
Jangan sia-siakan tiga tahun pertama kehidupan anak kerana inilah tempoh paling penting dalam perkembangan otak mereka. Menurut pengamal perubatan, Dr Qarafi Tee, tempoh ini adalah fasa keemasan yang sering dipandang ringan oleh ibu bapa, sedangkan otak anak sedang berkembang dengan sangat pantas.
Melihat kejayaan anak sehingga membesar menjadi insan yang bijak dan hebat merupakan impian setiap ibu bapa. Namun hakikatnya, asas kepada kejayaan itu bukan bermula ketika anak masuk sekolah, sebaliknya bermula seawal fasa bayi lagi.
Ini kerana kanak-kanak kecil mempunyai keupayaan menyerap maklumat seperti span. Apa sahaja yang mereka lihat, dengar dan rasa akan disimpan oleh otak mereka tanpa sedar, terutamanya dalam tempoh tiga tahun pertama anak.
Jelas Dr Qarafi Tee, tiga tahun pertama kehidupan anak adalah tempoh paling kritikal kerana pada fasa ini sambungan sel-sel otak terbentuk dengan sangat cepat.
“Selepas usia tiga tahun, perkembangan otak akan menjadi lebih perlahan. Jadi sangat rugi jika ibu bapa mensia-siakan waktu emas ini,” jelasnya.
Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan besar dalam memastikan rangsangan yang betul diberikan agar perkembangan otak anak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
@prochamhq CARA BESARKAN ANAK BIJAK SEBELUM UMUR 3 TAHUN #autism #speechdelay #adhd #procham #prochamhq ♬ Epic Music(863502) – Draganov89
Antara perkara utama yang ditekankan Dr Qarafi ialah membenarkan anak meneroka dunia sebenar, bukan hanya duduk di rumah menghadap skrin telefon atau televisyen.
“Apa yang mak ayah boleh buat, bawa anak keluar. Biar mereka tengok pokok, langit, kereta, orang berjalan. Bagi mereka sentuh rumput, main pasir, daun dan batu,” katanya.
Menurut beliau, alam luar adalah kelas percuma terbaik untuk anak belajar tentang warna, bunyi, bau dan tekstur. Lagi banyak pengalaman sebenar yang anak alami, lagi cepat otak mereka belajar dan berkembang.
Ibu ayah juga digalakkan untuk kerap bercakap dengan anak walaupun anak masih belum pandai menjawab atau bertutur dengan jelas.
Jangan banyak berdiam. Terangkan apa yang sedang dilakukan, perkenalkan objek, warna dan aktiviti harian seperti, “ini nasi”, “kita nak pergi kedai”, atau “ini warna merah”.
Semua interaksi ini menjadi asas penting kepada perkembangan bahasa, kefahaman dan kemahiran komunikasi anak pada masa hadapan.
Dr Qarafi Tee turut menegaskan kepentingan menjaga emosi ketika bersama anak kecil, khususnya bawah usia tiga tahun kerana mereka sangat sensitif terhadap persekitaran.
“Anak belajar bahasa, intonasi dan emosi melalui suara mak ayah. Otak anak tak perlukan bahasa yang sempurna, cuma suara mak ayah yang konsisten,” jelasnya.
Jeritan, ugutan dan kemarahan berlebihan boleh menyebabkan otak anak berada dalam keadaan takut, bukan belajar. Akibatnya, anak mudah tantrum, menjadi terlalu manja dan sukar untuk fokus.
Sebaliknya, pendekatan yang tenang, pelukan dan bimbingan lembut akan membuatkan anak berasa selamat dan berani mencuba perkara baharu.
Anak yang bijak dan stabil emosi selalunya lahir daripada rumah yang tenang, bukan rumah yang dipenuhi jeritan dan tekanan.
Hakikatnya, anak bawah tiga tahun tidak memerlukan gajet mahal atau mainan berteknologi tinggi. Mereka hanya perlukan dunia sebenar, suara ibu ayah dan persekitaran emosi yang stabil.
Jika perkara ini dijaga dengan baik, perkembangan otak anak boleh menjadi jauh lebih baik daripada apa yang ibu ayah sangkakan.
BACA LAGI : Anak Pandai Ikut Ibu atau Ayah? Jawapan Sains Yang Mengejutkan Ibu Bapa