
Kisah tragis seorang murid Tahun 4 yang meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di tandas sekolah rendah di Senawang benar-benar meruntun hati ramai. Kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta setelah dibawa oleh guru disiplin.
Menurut laporan Sinar Harian
, selepas laporan bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, pihak polis mengesahkan punca kematian murid terbabit adalah disebabkan tekanan pada bahagian leher. Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, pemeriksaan lanjut turut mendapati tiada kecederaan lain pada tubuh mangsa.Menurut beliau, sehingga kini pihak polis telah merakamkan keterangan daripada 27 individu termasuk saksi kanak-kanak. Siasatan menyeluruh dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar sebelum kejadian dan keadaan mangsa sewaktu ditemui.
“Polis menggesa agar diberikan ruang untuk menjalankan siasatan secara telus serta dengan mengambil kira sensitiviti kanak-kanak yang dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001,” jelas beliau.
Orang ramai juga diingatkan supaya tidak membuat andaian atau menyebarkan spekulasi tidak sahih kerana ia boleh menjejaskan siasatan serta menambah luka kepada keluarga mangsa.
Sebelum ini, pihak polis mengklasifikasikan kes tersebut di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan yang melibatkan unsur buli. Namun siasatan masih diteruskan secara rapi untuk merungkai punca sebenar tragedi menyayat hati ini.
Jenazah murid berkenaan telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights malam semalam dengan diiringi air mata keluarga dan sanak saudara.
Kehilangan ini membuka mata semua pihak tentang betapa pentingnya keselamatan dan kesejahteraan anak-anak ketika berada di sekolah. Ibu bapa perlu lebih peka terhadap emosi dan perubahan tingkah laku anak, manakala pihak sekolah pula harus menitikberatkan aspek keselamatan murid agar tragedi sebegini tidak berulang.
Pa&Ma menyeru agar masyarakat bersama-sama memainkan peranan dalam mendidik anak-anak dengan nilai empati, kasih sayang dan hormat sesama rakan. Setiap nyawa anak-anak adalah amanah yang sangat berharga.