Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 35 sebuah kondominium di Jalan Perdana 3/10 Pandan Perdana Kuala Lumpur (18 Julai).
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian daripada pengawal keselamatan di kondominium tersebut pada 2.20 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kanak-kanak yang merupakan warga asing itu dibawa ibunya yang bekerja sebagai pembantu rumah sambilan ke sebuah unit di kondominium terbabit untuk mengambil upah membasuh dan melipat baju.
“Mangsa yang merupakan anak bongsu daripada tiga adik beradik itu ditinggalkan seorang diri oleh ibunya berusia 36 tahun di ruang tamu rumah kerana sedang tidur sebelum wanita itu turun untuk membasuh pakaian di (kedai) dobi di bawah rumah.
“Kanak-kanak itu dipercayai telah bangun daripada tidur dan membuka pintu gelongsor sebelum memanjat kerusi yang berada di balkoni,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ads
Mohamad Farouk berkata ketika kejadian bapa kanak-kanak itu sedang bekerja di Petaling Jaya dan semakan mendapati ibu bapa mangsa tinggal di negara ini sejak lima tahun lepas.
Katanya, mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk bedah siasat dan setakat ini tiada tangkapan dibuat serta siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak.
Dua kanak-kanak melecur selepas terkena cecair dipercayai asid serbuk soda yang berpunca dari letupan saluran paip sinki rumah di sebuah pangsapuri di Seri Kembangan di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, kejadian itu disedari ibu kanak-kanak terbabit ketika berada di kediaman mereka di tingkat satu selepas terdengar letupan di bahagian dapur.
Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan anak lelaki dan perempuan masing-masing berusia sembilan dan tujuh tahun cedera sebelum dikejarkan ke Hospital Serdang untuk rawatan awal.
“Kanak-kanak lelaki itu mengalami melecur tahap tiga di dahi, kepala, bahu, badan, lengan dan paha manakala adiknya pula melecur di paha kanan.
“Kedua-dua mangsa itu dilaporkan stabil namun, kanak-kanak lelaki itu masih dalam rawatan di wad kecemasan ICU Kebakaran Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas pemilik rumah tingkat dua pangsapuri terbabit menggunakan serbuk soda yang dibeli secara dalam talian bernilai RM50 untuk membersihkan saluran paip sinki rumahnya yang tersumbat.
Katanya, siasatan masih dijalankan termasuk merekod keterangan ibu mangsa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun satu bulan di Johor Bahru meninggal dunia disyaki akibat jangkitan difteria pada 21 Februari lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kanak-kanak berkenaan tidak pernah menerima sebarang imunisasi sejak lahir.
“Kanak-kanak itu mula mengalami demam, batuk dan bengkak tonsil pada 16 Februari lalu.
“Dia dibawa ke unit kecemasan hospital pada 18 Februari lalu dalam keadaan lemah dan dimasukkan ke unit rawatan rapi paediatrik untuk bantuan pernafasan serta rawatan antitoksin difteria.
“Malangnya, kanak-kanak berkenaan tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia semalam dengan sebab difteria yang teruk dan kegagalan multiorgan.
“Ujian pengesanan ke atas sampel calitan tekak kes menunjukkan kehadiran bakteria corynebacterium diphtheriae dan pihak kementerian kini menunggu keputusan makmal untuk pengesahan toksin difteria,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, penyakit difteria disebabkan oleh jangkitan bakteria corynebacterium diphtheriae yang menyebabkan gejala sakit tekak dengan selaput di dalam tekak, bengkak tonsil dan kemungkinan berlaku komplikasi bacteremia (jangkitan darah) serta endokarditis (jangkitan pada jantung) sehingga menyebabkan kegagalan organ, yang seterusnya boleh membawa maut.
“Pemberian imunisasi difteria dapat mengelak daripada jangkitan atau jika terkena jangkitan, gejala adalah lebih ringan dan tiada komplikasi.
“Kementerian Kesihatan mengambil tindakan bagi membendung penularan jangkitan ini termasuk pencarian kes secara aktif di kawasan kediaman kes, pemberian imunisasi dan pendidikan kesihatan.
“Tahun ini, sehingga kini terdapat satu kes difteria yang disahkan di Malaysia. Tahun lalu, sebanyak 18 kes dengan lima kematian dilaporkan di Malaysia, yang mana empat daripada lima kematian ini tidak menerima imunisasi.
“Kesemua kematian difteria bagi tahun lalu membabitkan kanak-kanak di bawah usia 10 tahun,” katanya.
Sehubungan itu, tambah beliau, Kementerian Kesihatan menasihati orang awam terutama ibu bapa, supaya sentiasa berwaspada terhadap penyakit berjangkit yang boleh dicegah melalui imunisasi seperti difteria, demam campak (measles), batuk kokol (pertussis) dan lain-lain.
“Pastikan anak anda diberikan imunisasi kerana ia adalah cara pencegahan penyakit yang berkesan dan selamat selain perkhidmatan itu boleh diperoleh daripada klinik kesihatan kerajaan dan swasta.
“Kegagalan memberikan imunisasi kepada kanak-kanak bukan saja mendedahkan anak anda kepada jangkitan kuman, malah boleh membahayakan kanak-kanak lain.
“Ibu bapa yang belum memberikan imunisasi kepada anak mereka dinasihatkan tampil untuk mendapatkan imunisasi mengikut jadual yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, bagi kanak-kanak yang tercicir suntikan, boleh segera mendapatkan perkhidmatan imunisasi di mana-mana fasiliti kesihatan yang terdekat,” katanya.
Sumber: Bernama & Berita Harian
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Percutian sekeluarga ke Cameron Highlands bertukar tragedi apabila kereta yang dinaiki 10 orang ahli keluarga hilang kawalan sebelum terbabas sehingga meragut n 7 nyawa. Hanya 3 orang yang terselamat dalam kemalangan tersebut.
Namun yang meruntun hati semua apabila anak sulung mangsa yang sedang di rawat di zon kuning bertanya tentang ibu bapanya.
Mohd Zakri berkata, dia tidak tergamak untuk memberitahu apa yang berlaku kepada Muhammad Haziq Zikri Mohd Zairul, 9, yang dirawat di Zon Kuning Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) yang kehilangan ibu bapanya iaitu Mohd Zairul Mat Isa, 34, dan Nuratiqah Abd Hamid, 30, selain adik perempuannya, Nur Qaseh Damia Mohd Zairul, 4.
“Tak sampai hati saya nak mengiyakan hanya dia terselamat,” kata Mohd Zakri Mat Isa, 37, menceritakan keadaan anak saudaranya yang terselamat dalam kemalangan mengakibatkan tujuh sekeluarga maut di Kilometer 5 Jalan Keramat Pulai dekat Ipoh, petang semalam.
Turut terkorban dalam kemalangan itu ialah sepupu Mohd Zakri iaitu Hasliza Mahmud, 40, serta suami, Zulkifli Shuib, 41, di samping ibunya, Fatimah Mat Isa, 68. Selain itu anak kandung kepada Hasliza, Mohd Alif Firdaus, 3, turut maut dalam nahas itu.
Mohd Zakri berkata, kira-kira 5 pagi tadi, Muhammad Haziq Zikri terjaga sambil bertanya di mana nenek dan ibu bapanya ketika itu.
“Saya tak sanggup mengiyakan bila dia bertanya kepada saya: “Paklang, kiranya Haziq seorang sajalah yang hidup?” Kemudian saya tanya dia (Haziq) siapa memberitahunya. Katanya ‘Cik Sara’ iaitu makciknya yang beritahu ibu bapa serta adiknya maut dalam kemalangan itu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HRPB, hari ini.
Katanya, kejadian berlaku ketika dua sekeluarga itu yang menaiki sebuah kereta dalam perjalanan pulang dari bercuti di Cameron Highlands. Dia berkata, dua keluarga itu sememangnya jarang berjalan jauh untuk melancong dan selain bermalam semalaman di Cameron Highlands sehari sebelum kejadian, mereka sempat juga berkunjung ke Pulau Pangkor dan bermalam di pulau itu semalaman bermula Ahad lalu.
“Selalunya mereka hanya bercuti di kawasan yang dekat dengan kampung di Serdang, Kedah seperti Pulau Pinang. Tidak pasti menyambutnya di mana namun memang arwah Mohd Zairul dan isterinya baru menyambut ulang tahun perkahwinan mereka pada 3 Ogos lalu.
“Malah kereta yang dinaiki mereka pun kereta yang dipinjam dari kenalan. Saya tahu mengenai nahas itu 7.30 malam melalui kakak kepada Hasliza yang menyedari insiden itu melalui berita di media massa,” katanya.
Mohd Zakri berkata, sementara ibunya, Fatimah yang turut maut dalam kemalangan itu tidak menunjukkan sebarang kelakuan aneh selain daripada sempat tidur bersama cucu-cucunya di rumahnya serta rumah abang ketika menyambut Aidiladha lalu.
“Ibu juga kelihatan sentiasa ceria sejak kebelakangan ini. Ada juga dia meninggalkan pelbagai pesanan kepada kami,” katanya.
Dia berkata, jenazah tujuh sekeluarga itu akan dihantar pulang ke Kampung Badlishah, Serdang, Kedah, selepas selesai proses bedah siasat dan akan disemadikan dalam satu liang lahad.
Muhammad Haziq Zikri yang terselamat patah tangan kanan, sementara dua beradik iaitu anak kepada Hasliza, iaitu Firash Mikhael Azrie Syah, 11, dan abangnya yang dikenali sebagai Apit berusia 16 tahun, cedera parah.
PUNCA KEMALANGAN
Mangsa sekeluarga yang menaiki Perodua Alza dipandu Mohd Zairul sebenarnya dalam perjalanan dari Cameron Highlands selepas pulang bercuti menghala ke Simpang Pulai hilang kawalan sebelum terbabas sendiri.
Kereta berkenaan seterusnya memasuki laluan treler yang datang dari arah bertentangan sebelum melanggar bahagian hadapan treler itu yang dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun.
Perodua Alza terbabit kemudiannya terbalik yang menyebabkan kesemua tujuh mangsa maut serta tiga lagi yang cedera parah terperangkap di dalamnya.
Pemandu treler berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. Abang kepada Mohd Zairul, Mohd Zakri Mat Isa, 37, ketika ditemui di Unit Forensik HRPB berkata, ketika kejadian berlaku ketika semua 10 mangsa yang menaiki sebuah kereta dalam perjalanan pulang dari bercuti di Cameron Highlands.
Katanya, dia dengan Hazliza adalah sepupu yang mana semua mangsa yang menaiki Perodua Alza terbabit berasal dari Serdang, Kedah yang membabitkan dua kampung berbeza.
Sumber: Harian Metro
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!