Tak Perlu Bimbang! Dr Maszlee Jamin Sistem Baru Gantikan Peperiksaan Lebih Baik Untuk Anak

Share

Selepas pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengenai tiada lagi peperiksaan untuk murid tahap 1 (tahun 1, 2 dan 3) bermula tahun depan rata-rata ibu bapa bersetuju dengan cadangan tersebut.

Bagaimanapun, ada juga segelintir ibu bapa dan guru yang masih mengharapkan peperiksaan patut diteruskan untuk mengukur keupayaan anak dari aspek akademik.

Menerusi laporan Dr Maszlee di Facebooknya, beliau berjanji ibu bapa dan guru tak perlu risau dengan perubahan yang dilakukan ini kerana beliau dan pihak kementerian akan bekerja lebih keras untuk memastikan perubahan yang dilakukan ini berjaya dilaksanakan sebaik mungkin dan sistem pendidikan negara dapat ditambah baik.

Dalam hal ini, hasrat Dr Maszlee adalah untuk menggantikan budaya peperiksaan dan mentaliti “exam-oriented” di sekolah kepada pentaksiran yang “learning-centered”.

Paling utama, beliau mengharapkan semua pihak dapat membantu dan menyokong ke arah merealisasikan hasrat ini.

“Banyak lagi perubahan yang akan berlaku dalam sistem pendidikan negara pada tahun 2019 nanti yang akan diumumkan secara berperingkat,” jelasnya.

Sementara itu, menerusi pendapat yang dikongsikan oleh ibu bapa, mereka mengharapkan pihak kementerian dapat menekankan akhlak, adab, etika, solat dan bacaan al-Quran di samping tidak mengenepikan proses 3M dan asas Sains.

Jika boleh soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) kepada murid tahap 1 tak perlu diperkenalkan lagi kerana ia salah satu sebab anak-anak yang masih kecil ini jadi kurang minat nak belajar kerana mereka tak mampu berfikir lagi.

Sumber: Dr Maszlee Malik

Kredit Gambar: Astro Awani

IKLAN