Anak-anak yang mempunyai kecerdasan tinggi tidak dilahirkan terus bijak. Ibu bapa memainkan peranan yang besar dalam membentuk jati diri serta keinginan anak untuk belajar. Perhatikan potensi dan tahap kemampuan anak anda dan beri sokongan kepada mereka.

Artikel Menarik: [Ciuman Mak Ayah Anak Mudah Dnegar Kata. Jika Setiap Hari, Lagi Hebat Auranya]

Tidak perlu terlalu ‘keras’ dan memaksa mereka untuk belajar perkara yang kurang mereka suka. Paling penting, jangan terhadkan proses pembelajaran mereka dengan hanya satu persekitaran sahaja. Pa&Ma senaraikan beberapa strategi untuk memotivasikan anak anda belajar.

Wujudkan Atmosfera Membaca

Tidak penting untuk terus mahu anak-anak lancar membaca. Pertamanya, wujudkan rasa minat terlebih dahulu. Anak yang sukakan buku akan suka belajar. Membaca bukan sahaja membantu anak untuk memperluaskan kosa kata mereka tetapi membantu otak mereka memproses teknik berkomunikasi. untuk mewujudkan suasana membaca, bukan mereka yang dipaksa untuk membuka buku. Anda sebagai ibu atau bapalah yang digalakkan membaca kepada anak-anak.

Sebelum masuk tidur, bacalah buku cerita kegemaran anak anda. Anak akan berminat untuk membaca sendiri jika sering didedahkan dengan bahan bacaan. Satu lagi cara lain adalah dengan memperuntukkan sedikit masa untuk mebaca bersama-sama. 20 minit sudah cukup, galakkan anak untuk membaca sambil perkenalkan perkataan-perkataan baru kepada mereka. Wujudkan satu tempat khas seperti perpustakaan mini untuk menarik inat anak-anak dengan buku.

Biarkan Anak Yang ‘Memandu’

Beri masa untuk anak anak menguasai proses pembelajaran. Jika anda mahu mereka belajar menulis, beri kebebasan kepada anak untuk memilih topik yang dia mahu. Jika anak-anak anda cenderung untuk bermain ketika belajar usahlah disekat. Berikan sokongan sepenuhnya. Sebagai contoh, anda mahu belajar menulis tetapi suka jika belajar menggunakan lukisan. Galakkan mereka untuk teruskan cara begitu selagi ia menampakkan hasil. Jangan paksa mereka belajar mengikut cara kita dahulu.

Fokus Kepada Minat Anak

Sekiranya anda mahu anak belajar, beri kebebasan kepada mereka untuk meneroka apa yang diminatinya. Seandainya anak anda sukakan dinosaur, carikan buku cerita menarik tentangnya. Kemudian cabar anak anda untuk menegnalpasti beberapa jenis dinosaur dan mengapa dia membuat pilihan itu.

Artikel Menarik: [Keguguran Awal Kehamilan Petanda Janin Lemah & Ada Masalah Genetik]

Kongsi Semangat Belajar Bersama Anak

Untuk memberi anak semangat ketika belajar, anda harus merasakan perkara yang sama. Tunjukkan semangat dan sokongan yang menunjukkan anda benar-benar suka belajar. Pilih beberapa subjek dan kenalkan dengan anak anda. Kenali minatnya dan beri perhatian kepada subjek yang dia sukai. Salah satu cara untuk memberitahu bahawa anda suka belajar, anda boleh bawa mereka melawat ke sekolah atau universiti anda dahulu. Beritahu mengapa anda memilih untuk bersekolah di situ dan beri galakan kepada mereka untuk belajar.

Perhatikan Apa Yang Anak Belajar, Bukan Pencapaiannya

Apabila anak pulang dari sekolah, jangan paksa dia untuk belajar. Anda sebaliknya minta anak untuk beri tunjuk ajar kepada anda. Anak yang bijak akan sentiasa beritahu apa yang dipelajarinya di sekolah. Minta mereka untuk mengajar anda dan berikan kata pujian. Pujian dan kata semangat akan membuatkan mereka lebih seronok untuk ke sekolah dan belajar lebih banyak.

Sesekali berikan mereka ganjaran untuk menghargai usaha mereka untuk belajar. Ganjaran tidak perlu besar tetapi diberi secara kerap untuk memberitahu anak-anak bahawa anda menghargai semangat mereka untuk belajar.

Lihat ‘Kekuatan’ Anak

Memberi fokus penuh kepada kekuatan anak anda dapat mewujudkan emosi yang sihat dan perkembangan akademiknya juga akan meningkat. Memberi perhatian kepada kelebihan mereka juga akan memberi motivasi kepada anak anda untuk terus belajar.

Paling penting, hargai pencapaian anak anda. Ada sesetengah anak mungkin kurang berminat dengan proses pembelajaran secara terus, tetapi lebih gemar cara belajar sambil bermain. Kenali potensi dan keinginan anak-anak anda. Jangan paksa proses pembelajaran anak-anak kerana ia hanya akan merencatkan minat mereka untuk terus belajar.