Bab batuk, selesema bukan orang dewasa je yang tak tahan tapi bayi dan kanak-kanak lagi la terasa peritnya. Lagi susah hati bila anak sepanjang masa merengek. Masa tidur pun tak boleh nak tidur lena.
Kalau anak dah usia dua tahun ke atas bolehlah nak bagi ubat tapi yang umur dua tahun ke bawah mana boleh bagi sembarangan ubat. Lagi berbahaya. Ok tak perlu nak risau. Cuba teknik stim dan tepukan percussian yang dikongsikan oleh Puan Siti Nurain Mohd Amin pada anaknya sendiri berusia 7 bulan.
Anak bongsu saya, Ameer Zuhayr selsema dan batuk berkahak. Minggu lepas, beliau demam. Pakej nak masuk 7 bulan dan tumbuh 2 batang gigi baru; menjadikan jumlah “senjata” dia cukup 4 batang.
Memang padu dan perit. Ibu menyusu mungkin faham. Haha
Tak tahan melihat dia susah nak bernafas dan batuknya berbunyi, saya ambil pendekatan untuk buat stim dan tepuk percussion.
Kaedah ini saya belajar daripada Dr Nadir Khan dari Klinik Wangsa dan juga bahagian fisioterapi KPJ Ampang Puteri sebelum ini.
Tujuannya untuk melonggarkan kahak pada paru-paru dan mengeluarkan mukus (hingus), jika ada.
Kanak-kanak bawah 2 tahun, mana ada ubat khas untuk batuk selsema, kan. Jadi doktor saran guna kaedah ini.
Diingatkan, ini hanya kaedah alternatif menggunakan natural remedi. Mohon rujuk doktor bagi mendapat rawatan sewajarnya ya.
IKLAN
Bahan yang diperlukan ialah, 1. Periuk nasi 2. 1 labu bawang putih (8-10 ulas) 3. Air 4. Lemon (tiada di rumah, saya tak guna bagi sesi ini) 5. Hati yang kering. Kahkah
Bawang putih amat bagus kerana ianya natural anti-virus dan antibiotik.
Kaedah penyediaan air stim.
1. Tuang air dalam periuk nasi.
2. Tumbuk bawang putih secara kasar. Tak perlu lumat. Saya tumbuk sekali dengan kulitnya. Dasar malas. Haha
3. Masukkan ke dalam periuk. Tekan butang Cook/ON.
4. Tutup periuknya dan tunggu sehingga air mendidih.
IKLAN
Kaedah stim dan tepuk percussion.
1. Tutup suis periuk. Letakkan di lantai.
2. Letakkan kerusi bersebelahan periuk. Untuk kita duduk.
3. Tiarapkan anak di atas riba. Boleh bedung anak terlebih dahulu, jika risau dia kuat meronta. Saya hanya peluk Ameer dan tundukkan kepalanya ke arah periuk.
4. Buka penutup dan halakan kepala anak pada stim. Pastikan jaraknya tidak terlalu dekat. Stim amat panas dan boleh mencederakan anak. Sudahlah selsema dan batuk, tambah melecur pula nanti. Naya. Haha
5. Tepuk secara ‘cupping’ pada bahagian belakang dadanya. Caranya seperti di atas.
5 minit di sebelah kanan. Rehat. Jika ada hingus yang meleleh, bolehlah lap waktu ini.
IKLAN
Kemudian, teruskan 5 minit lagi di bahagian kiri.
Pusingkan anak menghadap kita dan tepuk pada bahagian dada kiri dan kanan, sama seperti langkah 4.
7. Anak bakal melalak, kau steady sahaja. Itu pentingnya ada bekalan hati kering. Haha Doktor kata, lagi dia menangis lagi bagus. Paru-paru dia akan terbuka. Stim banyak masuk, maka cairlah kahak itu semua. Gitu.
8. Selalunya saya buat 15-20 minit. Ikutlah keadaan. Saya akan pastikan sehingga hingusnya berwarna jernih.
9. Selesai, angkat balik periuk tadi ke tempat asal. Pantang anak-anak saya tengok benda pelik atas lantai. Ada saja yang gatal tangan nak sentuh.
Saya rasa macam menang anugerah bila tengok hingusnya yang berwarna hijau pekat berjuraian keluar dari hidung. Puas hati weh.
Kahak/hingus ini mungkin keluar dari hidung dan mulut. Kalau takde, kool sahaja. Dia keluar kat bawah. Hat dalam pampers. Hehe
Doktor saran untuk ulang 1-2 kali sehari. Siaplah, kita repeat petang ini ya Ameer. Sambil buat stim, Ummi pun buat facial sauna. Haha
Lepas stim dan percussion tadi, saya mandikan dia. Tak sampai 10 minit lepas menyusu, terus tidur.
Ramai yang tidak tahu bahawa di sebalik penggunaan baby walker sebenarnya boleh mendatangkan bahaya yang tidak disedari oleh ibu bapa sendiri.
Antaranya ia boleh menyebabkan bayi jatuh tangga. Ini merupakan bahaya paling utama yang kerap berlaku pada bayi. Kejadian ini lebih berisiko terutamanya jika kediaman anda mempunyai beberapa tingkat dan si kecil pula menggunakan baby walker tanpa pengawasan yang rapi daripada anda. Paling menakutkan, ia boleh mengakibatkan patah pada tulang dan kecederaan pada bahagian kepala!
Menurut Gary A. Smith, Pengarah Pusat Kajian Kecederaan dan Polisi Hospital Kanak-kanak yang bertempat di Amerika Syarikat, penggunakan baby walker adalah berbahaya kerana ia memberi mobiliti kepada bayi sebelum mereka mampu mengawal mobiliti seperti itu.
Bayi yang menggunakan baby walker juga mampu mencecah kelajuan sehingga empat kaki dalam masa satu saat. Disebabkan mereka penuh dengan sifat ingin tahu yang tinggi, mereka tidak kenal akan bahaya.
Kejadian seperti yang dinyatakan di atas sebenarnya banyak berlaku dan hal ini dikongsi oleh Pediatrician, Dr Redzal Zainol yang mendedahkan tentang kes ini. Ikuti perkongsian beliau;
Tergamam Tengok CT Scan
Nak Menyesal Pun Tak Guna
Guna Play Yards atau Playpens bukan baby walker
Contoh Playpens yang selamat untuk bayi
Kredit: Dr Redzal Zainol (Doktor Pediatric), Hello Doktor
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Banyak sangat mitos tentang penyusuan bayi yang kadangkala menggagalkan ibu menyusu terus memberikan susu ibu kepada bayi. Ibu mesti tahu tentang hal ini supaya ia tidak lagi menggagalkan impian anda.
Dr Amirul Amzar menulis sebuah artikel yang sangat penting tentang mitos penyusuan bayi dan patut diketahui oleh semua ibu-ibu dan bakal ibu supaya tiada yang dapat menggagalkan cita-cita murni mereka untuk memberikan susu ibu kepada si manja.
Penyusuan susu ibu amatlah digalakkan bagi setiap bayi. Susu ibu adalah sumber nutrien yang terbaik bagi bayi yang baru lahir. Namun, ianya tidak semudah yang disangka. Pelbagai cabaran dihadapi oleh para ibu dalam menjayakan penyusuan susu ibu. Salah satu cabaran besar ialah mendapatkan maklumat yang tepat berkenaan penyusuan susu ibu. Berikut adalah beberapa mitos dan penjelasan berkaitan penyusuan susu ibu.
1) Saya tidak boleh menyusukan bayi saya, saya memang kurang menghasilkan susu.
–Mitos ini tidak tepat. Semua wanita dianugerahkan kebolehan menghasilkan susu badan kecuali atas sebab-sebab perubatan tertentu seperti ‘hypoplasia of mammary gland’, tumpah darah selepas kelahiran yang banyak ataupun ‘Sheehan syndrome’, dan PCOS (polycystic ovarian syndrome). Jika anda tidak mengalami apa-apa keadaan kesihatan seperti disebut, anda boleh menghasilkan susu yang mencukupi. Kebanyakan wanita sebenarnya menghasilkan banyak susu badan lebih dari keperluan bayi selepas kelahiran. Kurangnya kenaikan berat badan pada bayi bukan disebabkan oleh kurang penghasilan susu oleh ibu, tetapi ia disebabkan oleh kurangnya penerimaan susu oleh bayi. Ia disebabkan oleh teknik penyusuan yang salah seperti ‘latching technique’ yang tidak betul. Apabila ia berterusan, penghasilan susu semakin berkurang. Oleh itu, jika anda merasakan susu anda kurang, semak teknik penyusuan anda.
2) Penghasilan susu pada minggu pertama kelahiran tidak mencukupi.
–Sekali lagi, ianya mitos yang salah. Susu yang dihasilkan adalah mencukupi tetapi dek kerana teknik penyusuan yang salah, bayi tidak dapat menerima susu dengan secukupnya. Malah, penghasilan susu ibu pada peringkat awal, walaupun sedikit, ia sesuai dengan fisiologi tubuh bayi kerana saiz perutnya yang kecil.
3) Bayi yang menyusu perlu diberi air masak terutama semasa cuaca panas.
–Mitos ini sinonim dengan nasihat mak cik anda, mertua anda dan juga orang-orang senior di sekeliling anda. Ianya tidak benar sama sekali dan boleh mengganggu proses penyusuan. Bayi kurang 6 bulan tidak memerlukan sumber makanan lain selain susu ibu, Ini termasuk air masak. Apabila bayi diberi air masak, perutnya yang kecil akan mengembang dan memberikan rasa kenyang. Bayi tidak akan meminta susu. Wajarkah kita memenuhi perut bayi dengan air yang tiada nutrien? Ianya juga boleh mempengaruhi konsep ‘supply and demand’. Apabila ‘demand’ dipenuhi oleh air kosong, ‘supply’ susu ibu akan mula berkurang.
4) Susu ibu tidak mempunyai kandungan zat besi yang mencukupi.
–Ianya sama sekali salah. Susu ibu mempunyai zat besi yang mencukupi untuk 6 bulan pertama kehidupan bayi. Walaupun kandungan zat besi susu formula lebih tinggi, namun zat besi dalam susu ibu lebih mudah diserap oleh bayi. Tiada keperluan memberikan susu formula atas alasan zat besinya kurang.
5) Susu formula berkualiti tinggi adalah sama jika dibandingkan dengan susu ibu.
–Susu formula tidak boleh dibandingkan dengan susu ibu. Sebaik mana pun susu formula itu, ia tidak dapat menandingi kelebihan susu ibu seperti mudah dihadam, mengandungi vitamin dan zat yang sesuai dengan keperluan bayi dan susu ibu juga mengandungi antibodi untuk melindungi bayi.
6) Bayi yang menyusu susu badan ibunya tidak memerlukan vaksin .
–Mitos yang sangat mengelirukan dan salah sama sekali. Memang benar di dalam susu ibu terdapat antibodi seperti ‘immunoglobulin’ yang melindungi dari jangkitan kuman. Paling banyak adalah IgA yang selalunya didapati di lapisan usus manusia yang melindungi dari jangkitan kuman di saluran pemakanan manusia. Namun, amat harus diingatkan bahawa ‘immunoglobulin’ ini tidak spesifik. Ia tidak melindungi dari penyakit-penyakit berbahaya seperti difteria, tetanus, hepatitis B, tuberculosis, polio dan measles. Oleh itu, penggunaan vaksin adalah perlu bagi meningkatkan rintangan spesifik bayi terhadap penyakit-penyakit yang membawa maut ini.
7) Berat badan bayi tidak meningkat dengan baik kerana kualiti susu ibunya rendah.
–Kualiti susu ibu adalah amat tinggi, tidak mungkin dibandingkan dengan mana-mana susu lain. Ia mempunyai nilai nutrien yang tinggi dan sesuai dengan keperluan bayi. Walaupun rupa susu ibu itu berbeza bagi setiap ibu, tiada susu ibu yang terhasil dengan kualiti rendah. Jika berat bayi tidak meningkat dengan baik, ia mungkin disebabkan kurang penerimaan semasa menyusu (teknik penyusuan yang salah) atau bayi mempunyai masalah kesihatan yang perlu diperiksa.
8) Saya bengkak susu, maka perlu berhenti menyusukan bayi saya kerana ianya berbahaya.
–Ini mitos yang salah. Bengkak susu atau ‘mastitis’ adalah disebabkan saluran susu yang tersumbat dan menyebabkan pembiakan kuman. Jika anda terkena kondisi ini, terus menyusukan bayi kerana ia akan membantu mengurangkan sumbatan. Kuman yang terkandung dalam susu ibu tersebut adalah sedikit dan boleh dineutralkan oleh sistem penghadaman bayi. Tidak perlu berhenti menyusu atau membuang susu selepas pengepaman.
9) Jika saya mahu menyusukan bayi saya, saya perlu minum banyak susu.
–Susu anda dihasilkan dari sistem peredaran darah anda, bukan secara terus dari perut anda. Tidak perlu minum susu semata-mata bagi menghasilkan kuantiti susu yang banyak dan baik. Lebih penting adalah mengekalkan kadar hidrasi yang baik dengan minum banyak air, tidak terhad kepada susu semata-mata. Namun, pengambilan kalsium dari susu secara konsisten membantu mengelakkan kerapuhan tulang di usia tua kelak.
10) Susu saya sedikit kerana payu dara saya kecil
–Ini adalah tidak benar. Saiz payu dara tidak mempengaruhi kuantiti susu yang dihasilkan. Ini kerana saiz payu dara adalah dipengaruhi kandungan tisu lemak dalam payu dara. Walhal, penghasilan susu pula adalah melalui tisu kelenjar yang berada di dalam payu dara.
11) Susu ibu amat baik, jadi ia perlu diberi secara eksklusif sehingga 2 tahun tanpa memberi makanan lain.
–Kekeliruan ini terhasil dari mereka yang mentafsirkan konsep najis bayi lelaki kurang 2 tahun yang menyusu susu ibunya sahaja sebagai najis mukhafafah (ringan). Namun tidak disebut secara spesifik di dalam hadis atau al-quran bahawa semua bayi itu perlu disusukan secara eksklusif selama dua tahun tanpa makanan tambahan. Ya, memang benar penyusuan itu perlu diteruskan sehingga 2 tahun, namun, makanan pelengkap perlu diberi pada usia 6 bulan. Ini kerana selepas 6 bulan, bayi memerlukan sumber nutrien lain sejajar dengan perkembangan fisiologinya yang lain seperti gigi tumbuh, bayi mula memasukkan barang ke dalam mulut, dan sebagainya.
12) Memberikan susu melalui botol adalah satu kesalahan besar.
–Sememangnya digalakkan memberikan susu ibu secara terus dari ibunya kerana banyak kebaikannya. Antaranya mengurangkan risiko kanser payu dara, mengurangkan stress si ibu dan merapatkan hubungan ibu dan anak. Namun, dalam era moden ini, kebanyakan ibu bekerjaya. Tiada kesalahan jika si ibu memerah susunya, menyimpan dan diberikan kepada bayi melalui botol susu. Asalkan bayi mendapat susu ibunya, itu sudah berfaedah yang besar untuk bayi. Malah ada kondisi kesihatan seperti ‘cleft palate’ (sumbing) yang memerlukan penyusuan dengan botol berputing khas. Adakah berdosa kita memberi susu melalui botol sesuai dengan keperluan bayi? Sudah semestinya tidak.
13) Memberi susu formula kepada bayi adalah melanggar fitrah dan suatu dosa yang tidak boleh dimaafkan.
–Semua ibu berbeza dan kita semua diberi ujian berbeza-beza. Ada antara ibu-ibu yang telah berusaha sedaya upaya bagi menyusukan bayinya, namun bayinya tidak menerima susu tersebut dengan baik. Ada juga bayi yang terpaksa diasingkan dengan ibunya atas sebab kesihatan sama ada ibu atau bayi. Adakah kita biarkan bayi sebegini terus sengsara tanpa nutrisi yang mencukupi? Sudah tentu tidak. Di sini lah susu formula memainkan peranan. Gagal menyusukan bayi bukanlah tiket untuk merendah-rendahkan seorang ibu. Pengorbanan mereka yang amat besar dan tidak wajar diremehkan hanya kerana gagal menyusukan bayi. Cuba lagi untuk kandungan yang akan datang.
**Pesanan penaja tidak berkepentingan:
1) Susu ibu amat baik untuk bayi, oleh itu berusahalah memberikan susu ibu selama 2 tahun, dan mengenalkan makanan pelengkap pada 6 bulan.
2) Jika anda mengalami masalah dengan penyusuan bayi anda, sila rujuk dengan pakar yang bertauliah. Dapatkan kredibiliti pakar yang dirujuk bagi mengelakkan informasi yang salah.
3) Bagi konsultasi secara personal, amatlah digalakkan mendapatkan nasihat dari mereka yang sahih status kepakarannya. Elakkan merujuk kepada selebriti-selebriti media sosial yang mungkin berkepentingan lain.
4) Mohon tidak menjadikan kejayaan anda menyusukan bayi anda sebagai tiket merendahkan ibu yang tidak berkemampuan dalam menjayakan penyusuan susu ibu. Setiap ibu harus disayangi dan dihargai sepenuhnya.
“Eh, anak kau tidur tak guna bantal?” tanya Zety yang hairan melihat bayi baru lahir Mira tidur tanpa berbantal.
Biasanya bila nak menyambut kelahiran bayi baru, set tilam dan bantal adalah keperluan utama yang mesti kita beli. Sekarang di pasaran siap ada yang menjual bantal khas untuk bayi baru lahir berbentuk seperti kuih karipap.
Ia dikatakan bagus untuk membantu membentuk kepala bayi baru lahir supaya tidak leper kerana kerap mengiring di satu arah sahaja. Benarkah?
Sebenarnya belum ada bukti tentang kesan penggunaan bantal kepada bayi baru lahir. Sebaliknya, para pakar lebih menggalakkan ibu bapa supaya tidak menggunakan apa-apa bantal untuk bayi baru lahir hingga berusia setahun.
National Institute of Child Health and Human Development (NICHD) menyarankan ibu bapa agar tidak menggunakan bantal untuk bayi bawah umur setahun. Jangan guna bantal untuk bayi tidur atau menambah bantal di katilnya sebagai hiasan.
American Academy of Peadiatric menyarankan supaya bayi dibaringkan di atas tilam yang rata, tanpa menggunakan bermacam kelengkapan tidur seperti bantal, selimut atau pun bantal golek.
Risiko bahaya terletak pada ketebalan selimut atau bantal yang dapat menghalang bayi bernafas, dan membuatkan mereka tidak dapat bernafas dengan sempurna, demikian menurut Carrie Saphiro Mendoza, ketua penyelidik di bahagian Reproduksi Kesihatan di Centers for Disease Control and Prevention (CDC), Atlanta.
Ini antara sebab kenapa bantal berbahaya kepada bayi.
Berisiko menyebabkan bayi mengalami sesak nafas atau tersedak.
Jika bayi diletakkan di tengah bantal berbentuk U, bayi sukar untuk memusing kepalanya ke salah satu sisi jika dia muntah atau muak. Keadaan ini berisiko membuatkan bayi tersedak oleh muntahnya sendiri.
Bantal dikaitkan dengan sindrom kematian bayi secara mengejut atau SIDS (Sudden Infant Death Syndrome).
Bagaimanapun jika bayi anda menggunakan bantal, sila patuhi cara penggunaan yang betul supaya dapat mengelakkan daripada sebarang risiko berbahaya.
* Jauhkan semua bantal dari katil bayi sewaktu dia tidur.
* Jika bayi tidur dengan bantal pada waktu siang, pastikan anda sentiasa mengawasi keadaannya. Sekiranya tidak mengawasinya, lebih baik tak payah guna bantal.
* Sekiranya bayi tertidur dengan bantalnya, perlahan-lahan ambil bantal dengan lembut dan jauhkan darinya.* Jika masih mahu menggunakan bantal, pilih bantal yang direka khas untuk bayi dan bersifat hipoalergenik atau rendah risiko alergi.
* Pilih bantal yang kecil dan kukuh dengan sarung yang nipis.
* Jangan menggunakan bantal yang dihias dengan lace, labuci, manik dan sulaman pada jahitan sarungnya.
* Jangan menggunakan bantal yang diperbuat daripada bahan polister kerana fabrik ini boleh menyebabkan kegatalan. Sebaiknya guna sarung bantal daripada kain kapas.
* Sentiasa periksa keadaan bantal. Jika sudah koyak, jauhkan daripada anak anda.
* Bersihkan bantal dengan kerap kerana ia boleh menjadi tempat kuman, debu, peluh, sisa susu yang mengering atau minyak bayi berkumpul.
* Jangan guna bantal jika anda meletakkan bayi di dalam buaian.
* Jangan beri bayi minum susu atau makan secara berbaring di atas bantal.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!