Tompok berwarna kebiruan atau kelabu kehitaman ini mungkin menimbulkan kerisauan kepada ibu bapa. Mana tidaknya warna seperti lebam, bimbang menyakitkan si manja!
Tanda seolah-olah lebam dan ini selalunya wujud pada bahagian punggung, belakang. Tidak terkecuali bahagian dada, betis, kaki dan tangan. Malah ada sesetengah bayi turut mendapatnya pada bahagian muka!
Menurut Dr Hairin Anisa Tajuddin, Pakar Pediatrik & Pensyarah Pediatrik Monash University, ramai ibu bapa salah faham mengenai tanda lahir ini. Ada yang bimbang ia akan menyakitkan si manja. Berikut ialah perkongsian beliau;
Ramai yang tersalah faham dengan tanda lahir ini.
MONGOLIAN SPOT
Ia dinamakan Mongolian spot.
Ia sejenis tanda lahir yang telah terjadi sejak dalam kandungan di mana sel-sel yang menghasilkan pigmen berterusan berada di dalam lapisan kulit yang paling dalam menyebabkan warnanya menjadi kebiruan / kelabu kehitaman.
Ia selalunya timbul di bahagian punggung, belakang, namun boleh juga dilihat di bahagian lain tubuh. Mongolian spot ini akan beransur pudar dan hilang apabila anak meningkat umur hingga remaja.
TIADA KAITAN DENGAN MASALAH KESIHATAN
Tiada kaitan dengan sebarang masalah kesihatan seperti sesetengah tanda lahir lain seperti ‘haemangioma’ atau ‘cafe au lait spots’.
5 INFO MENGENAI MONGOLIAN SPOT
#1: Ia juga dikenali sebagai congenital dermal melanocytosis atau slate gray nevi.
#2: Banyak berlaku pada bayi yang mempunyai kulit gelap berbanding berkulit cerah.
#3: Tiada bentuk tertentu dan sering terdapat di bahagian bayi seperti punggung, belakang badan, lengan, paha dan betis.
#4: Mempunyai kelebaran 2 hingga 8sm.
#5: Permukaannya nipis, tekstur licin sama seperti kulit.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Budaya berpantang selepas bersalin merupakan tradisi turun temurun yang kebiasaannya diamalkan wanita di Asia, Afrika, Timur Tengah dan sebahagian Eropah dan biasanya melibatkan waktu rehat untuk si ibu selama 30 hari. Kerja-kerja rumah diagihkan kepada keluarga terdekat atau pengurus profesional yang memasak, membersih dan membantu penjagaan bayi.
Fahaman tentang kestabilan ‘panas dan sejuk’ adalah konsep dalam teori kesihatan kuno yang didapati wujud dalam budaya tradisional Latin Amerika, Asia dan Afrika. Dalam perubatan Yunani, teori humoral yang menyebut tentang empat elemen tubuh manusia juga membincangkan kestabilan ‘panas dan sejuk’.
Disebabkan darah dilihat sebagai ‘panas’, wanita yang baru melahirkan dan telah banyak kehilangan darah dianggap sebagai berada dalam keadaan ‘sejuk’. Disebabkan itu, berpantang selepas bersalin dilihat sebagai bertujuan untuk memastikan si ibu dihangatkan dengan mencukupi untuk kestabilan elemen humoral badan.
Di pedalaman Guatemala contohnya, bidan akan mengarahkan ibu yang baru melahirkan mandi dengan air panas untuk menghangatkan badan mereka di samping membantu penyusuan susu badan. Keutamaan makanan panas ini juga dapat dilihat dalam masyarakat Timur Tengah yang beranggapan bahawa makanan sejuk selepas bersalin meningkatkan risiko mendapat artritis atau rehumatisme.
Meskipun terdapat beberapa perbezaan dalam tempoh masa, diet dan pantang-larang yang diamalkan, konsep berpantang antara kumpulan etnik utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India adalah lebih kurang sama. Pada asasnya berpantang selepas bersalin dalam masyarakat ini dilihat bertujuan untuk mengeluarkan angin daripada badan selepas bersalin, menggalakkan peredaran darah, menguatkan sendi dan menggalakkan susu ibu di samping mengelakkan makanan yang menyejukkan.
Pantang-larang dan makanan yang disarankan sewaktu berpantang tidak disokong dengan kajian saintifik yang menyeluruh. Bahkan terdapat pantang-larang yang sebenarnya boleh memudaratkan si ibu. Pengambilan air yang mencukupi, contohnya, merupakan suatu keperluan penting untuk ibu menyusu.
Terdapat amalan berpantang yang mungkin mempunyai rasional suatu masa dahulu tetapi perkembangan dalam prosuder kelahiran dan teknologi yang digunakan membuatkannya tidak relevan lagi. Sebagai contoh, benang jahitan masa kini tidak lagi menggunakan bahan yang boleh menyebabkan keradangan sehingga para ibu perlu berpantang makanan untuk mengelakkan kegatalan dan berpantang daripada hubungan kelamin untuk tempoh sehingga 100 hari.
Meskipun tidak disokong oleh kajian saintifik, ini tidak bermakna amalan berpantang selepas bersalin adalah karut semata. Salah satu aspek dalam amalan berpantang, iaitu persoalan pemakanan ialah persolan yang sangat mengundang debat walaupun dalam kalangan pakar. Kompleksiti setiap makanan yang bukan sekadar terdiri daripada makronutrien (karbohidrat, protein, lemak) serta perbezaan metabolisme dan mikroorganisme dalam sistem pencernaan manusia bererti terdapat perbezaan luas dalam kesan pengambilan makanan terhadap individu.
Dalam satu perbandingan kajian yang mengkaji kaitan risiko kemurungan dalam wanita Cina yang berpantang, 8 kajian mendapati berpantang membantu mengurangkan risiko manakala 4 kajian mendapati berpantang boleh meningkatkan risiko.
Jelasnya, terdapat aspek amalan berpantang yang mengurangkan tekanan bagi si ibu, manakala aspek lain seperti konflik dengan ibu mertua, pantang-larang yang memudaratkan si ibu boleh memburukkan keadaan.
Oleh itu, jadilah lebih fleksibel dengan membentuk amalan berpantang yang sesuai dengan anda. Kebanyakan ibu baru akan berasa gembira dimanjakan dengan sistem sokongan sosial yang mengambil alih tugas-tugas rumah dan memberikannya peluang untuk menumpukan perhatian kepada bayi yang baru lahir.
Anda berhak untuk berpantang dengan erti kata diberi peluang untuk pulih dan fokus kepada bayi, bukannya berpantang dengan erti kata mengikuti senarai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan secara membuta tuli.
Ibu ini mengamalkan puasa 16 jam, diet kalori & senaman. Hasilnya dia berjaya turun 13.5kg dalam masa 4 bulan.
Ramai yang melakukan intermittent fasting untuk menurunkan berat badan termasuklah Puan Nurain Sazila, 33 tahun yang telah berkongsi tip dan cara dilakukannya hingga dapat menyingkirkan 13.5kg. Berat asalnya 74.5kg kini menyusut ke 61kg.
“Saya suri rumah, kedua-dua orang anak dilahirkan secara pembedahan caesarean. Saya amalkan intermittent fasting sejak bulan Oktober tahun lepas dan masih mengamalkanya sehingga sekarang. Selain itu saya cuba mengubah corak pemakanan saya secara perlahan-lahan dan mengikuti diet kalori,” kata Nurain.
BMI OBES & TEKANAN DARAH NAIK
“Penyebab utama saya tiba tiba mempunyai kesedaran dan tindakan adalah apabila BMI saya telah masuk ke fasa obes. Selama ini saya sedar yang saya overweight tetapi tahun lepas merupakan pertama kalinya berat saya melepasi fasa obes dan saya rasa saya perlu mula mengambil tindakan kerana darah tinggi saya semakin naik,” kata ibu dua anak ini.
BERAT TURUN 4KG BARU MULA SENAMAN
Ada yang kata senaman tanpa kawalan pemakanan tidak berkesan untuk menurunkan berat badan. Menurut Nurain, dia memulakan kawalan pemakanan atau diet terlebih dahulu. Hanya selepas turun 4kg barulah dia mulakan senaman.
Pada awalnya, dia hanya berjalan kaki cepat atau briskwalk sahaja dan selepas satu tempoh baru dimulakan senaman berintensiti tinggi seperti aerobik, zumba dan weight training. Kini selepas 4 bulan, Nurainmula kerap bersenam seperti aerobik, zumba, weight training dengan mengikuti video-video senaman di Youtube.
MESTI FAHAM KONSEP DEFISIT KALORI
“First, saya bukan dietitian/nutrition/coach atau yang sewaktu dengannya. Saya cuma mak anak dua yang ingin kongsi ilmu diet percuma supaya kita semua boleh kawal berat badan kita tanpa fikirkan ketidakmampuan bayar coach sebab ekonomi setiap orang tak samakan. Tapi semua orang nak sihat dan memiliki BMI normal.
“Badan kita memerlukan tenaga untuk menjalankan sistem pencernaan, peredaran darah, pernafasan dan lain-lain. Tenaga itu datangnya dari makanan yang kita makan dan dikira dalam bentuk kalori.
INTERMITTEN FASTING
Ibu ini juga turut menyimpan jurnal berat badannya dan aktiviti yang dilakukan untuk memantau penurunan berat badannya. Dia juga mencatat jumlah kalori diambil, senaman dan intermittent fasting (IF) yang dilakukannya.
“OMAD tu singakatan bagi one meal a day. Ia adalah satu cabang dalam intermittent fasting yakni kita berpuasa 23 jam dan waktu makan 1 jam. Saya mulakan IF dengan amalan 16 jam berpuasa dan 8 jam waktu makan (16:8) perlahan lahan saya tingkatan fasa berpuasa kerana melalui Dr Fung (penulis buku Obesity Code) beliau mengatakan lebih lama badan kita dalam fasa berpuasa, lebih banyak lemak yang akan terbakar,” kata wanita ini.
Bagi anda yang ingin memulakan, Nurain memberikan 8 tips;
MAKAN SAYURAN MENTAH
Apa yang menarik, ibu ini mengambil banyak sayuran mentah. “Lobak merah dan timun memang saya suka makan mentah sebab lagi sedap pada selera saya. Sayur sayur yang lain seperti brokoli, bunga kobis, bayam biasanya saya celur dalam air panas, kukus atau panggang.
Sayur sayuran memang lebih baik kalau kita makan mentah seperti ulam ulaman sebab khasiatnya tidak luntur/kurang. Biasanya sayur sayuran kalau kita masak dalam keadaan yang lama atau sangat panas, khasiatnya akan berkurangan,” kata Nurain.
HIDANGAN CANTIK BERI KEPUASAN
Ibu ini selalu berkongsikan gambar-gambar hidangan yang diambil, berwarna-warni dan tersusun cantik. “Melalui pengalaman saya, susunan makan yang cantik dan berwarna warni memberi kesan kepuasan ketika kita makan walaupun makanan kita itu mungkin kurang rasa kerana kita kurangkan garam, gula dan perasa. Tetapi platting makanan sihat yang cantik akan meningkatkan selera kita untuk menikmati makanan tersebut,: katanya.
MULA PERLAHAN
Kepada ibu-ibu lain yang ingin mencuba Pesanan saya, kita cuba ubah secara perlahan lahan. Tidak semestinya hari ini kita mula menjaga pemakanan (diet) , hari ini kita potong secara total gula, karbo, minyak dan garam. Kita mulakan dengan perlahan lahan sehingga badan kita boleh terima perubahan citarasa makanan. Saya sendiri merupakan pengemar minum air kopi bersusu pekat manis, sebelum ini saya boleh minum sampai 3 cawan sehari. Apabila saya mula diet, saya tidak berhenti terus minum tetapi saya kurangkan menjadi secawan.
Selepas sebulan saya bertukar ke kopi berkrimer dan akhirnya setelah empat bulan barulah saya berjaya minum kopi kosong tanpa gula.
Diet merupakan perjalanan seumur hidup kerana bukan secepat mana kita boleh kurangkan berat badan dan turunkan BMI tetapi selama mana kita boleh kekalkan berat badan dan BMI yang ideal tanpa berpatah balik ke pola pemakanan yang lama.
TIDAK MENJAUHI NASI, TETAPI PATUH DIET KALORI
Tidak seperti kebanyakan diet yang tidak menggalakkan pengambilan nasi, Nurain tetap mengambilnya tetapi dalam kadar yang sesuai dengan kalori harian atau menggantikan dngan kobis bunga atau roti.
“Saya tidak menjauhi nasi kerana nasi merupakan makanan kegemaran saya. Setelah saya lebih fahami kesan karbohidrat kompleks terhadap aras gula dan insulin dalam badan serta kesannya pada pembakaran lemak, saya cuba mengurangkan pengambilan karbohidrat kompleks secara berkala. Biasanya saya akan makan sebanyak 3 kali sehari dan saya akan cuba untuk pastikan hanya 1 kali yang mengandungi karbo kompleks.
“Contoh minggu ini karbo pilihan saya ialah roti, jadi nasi gantikan dengan kobis bunga. Minggu hadapan saya akan memilih nasi, maka roti saya akan gantikan dengan kobis bunga,” kata Nurain.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sejak turun temurun lagi orang dulu-dulu sangat menitikberatkan amalan berpantang termasuklah makanan ketika berpantang. Sehingga kini amalan ini masih diteruskan, namun ada sesetengah individu merasakan tiada masalah untuk tidak berpantang dalam pemakanan.
Sejauh manakah berpantang makanan perlu untuk anda? Ikuti perkongsian daripada Dr Fatimah Salim, Makmal Makanan (MaMa).
LAKSA & KUETIAW PANTANG?
Merujuk kepada ss pertanyaan ahli MaMa mengenai memakan laksa yang digantikan dengan mee kue tiaw oleh ibu dalam pantang lepas bersalin.
Isu makanan untuk orang ‘pantang selepas bersalin’ ini sebenarnya sangat sensetif. Boleh buat gaduh kalau masing-masing menegakkan pandangan. Dalam masyarat Melayu, ada dua jenis komen yang biasa kita jumpa iaitu
“ko makanlah, nanti esok-esok ko dah tua baru menyesal”.
atau
“ikut badan masing-masing. Saya makan setakat ni okay je walaupun baru dua hari lepas pantang.”
Umumnya untuk individu yang berubah proses kimia badannya seperti ibu yang baru lepas bersalin, kesesuain apa juga jenis makanan adalah bergantung kepada tahap penerimaan badan individu. TIADA makanan yang patut dielakkan. Selagi tidak membawa mudarat, boleh dimakan dan ini termasuklah kuah laksa tidak kira mi-nya adalah laksa, kuetiaw, mihun atau nasi. Ini kerana bahan asas kepada kesemua mi ini adalah kanji yang berasal daripada tepung beras, tepung gandum dan tepung ubi.
Mari teruskan baca rungkaian saya mengenai kaitan makanan dengan ‘angin’ dalam pantang yang sering diutarakan.
Baiklah.
Kanji terdiri daripada rantaian polimer karbohidrat kompleks iaitu amylose dan amylopectin. Struktur molekul amylose agak PADAT kerana ianya terbentuk daripada rantaian mendatar molekul-molekul kecil glukosa (aka gula) dan setiap rantaian ini terikat antara satu sama lain secara helix melalui ikatan hydrogen (bayangkan tali yang dipintal).
Manakala struktur molekul amylopectin pula agak LONGGAR kerana rantaian molekul-molekul glukosanya ada yang bercabang. Maka, struktur helix yang terbentuk antara rantaiannya akan lebih longgar daripada amylose. Perbezaan pada struktur kedua molekul kanji ini menyebabkan amylopectin lebih mudah larut dalam air jika dibandingkan dengan amylose. Pun begitu, pengecaian (disintegration) molekul-molekul glukosa pada struktur amylose dan amylopectin adalah unik dan berlaku bergantung kepada suhu.
Semakin tinggi suhu, semakan longgar ikatan hidrogen dalam struktur helix molekul amylose dan amylopectin. Ini akan memudahkan molekul-molekul air menyusup masuk membentuk ikatan hidrogen antara rantaian molekul-molekul glukosa tadi. Keadaan ini akan menyebabkan kanji mengembang membentuk gelatin atau dikenali sebagai proses pengelatinan kanji.
Tekstur gelatin yang diperolehi adalah bergantung kepada jumlah kanji jenis amylose dan amylopectin yang wujud dalam formulasi mi. Jika amylose yang akan banyak, tekstur gelatin akan lebih lembut dan legap. Manakala jika amylopectin yang banyak, tekstur mi akan lebih kembang dan likat. Proses pengelatinan ini penting untuk melemahkan ikatan hidrogen antara rantaian molekul glukosa pada kedua struktur kanji. Ini akan memudahkan enzim dalam sistem penghadaman menguraikan kedua kanji ini kepada molekul kecil glukosa agar mudah diserap ke oleh usus kecil ke dalam badan.
Pun begitu, proses pembuatan mi yang mana dimasak dan disejukkan semula juga mempengaruhi struktur molekul amylose dan amylopectin yang mana akan mengalami proses penyusunan semula struktur rantaian helixnya menjadi lebih padat daripada struktur yang asal. Proses ini dikenali dengan retrogradation. Ini akan menukarkan sifat kedua kanji ini kepada kanji degil (resistant starch) yang bermaksud sukar untuk diurai oleh enzim pencernaan.
Maka tugas pencernaan ini akan diambil alih oleh beribu jenis bakteria yang terdapat dalam usus besar kita melalui fermentasi. Semasa proses fermentasi, bakteria akan menghasilkan bahan kimia berbentuk gas seperti gas hidrogen dan metana. Gas-gas ini kemudiannya akan dikeluarkan dari sistem usus besar sebagai kentut.
Sekiranya gas ini tidak dikeluarkan, ianya akan terus terkumpul/ terperangkap dalam usus yang juga dikenali dengan istilah ‘kembung perut’ atau orang kita bahasakan sebagai ‘angin’. Harus diingat ‘angin’ ini ialah ‘benda asing’ yang berada dalam badan. Maka badan akan seboleh mungkin untuk mengeluarkannya dengan mekanisma yang mampu menggangu keseimbangan proses kimia badan yang lain.
Ketidakseimbangan kimia badan ini akan menyebabkan kita berasa ‘kurang selesa’ atau ‘sakit’ pada bahagian tertentu. Keadaan inilah yang agaknya orang lama istilahkan dengan ‘kembang urat’.
Tujuannya adalah sebagai ‘signal’ untuk kita berbuat sesuatu atau badan akan beradaptasi untuk mengembalikan semula keseimbangan kimia (Self-healing). Bahagian mana yang terkesan dan bagaimana, adalah bergantung kepada tahap kesihatan sedia ada dan mekanisma yang ‘paling’ kurang mudarat kepada system badan.
Untuk mengembalikan keselesaan, ada yang pergi berurut. Ada yang ambil ubat tahan sakit, ada juga yang ambil ubat buang angin. Ada yang baik sendiri hasil daripada pemakanan yang mengandungi pelbagai bahan kimia semulajadi yang membantu menyeimbang punca sakit tadi.
Terdapat juga individu yang TIDAK mengalami masalah ‘angin’ ini disebabkan mereka memiliki kepelbagaian jenis bakteria dalam usus besar yang boleh saling ‘meneutralkan’ gas yang dihasilkan.
Kenapa waktu pantang (lepas bersalin) biasanya menjadi penekanan untuk penjagaan makan dan minum?
Sebenarnya tahap kesihatan wanita lepas bersalin adalah bergantung kepada perubahan kimia dalam badan atau lebih dikenali dengan perubahan physiology bagi mengadaptasi kandungan dan kelahiran baby. Dan hal ini adalah normal.
Sehingga hari ini, tiada siapa yang betul-betul pasti sepenuhnya kenapa sesetengah individu mengalami alahan yang teruk dan sesetengah orang tidak semasa mengandung. Namun, teori yang paling popular dikaitkan ialah dengan tindakbalas badan individu terhadap bahan kimia (hormon) yang dihasilkan semasa mengandung iaitu human chorionic gonadotropin (hCG).
Selepas bersalin juga, bahan-bahan kimia (seperti hormon) dalam badan tidak berada di dalam keseimbangan kerana “proses pemulihan” yang diutamakan, penyesuaian fungsi badan selepas melahirkan (physiological changes after giving birth) atau mungkin juga disebabkan oleh berlakunya tindakbalas disebabkan ketercampuran darah anak ke dalam darah ibu yang tidak sama jenis (maternal-fetal transfusion reaction) semasa proses kelahiran. Dan adaptasi perubahan badan juga bergantung kepada genetik, keaktifan badan dan peningkatan usia.
Disebabkan ini, badan MUNGKIN menjadi lebih sensitif terhadap makanan atau minuman, seterusnya membawa kepada komplikasi lain. Maka, usahlah memperlekehkan jika terdapat individu yang bertegas dengan amalan pantang mereka (baca: TIDAK KERTERLALUAN). Namun, tidak semua orang akan mengalami masalah yang sama kerana sistem badan setiap individu adalah berbeza.
Disamping itu, kesan placebo juga mungkin berlaku kepada mereka yang baru bersalin ini. Kesan placebo ialah keadaan di mana bahan kimia sedia ada otak menjalankan peranan mengikut apa yang kita fikirkan. Contohnya bilamana makanan atau minuman itu telah lama ‘dimomokkan’ boleh menyebabkan ‘angin’ semasa pantang, bilamana kita percaya, maka bahan kimia badan akan bertindak mengikut kepercayaan ini, dan mencetuskan kesan ‘angin’ itu. Orang Putih cakap “you are what you think.” Orang Sabah bilang “dari kau saja tu.” Maka, fikir yang baik-baik saja. Usah menurut tanpa asas.
Saya secara peribadi, pernah berpengalaman dengan ‘angin’ dari kanji ini selepas sebulan bersalin anak ke-2. Setelah meneliti pengambilan makanan dalam tempoh berkenaan, penyebabnya ialah kuetiaw goreng masak sendiri. Pengalaman luar biasa seakan contraction bersalin membuatkan saya memahami ‘angin’ terperangkap dalam usus ini.
Pengalaman adik saya pula yang baru bersalin anak pertama di mana suhu sejuk daripada pendingin hawa menyebabkan dia demam, mengigil dan pengsan. Namun, setelah beberapa hari dia secara perlahan membiasakan diri dengan suhu rendah pendingin hawa, akhirnya badannya boleh beradaptasi. Kami sememangnya tidak mengamalkan cara pantang yang ketat, kami makan semua makanan sihat seperti biasa, namun kami berhati-hati dengan pengambilan makanan kami disebabkan mungkin genetiknya begitu. Kami biasanya cuba sedikit dulu, jika badan boleh terima, kami makan saja. Malahan air berais batu juga kami minum.
Suka diingatkan bahawa mempraktikkan amalan ‘pantang’ kena juga mempunyai ilmu dan pengalaman yang wajar. Janganlah mentidakkan semua jenis makanan kerana badan memerlukan nutrisi yang cukup sepanjang proses pemulihan. Pengambilan air kosong yang cukup juga sangat penting (baca: jangan catu air minuman). Fahami ‘bahasa’ tubuh anda dan teliti dalam pengambilan makanan dan minuman jika anda seorang yang mudah sakit atau mudah terkesan dengan makanan. Usah pukul rata.
NOTA: Mengamalkan ‘pantang’ ini tidak semestinya untuk wanita yang baru lepas bersalin saja. Mana-mana individu (termasuk lelaki juga) yang sakit dan perlu memulihkan badan perlu berpantang. Proses kimia badan kita berubah disebabkan banyak faktor termasuklah usia, sebab itu ada makanan yang kita boleh makan semasa muda namun apabila meningkat usia menjadi sensetif kepada badan. Maka, berpantanglah ikut keperluan ‘semasa’ badan.