“Tutup pintu tandas tu, jangan biar terbuka” orang tua-tua memang suka ingatkan kita agar sentiasa menutup pintu tandas.
Arkitek Jelaskan Kesan Tandas Dalam Bilik Tidur
Jika dilihat kepada trend reka bentuk rumah pada hari ini, kebanyakan bilik tidur akan disertakan sekali dengan tandas. Reka bentuk ini sememangnya memberikan kemudahan kepada penghuni bilik tersebut kerana tidak perlu berjalan jauh untuk ke tandas.
Namun, ada juga yang mengatakan bahawa tandas dalam bilik sebenarnya tidak mematuhi syariah. Oleh itu, ikuti perkongsian individu ini mengenai keadaan tandas di dalam bilik tidur.
Tandas dalam bilik tidur tidak patuh syariah?
Sebenarnya memang kurang elok tandas berada dalam rumah. Kerana tandas adalah tempat tinggal jin dan syaitan. Apatah lagi dalam bilik tidur.
*Apabila Nabi SAW ingin memasuki tandas pula, baginda bersabda: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada syaitan lelaki dan syaitan wanita”.Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 139.*
Ads
Bayangkan rumah sekarang banyak tandas bersatu dengan bilik tidur. Tatkala pintu tandas terbuka, maka jin dan syaitan boleh terus masuk ke dalam bilik-bilik tidur kita. Buka pintu tandas terus mengadap katil beradu. Mana tidaknya selalu suami isteri bergaduh di dalam bilik tidur sendiri!
Pernah dulu saya menghadiri satu majlis perkhawinan. Kemudian saya masuk ke dalam bilik tuan rumah untuk menumpang tandas. Di bilik tersebut ada seorang makcik yang sudah lanjut usia. Dia sedang berehat di katil dalam bilik tersebut.
Sebaik saya keluar dari tandas, makcik ini bersuara : ” Tutup pintu bilik air itu cepat-cepat”
Dan setiap kali orang masuk ke tandas, makcik ini akan bersuara “Tutup pintu tu! Kenapa dibiarkan terbuka. Syaitan masuk bilik ni nanti”
Ads
Adakah benar terbukanya pintu tandas itu membenarkan jin dan syaitan masuk ke ruang dalam rumah kita?
Ya, benar. Namun ada caranya untuk menghalang mereka terus masuk mencemari kita sekeluarga.
Rasullullah SAW ada memberitahu kita bahawa Jin tidak boleh membuka pintu-pintu yang ditutup dengan menyebut nama Allah.
*1) “Tutuplah pintu-pintu serta tutuplah bekas makanan dan minum kalian.”*
(HR. Bukhori 5624).
Ads
*2) “Apabila kegelapan malam menjelma atau apabila sudah lewat petang, maka tahanlah anak-anak kamu. Ini kerana, pada waktu itu syaitan berkeliaran. Apabila telah berlalu beberapa ketika daripada malam, biarkanlah mereka dan tutuplah pintu-pintu serta sebutlah nama Allah kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup.” Riwayat al-Bukhari (3304) dan Muslim (2012).*
*Maka jika benar tandas ada dalam bilik tidur dan di dalam rumahmu, sentiasalah tutup pintu dengan menyebut nama Allah swt.*
Orang tua kita dahulu sudah lebih tahu. Sebab itu rumah orang dulu-dulu tandas diasingkan dari rumah itu. Rumahtangga mereka pun aman damai selalu. Maghrib saja semua tutup tingkap dan pintu.
Lalu saya kongsikan kisah bahana tandas dalam bilik seperti di atas.
Hendak design rumah ini lebih seronok dan selesa bila kita tahu sunnah dan makna disebaliknya.
Impian setiap muslim pastinya ingin menunaikan haji di usia yang muda kerana lebih mudah untuk beribadat. Yang paling menjadi cita-cita setiap ibu untuk bersama-sama ke tanah suci sekeluarga menunaikan ibadah.
Sama seperti ibu ini apabila dia berkongsi cara bagaimana anak-anaknya dapat menunaikan haji diusia yang begitu muda. Ikuti perkongsian ini.
Ramai yang tanya saya, rahsia anakanak dapat menunaikan haji pada usia yang muda.
Tak ada rahsia.
Saya dan Tabung Haji memang tak dapat dipisahkan. Kalau ada award, boleh bagi la kat saya… 🤣🤣🤣
Seawal usia 15 tahun saya dah buka akaun TH. Masa tu ada pameran di sekolah dan saya singgah buka akaun di booth TH. Dari situlah bermulanya persahabatan saya dengan TH.
Ada duit RM5, saya pos ke TH Gerik. Begitulah yang saya lakukan masa zaman sekolah. Sehinggalah saya keluar mengajar, barulah saya buat potongan gaji secara tetap.
Sebelum berkahwin, sebelum ada anak, saya sudah membantu membuka akaun TH untuk anak-anak murid Tahun 1 saya. Masa tu kaunter TH dibuka pada setiap hari Sabtu di bangunan Arkeb MARA Lenggong.
Saya wujudkan tabung simpanan untuk anak-anak murid. Kalau mereka masih ingat, setiap hari mereka akan menabung duit lebihan belanja sekolah mereka, sekupang dua kupang…
Masa tu mana ada media sosial macam sekarang. Nak ambil gambar buku catatan tabungan pun tak dapat. Kena guna kamera isi filem Kodak.
Apabila duit mereka cukup RM5 atau lebih, saya akan bawa ke kaunter TH. Sehingga mereka di Tahun 6, saya masih meneruskan usaha tabungan tersebut. Buku akaun TH mereka, saya pulangkan kepada mereka apabila mereka tamat tahun 6.
Kalaulah ibu bapa mereka prihatin pada masa itu dan membuat pendaftaran haji anak-anak mereka, tentu sekarang mereka semua sudah bergelar haji hajah terlebih dahulu daripada anak-anak saya.
Jadi, tak ada hairanlah kalau saya membuka akaun TH anak-anak saya seawal usia mereka 2 minggu iaitu sebaik-baik sahaja mereka memperoleh surat beranak dan seterusnya mendaftarkan haji mereka.
Target saya, sebulan RM100, setahun RM1200, sepuluh tahun RM12 000 simpanan bersih tidak termasuk bonus. Bermakna pada usia 10 tahun, mereka sudah cukup wang untuk mengerjakan haji.
2007, umur abang genap 10 tahun. Dia selalu ikut opahnya pergi kursus haji kerana pada tahun tersebut opahnya dapat tawaran mengerjakan haji. Dia bagitau kawan-kawannya yang dia nak pergi haji.
Suatu hari saya terserempak cikgunya. Cikgu dia bagitau, Syaiful bagitau semua orang yang dia nak pergi haji. Cikgunya kata,”Dia ingat senang-senang kot nak gi haji. Kalau tak ada duit, mana boleh pergi haji. Setakat pergi kursus je la.”
Saya senyum je. Tak jawab apa-apa pun. Tak la pulak saya bagitau, duit dia memang dah cukup. Dia bagitau tu memang betul dia nak pergi haji sebab memang dah daftar pun haji dia masa tu.
Alhamdulillah, 6 tahun kemudian, pada usianya 16 tahun, Allah menjemput abang menjadi tetamu agung-Nya.
Anak-anak memang sejak kecil lagi pulun mengaji dan nak khatam Quran cepat-cepat sebab ma ayah janji nak bawa umrah kalau semua dah khatam Quran.
Bukan paksa anak-anak tapi asbab itu jugalah mereka bersungguh-sungguh mengaji dan berguru.
Doa mama semoga anak-anak mama terus istiqomah dalam mengerjakan amal ibadat, mencintai rumah Allah dan mencintai agama Allah.
#hajiabglangkakak2023
#bawadoakamibersamakalian
Kredit: Noor Azihan Sulaiman
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dato’ Dr Hamid Arshat, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan terkenal masih sihat dan bertenaga di usia 70-an. Doktor berpengalaman luas ini masih lagi menjalankan tugas menyambut kelahiran bayi di hospitalnya bertugas.
Menurut pakar perbidanan ini, masalah stres dan kegemukan di kalangan ramai orang muda sekarang menjadi punca banyak diserang penyakit seperti jantung, darah tinggi, kencing manis, angin ahmar.
Beliau berpesan supaya menguatkan imuniti atau kekebalan tubuh badan untuk menangkis serangan penyakit. Jadikan ia amalan dan gaya hidup setiap hari.
Tahap kesihatan orang-orang dewasa Malaysia, berumur 18 tahun ke atas amat membimbangkan. Kira-kira 30% menghidap penyakit darah tinggi, 17.5% menghidap penyakit kencing manis dan 50% mengalami tahap kolesterol tinggi. Lebih kurang 15% dalam kaedaan prediabetic dan berpotensi mengidap diabetes dalam tempoh beberapa tahun jika tiada kawalan.
Mereka ini terdedah kepada serangan jantung, angin ahmar, rosak buah pinggang, Alzheimer atau nyanyok. Kemungkinan dipotong kaki, rosak penglihatan dan lain-lain komplikasi kesihatan.
Bila umur meningkat 60 tahun, satu dari 4 orang akan diancam penyakit kanser dan dalam umur 70 tahun ke atas 10 – 15% akan dilanda nyanyok dan Alzheimer.
Pada keseluruhan tahap kesihatan penduduk Malaysia semakin meningkat; jangka hayat 75 tahun, 72 tahun untuk orang lelaki dan 77 tahun bagi wanita Malaysia.
Sambil kita berdoa setiap hari untuk mohon sihat serta kuat tubuh badan dan akal fikiran, kita perlu mengawal diri dengan mengamalkan tabiat hidup sihat.
1. Berfikiran positif, tenang, ceria dan lapang dada
Segala fungsi-fungsi tubuh dikawal oleh otak dan Allah kurniakan kita akal fikiran untuk mengawal segala-galanya. Jangan terlalu ikut nafsu, amalkan tabiat baik dari segi pemakanan dan exercise di samping menjauhkkan amalan merokok, dadah dan arak.
Kuatkan azam dan teguhkan disiplin diri demi untuk menikmati kesihatan.
Orang-orang yang tenang dan dapat kawal stress, ceria dan lapang dada sering lebih sihat tubuh badan dan insha’Allah akan lanjut usia.
Stress merupakan satu penyebab utama bagi berbagai-bagai penyakit, ketidaksuburan dan keguguran di kalangan wanita. Di kalangan lelaki, stress jadi faktor pencetus serangan jantung dan angin ahmar.
2. Kawal stress
Bila stress, hormone steroids meningkat dan saluran darah kuncup. Jika berterusan boleh merosakkan organ-organ terpenting seperti jantung, otak dan buah pinggang.
Ada bermacam-macam kaedah untuk mengawal stress, termasuk solat, puasa, baca al-Quran, zikirullah, selawat, exercise, deep breathing exercises, yoga, Tai chi dan lain-lain. Kita pilih yang mana sesuai untuk diri kita dan amalkan setiap hari.
Exercise yang paling mudah dilakukan ialah ‘deep breathing exercise’, sambil duduk sedut nafas melalui hidung sedalam-dalam yang boleh dan lepaskan nafas perlahan-lahan melalui mulut. Ulang pernafasan selama 5 minit dan ulang exercise di mana-mana tempat bila berasa keletihan dan mental tertekan.
Amalkan berzikir dan selawat bila memandu kereta dan bila-bila masa lapang.
Walau pun menghadapi provokasi, cuba tahan marah, jangan simpan dendam.
Bila timbul perbalahan, pertengkaran, isteri berleter atau konflik tinggalkan tempat tersebut. Banyak beristighfar.
Bila ditimpa musibah, banyak bersabar, jangan terlalu sedih dan hampa menghadapi qada’ dan qadar Allah SWT.
3. Makan yang berkhasiat dan berzat
Kebanyakkan rakyat Malaysia tidak mengamalkan makanan yang seimbang, berkhasiat dan berzat. Mereka terlebih makan gula dan manisan, karbohaidrat dari makanan segera, junk foods, makanan diproses, diawet dan dimaniskan. Kurangkan atau jauhi makanan-makanan tersebut.
Lebihkan makanan-makanan yang mentah dan segar; buah-buahanan, sayur-sayuran, ulam-ulam dan sumber-sumber protein, daging, ayam, ikan-ikan dan makanan laut yang segar tanpa diproses. Sepatutnya 70% daripada diet kita terdiri daripada makanan mentah dan segar.
Ulam raja dikatakan berkesan sebagai anti kanser. Peria boleh kawal cholesterol dan gula dalam darah.
Kurangkan makanan-makanan digoreng dan berlemak santan, susu atau lain-lain. Makanan-makanan yang disteam atau direbus dan dicampur dengan ramuan-ramuan halia, kunyit, bawang putih dan merah adalah lebih berkhasiat.
4. Amalkan exercise 30 minit setiap hari
Exercise mudah dipercakapkan tapi sukar dilakukan. Jangan tangguh, terus lakukan setiap hari.
Hanya 30% penduduk Malaysia pernah buat exercise dan hanya 14% yang betul-betul buat exercise secara berkesan.
Paling mudah ialah berjalan kaki selama 30 minit khususnya lepas makan atau lepas solat subuh.
Exercise dengan treadmill, angkat berat atau basikal spin lebih intensif dan berkesan.
Faedah exercise ialah membakar lemak, mengawal gula dalam darah serta menguatkan otot-otot dan organ-organ.
Ia juga mengawal hormon steroids; mengeluarkan endorphins dalam otak yang memberi rasa tenang dan ceria.
Di peringkat dalaman sel-sel , exercise menjadikan telomere dalam DNA menjadi lebih panjang dan seterusnya meningkatkan kesihatan.
Saya berkebun di sekitar kawasan rumah untuk menggantikan exercise harian dan untuk tanam herba, ulam-ulam dan sayur-sayur.
5. Vitamins, logam dan supplemen
Vitamin-vitamin dan logam-logam adalah sangat penting bagi pembinaan dan pertumbuhan sel-sel dan tisu. Percambahan sel-sel sangat penting untuk proses baik pulih tisu-tisu dan organ-organ yang sentiasa terancam oleh trauma, serangan kuman-kuman dan pelbagai racun.
Seringkali pemakanan harian kita tidak mengandungi zat-zat dan vitamins yang cukup dan seimbang. Ada kala pula usus kita tidak dapat menyerap sepenuhnya vitamin-vitamin dan logam-logam. Kekurangan vitamin dan logam mengakibatkan berbagai penyakit dan kerosakkan tisu dan organ-organ terpenting.
Saya dan isteri mengamalkan makan multivitamins jenama obimin, calcium, fish oil dan vitamin C setiap hari sejak berpuluh tahun.
Bila kita keluar negara seperti pergi umrah kita makan lebih vitamin C sampai satu gram sehari. Alhamdulillah jarang diserang kuman virus.
Saya juga mengambil supplement-supplement yang mengandungi resveraterol dan antioxidant lain dari biji anggur. Tujuannya ialah untuk mengurangkan kerosakkan sel-sel dan tisu-tisu jantung dan otak.
6. Kawal gemuk
Malaysia mempunyai jumlah tertinggi penduduk yang terlalu gemuk (obesity) iaitu 13.3 % dan yang sederhana gemuk (overweight) 38.5%.
Kegemukan menimbulkan macam-macam penyakit termasuk diabetes, darah tinggi, sakit jantung, serta ketidaksuburan dan gangguan haid di kalangan wanita.
Memang mudah naik berat badan khususnya selepas kahwin, tapi berbagai usaha menurunkan berat badan sering gagal.
Tiada punca lain bagi kegemukan melainkan makan berlebihan khususnya makanan-makanan karbohidrat dan manisan. Tapi orang-orang gemuk menafikan hakikat ini (denial).
Kawal dan kurangkan amoun makan, gantikan karbohidrat dengan sayur-sayur dan lauk-pauk protein.
Lakukan exercise untuk bakar lemak dan kuruskan badan.
Ada supplement-supplement untuk kurus saperti zenercal, adipex, duramin dan lain-lain. Tetapi tak boleh bergantung terlalu lama pada ubat-ubat tersebut.
7. Cukup tidur dan rehat
Sebaiknya seseorang tidur selama 5 – 7 jam dalam sehari semalam. Badan perlu rehat untuk proses baik pulih sel-sel dan tisu-tisu dan organ-organ.
Saya amalkan tidur awal jam 10 malam dan bangun jam 5 pagi untuk solat tahajud diikuti solat subuh berjemaah di masjid.
Alhamdulillah dalam umur 73 tahun, Allah kurniakan saya kesihatan dan kekuatan untuk terus memberi khidmat perubatan kepada yang memerlukan.
Mengambil anak angkat merupakan antara pilihan terbaik bagi pasangan yang tidak dikurniakan rezeki untuk memperoleh zuriat sendiri. Tetapi bagaimana caranya untuk membuatkan si anak berasa diterima dan disayangi?
Pengambilan anak angkat
Mengambil anak angkat merupakan satu tindakan yang amat digalakkan, lebih-lebih lagi jika si anak itu merupakan anak yatim. Ini pastinya dapat membela kehidupan si anak ke arah yang lebih baik dan terjamin.
Namun tidak dinafikan, jika anak tersebut merupakan kanak-kanak yang sudah besar, berkemungkinan mereka akan menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dengan keluarga angkatnya.
Pelbagai cara telah dicuba dan dilakukan, tetapi masih tidak berjaya membuat si anak berasa diterima dalam rumah dan keluarga angkatnya. Lebih merungsingkan hati ibu bapa angkat, jika si anak hanya berdiam dan sentiasa mengasingkan diri.
Penerimaan keluarga baru
Mengambil bayi yang baru lahir sebagai anak angkat semestinya satu situasi berbeza dengan membawa seorang kanak-kanak yang sudah boleh bercakap, berfikir dan membuat keputusan sendiri, pulang ke rumah anda sebagai anak.
Apabila seorang kanak-kanak dibawa ke tempat baharu, sebuah rumah yang bakal menjadi kediamannya, sudah tentu ia boleh menjadi satu pengalaman yang menakutkan dan luar biasa untuk dirinya. Apatah lagi jika mereka mungkin mempunyai pengalaman yang sukar dan pahit sebelumnya seperti didera atau dibiarkan tanpa penjagaan.
Kanak-kanak yang dibawa ke rumah keluarga angkat, pastinya akan terlintas difikirkan mereka, adakah dia akan selamat di sini atau akan didera kembali. Jika anda mempunyai anak sendiri, keadaan tersebut mungkin akan menimbulkan kebimbangan seandainya kehadirannya tidak diterima adik-beradik angkat yang lain.
Perkara ini tidak semudah dengan membawa seorang kanak-kanak pulang ke rumah anda dan menyatakan ia adalah tempat tinggalnya yang baru dan anda semua akan hidup bahagia sebagai sebuah keluarga.
Hakikatnya ia adalah satu cabaran buat anda, keluarga (jika mempunyai anak kandung sendiri) dan anak tersebut. Walau bagaimanapun, cabaran tersebut boleh diselesaikan dengan kerjasama semua pihak.
Tip menjalinkan hubungan;
Setiap masalah sudah tentu ada jalan penyelesaiannya. Jadi berikut dikongsikan beberapa tip dan cara yang boleh membantu mengurangkan kejanggalan antara anak dan keluarga angkatnya.
Hadirkan kemesraan
Ketika mengalukan-alukan kedatangan si anak di rumah anda, pastikan nada suara yang digunakan lembut dengan senyuman yang ikhlas. Sebaiknya elakkan daripada melakukan sebarang sentuhan secara berlebihan. Ini untuk menghindari si anak daripada terfikir yang anda mungkin cuba melakukan sesuatu yang tidak elok kepadanya.
Berikan si anak pilihan, katakan padanya bahawa dia boleh memanggil anda sebagai mama, sekiranya dia sudah bersedia. Jika tidak, dia boleh memanggil anda dengan gelaran makcik. Berikan mereka masa untuk menerima kenyataan bahawa anda kini adalah ibu bapa angkatnya.
Jika anda mempunyai anak kandung sendiri, berikan peluang kepada dirinya dan juga anak-anak anda untuk memperkenalkan diri. Mereka tidak perlu dipaksa untuk menggunakan panggilan adik, abang atau kakak. Sebaliknya, sebagai permulaan menggunakan nama sendiri sudah cukup baik.
Persekitaran
Perkenalkan anak angkat dengan persekitaran rumah seperti dapur, ruang tamu, bilik anda dan pasangan, bilik adik-beradiknya lain (jika ada) dan termasuklah bilik baharunya. Tetapi pastikan bilik baharunya dalam keadaan kemas dan bersih. Jika berkemampuan, sediakan perabot baharu seperti katil, almari pakaian dan meja belajar.
Jika ada kelapangan, adakan satu majlis untuk mengumpulkan semua ahli keluarga dan sahabat rapat anda bagi memperkenalkan mereka kepada keluarga dan sahabat anda. Ia pastinya dapat meningkatkan lagi rasa penerimaan si anak di dalam keluarga baharunya.
Peraturan rumah
Setiap rumah sudah tentu mempunyai peraturan yang tersendiri bukan, dan peraturan ini terpakai kepada semua termasuklah anak angkat anda. Untuk memperkenalkan segala peraturan di dalam rumah, ia perlu dilakukan dengan baik dan lemah-lembut.
Mungkin ada antara anda terfikir masih terlalu awal untuk memperkenalkan peraturan rumah tetapi sebenarnya ia adalah satu perkara penting dan tindakan yang terbaik. Ini kerana mereka perlu sedia maklum mengenai peraturan di rumah, mereka tahu apa yang patut dan tidak patut mereka lakukan.
Walau bagaimanapun, elakkan daripada memberikan peraturan rumah yang terlalu panjang. Cukup sekadar memberitahu peraturan utama. Jika tidak, ia mungkin akan menyebabkan wujudnya tekanan kepada si anak. Berikan peluang kepada mereka jika terdapat sebarang soalan yang ingin ditanyakan kepada anda. Tujuan utamanya adalah untuk membina kepercayaan antara anak dan anda sebagai ibu bapa dan keluarga angkatnya.
Harapan si anak;
Setiap anak pastinya mengharapkan sesuatu daripada ibu bapa dan keluarganya. Begitu juga dengan anak-anak yang bergelar anak angkat. Berikut adalah beberapa perkara utama yang diharap oleh anak kepada keluarga angkatnya.
Selamat
Anak yang diambil oleh keluarga angkat sudah pastinya ingin berasa dirinya selamat. Ini kerana anak-anak ini datangnya daripada pelbagai latar belakang, mungkin ada antara mereka sentiasa diselubungi rasa takut dan bimbang.
Jadi anda harus memainkan peranan penting untuk mewujudkan rasa selamat dalam diri anak tersebut. Hadirkan satu perasaan dalam diri si anak yang membuatkan mereka berasa anda dan keluarga adalah tempat paling selamat buat mereka.
Kasih sayang
Melafazkan kata sayang adalah tidak semudah melakukannya. Kasih sayang melibatkan perbuatan. Mereka mungkin tidak menunjukkannya tetapi percayalah, anak-anak yang diambil oleh keluarga angkat ini amat dahagakan kasih sayang.
Jangan sekadar melafazkannya bahawa anda sayangkan mereka, tetapi anda harus membuktikannya. Wujudkan kepercayaan antara si anak dan anda sebagai keluarga angkatnya. Biarkan mereka melihat bahawa kasih sayang di rumah anda bukan sekadar dibuat-buat, tetapi hadir seikhlasnya untuk mereka.
Persefahaman
Jika anak yang anda ambil adalah dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ketahuilah bahawa mereka mungkin telah melalui pengalaman yang sukar dan menakutkan. Jadi anda harus bersedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan kerana anda mungkin akan berdepan dengan situasi dan tingkah laku yang mungkin tidak pernah anda duga.
Dalam situasi ini, ia memerlukan kesefahaman dan kesabaran yang tinggi daripada pihak anda sebagai ibu bapa angkat. Pastikan anda mencurahkan rasa kasih sayang tanpa berbelah bagi kepadanya.
Anak angkat adalah sama seperti anak-anak yang lain yang mahukan diri mereka disayangi dan dikasihi. Jadi pastikan anda melayan mereka sama seperti ahli keluarga anda yang lain dan elakkan daripada mengabaikan mereka. Berikan mereka peluang merasai hidup dalam sebuah keluarga yang bahagia.
Sumber: Hello Doktor
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jaslinda ditemui selamat selepas 15 hari hilang di Gunung Batu Putih. Penemuan mangsa membawa kelegaan kepada keluarga dan rakyat Malaysia yang mengikuti operasi pencarian sejak hari pertama.