Tragedi Di Resort Ski Hokkaido: Kanak-Kanak Lima Tahun Maut Selepas Tersangkut Travelator

Share

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah perasaan paling tepat untuk menggambarkan duka seorang ibu dan ayah apabila kehilangan anak kecil yang masih belum mengenal erti bahaya dunia.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dalam satu kejadian tragis selepas lengan kanannya tersepit pada sebuah travelator atau laluan pejalan kaki bergerak di sebuah resort ski di Otaru, Hokkaido, utara Jepun. Kejadian menyayat hati itu berlaku pada pagi Ahad, ketika sepatutnya menjadi detik percutian yang menggembirakan buat sebuah keluarga.

Mangsa, Hinata Goto, dilaporkan terjatuh ketika cuba turun dari laluan pejalan kaki bergerak yang menghubungkan kawasan parkir ke cerun ski. Lebih meruntun perasaan, travelator tersebut tidak dilengkapi dengan susur tangan, menjadikan pergerakan kanak-kanak kecil di situ amat berisiko. Dalam sekelip mata, situasi bertukar menjadi mimpi ngeri apabila lengan kanannya tersepit pada peralatan berkenaan.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun foto meninggal dunia selepas lengannya tersepit dalam sebuah travelator di Resort Ski Asarigawa Onsen di Otaru, Hokkaido. foto Japan Daily

Pihak bomba menerima panggilan kecemasan daripada ibu mangsa sekitar jam 10 pagi. Difahamkan, sistem henti kecemasan travelator itu tidak berfungsi secara automatik ketika kejadian berlaku, menyebabkan si ibu sendiri terpaksa menekan butang henti dalam keadaan panik dan cemas. Usaha menyelamat menjadi semakin sukar apabila kakitangan resort tidak dapat mengeluarkan mangsa, sehingga pasukan penyelamat terpaksa membuka sebahagian struktur peralatan tersebut.

Walaupun pemeriksaan rutin keselamatan dilaporkan berjalan baik sebelum kejadian, takdir telah menentukan sebaliknya. Seorang wakil resort tampil memohon maaf dan berjanji akan menjalankan siasatan menyeluruh serta mengambil langkah pencegahan agar tragedi sama tidak berulang. Travelator berkenaan kini ditutup, namun resort ski itu masih beroperasi seperti biasa.

Kehilangan seorang anak bukan sekadar berita, tetapi luka seumur hidup buat ibu dan ayah yang memikulnya. Tangisan seorang ibu di hujung talian kecemasan, harapan yang hancur ketika menunggu bantuan tiba, semuanya adalah realiti pahit yang tidak mampu digambarkan dengan kata-kata.

Walaupun kejadian ini berlaku di luar negara, ia wajar menjadi pengajaran besar buat semua ibu dan ayah, terutamanya yang merancang untuk membawa anak-anak kecil bercuti. Percutian tidak selalunya selamat jika kita terlalu leka dan terlalu percaya bahawa setiap fasiliti awam adalah mesra kanak-kanak. Hakikatnya, peralatan seperti travelator, escalator atau lif bergerak boleh menjadi sangat berbahaya kepada anak kecil jika tiada pengawasan rapi.

Anak-anak kecil belum mampu menilai risiko. Mereka bergerak ikut rasa ingin tahu, bukan ikut logik keselamatan. Maka, tanggungjawab itu terletak sepenuhnya di bahu orang dewasa. Pegang tangan mereka, perhatikan setiap langkah mereka, dan jangan sesekali menganggap “tak apa” pada perkara yang nampak remeh.

Kerana apabila sesuatu berlaku, penyesalan tidak lagi mampu mengembalikan nyawa. Dan kehilangan seorang anak adalah kehilangan yang tiada gantinya.

Sumber: Harian Metro & Berita Harian

Published by
Nor Yusoff