Berita

“Aku Sebenarnya Dah Tak Kuat Pun…” Tangisan Amyza Aznan Buat Anak Sulung Meruntun Jiwa

Share

“Aku Sebenarnya Dah Tak Kuat Pun…” – Tangisan Amyza Aznan benar-benar meruntun jiwa ramai apabila berita pemergian anak kesayangannya, Andre Mikhail, mula tersebar. Kala ini, ramai yang sudah maklum tentang pemergian anak kesayangan pelakon Amyza Aznan, Andre Mikhail, yang disahkan meninggal dunia malam tadi (23/2) akibat kanser paru-paru. Berita pilu ini nyata meruntun jiwa ramai, terutama mereka yang bergelar ibu dan bapa.

Pemergian Anak Sulung Amyza Aznan

Di media sosial, ucapan takziah tidak henti-henti diberikan kepada Amyza. Gambar dan video yang dikongsi pula menambahkan lagi rasa sebak di hati ramai.

Namun di sebalik semua itu, Amyza tetap seorang ibu yang kehilangan anak sulungnya anak yang mengajarnya erti sebenar menjadi seorang ibu sejati.

Riak wajahnya yang dibasahi air mata saat menatap jasad anak, dan ketika berdiri mensolatkan jenazah, benar-benar meruntun hati sesiapa sahaja yang menyaksikannya.

Bukan sahaja saudara mara dan keluarga, malah rakan-rakan turut hadir memberi kata-kata semangat dan memeluk Amyza agar dia terus kuat menghadapi kehilangan yang begitu mendalam.

Dugaan yang menimpa Amyza bertambah berat kerana anak keduanya pula disahkan menghidap kanser tulang awal tahun ini. Begitu berat dugaan yang harus ditanggung ibu ini kesedihan berganda yang sukar dibayangkan.

Tular Video Luahan Hati Amyza Aznan Undang Sebak

Menerusi satu video tular di perkongsian Instagram milik ainiyusof_lee, hampir tiga minit durasinya memaparkan luahan hati Amyza Aznan dengan begitu menyentuh. Dalam video tersebut, pengguna Instagram memperkenalkan dirinya sebagai Kak Teh dan Camdyta, yang berkongsi pertemuan mereka dengan Amyza sebelum anaknya disahkan meninggal dunia.

Pertemuan itu menunjukkan mereka berpelukan erat menggambarkan kasih sayang dan persahabatan yang terjalin. Walaupun Amyza tersenyum, jauh di sudut hatinya tersimpan kesedihan yang teramat sangat.

Dalam video itu, Amyza tidak mampu menahan emosi:

“Aku sebenarnya dah tak kuat pun…” – sambil mengesat air mata, dipeluk oleh rakannya penuh kesedihan.

Dia menceritakan tentang anak sulungnya, Andre, yang menghidap kanser sejak tahun 2025, dan anak keduanya, Ian, yang disahkan menghidap kanser pada awal tahun 2026.

Luahan Jujur Seorang Ibu

Amyza menambah:

“Macam mana nak kata nak kuat tu, kat mana… Memang kita rasa macam nak bersangka baik, tapi kadang-kadang ia lari juga… Suami kita okay lagi, tapi bila anak, bila kita interview, memang kita tak nak nangis sebab kita tahu dia akan tengok benda-benda tu semua.”

“Tapi kita ni mak, orang sakit pun kita nangis, apatah lagi anak… Takkanlah aku kuat… aku nangis je lah, yang bole aku buat pun, paling kuat pun aku lari dalam kereta… Aku menangis sorang-sorang.”

Pengguna berkenaan turut menasihati Amyza supaya berkongsi rasa sedih dengan orang lain. Amyza mengakui, walaupun dia kelihatan kuat, hakikatnya dia menipu dirinya sendiri kerana terlalu sebak:

“Tak ada kuatnya, tipu. Nampak aku penat sangat, otak penat, otak penat bersangka baik, otak penat positifkan diri.”

Doa Seorang Ibu Buat Andre Mikhail

Amyza juga menekankan tentang doa seorang ibu:

“Doa seorang ibu tidak ada hijab. Ya, memang orang cakap doa ibu tak ada hijab, tetapi kita tetap mahukan doa orang lain juga yang kita tak tahu siapa yang Allah angkat.”

Luahan Amyza Aznan ini benar-benar meruntun jiwa, terutama bagi mereka yang pernah atau sedang melalui kehilangan anak tersayang. Ia adalah peringatan bahawa di sebalik senyuman, ada kesedihan yang begitu mendalam, dan kasih seorang ibu tidak dapat digantikan oleh apa pun di dunia.

TERKINI:

Namun, kini anak kesayangannya, telah ke negara Abadi. Amyza berkongsi pemergian anak tersayangnya itu menerusi hantaran di Instagram Story dan meminta doa ramai sedekahkan Al-Fatihah buatnya.

Semoga Allahyarham Andre Mikhail dicucuri rahmat dan dimasukkan ke dalam kalangan orang beriman. Amin.

 

Sumber: ainiyusof_leeamyzaaznankaaia

 

Published by
Nor Yusoff