Tiada siapa menduga kehadiran tanda lahi pada bahagian pipi kiri si kecil ini mengundang pendarahan teruk hingga memerlukan transfusi darah.

Menjadi impian setiap ibu dan ayah melihat anak yang dilahirkan membesar dengan sihat. Tanda lahir pada pipi kiri bayi rupanya bakal mengundang derita apabila ia semakin membesar dan kerap berdarah. Tanda lahir ini bukan biasa-biasa tetapi dikategorikan sebagai bukan kanser. Ia dinamakan hemangioma.

“Memang sedih melihatnya dalam keadaan sebegitu tetapi apa yang boleh saya dan suami lakukan, kini kami berusaha mendapatkan rawatan supaya dia kembali pulih,” luah si ibu Nesmenny Jimahin, 32.

Artikel berkaitan: Seminggu Lahir Timbul Tanda Merah. Ibu Ingat Gigitan Nyamuk Rupanya Tumor Bukan Kanser

Nesmenny adalah ibu kepada bayi berusia sebulan, Nur Aafyah Maizarah yang dilahirkan dengan ‘hemangioma’ iaitu tanda lahir dalam bentuk ketumbuhan pada bahagian pipi kiri.
Menurut Nesmenny yang menetap di Kampung Ulu, Putatan, Sabah, ketumbuhan itu semakin membesar hingga menyebabkan pendarahan kerap berlaku.

Namun, Nesmenny bersyukur kerana anaknya itu masih boleh minum susu seperti biasa sekalipun mulutnya senget kesan daripada ketumbuhan yang ada.

MEMBESAR & MEREBAK KE PEMBULUH DARAH

Ibu kepada tiga cahaya mata ini bercerita mengenai ketumbuhan yang dialami anak ketiganya. Ia adalah jarang berlaku dan boleh membesar sehingga ke bahagian pembuluh darah.

“Menurut doktor, ketumbuhan itu adalah tanda lahir tetapi ia berbeza dengan yang lain kerana membesar hingga merebak ke pembuluh darah.

PENDARAHAN KERAP MEMBIMBANGKAN

“Keadaan itu membimbangkan saya dan suami (Asri Daud, 33) kerana pendarahan kerap berlaku dan sering kali juga kami berulang-alik ke hospital dari rumah untuk menambah darah, selain menjalani pemeriksaan susulan.

“Buat masa ini, anak saya ditahan di wad kanak-kanak Hospital ********* dan ada kemungkinan dirujuk ke Hospital **********  bagi menjalani pembedahan tetapi bergantung kepada keputusan doktor,” katanya.

IBU INGIN LIHAT KAMU SIHAT

Ibu tiga anak itu berkata, dia sedia menerima risiko pembedahan kerana apa yang lebih penting baginya adalah untuk melihat Nur Aafyah sihat dan dapat membesar seperti bayi lain.

“Dalam keadaan sekarang, saya perlu mengikut nasihat doktor kerana mereka lebih pakar dan sekiranya pembedahan adalah jalan yang terbaik, kami terima keputusan itu asalkan Nur Aafyah sihat.

SYUKUR KELUARGA MEMBANTU

“Semua itu demi kebaikannya juga dan saya bersyukur kerana mempunyai keluarga serta rakan yang prihatin, malah segelintir sanggup menghulurkan bantuan selepas mengetahui kisah Nur Aafyah.

“Sokongan mereka memberi kekuatan untuk saya dan sentiasa berdoa supaya segala-galanya dipermudahkan,” katanya.

INFO: Hemangioma ialah sejenis tanda lahir. Ia selalunya ketumbuhan tumor jenis benign bukan kanser pada kulit. Kira-kira 60% hemangioma berlaku pada kepala dan kawasan tengkuk bayi dan kerap berlaku kepada bayi perempuan tiga kali ganda berbanding bayi lelaki. Sumber: stanfordchildren.org

Sumber: hmetro.com.my