Terapi Tekanan Dalam: Tenangkan Anak Autisme Dengan Selamat & Berkesan

Share

Kanak-kanak autisme atau Autism Spectrum Disorder (ASD) sering berdepan cabaran besar dalam kehidupan seharian, termasuk masalah pemprosesan deria yang berlebihan dan sukar memberi tumpuan.

Masalah ini boleh menyebabkan mereka menunjukkan tingkah laku berulang seperti mengibas tangan, mengetuk jari, menjerit tanpa sebab atau menjadi terlalu fokus kepada sesuatu perkara. Dalam situasi tertentu, anak ASD juga boleh mengalami keresahan melampau sehingga mencetuskan serangan panik.

Gambar Hiasan AI

Namun begitu, pakar kini menemui pelbagai kaedah intervensi bukan ubat untuk membantu anak autisme lebih tenang dan terkawal. Antara pendekatan yang semakin diiktiraf keberkesanannya ialah terapi tekanan dalam (deep pressure therapy). Salah satu bentuk terapi deria yang memberi kesan menenangkan kepada sistem saraf dan membantu anak menguruskan tingkah laku serta emosi dengan lebih baik.

Terapi Tekanan Dalam, Belaian Yang Tenangkan Sistem Saraf

Menurut Pakar Perunding Pediatrik UiTM Private Specialist Centre (UPSC), Sungai Buloh, Dr. Nadiah Azlisham, terapi tekanan dalam disyorkan oleh pakar terapi carakerja sebagai satu pendekatan selamat dan berkesan untuk anak ASD.

“Terapi ini memberikan tekanan lembut dan konsisten kepada tubuh melalui pelukan, urutan, penggunaan weighted blanket (selimut berat), bantal tekanan, weighted vest (jaket berat) atau kain elastik. Tekanan lembut ini merangsang sistem saraf agar lebih tenang,” jelasnya.

Dr. Nadiah turut menerangkan, apabila anak autisme mengalami sensory overload (terlebih rangsangan deria), sistem saraf mereka menjadi terlalu aktif sehingga berada dalam mod ‘fight or flight’. Dengan adanya terapi tekanan dalam, tubuh beralih ke mod ‘rest and digest’, iaitu keadaan yang membantu menenangkan minda dan emosi.

Bagaimana Ia Berfungsi?

Terapi tekanan dalam melibatkan penggunaan input deria proprioceptive — iaitu kesedaran terhadap kedudukan dan pergerakan tubuh dalam ruang. Selain itu, ia juga berkait dengan sistem deria lain seperti keseimbangan (vestibular), sentuhan, penglihatan, pendengaran serta keadaan dalaman tubuh (interoception).

Apabila dijalankan dengan bimbingan profesional, terapi ini membantu anak autisme memahami tubuh mereka dengan lebih baik dan memberi kesan positif kepada kawalan kendiri serta interaksi sosial.

Bentuk Terapi Tekanan Dalam Yang Disyorkan

  • Weighted Blanket atau Bantal Berat – Memberikan tekanan lembut dan sekata pada tubuh, mewujudkan rasa selamat dan menenangkan.
  • Compression Garment – Pakaian khas yang memberi tekanan berterusan untuk meningkatkan kesedaran tubuh.
  • Deep Pressure Massage (Urutan Tekanan Dalam)
    – Membantu mengurangkan kebimbangan dan memperbaiki kawalan deria.
  • Pelukan Terapi atau Balutan Selimut Lembut – Memberi kesan menenangkan apabila dilakukan dengan betul dan berhati-hati.

Elak Teknik Salah, Utamakan Keselamatan Anak

Dr. Nadiah menasihatkan ibu bapa supaya tidak menggulung anak terlalu ketat dalam selimut atau tikar kerana ia boleh menyebabkan rasa tidak selesa dan tidak memenuhi prinsip tekanan mendalam yang selamat.

Ibu bapa perlu peka terhadap reaksi anak semasa terapi dilakukan. Jika anak menunjukkan tanda tidak selesa seperti menangis kuat, muka pucat atau pernafasan tidak teratur, terapi perlu dihentikan serta-merta.

Beliau juga menegaskan bahawa terapi tekanan dalam tidak sesuai untuk kanak-kanak yang mempunyai asma teruk, masalah jantung, penyakit paru-paru kronik, trauma berkaitan kekangan atau hipersensitiviti terhadap sentuhan.

Happy Asian Family Playing

Manfaat Terapi Tekanan Dalam Kepada Anak Autisme

Jika dilakukan secara konsisten dan betul, terapi tekanan dalam memberi pelbagai manfaat seperti:

  • Menenangkan emosi dan mengurangkan keresahan.
  • Meningkatkan fokus serta perhatian.
  • Memperbaiki corak tidur anak.
  • Mengurangkan tingkah laku mencabar dan hiperaktif.
  • Membantu kawalan kendiri dan kesedaran tubuh.
  • Mengurangkan kekerapan serangan sawan dalam sesetengah kes.

Terapi ini boleh dilakukan dua hingga tiga kali seminggu atau lebih kerap bergantung kepada keperluan anak serta nasihat pakar terapi cara kerja.

Bimbingan Pakar Penting Untuk Hasil Maksimum

Dr. Nadiah menasihatkan ibu bapa yang ingin melakukan terapi ini di rumah agar berunding dahulu dengan pakar kanak-kanak dan ahli terapi carakerja bertauliah. Panduan profesional memastikan terapi tekanan dalam dilakukan dengan teknik yang betul, selamat dan memberi manfaat sepenuhnya kepada anak.

💗 Tip Pa&Ma: Walaupun terapi tekanan dalam nampak mudah, setiap anak autisme adalah unik. Jangan terburu-buru — yang penting, lakukan dengan penuh kasih sayang, kesabaran dan panduan daripada pakar. Kadangkala pelukan lembut dari ibu bapa sendiri sudah cukup menjadi ‘terapi terbaik’ buat mereka.

BACA LAGI : Terapi Bedung: Pakar Dedah Bahaya Rawatan Palsu Untuk Autisme dan ADHD

Sumber : Berita Harian

Published by
Nana