Doktor juga akan memeriksa bahagian dalam mata untuk melihat masalah pada saraf mata (optic nerve). Selalunya dilakukan setelah bayi atau kanak-kanak ini diberikan bius pengsan (general anesthesia) agar mereka tidak berasa takut dan bergerak ketika pemeriksaan dlakukan.
Retinoblastoma pula adalah kanser mata yang berlaku pada permukaan retina. Ia bermula semasa dalam rahem lagi apabila berlaku proses mutasi pada DNA di sel-sel retina. Tanda-tanda awal bagi penyakit kanser ini ialah terdapat warna putih pada anak mata (seperti mata kucing) apabila disuluh dengan lampu suluh. Mata juga akan kelihatan seperti juling dan bila kanser semakin membesar, mata akan menjadi merah.

Jika retinoblastoma tidak dirawat, ia akan membesar dan memenuhi ruang dalam mata. Apabila ia menyumbat saluran cecair dalam mata, ia menyebabkan tekanan dalam mata (intraocular pressure) akan meningkat sehingga menyebabkan rasa sakit dan kebutaan.
Retinolastoma boleh merebak ke bahagian lain seperti kelopak mata, dan tulang mata. Malah ia boleh merebak jauh pada organ lain seperti paru-paru, hati dan tulang belakang. Namun retinoblastoma adalah penyakit kanser mata yang jarang berlaku pada bayi dan kanak-kanak.
Oleh itu saya mencadangkan puan membawa anak puan untuk pemeriksaan mata oleh doctor pakar mata setelah beliau berumur setahun, jika puan masih berasa risau dengan keadaan mata anak puan. Puan boleh terus membawa anak puan tanpa menunggu umurnya setahun jika puan mendapati keadaan mata anak puan bertambah teruk atau ada tanda-tanda seperti mana yang saya sebutkan tadi.
Seperti yang disarankan oleh Dr Zubaidi, jika ini yang berlaku kepada bayi anda, sebaiknya membawa mereka untuk melakukan pemeriksaan mata jika bayi sudahpun berumur setahun. Namun jika keadaan mata anak semakin teruk, dapatkan segera rawatan daripada doktor pakar.
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


