Semua ibu tidak mahu susu tidak merosot selepas cuti bersalin. Menjadi impian setiap ibu berkerjaya yang menyusukan bayi untuk mempunyai pengeluaran susu yang stabil walau pun sudah mula bekerja semula.
“Puas sudah Anis memerah tetapi penghasilan susunya semakin sedikit. Stok susu ibu perahan menyusut ekoran pengumpulan susu di pejabat yang semakin sedikit. Dahulu boleh mengumpul 20oz sehari, kini hanya mampu mengumpul 10oz atau kurang. Anis cukup risau jika perkara ini berlarutan kerana tempoh penyusuan eksklusif kepada bayinya masih panjang.”
Mungkin ada yang mengalami situasi yang dialami Anis. Menurut kaunselor laktasi, Faliyana Muda, kebanyakan ibu mengalami masalah untuk memerah payu dara setiap tiga hingga empat jam sekali apabila mula bekerja. Ia lazimnya dialami selepas cuti bersalin kerana tuntutan tugas dan kekangan masa. Hal ini dan beberapa faktor lain berkemungkinan besar menjadi penyebab penghasilan susu oleh payudara menjadi perlahan dan sedikit.
Menyedari risiko penghasilan susu yang bakal menjunam selepas kembali bekerja ibu-ibu yang menyusukan perlu lebih kreatif dalam menangani isu ini menggunakan pelbagai kaedah.
IKLAN
MIND SET
Elakkan daripada merasa perlunya tempat spesifik untuk memerah.
KEMUDAHAN
Gunakan kemudahan yang ada seperti nursing cover yang boleh menutup bahagian dada ketika memerah. Maka sesi memerah tidak dirasakan sesuatu yang membebankan ibu-ibu kerana boleh memerah di mana sahaja.
ALAT BANTU
Menggunakan peralatan bantuan memerah seperti Freemie iaitu alat untuk menakung susu ibu yang boleh digunakan dengan mana-mana pam yang mempunyai tubing. Dengan adanya alat ini dan pam payudara yang boleh dicas, proses memerah masih boleh dilaksanakan dengan bebas tangan semasa ibu bekerja.
Kebanyakan ibu mengalami masalah untuk memerah payudara setiap tiga hingga empat jam sekali apabila mula bekerja kerana kekangan masa & tugas.
ELAK EMOSI CEMAS
Emosi cemas dan tertekan perlu dijauhi sebaliknya cari jalan penyelesaian dengan tenang. Misalnya sekiranya tidak boleh memerah kerana suntuk masa atau perlu berkursus, cuba cari jalan untuk melakukannya dengan cara lain. Misalnya memerah semasa berkursus tanpa perlu ke surau dengan cara memakai nursing cover, jaket atau menutupnya dengan tudung.
IKLAN
STIMULASI PAYUDARA
Lakukan stimulasi pada payudara. Perlu difahami penghasilan susu bergantung kepada supply and demand. Permintaan tinggi akan menyebabkan penawaran (penghasilan susu) meningkat. Cara untuk mengelakkan penghasilan susu ibu merudum ialah dengan sentiasa memberi stimulasi payu dara sama ada dengan menyusu secara terus ataupun memerah.
PERAH TIGA JAM SEKALI
Wujudkan sesi memerah yang konsisten setiap tiga jam sekali dan jangan hanya memerah apabila merasa payudara sudah penuh. Sesi perahan yang dilakukan bukan semata-mata untuk mendapatkan susu ibu perahan tetapi adalah satu cara memberi signal kepada otak supaya menghasilkan lebih banyak susu.
Proses untuk menghasilkan susu baru tidak akan nampak dalam jangka masa singkat. Perlu diketahui, sekiranya hari ini ibu menambah sesi perahan, peningkatan penghasilan susu tidak akan dapat dilihat keesokannya. Ia akan mengambil masa seminggu atau dua minggu bergantung kepada individu.
IKLAN
SOKONGAN
Dapatkan sokongan daripada orang terdekat seperti suami, ibu bapa, rakan-rakan, adik beradik, pengasuh dan majikan. Beri penjelasan dan penerangan kepada orang di sekeliling supaya mereka memahami dan menyokong amalan penyusuan susu ibu yang sedang anda lakukan.
FIKIRKAN SESUATU YANG INDAH
Fikirkan yang indah dan keseronokan semasa memerah. Tinggalkan segala masalah buat seketika. Relaks dan perahlah payu dara dengan gembira. Tatap gambar dan video bayi anda semasa memerah bagi membantu hormon oksitosin iaitu hormon kegembiraan yang membantu penghasilan maka susu bertambah. Elakkan stres kerana ia boleh menyebabkan penghasilan susu merosot.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Cegah anak jadi picky eater pada peringkat awal boleh membantu mereka mendapatkan nutrien secukupnya. Tidak perlu tunggu lama, tak ada gigi pun boleh!
BILA WAKTU SESUAI?
Menurut Siti Nurhayati Ali Pakar Pemakanan Avisena Specialist Hospital, Shah Alam, masa terbaik memperkenalkan makanan jejari selepas bayi selesa dengan bentuk puri. Makanan jejari boleh diberi agar bayi dapat belajar menyuap makanan mereka sendiri kelak.
Tumbesaran bayi berbeza–beza dan tidak ada satu waktu yang sama. Namun secara purata usia bayi antara tujuh dan lapan bulan sudah bersedia untuk makanan finger food atau “mudah dipegang” ini.
TANDA ANAK SUDAH BERSEDIA UNTUK MAKANAN JEJARI
Antara tanda-tanda bayi anda bersedia untuk makanan jejari ialah seperti berikut;
Mencapai makanan semasa anda menyuap makanan puri.
Memegang sudu atau mangkuk.
Membawa objekmasuk ke mulut seperti memasukkan sudu ke dalam mulut.
Boleh duduk di kerusi bayi tanpa sokongan
BELUM ADA GIGI PUN BOLEH!
Anak saya masih belum ada gigi, bolehkah dia kunyah makanan jejari? Soalan ini seringkali ditanya mama papa yang prihatin. Bayi tidak semestinya perlu ada gigi untuk makan makanan pepejal dan belajar mengunyah. Gusi mereka adalah cukup kuat untuk mengunyah makanan jejari yang merupakan pepejal lembut.
Asalkan bayi memenuhi empat syarat di atas sebagai tanda bersedia untuk menerima makanan jejari, mama papa sudah boleh boleh berikannya sebagai snek.
BAYI BELAJAR MENYUAP SENDIRI
Ketika mula memakan makanan jejari, kebanyakkan bayi tidak dapat mengenggam makanan menggunakan dua jari dengan baik (pincher grip) tetapi lebih menggunakan fist grip atau four finger grip.
Ini adalah pembelajaran normal bayi belajar menyuap makanan. Jadi mama papa jangan risau untuk memberikan makanan jejari. Cuma paling mustahak sentiasa awasi anak dan pilih makanan yang sesuai di mana teksturnya mestilah lembut, mudah ditelan dan bentuknya mudah dipegang.
BOLEH ELAK BAYI MEMBESAR JADI PICKY EATER
Pelbagaikan rasa masam, manis, pahit, kelat dan sebagainya berulang kali agar bayi boleh merasa pelbagai rasa dan ini boleh mengelakkan mereka membesar menjadi seorang yang cerewet makan atau picky eater. Sediakan dalam pelbagai cara menghidang bagi menarik selera si manja.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tidak dinafikan apabila si manja merangkak & bertatih, dia makin aktif bergerak & semakin ‘buas’. Dah banyak akal! Akibatnya kerap jatuh & terhantuk kepala.
Bayi yang mula merangkak dan menyusur akan mendapat ‘lesen’ untuk menerokai ruang. Koordinasi tangan dan kaki serta anggota tubuh mereka juga semakin baik. Begitu juga dengan bayi yang mula ‘dapat kaki’ atau bertatih, kerap terjatuh dan terhantuk memang selalu terjadi proses ini.
ADAT BAYI BUAS, SELALU JATUH & TERHANTUK
Ramai mama dan papa yang mengadu bayi yang sedang belajar untuk bertatih dan kerap memanjat dan disebabkan hal ini bayi kerap kali terjatuh. Aktif merangkak dan menyusur (cruising) sehingga badannya semakin mengecil kerana terlalu aktif atau ‘buas’.
Hal ini merunsingkan ibu bapa kerana bimbang jika perkembangannya terganggu. Bagaimana caranya untuk tahu sekiranya bayi mengalami cedera teruk akibat jatuh selain pendarahan pada luaran dan kesan bengkak?
LUMPS AND BUMPS
Lumps and Bumps adalah sesautu yang biasa dalam peringkat kanak-kanak yang mula mendapat kebolehan bergerak sendiri. Lazimnya ini tidak mendatangkan apa-apa kemudaratan kepada mereka. Ia adalah satu fenomena yang biasa dalam proses pembesaran kanak-kanak.
Kulit kepala kaya dengan saluran saluran darah dengan itu luka kecil boleh menghasilkann pendarahan yang banyak. Bengkak dan lebam berlaku jika saluran darah itu mengeluarkan cecair dam berlaku pendarahan dibawah kulit. Ini mungkin mengambil beberapa hari atau minggu untuk hilang sepenuhnya.
7 TANDA BAYI/KANAK-KANAK PERLU RAWATAN SEGERA
Sekiranya bayi terjatuh atau terhantuk tetapi tidak teruk, pantau mereka dalam masa 24 jam. Namun jika berlaku tanda-tanda seperti berikut berlaku dalam masa masa 24 jam, mama dan papa perlu segera membawa bayi mendapatkan rawatan kerana ia mungkin petanda masalah kecederaan dalaman atau luaran.
Nasihat dan rawatan perubatan amat diperlukan dalam keadaan cemas ini.
Pengsan walaupun seketika
Menangis dan tidak berhenti
Berkelakuan tidak selesa
Sukar dipujuk
Muntah berulang kali
Tidur dan tidak mudah dikejutkan
Tidak berkelakuan seperti biasa
Selain daripada pemerhatian dan pemantauan, mustahak bagi mama dan papa percaya kepada naluri sendiri. Jika rasa kurang yakin dan tidak tenteram, segera bawa bayi mendapatkan rawatan doktor.
Anak saya berusia 12 bulan. Memang dari newborn kalau tiada orang, dia merengek. Smpai sekarang. Tak boleh ditinggal. Saya memang tak boleh buat kerja apa pun. Saya cuba konsep bagitahu anak sebelum ke mana-mana seperti nak pergi toilet tapi dia menangis juga. So saya kena bawa. Saya pernah biarkan dia menangis, saya buat kerja . Tapi tiada respon yang positif. Kalau ikutkan, saya dulu memang macam anak saya sekarang: tak boleh berenggang dengan ibu saya. Adakah itu personaliti semula jadi?.
Jawapan:
Tak tersebut oleh saya betapa teramat kerapnya saya menerima soalan seumpama ini hingga saya tertanya, apa yang buat ramai ibu seperti ‘takut’ dan merasa terancam dengan tangisan anak? Bagaimana harus saya buat ibu merasa selesa berdepan dengan anak yang menangis?. Baik, saya bentangkan fakta konsep tangisan berikut agar ibu faham. Jadi sila beri perhatian penuh
Pada usia 1-3 bulan: tangisan berada dalam bentuk reflek. Bermaksud bayi tak berfikir atau belajar untuk menangis. Mereka ‘just do it’. Ia dikawal oleh ratusan reflek yang membantu keseluruhan operasi sistem badannya. Sebab itu, amat biasa ibu berkata telah letih mendukung, memujuk tetapi bayi tetap menangis seolah tak perasan ibu dah cuba nak bantu tenangkan.
Selepas 4 bulan: tangisan perlahan-lahan berubah menjadi kelakuan sukarelanya. Maka amat biasa kita melihat bayi diusia ini seperti membuat proses ‘scan’ sebelum menangis bila cuba diambil individu asing.
dalam masa yang sama;
sehingga usia bayi 20 bulan: bayi mengalami 10 perubahan drastik neuron (otaknya di upgrade secara pesat) yang menyebabkan bayi lebih 3C: crying (menangis), clingy ( nak berdukung/tak boleh berpisah) & cranky (merengek).
Apa point penting di sini? :- Bermula usia 4 bulan,bayi mula memahami respon yang diterimanya dari setiap individu dan menggunakan pemahaman ini untuk menjustifikasi kelakuannya. Bayi mula bereksperimen dengan konsep autonomi (mengambil undang-undang ditangan sendiri) melalui cara mengawal beberapa aspek disekelilingnya.
Tak faham? Ok contoh begini: kerana ibunya seorang yang kalut dan segera datang bila dia menangis,maka bayi akan kerap mengguna tangisannya untuk menghalang ibu pergi. Sedangkan bila bersama pengasuh (yang berpewatakan lain dari ibunya),bayi lebih berkerjasama bila perlu diletakkan ,’diminta’ bermain sendiri atau bersama rakan.
Berbalik pada soalan puan. Kuat merengek sejak dilahirkan dan tak boleh jika tiada orang itu adalah salah satu ciri bayi ‘high demand’ (menuntut perhatian tinggi). Kesemua 12 ciri lengkap bayi high demand ini telah saya terang lengkap dalam buku tulisan saya, ‘mengapa bayi anda menangis’. Apa yang membuat bayi jadi high demand? Itu memang personaliti unik dimana dia diciptakan begitu. Ia bukan sesuatu yang bayi saja-saja pilih untuk jadi. Bayi yang sudah sedia kala berpersonaliti sukar sudah tentu makin memberi cabaran ketika memasuki fasa perubahan neuron yang saya sebut di atas.
Ibu Bapa Perlu Kawal Situasi
Baik, adakah personaliti anak dipengaruhi oleh personaliti ibubapanya semasa kecil? Tak semestinya walau ada kemungkinannya kerana ‘traits’ atau ciri itu ada dalam diri ibubapanya. Namun itu semua TIDAK PENTING. Apa yang penting? Cara bayi dibesarkan atau corak/gaya ‘parenting’ ibubapanya. Inilah yang membentuk sikap anak. Inilah yang saya maksudkan dalam contoh ibu kalut diatas.
Ya benar merengek,menangis dan bertantrum itu merimaskan dan meresahkan. Namun ibubapa perlu ingat,mereka adalah orang dewasa. Ibubapa patut jadi model tenang, terkawal dan rasional. Bayi dan anak kecil memang sudah pakar dalam bab melepas geram, membuat orang cemas dan berperangai tidak ‘cool’ langsung.Jadi, untuk apa ibubapa menjadi model dalam kelakuan yang sama?. Baca semula soalan itu baik-baik.
Sekarang jawab pula soalan ini, berapa ramai ibubapa yang boleh kekal terkawal dan rasional saat anak menangis dan merengek? Tidak ramai!. Ini lah masalahnya. Anak kecil yang belum faham ayat, adalah pembaca reaksi bahasa tubuh, intonasi,ekspresi wajah dan aura tenaga yang amat cekap. Jadi, tak kira walau anda telah membaca kesemua buku ‘parenting’ yang ada didunia ini,jika anda gagal dalam peraturan pertama menjadi ibubapa iaitu sentiasa mengawal diri dan cuba kekal rasional, ketahuilah,tidak banyak yang boleh anda ubah tentang anak anda.
Mengapa saya berkata begitu? Kerana pakar psikologi mengkelaskan corak ‘parenting’ ibubapa kepada 3 golongan:
Ibubapa yang mampu membuat anak mendengar kata atau lebih berkerjasama ialah ibubapa yang konsisten. Tidak kira dalam apa situasi, ibubapa ini fokus dengan misi yang ingin dicapai. Berbalik lagi kepada soalan puan, ada disebut puan amalkan cara memberitahu sebelum kemana-mana sebagai salah satu langkah yang sering di saran pakar perkembangan kanak-kanak sebagai cara melatih mengurangkan rengekan anak kerana ibu tidak ‘hilang’ dengan drastik. Ya tahniah atas usaha puan ini. Persoalannya, sejauh mana puan konsisten bukan sahaja dari cara memberitahu setiap kali ingin beredar, tapi juga dari segi berapa konsisten respon/reaksi puan setelah bersatu semula dengan anak?. Adakah puan bersatu dalam keadaan ‘energy level’ cemas dan rasa bersalah kerana beredar dari anak? Atau adakah ‘energy level’ puan neutral dan terkawal?.
Tak Perlu Risau Jika Tak Mudaratkan Bayi
Mari lihat pula situasi dimana puan terpaksa membawa anak masuk ke dalam tandas kerana anak menangis. Soalan pertama saya, adakah puan rasa anak menangis ketika itu sebab cedera, dalam kesakitan atau dia cemas/memprotes kerana puan perlu hilang sebentar ke tandas?. Saya amat yakin puan tahu benar jawapannya.
Jadi adakah perlu untuk puan cukup cemas hingga terpaksa membawanya masuk ke dalam tandas?. Membawa anak masuk bersama-sama ke dalam tandas untuk menunaikan hajat atau mandi bukan satu kelaziman (melainkan dalam situasi seperti anda berdua di tandas awam dimana meninggalkan anak akan merisikokan anak hilang). Sudah tentu ibu perlu bijak dalam soal mencari masa sesuai untuk urusan tandas atau alih perhatian anak dengan memasang tv atau meletak mainan untuk membeli masa. Namun, apa perlunya cemas jika ia sekadar beberapa minit? . Tak kira berapa kuat dia menangis, selesaikan urusan anda dan keluar kepadanya dalam keadaan terkawal seperti ‘tiada apa yang perlu dirisaukan wahai anak’ atau jika tidak,anak akan belajar bahawa dia hanya perlu menjerit sekuat hati dan ibu pasti akan mengheretnya kemana saja hatta ke tandas!.
Saya selalu berkata pada ibubapa, fahamlah, menangis bukan selalu bererti anak dalam kesakitan dan kecemasan hingga perlu di ‘selamatkan’. BUKAN SEMUA TANGISAN PERLU DIHENTIKAN tak kira berapa teruk ia kelihatan!. Ya,anak mungkin menangis teresak-esak, ‘hilang suara’ atau muntah. Semua ini fenomena biasa dan selalunya tidak merbahaya. Ibu perlu tahu beza tangisan sebenar atau manipulasi. Saya yakin semua ibu tahu. Tetapi sebahagian ibubapa memilih untuk tunduk pada anak lalu menyampaikan mesej yang salah atau campur aduk pada anak.
Bagi Anak Faham Secara Berperingkat
Ada banyak cara untuk buat anak rasa disayangi tanpa ibu perlu tunduk pada anak. Contoh cara?. Baik,mari ambil situasi melatih anak duduk di ‘car seat’ . Amat biasa anak memprotes,menjerit, meronta malah hingga terbatuk-batuk muntah,kan?. Apa yang perlu ibu lakukan diawal proses ialah memberitahu anak bahawa anda mahu meletaknya di ‘car seat’. Kemudian, teruskan saja perjalanan walau anak mula menangis. Anda tentu lebih tahu anak menangis kerana ingin berlepas diri dari ‘car seatnya’ semata-mata. Tenangkan anak dengan kata-kata atau nyanyian. Jika amukan anak makin teruk dan anda sukar fokus, berhentikan kenderaan di tempat selamat dan tenangkan anak dengan cara anda. Setelah reda,letak kembali anak di ‘car seat’ nya dan teruskan semula perjalanan. Ya, ia mungkin memerlukan anda mengulangi hal ini beberapa kali pada setiap kali dan mengambil masa yang lama pula. Namun untuk mengalah melatih anak duduk di ‘car seat’ dan mula mengamalkan memangku anak hanya kerana dia benci ‘car seat’nya adalah salah. Anda perlu jadi orang dewasa dalam hal ini hingga anak tahu dia tidak akan menang dalam permainan protes ini.
Percayalah, dengan berlaku konsisten, anak tidak perlu masa yang lama untuk terima pelajaran ‘car seat’ ini. Sama juga dengan banyak lagi pengalaman pelajaran hidup yang lain seperti mencerai puting,mencerai buaian, belajar tidur sendiri, mencerai lampin (potty training), berkongsi mainan, mendisiplin perangai buruk anak, memasuki ‘daycare’ (berpisah dengan ibubapa), menaiki basikal dan banyak lagi. Adakah ibubapa perlu menghentikan anak dari terus belajar berbasikal hanya kerana dia pulang dengan luka dan darah serta menjerit kesakitan misalnya?. Adakah ibu perlu segera berhenti kerja kerana anak menangis setiap kali dihantar ke penjaga misalnya? Adakah anak tak perlu masuk sekolah hanya kerana dia menangis teresak-esak bila ibunya beredar misalnya?.
Kesemua situasi diatas ialah contoh respon stress positif. Dengarkan ini, SEMUA bentuk respon stress positif amat diperlukan untuk anak jadi manusia normal. Bagaimana? . Emosi dan memori manusia dikawal oleh bahagian otak yang di panggil sistem limbik. Perkembangan sistem limbik amat bergantung kepada pengalaman. Untuk membentuk sistem limbik yang normal, anak perlu ada pengalaman interaksi sosial yang NORMAL sesama rakan dan ibubapa. Apa dia pengalaman interaksi sosial yang normal ini?: IANYA SEMUA PERASAAN YANG MANUSIA BIASA PATUT RASA seperti gembira, sedih, kecewa, cemas, geram, lega dan macam-macam lagi. Jadi jelas, ibu bukan untuk memperisai anak dari semua rasa tak seronok. Ibu bukan untuk hentikan setiap tangisan, baiki perasaan anak, alih rasa sebenar anak apa lagi tidak mengendahkannya. Perasaan itu wujud.
Anda perlu buat 3 hal ini sahaja: 1. sahkan perasaan itu. 2. biar anak merasakannya dan 3. bantu dia laluinya. Contoh?. Bila anak menangis setiap kali anda perlu pergi katakan: “Adik sedih. Adik sedih mama pergi.Mama pergi 5 minit je ok..?”. Pergi terus tanpa rasa bersalah. Kembali seperti yang dijanjikan dan tenangkan anak dengan energy level yang neutral dan bukan dengan sebaliknya rasa bersalah seperti,” sorry sayang. kesian anak mama kena tinggal..” .
Adakah anak akan serta merta ok dan tak lagi merengek ? Tidak. tetapi seiring masa, pengalaman demi pengalaman, anak akan lebih pandai menghadapinya. Inilah cara sistem limbik ini berkerja. Jadi, bagaimana anak boleh cekap untuk hadapinya jika tidak diberi peluang demi peluang?.
Adakah anak stress sepanjang proses ini? Ya. Ianya stress positif yang saya sebut diatas. Jenis stress ini tidak memudaratkan. Malah diperlukan untuk anak berkembang. Bagaimana kita dapat tahu ini?. Kerana hormon stress iaitu cortisol boleh dikesan melalui air mata dan air liur. Cortisol bukanlah buruk semata-mata. Ia sangat diperlukan untuk survival. Ia benarkan kita untuk hadapi stress dan pulih dari stress. Sebagai contoh, terdapat satu kajian di mana sekumpulan bayi ‘newborn’ dihadapkan dengan beberapa ujian fizikal selama 2 hari berturut. Pada hari pertama, bayi menangis dan kadar cortisol yang direkodkan adalah tinggi. Pada hari kedua, bayi masih menangis sama banyak seperti hari pertama, tetapi tiada peningkatan dalam paras cortisol. Ia menunjukkan bayi kenal pengalaman sebelum ini (pada hari pertama) dan pengalaman itu bantu bayi pulih dan belajar dari pengalaman. Bayi kini menangis kerana marah dan tak selesa tetapi bukan kerana tekanan emosi. Sama halnya bila kajian diulang terhadap situasi bayi mendapat suntikan imunisasi. Jelas,stress bukan satu masalah. Cortisol juga bukan satu masalah melainkan jika ia terus meningkat dalam satu tempoh yang panjang seperti dalam kes anak mangsa dera.
Saya berharap,dengan maklumat ini,ibu akan lebih selesa menghadapi tangisan anak. Ada banyak tip untuk mengurangkan rengekan termasuk permainan yang dapat meningkatkan keyakinan diri anak,yang ditulis ramai pakar kanak-kanak bagi membantu ibubapa. Pada akhirnya, ibubapa yang paling layak menentukan kejayaan yang ingin dilihat pada diri anak masing-masing.