
Kisah yang meruntun hati baru-baru ini mengenai seorang bayi berusia tiga bulan yang disahkan meninggal dunia selepas dipercayai lemas di bawah lengan ayahnya yang terkena serangan jantung, benar-benar membuka mata kita semua sebagai ibu bapa.
Tragedi ini bukan sahaja menyayat hati, malah menjadi satu peringatan besar buat kita untuk lebih peka dengan aspek keselamatan bayi, khususnya ketika tidur bersama anak kecil.
Mungkin ramai antara kita yang memilih untuk tidur bersama bayi kerana ingin lebih mudah menyusukan, atau sekadar ingin merasa dekat dengan anak. Tapi dalam masa yang sama, kita perlu tahu bahawa tidur bersama bayi (co-sleeping) boleh mengundang risiko, terutama jika tidak dilakukan dengan cara yang selamat.
Ibu ayah, berikut beberapa tip mudah tetapi sangat penting untuk diamalkan agar si kecil sentiasa dalam keadaan selamat, terutamanya ketika tidur bersama:
Jika anda terlalu letih atau mengambil ubat yang menyebabkan mengantuk, elakkan tidur bersama bayi. Risiko untuk tidak sedar pergerakan bayi sangat tinggi dan boleh menyebabkan insiden seperti ini.
Tidurkan bayi di sebelah ibu, bukan di tengah-tengah. Jika boleh, sediakan ruang khas seperti baby cot yang diletakkan bersebelahan katil ibu. Ini memudahkan penyusuan tanpa risiko bayi tersepit.
Pastikan kawasan tidur bayi bebas daripada sebarang objek lembut yang boleh menyebabkan bayi sukar bernafas. Bantal tebal dan selimut yang besar juga boleh menyumbat saluran pernafasan bayi tanpa disedari.
Posisi ini disarankan oleh pakar pediatrik seluruh dunia kerana ia membantu bayi bernafas dengan lebih baik dan mengurangkan risiko Sindrom Kematian Bayi Mengejut (SIDS).
Tilam yang terlalu lembut boleh menyebabkan bayi ‘tenggelam’ dan sukar bergerak. Gunakan tilam yang padat dan rata untuk keselamatan maksimum.
Tak perlu pakaikan bayi dengan selimut tebal atau pakaian berlapis-lapis. Cukup sekadar pakaian tidur yang selesa dan sesuai dengan suhu bilik.
Pendidikan tentang persekitaran tidur yang selamat perlu bermula dari awal kelahiran. Jadikan ia sebagai budaya dalam penjagaan bayi agar semua ahli keluarga tahu tentang keselamatan bayi.
Ibu ayah, tiada siapa mahu perkara buruk terjadi kepada anak sendiri. Namun, malang tidak berbau. Apa yang boleh kita lakukan adalah terus berusaha untuk belajar, memperbaiki cara dan sentiasa utamakan keselamatan si kecil dalam setiap keadaan.
Nyawa anak itu anugerah yang tak ternilai. Jadikan kisah sedih ini sebagai satu peringatan dan pengajaran bersama. Kerana kadangkala, tip yang nampak simple, itulah sebenarnya yang boleh menyelamatkan nyawa anak kita.