Baby car seat atau kerusi keselamatan kanak-kanak amat penting untuk keselamatan anak tak kira lah perjalanan jauh atau pun dekat. Risiko bayi atau kanak-kanak tercampak keluar dari kereta dapat dikurangkan dengan pemakaian kerusi keselamatan ini. Namun tak semua dapat memiliki kerusi keselamatan kanak-kanak yang baru.

Lantaran itu, ada sesetengah ibu bapa mendapatkan kerusi keselamatan kanak-kanak secara terpakai. Tapi sebelum membeli kerusi keselamatan terpakai ini, anda perlu tahu beberapa perkara yang perlu diajukan kepada penjual demi keselamatan anak anda. Ikuti perkongsian daripada Farah Hazwani;

Hantaran ini panjang sedikit dan perlu dibaca dengan berlapang dada untuk mengelakkan sebarang provokasi atau fitnah–

Pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak terpakai:

Sebelum beli kerusi keselamatan terpakai, kita perlu tahu cara pemilihan yang betul. Salah satunya, tidak digalakkan beli tanpa mengetahui sejarah car seat tersebut.
Sebelum membeli kerusi keselamatan kanak-kanak terpakai, sila ajukan soalan-soalan berikut kepada penjual:

1. Adakah car seat pernah terlibat dalam kemalangan?
(Kerusi keselamatan yang pernah digunakan ketika kemalangan telah pun menyempurnakan fungsi utamanya, iaitu melindungi penumpang kanak-kanak, dan tidak boleh digunakan lagi)

2. Berapa lamakah car seat telah digunakan?
(Adakah car seat telah tamat tempoh atau menghampiri tarikh luput? Minta penjual tunjuk tarikh pengilangan. Kerusi keselamatan yang telah tamat tempoh mungkin tidak dapat melindungi anak jika berlaku kemalangan)

3. Adakah ia pernah dicuci?
(Adakah pembersihan dilakukan mengikut manual – Tidak menggunakan cucian stim, tali keledar tidak direndam, tiada bahan peluntur atau sabun antibakteria digunakan)

4. Adakah car seat mempunyai tanda-tanda kerosakan?
(Tanda amaran telah pudar, terdapat kesan terurai pada tali keledar, ada bahagian pecah atau karat)

Kalau rasa ragu-ragu dengan jawapan penjual, lebih baik beli kerusi keselamatan kanak-kanak yang baru jika ada bajet lebih.
Tiba-tiba hari ini, dapat feedback dari salah seorang penjual kerusi terpakai yang diimport dari Singapura.

Nilaikan sendiri.
Sebenarnya, soalan-soalan itu dipetik dari artikel Car Seats for The Littles(CSFTL) di sini:

Hand Me Down Seats – Bargain Or Bust?
https://csftl.org/hand-me-down-seats-bargain-or-bust/

Kalau ikutkan saranan CSFTL, banyak lagi yang perlu diambilkira, seperti:

1. Adakah kerusi pernah didaftar masuk (check in) sebagai sebahagian dari muatan bagasi apabila menaiki pesawat?
(Adakah pemilik meletakkan car seat dalam kotak khas? Adakah ia diperiksa untuk memastikan tiada sebarang kerosakan selepas mendarat?)

2. Adakah kerusi keselamatan termasuk dalam senarai yang ditarik balik (recall list)?
Sebahagian car seat yang ditarik balik memerlukan penggantian dan adakah bahagian yang perlu diganti telah digunakan dengan betul?

Menurut CSFTL, “It essentially comes down to this: would you trust that seat, that seller, with your child’s life?” (Akhirnya, ia bergantung kepada anda. Adakah anda percaya kerusi keselamatan dan penjual itu untuk melindungi anak anda?)

Cara pembersihan alas kerusi keselamatan juga memainkan peranan dalam menjamin fungsi sebuah car seat itu. Sesetengah pengeluar hanya membenarkan cover dicuci secara cucian tangan, tapi ada juga yang benarkan penggunaan mesin basuh.

Apa pula bahan pembersih yang telah digunakan oleh penjual sekiranya pernah mencuci car seat? Jika tersilap basuh, ciri ketahanan api (fire retardant) mungkin hilang.
Rumit bunyinya, bukan? Ini salah satunya alat yang dibeli untuk tujuan keselamatan, jadi banyak faktor perlu diberi perhatian.

Benar, ajal dan maut di tangan Tuhan, tapi kita bertanggungjawab untuk cuba sehabis baik menjaga nyawa dan amanah yang telah diberi.

Jika sudah terbeli kerusi keselamatan terpakai, ambil peluang ini untuk hadiri pemeriksaan bersama Child Passenger Safety Malaysia (CPSM), sebuah organisasi tempatan yang mempunyai peranan yang hampir sama seperti CSFTL.

Mereka boleh dihubungi di carseatcheck@cpsmalaysia.org

Ikuti artikel-artikel tentang keselamatan kanak-kanak melalui Facebook page – https://www.facebook.com/cpsmalaysia.org/ atau di blog: https://cpsmalaysia.org 
Jika di Instagram, boleh follow akaun @cpsmalaysia.plt dan @cpsmalaysia di Twitter.

Boleh juga ajukan sebarang soalan di Facebook Group Child Passenger Safety Malaysia (CPSM) – https://www.facebook.com/groups/cpsmalaysia.org/
Jangan lupa jawab ketiga-tiga soalan tapisan untuk kelulusan lebih pantas.

Sumber: Farah Hazwani, Malaysian Carseat Support Group

Tinggalkan Komen