Tangisan Ibu Murid Darjah 4 Undang Hiba, Ditenangkan Keluarga, Rakan

Share

Tiada yang lebih meruntun jiwa selain kehilangan anak yang masih kecil, apatah lagi apabila tragedi itu berlaku di tempat yang sepatutnya menjadi ruang paling selamat sekolah.

Kes murid darjah empat yang dilaporkan meninggal dunia selepas didakwa menjadi mangsa buli nyata membuka luka mendalam buat ibu bapa, keluarga dan masyarakat.

TANGISAN IBU MANGSA UNDANG SEBAK

Tangisan seorang ibu di perkarangan hospital cukup merobek hati, seolah-olah menggambarkan betapa besarnya kehilangan yang tidak mungkin mampu diganti. Lebih memilukan, insiden berlaku di kawasan sekolah tempat di mana anak-anak dihantar untuk menimba ilmu, bukan menanggung derita.

Menurut laporan media, ibu kepada  mangsa sukar menyembunyikan perasaan sedihnya. Suasana pilu itu telah mengundang hiba di pekarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau.

Terdahulu, ibu bapa murid tahun empat tersebut tiba di perkarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau sekitar jam 12.55 tengah hari.

Sebaik turun dari kenderaan, si ibu dilihat berjalan sambil menangis di bahu suaminya yang kelihatan cuba menenangkan diri sebelum mereka masuk ke ruang menunggu.

Difahamkan, bedah siasat bermula kira-kira jam 1 tengah hari. Namun sehingga jam 4 petang, jenazah masih belum dibawa keluar untuk dituntut keluarga.

Suasana di unit berkenaan semakin sebak apabila pihak sekolah, rakan dan saudara-mara datang menziarahi serta memberikan semangat kepada pasangan itu.

Sementara itu, di Seremban, pihak polis dilihat memasuki sekolah berkenaan di Senawang kira-kira jam 9 pagi. Sehingga jam 12 tengah hari, tiada kenderaan polis dilihat keluar.

Hasil tinjauan di sekolah mendapati sesi persekolahan berjalan seperti biasa, meskipun beberapa kenderaan agensi berkaitan dilihat keluar masuk kawasan tersebut.

Datuk saudara kepada arwah, berusia 44 tahun, memaklumkan bahawa keluarga masih terkesan dengan kejadian tersebut dan tidak bersedia untuk bertemu dengan media. Katanya, arwah merupakan anak bongsu daripada tiga beradik, seorang kanak-kanak bijak dan sangat disayangi ibu bapa.

Sebelum ini, media melaporkan polis mengklasifikasikan kes kematian murid itu mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan iaitu buli melalui komunikasi. Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata mangsa ditemui tidak sedarkan diri di dalam tandas sekolah berkenaan sebelum dihantar ke sebuah klinik swasta.

Sumber: Berita Harian 

Published by
Nor Yusoff