
Hati mana yang tidak luluh bila kehilangan anak tersayang dalam keadaan penuh tanda tanya. Itulah yang dirasai seorang bapa, Muhammad Hafizuddin Abdullah, 40, apabila kisah sebenar di sebalik tragedi Iman Zhafran mula terbongkar sedikit demi sedikit.
Dalam satu perkongsian penuh emosi kepada pihak media, beliau mendedahkan bahawa arwah anaknya yang merupakan murid Tahun Empat di sebuah sekolah di Senawang, Negeri Sembilan pernah menerima ugutan mati sehari sebelum tragedi berlaku.
Menurut Hafizuddin, perkara itu hanya diketahui selepas pihak polis menyoal siasat mereka sekeluarga. Rupanya, malam sebelum kejadian, Iman sempat meluahkan ketakutannya kepada kakak yang tidur sebilik dengannya.
“Malam tu Iman cakap ada murid ugut nak tengok dia mati esok… tapi kakak tak sempat bagitahu kami sebab masa tu kami dah tidur,” ujarnya sebak ketika ditemui pada sidang media di pejabat peguam bela Yazid Tishondra, Solaris Mont Kiara.
Tragedi Iman Zhafran yang berlaku pada 1 Oktober lalu mengejutkan ramai apabila Iman ditemukan tidak sedarkan diri di dalam tandas sekolah sebelum disahkan meninggal dunia. Laporan bedah siasat mendedahkan punca kematian akibat tekanan pada leher, tanpa sebarang kecederaan lain pada tubuh mangsa.
Lebih memilukan, polis turut menemui nota tulisan tangan dalam buku milik arwah yang dipercayai mengandungi mesej berunsur ugutan.
“Polis tunjuk pada kami… dalam buku tu ada tulis ‘saya nak awak mati… saya tak tahu awak masuk syurga atau neraka’,” kata Hafizuddin yang bekerja sebagai mekanik.
Beliau kini menuntut siasatan yang telus dan menyeluruh bagi mencari keadilan buat anak kecilnya itu.
“Kami hanya mahu kebenaran. Kalau betul ada unsur buli atau ugutan, siasat sampai habis. Anak saya tak sepatutnya pergi macam ni,” katanya dengan nada penuh sayu.
Berita terdahulu melaporkan punca kematian murid lelaki Tahun Empat itu disebabkan tekanan pada leher. Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata bedah siasat di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau mendapati tiada sebarang kecederaan lain pada tubuh badan mangsa berusia 10 tahun itu. Mangsa disahkan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di tandas lelaki sekolah berkenaan.
Tragedi Iman Zhafran kini mendapat perhatian ramai yang berharap keadilan dapat ditegakkan dan punca sebenar kejadian dapat dirungkaikan sepenuhnya.
Sumber: Sinar Harian