Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia selepas kepalanya terhentak ketika jatuh dari kerusi bayi di sebuah restoran dekat Taman Sutera, Johor Bahru petang semalam (4 Oktober).
Kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang ketika kanak-kanak itu dikatakan sedang makan bersama keluarganya di restoran berkenaan.
Kepala terhentak pada lantai
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Fariz Ammar Abdullah, berkata siasatan awal mendapati, sewaktu makan mangsa menolak meja menggunakan kakinya menyebabkannya terjatuh bersama kerusi bayi berkenaan.
Gambar Hiasan
“Ketika terjatuh, kepala kanak-kanak itu terhentak pada lantai dan mangsa dikatakan menangis sebelum pengsan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kejadian disaksikan pekerja restoran terbabit sebelum bapa kanak-kanak itu bergegas membawanya ke klinik swasta, namun dinasihatkan doktor untuk dihantar terus ke hospital berikutan keadaannya dilihat serius.
Ads
“Bapa kanak-kanak itu kemudian membawanya ke sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas,” katanya.
Beliau berkata, mayat kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.
Gambar Hiasan
“Sehingga kini tiada sebarang unsur jenayah dikesan dalam kejadian itu, bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan.
Jom, meriahkan Pa&Ma Gala 2022 Reunion X TYT dan anda berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik! Sharing istimewa dari Dayah Bakar & Tasha Manshahar tentang cara penjagaan anak serta demo urutan istimewa dari Aunty June (TYT).
Sebagai ibu, pelakon dan juga usahawan, Nur Fazura meluahkan rasa kecewa terhadap tindakannya sendiri apabila memberi ‘umpan’ coklat kepada anak perempuannya, Nur Fatima Aisya, 2 tahun.
Menerusi perkongsian aktres berusia 39 tahun di laman Instagram, dia memberitahu terpaksa memberikan coklat kepada Fatima sebagai ‘umpan’ kerana mahu mengalihkan perhatian si kecil itu yang menangis selepas disuntik.
“Selesai mengambil vaksin influenza. Ini saya sebagai ibu bapa yang teruk sebab cuba tenangkan anak dengan coklat,”tulisnya di ruangan kapsyen hantaran berkenaan.
Dalam video berkenaan, Fatima dilihat menangis sambil memeluk Fazura akibat ketakutan sewaktu mendapatkan suntikan vaksin influenza. Bagi menenangkan anaknya, Fazura dilihat mengeluarkan coklat dari beg yang dibawa lalu diberikan kepada Fatima.
Hantaran itu mendapat perhatian ramai di mana ramai mengatakan tindakan yang dilakukan oleh Fazura adalah wajar dan normal serta tidak salah bagi ‘mengambil’ hati si anak.
Tidak kurang juga mereka memberikan kata-kata semangat kepada Fazura dengan mengatakan dia sudah menjadi seorang ibu yang hebat dan terbaik buat si anak.
Macam dukung Fattah Amin versi perempuan
Selain itu, rata-rata warganet menyatakan Fatima dilihat seiras dengan ayahnya iaitu Fattah Amin tapi dalam versi perempuan.
Untuk rekod, Fazura atau nama penuhnya Nur Fazura Sharifuddin dan Fattah berkahwin pada 27 November 2017 dan dikurniakan anak pertama Nur Fatima Aisya pada 2 Oktober 2020.
Isu salah laku pelajar yang berlaku di sebuah sekolah di Melaka baru-baru ini bukan sahaja mencetuskan rasa gusar di kalangan ibu bapa, malah membuka semula perdebatan lama perlu ke rotan dalam didikan anak zaman sekarang?
Ramai guru tampil berkongsi pengalaman, meluahkan rasa serik untuk menggunakan rotan selepas ada antara mereka dikenakan tindakan, malah ada yang pernah disiasat polis gara-gara cubaan mendisiplinkan murid. Akibatnya, ramai pendidik mula memilih untuk “tidak mahu ambil risiko”, dan biarkan anak-anak dididik sepenuhnya dengan pendekatan psikologi lembut.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad menegaskan pendirian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bahawa penggunaan rotan bukan lagi kaedah sesuai dalam sistem pendidikan negara.
Menurut beliau, KPM kini memberi penekanan kepada pendekatan berasaskan nilai, adab serta pembentukan karakter melalui teladan dan bimbingan, bukan hukuman fizikal.
“Pendirian kita jelas, kita tidak menggunakan rotan sebagai alat dalam pendidikan. Negara maju lain juga tidak menggunakan rotan, tetapi mereka dapat melahirkan generasi beradab,” katanya dalam satu sidang media baru-baru ini.
Bagi sebahagian ibu bapa, rotan dalam didikan anak tetap dianggap sebagai alat mendidik yang berkesan, asalkan digunakan dengan cara betul dan berhikmah. Bagi mereka, rotan bukan simbol kekerasan, tapi tanda tegasnya kasih sayang seorang ibu dan ayah. Ia bukan untuk menyakitkan, tetapi untuk mengingatkan bahawa setiap perbuatan ada akibat, dan disiplin perlu dipupuk sejak kecil.
“Saya tak pernah rotan anak waktu marah. Tapi bila dia ulang kesalahan yang sama, saya pukul perlahan tapak tangan sambil terangkan kenapa. Kadang anak menangis, tapi lepas tu dia peluk saya. Dia tahu saya sayang dia,” luah seorang ibu dalam komen media sosial.
Dalam Islam, konsep rotan bukanlah tentang penderaan. Nabi SAW pernah bersabda, “Ajar anak solat pada usia tujuh tahun, dan pukullah mereka (dengan lembut) ketika berumur sepuluh tahun jika mereka enggan melakukannya.” Ini bukan bermaksud untuk menyakiti, tetapi menanam rasa tanggungjawab sejak kecil.
Pakar psikologi keluarga juga berpendapat bahawa disiplin fizikal ringan boleh diterima jika dilakukan dengan kasih sayang, tanpa emosi marah, dan disertai dengan penjelasan yang membina. Yang salah bukan rotannya tapi cara dan niat orang yang menggunakannya.
Dalam dunia keibubapaan moden, mungkin kita tidak lagi bergantung pada rotan semata-mata, tetapi menolak rotan secara total juga bukan penyelesaian. Anak-anak perlukan sempadan, ketegasan dan rasa tanggungjawab dan semua itu perlu bermula dari rumah, sejak kecil lagi.
Rotan bukanlah musuh pendidikan. Yang penting, biarlah ia datang dari tangan yang penuh kasih, bukan tangan yang marah.
Namun di sebalik pendirian tegas KPM itu, ramai guru mula meluahkan rasa kecewa dan hilang semangat. Mereka bukan mahu menghukum, tapi hanya mahu mendidik dengan cara yang pernah dianggap berkesan suatu masa dulu.
Sejak rotan tidak lagi dibenarkan, ada guru yang mengaku mereka kini serba salah. Nak marah tak boleh, nak menegur pun takut disalah tafsir. Malah ada yang pernah dimarahi ibu bapa hanya kerana cuba mendisiplinkan anak.
Luahan-luahan seperti ini menggambarkan betapa berat beban emosi seorang pendidik hari ini terhimpit antara amanah mendidik dan risiko disalah erti. Mereka bukan mahu menyakiti, tetapi mahu membentuk generasi yang tahu beza antara kasih dan disiplin. Sebagaimana perkongsian luahan guru-guru di threads Farhad Hassan
Bagaimana pun, didik anak tanpa rotan boleh juga dipraktikan dalam kehidupan seharian. Misalnya seperti berikut:
Marah itu normal, tapi jangan jadikan marah sebagai masa untuk mendidik. Bila emosi tinggi, mesej tak sampai. Anak cuma nampak “kemarahan”, bukan “pengajaran”.
Tip: Tenangkan diri dulu — tarik nafas, minum air, baru tegur anak dengan rasional.
Sentuhan lembut, pelukan, atau usapan di kepala lebih berkesan daripada hukuman. Anak rasa disayangi walau dimarahi, dan itu bantu dia belajar tentang empati.
Bila anak buat betul, beri pujian atau ganjaran kecil seperti pelekat bintang, extra masa bermain, atau pelukan sambil ucap “Mama bangga dengan kamu”.
Tip: Anak akan kaitkan “buat baik = dapat perhatian baik”.
Anak mudah keliru kalau hari ini boleh, esok tidak. Tetapkan rutin dan batas dari awal — contohnya waktu tidur, waktu skrin, dan tanggungjawab harian.
Tip: Disiplin terbentuk daripada konsistensi, bukan kekerasan.
Bila anak faham konsep betul dan salah, ajak dia berbincang cara penyelesaian. Contohnya, “Abang rasa patut Mama buat macam mana bila abang menjerit tadi?”
Tip: Ini ajar anak accountability dan empati.
Anak kecil belajar dengan meniru. Kalau ibu ayah cepat melatah, anak pun sama. Tapi kalau kita sabar, anak belajar kawal emosi.
Tip: Anak bukan dengar apa kita cakap — dia tiru apa kita buat.
Contoh: anak tumpahkan air sebab main-main, biar dia lap sendiri. Anak lambat siap kerja sekolah, biar dia tanggung akibat — kena tegur cikgu.
Tip: Ini ajar tanggungjawab tanpa perlu marah atau rotan.
Tiada cara paling mujarab selain doa ibu ayah. Doakan anak setiap kali mereka tidur dan setiap kali kita rasa penat mendidik.
Tip: Disiplin bukan datang dari ketakutan, tapi dari doa yang berterusan.
Jika pen dan bunga selalu menjadi pilihan sebagai hadiah buat hari guru, lain pula kisahnya dengan seorang guru Bahasa Melayu, Cikgu Fatin Nur Farhana Ruslan yang menerima hadiah paling ‘rare’ sempena hari guru.
Melalui akaun Tik Toknya, Cikgu Fatin sama sekali tidak menyangka video hadiah yang diterimanya dari seorang murid pada tahun lepas menjadi viral baru-baru ini.
Tambah Cikgu Fatin lagi, pemberian tersebut sebagai sesuatu yang cukup istimewa sepanjang perjalanan kerjayanya sebagai seorang guru.
Lebih mengejutkan katanya, video pendek yang dikongsikannya di TikTok tentang hadiah itu mendapat perhatian ramai dan menerima pelbagai komen lucu serta positif daripada pengguna media sosial.
“Rakaman itu sebenarnya dibuat tahun lepas, tetapi saya baru muat naik sempena Hari Guru pada 16 Mei, Jumaat ini. Saya rasa ia boleh beri inspirasi kepada murid dan ibu bapa untuk fikirkan idea hadiah yang lebih kreatif dan berbeza,” ujarnya.
Melalui video yang dikongsikan oleh Cikgu Fatin, menunjukkan seorang murid lelaki berbangsa Cina dengan selamba menyerahkan minyak angin cap kapak kepada gurunya sebagai tanda penghargaan.
Gelagat spontannya ternyata mencuit hati ramai, malah ada yang menyatakan hadiah seperti itu sangat berguna terutama buat guru yang sering berdepan kepenatan ketika mengajar setiap hari.
Tambahnya lagi, bukan dirinya sahaja yang menerima hadiah minyak angin tersebut malah pemberian minyak angin itu juga turut diberikan kepada guru-guru lain.
“Saya maklumkan kepada murid itu bahawa videonya telah tular, dan dia begitu gembira!
“Dia beritahu, tahun ini dia bercadang untuk beri hadiah yang sama, cuma jenama minyak angin sahaja yang berbeza. Malah dia siap rancang nak rakam video baru lagi,” katanya sambil ketawa kecil.
Walaupun kelihatan ringkas, Fatin mengakui hadiah seperti itu amat praktikal dan dihargai oleh para guru.
Guru muda yang telah berkhidmat selama empat tahun ini turut mengambil peluang untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua pendidik malah berharap dengan adanya sambutan untuk guru dapat mengeratkan lagi hubungan baik murid dengan guru.
Sumber: Sinar Harian
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!