Terkini Kes Zara! Pengetua, Penolong Kanan HEM & Warden Asrama Ditempatkan Sementara Di JPN Sabah!

Share

Bagi yang sentiasa mengikuti perkembangan siasatan kes Allahyarham adik Zara Qairina Mahathir, terkini Kementerian Pendidikan (KPM) akan menempatkan sementara Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) serta semua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sehingga siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai.

Menurut KPM, keputusan itu diambil susulan pengumuman PDRM bahawa Pasukan Petugas Khas Bukit Aman telah mengambil alih siasatan kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

“KPM akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dilaksana secara menyeluruh, teliti dan tuntas.

“Sebagaimana yang telah ditegaskan, kes tersebut adalah keutamaan KPM pada masa ini.” kata kenyataan itu.

KPM berharap siasatan telus dan sepenuhnya dapat dilaksanakan demi keadilan buat keluarga serta semua pihak terbabit.

Terdahulu Allahyarham adik Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai selepas dimasukkan ke hospital selepas dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Papar pada 4 pagi, 16 Julai.

Jumaat lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan kubur Zara perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.

Berikutan itu, pada 9 Ogos, kubur remaja berkenaan digali semula dari Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang, dan jenazah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat sebelum selamat dikebumikan semula awal pagi Ahad di tanah perkuburan sama.

Sumber: Berita Harian

Published by
SRM