Tentu ramai ibu ayah lega walaupun anak-anak buat rumah bersepah. Ini gara-gara lepas baca pendapat beberapa pakar perkembangan kanak-kanak bahawa rumah bersepah adalah tanda anak-anak sedang aktif belajar dan bereksplorasi.
Mesti ramai ibu ayah yang mementingkan kebersihan dan kekemasan rumah walaupun ada anak kecil rasa keliru dan sedikit “kecil hati” dengan pendapat tersebut. Sebenarnya, tak perlu keliru atau salah anggap kerana rumah yang kemas juga tanda anda ibu ayah yang terbaik dan anak-anak juga boleh bereksplorasi banyak perkara.
Anda boleh baca pendapat Puan Uswatun Hasanah, Konsultan Tangisan Bayi tentang hal ini.
Bukan baru-baru ini saja kita mendengar slogan yang mengaitkan rumah yang bersepah itu tanda anak-anak bergembira.
Antara kata-kata yang sering diguna pakai untuk mempromosi hal ini ialah :
“Please excuse the mess,the children are making memories” (Maaf kerana keadaan bersepah, anak-anak sedang membuat memori)
“Good moms have: sticky floors, messy kitchen, laundry piles, dirty ovens and happy kids” (Ibu yang baik mempunyai: lantai yang melekit, dapur yang bersepah, baju kotor yang menimbun, ketuhar yang kotor dan anak- anak yang gembira).
Seriously? Benarkah anak-anak yang duduk di rumah yang kotor dan bersepah itu gembira?. Adakah keadaan bersepah dan kotor itu menggembirakan anak-anak? Bagaimana pula rumah yang kemas dan bersih itu membuat anak-anak tak gembira? Adakah anak-anak yang duduk di dalam rumah yang kemas adalah anak-anak yang tidak gembira? Adakah rumah yang kemas itu tanda anak yang tinggal di dalamnya tidak berpeluang bebas menjadi kanak-kanak: membuat sepah, menjadi kreatif, mengguna imaginasi dan meneroka?
Be careful mommy. Jangan cepat jadikan anak-anak sebagai alasan untuk mewajarkan tindakan kita.
Ada anak kecil memang kena kemas rumah je
Pepatah ada berkata, ” Cleaning the house while your kids are still growing is like shoveling the walk before it stops snowing” ( Membersihkan rumah ketika anak- anak masih lagi membesar ibarat mengaup salji di jalanan sebelum musim salji berakhir ).
Apa maksudnya? Sepanjang musim ‘winter’ , salji memang akan turun tanpa henti lalu menyebabkan jalan dilitupi salji setiap masa hingga menebal seiring masa. Namun, demi keselamatan dan kemudahan, kita tiada pilihan selain terus membersih dan mengaup salji dari atas jalanan walau kita tahu keadaan tidak akan berubah selama salji masih turun.
Sama halnya dengan anak-anak. Ya,fitrah anak itu bermain, meneroka, membuat onar dan bereksperimen. Ia tidak akan berhenti selama mereka bergelar anak kecil. Namun,adakah ia harus jadi alasan untuk kita membiar keadaan menjadi kotor teruk dan bersepah demi fitrah ini?
Mungkin ada yang berkata, “Buat apa nak kemas,nanti kejap lagi anak main semula, sepah jugak balik..” Wow..jadi adakah ok untuk kita berkata begini untuk hal-hal seperti di bawah ini pula ?
Ads
– Buat apa nak kemas katil, malam nanti nak tidur jugak.
– Buat apa nak kemas dapur, kejap lagi nak masak jugak
– Buat apa nak cuci baju, nanti pakai kotor jugak
– Buat apa nak sental toilet, memang selalu orang guna jugak
Come on..ada garis pemisahnya antara membuat alasan kerana malas dan kerana keadaaan memerlukan ia jadi begitu.
Selesai main kena kemas!
Bermainlah semahunya ketika anak mahu bermain: tuang keluar semua mainan dari kotaknya, taburkan semua krayon dan pensel untuk melukis, lompat-berlari-bersembunyilah di setiap ceruk rumah ketika bermain perang-perang, punggahlah semua bantal,kusyen dan sofa untuk bina kubu dan rumah ‘olok-olok’…silakan semuanya.
Namun,bila selesai bermain,ajarlah anak bahawa keadaan harus kembali kemas untuk rumah berfungsi. Rumah bukan semata-mata tempat untuk bermain dan bergembira,tetapi rumah juga tempat berkerja, belajar (mengulangkaji), beribadat,meraikan tetamu dan rakan (berkumpul) juga tempat menenangkan fikiran. Rumah harus jadi tempat paling mahu ditujui oleh semua ahlinya.
Benar, rumah yang bersepah atau kemas, bukan ukuran rasa gembira yang ada dalam hati penghuninya. Tetapi hakikatnya, ada banyak manfaat memiliki rumah yang kemas hingga tidak perlu lah seseorang sampai berhajat untuk memiliki rumah yang kotor! Rumah yang kemas lebih selesa untuk diduduki, mudah untuk mencari barang tanpa perlu banyak masa mencari di sebalik timbunan atau terpaksa membeli barang baru akibat tak berjumpa barang yang dicari, lebih menjamin kesihatan anak-anak serta melancarkan rutin harian dengan adanya pinggan, cawan ,baju dan pelbagai barangan guna harian yang bersih dan tersedia untuk digunakan.
Ads
Bukan tak boleh sepah langsung
Bukanlah bermaksud rumah harus setiap hari licin ke tahap tiada secalit habuk, berbau peluntur ibarat di steril semua sudut dan barang-barang tersusun dengan darjah dan turutan warna tertentu. TIDAK! Itu OCD namanya. Tak perlu menjadi OCD untuk jadi pengemas. Ini kena faham. Kalau tidak,ramai pula yang sarkastik dalam hal ini.
(Nota: harap faham bahawa kenyataan ini bukan untuk mempersenda penghidap OCD. Terma OCD diguna hanya untuk ‘membalas kembali’ dakwaan sebahagian orang yang menyangka bahawa ‘kemas’ yang disebut dalam hal ini bermaksud seperti ciri ketelitian OCD)
Tiada masalah untuk membiar pinggan mangkuk berlonggok di sinki hingga tengahari kerana anda mahu melayan anak bermain. Tiada masalah membiar baju sebesen tak berlipat hingga ke tengah minggu kerana menjaga anak-anak yang demam. Tiada masalah dapur dan tandas tak sempat di cuci hingga ke hujung minggu kerana terlalu banyak urusan kerja sekolah, projek Sains dan seni anak-anak yang harus dibantu.
Ini keadaan sementara yang dapat difahami. Ia menunjukkan seseorang itu tahu memberi fokus pada apa yang penting dahulu. Mencari ‘balance’ atau keseimbangan itu kuncinya. Ia lain benar dengan membuat alasan kerana malas dan tak ingin terlibat langsung atau tak mahu berfikir langsung untuk menyelesaikannya!.
Jangan jadikan anak kecik sebagai alasan
Lebih penting, anak-anak harus jadi sebahagian dari penyelesaian masalah, bukan sebahagian dari masalah semata-mata. Memiliki rumah yang kemas sementara memiliki anak kecil itu bukan sesuatu yang mustahil.
Menurut pakar, menjadi fitrah anak kecil untuk meniru dan merasa bangga dapat meniru kehebatan ibu bapa (atau orang dewasa) yang dekat dihatinya. Mereka juga mahu merasa ‘berguna’, menyumbang sesuatu kepada keluarga , merasa hebat dengan pencapaiannya hingga terasa dia itu memang sebahagian dari keluarga. Maka, amat normal kita melihat anak kecil sibuk-sibuk mahu menyapu rumah, sibuk-sibuk mahu mendodoi adik, sibuk-sibuk mahu mengelap meja, sibuk-sibuk mahu tolong masak dan macam-macam lagi. Jadi, raikanlah sikap anak kecil ini.
Anak seusia 2 – 3 tahun sudah boleh mengutip mainannya dan memasukkan ke dalam kotak, sudah boleh diminta menyusun kembali buku yang dibacanya, membuang lampin kotornya ke dalam bakul atau membantu memberi makan kepada binatang peliharaan.
Ads
Anak seusia 4-7 pula misalnya sudah boleh diminta mengemas katil (susun bantal dan lipat selimut), angkat pinggan dan cawan kotor, membuang sampah ringan, letak stoking dan baju kotor ke dalam mesin basuh,menyiram pokok malah menyusun barang dapur yang baru dibeli dari pasaraya.
Malah, anak- anak kecil sudah faham arahan dan penerangan ringkas untuk kita mula tetapkan batasan dan peraturan seperti menconteng hanya pada kertas atau dinding khas dibilik mainan sahaja, plastik makanan yang dibuka perlu dibuang sendiri ke dalam tong sampah,tangan yang kotor perlu dicuci sebelum bermain dan setiap kali mengguna tandas,ia harus di pam.
Ajak anak kemas rumah juga cara untuk bonding
Meluangkan masa berkualiti dengan anak-anak,bukan hanya dengan cara bermain sahaja. Melibatkan mereka membuat kerja rumah juga adalah satu darinya. Siapa kata, ia tidak boleh menjadi sesuatu yang menyeronokkan?.
Minta anak berlumba kutip semua barang di lantai sementara anda menyanyi lagu dan ia harus selesai sebelum nyanyian anda berakhir, atau minta anak kutip barang mengikut warna atau bentuk yang anda sebut ,atau buatlah pertandingan mengemas tentang siapa yang paling pantas dan elok pula hasilnya, atau ikut cara game online: bermain ikut tahap kesukaran.
Setiap anak diberikan senarai kerja yang perlu diselesaikan pada hari ini dan setiap kerja yang disempurnakan layak mendapat bintang. Jumlah bintang yang terkumpul akan mewakili jumlah ‘special playtime’ yang ibu harus luangkan dengan anak,atau boleh mewakili jumlah buku atau cerita yang anak ingin dengar sebelum tidur atau mewakili pilihan makanan atau tempat yang anak ingin pergi pada hujung minggu ini.
Tidak benar jika ada yang berpendapat rumah akan sentiasa bersepah selama anak belum besar. Malah, sebenarnya, kenyataan seperti itu hanya merendahkan kemampuan anak kecil: seolah-olah mereka adalah makhluk primitif yang tak boleh dibentuk dan tak faham sivik.
Pada akhirnya, melibatkan anak-anak dalam urusan kerja rumah mempunyai 5 manfaat besar berikut;
Anak merasa dia turut berfungsi dan penting untuk menyumbang kepada keluarga. Keluarga adalah satu pasukan penting.
2. Ibu bapa melengkapkan anak dengan kemahiran hidup yang diperlukannya sepanjang hayat. Bukankah ibu bapa tiada selamanya untuk anak?
3. Anak belajar tentang mengambil tanggungjawab. Anak perlu tahu bahawa jika semua orang bangkit memegang tanggungjawab, semua urusan menjadi ringan.
4. Anak belajar menilai dan menghargai kerja keras/susah. Anak perlu tahu, dalam hidupnya,ada orang yang bertungkus lumus memastikan dia dapat tinggal di tempat yang cukup selesa untuk dipanggil rumah,ada makan minum dan pakaian yang tersedia dan ianya satu komitmen yang tak harus diperlekeh.
5. Anak mencontohi sikap ibu ayah. Ia adalah pelajaran yang akan anak bawa dalam dirinya sampai bila-bila.
Anak suka berebut mainan sampai bergaduh memang boleh buat mama dan papa jadi marah-marah. Walaupun ada banyak lagi mainan yang lain untuk dipilih, mainan yang satu itu juga yang direbutkan.
Situasi sebegini memang biasa dihadapi oleh mama dan papa. Mama dan papa naik pening nak melayan kerenah anak-anak. Kalau setakat berebut sekejap tak ada masalah tetapi jika sampai menangis, memang boleh hilang kesabaran mama dan papa.
Menurut Konsultan Tangisan & Tidur Bayi, Puan Uswatun Hasanah, ini cara yang boleh mama dan papa buat dan tenangkan anak jika alami drama anak tak nak berkongsi.
Angkat tangan berapa ramai daripada anda yang berkata:
“Jangan pukul adik !”
“Berhenti berebut !”
“Abang kan dah besar, mengalahlah dengan adik ”
“Banyak mainan mama beli, mainan ni juga korang nak berebut kan? ”
Mama & Papa Jangan Marah-marah, Ini Tip Cara Atasi
Ya, saya pun angkat tangan juga tau. Er…apa yang tak kena dengan ayat-ayat di atas tu?
Bahagian fikiran kritikal otak anak seperti rasa empati, logik, alasan dan sebab kepada sesuatu hal belum berkembang elok.
Ayat-ayat di atas tidak menjawab: Kenapa tak boleh pukul? Kenapa tak boleh berebut? Kenapa saya yang kena mengalah? Saya memang nak main yang ini, jadi kenapa saya tak boleh berebut mainan ni?
Otak anak kecil obses untuk mengawal.
Tahu apa rasanya bila kita mula-mula dapat kuasa, ilmu atau kedudukan kepada sesuatu? Saya bagi contoh mudah je. Bila kita mula jadi ibu. Wah, panas betul hati kita bila orang sekeliling pandai-pandai nak tentukan apa yang boleh atau tak dengan anak kita. Wah, sakit hati kita bila orang suka hati je pegang, ambil dan urus anak kita tanpa minta izin. Kan?
Kita jadi obses untuk ‘take control’. Begitulah juga dengan anak kecil terutamanya toddler kerana merasa sentiasa dapat kesedaran baru tentang diri mereka seperti: Wah, rupanya saya boleh menolak orang sampai terjatuh! Wah, tak sangka tangan saya cukup kuat untuk merampas benda.
Skil motor dan perkembangan fizikal anak yang lebih laju berbanding kebagusan fahaman otaknya buat SEMUA ANAK bertukar agresif pada sesuatu tahap usia.
Ini punca toddler sangat bersikap ‘impulsive’ (tak berfikir, semberono, spontan).
Maka respon kita sebagai orang tua kena betul serta perkataan yang kita ucapkan juga perlu sesuai.
Ini contoh skrip sesuai untuk situasi rebut-merebut anak.
Kredit: USWATUN HASANAH MOHD HABIB KONSULTAN TANGISAN DAN TIDUR BAYI PANEL DOKTORBUDAK.COM THB EDU ASSC DBL INSTITUTE THE WONDER WEEKS ACADEMY SLEEPSMART EDUCATION BIG LITTLE FEELINGS
Kebanyakan wanita zaman sekarang cenderung memilih untuk bekerja dan mempunyai kerjaya sendiri. Ia adalah perkara yang bagus dalam usaha memperkasakan wanita dan mengukuhkan lagi kesamarataan gender. Namun, ia mungkin mendatangkan stres buat individu yang bergelar suami. Ingin tahu lebih lanjut? Jom baca artikel ini!
Kajian terbaharu di Amerika
Menurut kajian baru-baru ini yang dijalankan terhadap 6,000 pasangan suami isteri di Amerika oleh University of Bath, UK, suami didapati akan mengalami stres apabila gaji isteri besar dan mampu menampung perbelanjaan keperluan rumah sebanyak 40%.
Kajian yang dijalankan selama lebih 15 tahun ini menunjukkan pola yang menarik. Suami akan stres jika isteri tidak bekerja dan hanya menjadi suri rumah. Jika isteri bekerja dan gaji mereka hampir mencecah 40% perbelanjaan isi rumah pula, stres suami akan berkurangan.
Namun, stres suami akan kembali meningkat jika gaji isteri mula melebihi 40% perbelanjaan isi rumah. Menurut Dr Joanna Syrda yang merupakan seorang pakar ekonomi, dapatan kajian ini menunjukkan bahawa tekanan yang dialami oleh suami berkaitan gaji isteri yang besar adalah berbahaya kepada kesihatan mereka!
Impak kesihatan yang mungkin dialami oleh kaum Adam akibat daripada situasi ini adalah masalah kesihatan pada aspek fizikal, mental dan sosial mereka. Dr Syrda menegaskan bahawa isu gaji isteri yang besar mungkin akan membuat lelaki berasa rendah diri, sekali gus mencipta jurang yang agak luas dalam perhubungan mereka.
Dalam erti kata yang lain, suami akan berasa seperti diri tidak berguna dan stres kerana terpaksa bergantung kepada isteri untuk menanggung perbelanjaan isi rumah yang semakin mahal zaman sekarang.
Trend kini yang tidak sama seperti dulu
Zaman sekarang, kebanyakan wanita bekerja dan mempunyai kerjaya sendiri untuk membantu suami menjana pendapatan. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Pew Research Centre pada tahun 1980 di Amerika, 13% daripada isteri yang bekerja mempunyai gaji yang lebih besar dari suami. Menjelang tahun 2017 pula, statistik tadi semakin meningkat dan dijangka akan terus menaik menuju tahun-tahun yang berikutnya.
Dr Sydra menyatakan bahawa dia dan rakan-rakan pengkajinya amat berminat untuk melihat bagaimana trend ini memberi kesan kepada perhubungan suami isteri.
“Gaji isteri yang lebih besar dari suami akan menyebabkan satu trend yang dikenali sebagai ‘gender role reversals’. Trend ini sebenarnya agak berbahaya kepada kaum lelaki kerana ia mungkin menjejaskan kesihatan mereka dari aspek fizikal, mental, sosial dan lebih menakutkan, mengakibatkan penceraian”, kata beliau lagi.
stres
Jadi, apa perlu buat untuk elak suami stres?
Tujuan artikel ini ditulis bukan untuk merendahkan para suami sebagai ketua keluarga. Namun situasi ini adalah realiti dunia yang berlaku pada hari ini. Jika isteri anda mempunyai gaji yang besar dan mampu menanggung separuh atau lebih daripada perbelanjaan isi rumah anda, jangan stres. Ini apa yang perlu dilakukan oleh kedua pasangan.
#1. Jangan terlalu merendah atau meninggi diri
Perkara ini adalah norma yang agak normal pada zaman sekarang. Sebagai suami, jangan terlalu merendah diri. Jika gaji anda lebih kecil dan tidak mampu menanggung sepenuhnya keperluan isi rumah, jangan sesekali anda berasa stres. Sebaliknya, tolong hargai usaha dan pengorbanan isteri dalam membantu menjana pendapatan isi rumah anda.
Meskipun situasi seperti ini dianggap sebagai satu kebiasaan kini, adat dan agama masih perlu dititikberatkan. Sebagai isteri, jangan sesekali meninggi diri jika gaji anda lebih besar dari suami kerana mereka tetap ketua dalam keluarga yang perlu dipatuhi dan dihormati. Kerjasama memang diperlukan dalam rumah tangga, bukan?
Pun begitu, jangan pula suami berasa terlalu selesa, ya? Tanggung jawab memimpin dan menanggung keperluan keluarga ada berada di bahu anda!
#2. Elak pertelingkahan berkenaan kewangan di hadapan individu lain
Ini adalah perkara yang sangat perlu pasangan suami isteri elakkan terutamanya di hadapan anak-anak dan juga individu luar!
Ya, memang perselisihan faham biasa terjadi dalam rumah tangga. Bak kata pepatah, sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri. Namun, ia perlu dielakkan di hadapan individu lain lebih-lebih lagi jika ia melibatkan hal kewangan.
Ini kerana semasa bertengkar, kita mungkin tidak dapat mengawal perkataan kita ekoran perasan marah yang sedang membuak-buak. Jadi, kemungkinan untuk pasangan mengungkit tentang gaji masing-masing juga ada.
Oleh itu, cuba kawal perasaan marah anda dan jangan sesekali bertengkar berkenaan kewangan di hadapan orang lain, ya?
#3. Wujudkan simpanan kewangan bersama
Apa maksudnya? Anda dan pasangan sebenarnya boleh membuat simpanan bersama-sama di dalam satu tabung. Anda mungkin boleh mewujudkan satu akaun bank khas untuk simpanan masa hadapan. Kemudian, setiap bulan suami dan isteri perlu menyimpan sejumlah wang yang sama amaunnya di dalam akaun tersebut. Bekukan, kemudian gunakan pada hari senja kelak.
Dengan usaha ini, mungkin tiada lagi istilah mengungkit atau bergaduh sesama pasangan mengenai gaji masing-masing lagi.
#4. Tetapkan peruntukan yang berbeza
Sebagai contoh, suami mungkin boleh membelanjakan gajinya untuk hal keperluan rumah seperti membayar bil, ansuran kereta dan rumah serta perbelanjaan dapur. Manakala gaji isteri mungkin boleh digunakan untuk kegunaan kecemasan serta shopping! Sudah lumrah wanita gemar membeli-belah, bukan?
Cuma sebagai suami, anda perlu ingat duit anda adalah duit isteri juga manakala duit isteri adalah duit isteri sahaja. Jadi, jangan terlalu bergantung pada isteri. ya?
#5. Saling membantu antara satu sama lain
Pernah dengar lagu tema Wonderpets? Apa yang penting, kerjasama! Ya, begitulah juga dalam kehidupan suami isteri. Jika suami di dalam kesulitan dari segi kewangan, isteri boleh membantu dan begitulah sebaliknya. Jangan pula anda berasa s dan usah pula anda berasa pasangan anda itu menyusahkan.
Kehidupan suami isteri perlulah erat dan jitu. Sebagaimana aur dan tebing, kedua-duanya saling memerlukan dan melengkapi satu sama lain.
Konklusi
Kesimpulannya, gaji isteri yang besar tidak sepatutnya mendatangkan stres kepada suami. Apatah lagi membuat suami stres. Ia sepatutnya menjadi satu motivasi buat para suami untuk bekerja dan berjaya lebih lagi dalam kerjaya mereka.
Sebenarnya, ia juga adalah satu kelebihan untuk suami. Sekiranya anda berada dalam kesulitan, maka sentiasa ingat yang isteri anda selalu ada untuk membantu anda. Namun, jangan sesekali bergantung sepenuhnya kepada mereka pula ya!
Suami adalah nakhoda kapal layar yang sedang menuju ke pulau kebahagiaan. Pastikan anda sebagai suami mengawal navigasi kapal itu supaya tetap kekal di landasannya. Sebagai isteri pula, sentiasa sokong suami anda dari belakang. Dengan ini, nescaya perhubungan anda berdua boleh kekal sehingga ke jannah.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bermain adalah aktiviti penting untuk kanak-kanak. Bermain bukan sahaja untuk mengisi waktu si kecil anda, ia juga turut membantu perkembangan fizikal dan mental anak. Sebagai ibu bapa anda pasti dapat memilih permainan yang sesuai dengan umur anak kerana pada setiap tahap umur, si kecil biasanya mempelajari sesuatu yang baru. Berikut adalah panduan usia bijak bagaimana anak-anak bermain, dan permainan yang bukan sahaja untuk keseronokan tetapi juga membantu kanak-kanak memahami dunia, belajar kemahiran sosial dan emosi serta merangsang otak mereka.
Tahun pertama dalam kehidupan seorang bayi adalah tentang penerokaan. Bayi menggunakan lima deria mereka untuk belajar tentang dunia baru yang menarik di sekeliling mereka: Adakah objek rasa keras atau lembut? Melekit atau kasar? Apa yang berlaku jika saya jatuhkan ia? Atau memasukkannya ke dalam mulut saya? Kebanyakan permainan akan dimasukkan ke dalam mulut mereka untuk dirasa atau objek dibaling, digoncang dan menjatuhkan.
Apabila kemahiran motor baru bayi anda telah berkembang, permainan menjadi lebih tersusun dan kompleks. Sebagai contoh, pada kira-kira 4 bulan, bayi mula mencapai dan memahami objek, seperti permainan kerincing. Pada usia enam atau tujuh bulan, permainan itu boleh dipindahkan antara tangan. Dan sekitar sembilan bulan, kekuatan genggaman bayi baru berkembang dan memudahkan bayi untuk mengambil objek yang lebih kecil, seperti blok dan lain-lain permainan yang sesuai dengan umur mereka. Pada usia ini, aktiviti bermaian biasanya secara bersendirian, tetapi bermain sebelah-menyebelah dengan bayi yang lain dan aktiviti meniru adalah perkara biasa menjelang akhir usia ini.
Semasa bayi anda membesar, interaksi bersama bayi seusia mereka akan menjadi lebih penting. Tetapi sebenarnya anda adalah rakan sepermainan kegemaran bayi anda. Adakah anda pernah menari di hadapan bayi anda, hanya untuk si kecil anda menarik muka ke arah mereka? Atau adakah bayi menunjukkan respon kegembiraan apabila anda membuat mimik muka dan merapatkan muka anda sambil berkata “ geletek dia”? Interaksi sebegini membantu bayi anda belajar tentang bahasa, hubungan sosial, dan sebab-dan-akibat. Apabila bayi mula memahami bagaimana perkara-perkara dalam persekitaran yang berkaitan dengan satu sama lain dan bagaimana mereka rasa, bau, dan dengar, bayi bersedia untuk peringkat perkembangan seterusnya.
Permainan untuk bayi
Objek yang mengeluarkan bunyi dan tergantung
Objek menari di atas kepala bayi sambil berbaring di katil-katil bayi merangsang penglihatan dan membangunkan tahap tumpuan. Ditemani pula dengan alunan muzik yang lembut untuk tingkatkan perhatian mereka.
Cermin
Pada mulanya, bayi anda akan terpesona dengan muka yang berubah-ubah dengan melihat ke dalam cermin. Dari masa ke masa, bayi anda akan menyedari bahawa itu semua adalah pantulan imej mereka sendiri. Apabila ini berlaku, bayi mula belajar tentang penemuan baru seperti belajar tentang bahagian-bahagian badan mereka.
Gelung dan kon.
Satu permainan klasik dengan kon dan gelung besar berwarna-warni dengan saiz berbeza. Permulaannya bayi anda pasti memasukkan gelung ke dalam mulut mereka untuk merasa yang kemudian mereka membangunkan kemahiran motor halus dengan meletakkan gelung ke dalam kon. Dengan permainan ini juga bayi anda boleh belajar tentang warna dan nombor sambil bermain.
Permainan tolak tarik.
Permainan ini dapat membantu anak anda dengan keseimbangan dan perkembangan otot si kecil. Semakin bayi menolak dan menarik, semakin baik untuk membina otot untuk berjalan dan berlari.
Buku bacaan
Anda dapat memperkenalkan beberapa buku bacaan dengan gambar yang berwarna warni. Meskipun anak tidak begitu memahaminya tapi dapat melihat dan mendengar apa yang sedang anda buat. Ini juga memberikan pendedahan tentang warna yang menarik pada anak anda. Memahami bentuk yang berbeza selain memupuk sikap suka membaca sejak dari kecil.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Aidilfitri semakin menghampiri, pastinya pelbagai juadah manis seperti kek, biskut, dan kuih raya menjadi hidangan wajib di setiap rumah.Antara kek yang semakin mendapat perhatian...