
Siapa sangka, permainan yang selalu buat kita ketawa akhirnya bertukar menjadi mimpi ngeri yang meragut dua nyawa kecil.
Walaupun tragedi ini berlaku jauh di luar negara, di Colombia, hakikatnya ia bukan sekadar berita. Ia adalah peringatan keras buat semua ibu ayah bahaya boleh berlaku dalam sekelip mata, walaupun hanya di dalam rumah sendiri.
Dalam satu kejadian menyayat hati, dua beradik kecil, Saori berusia lapan tahun dan adiknya Darien, lima tahun, dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai terperangkap di dalam sebuah peti sejuk beku ketika bermain sorok-sorok pada Sabtu.
Mereka ditemui oleh ibu bapa dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam peralatan tersebut sebelum dikejarkan ke hospital. Namun, segala usaha doktor untuk menyelamatkan nyawa mereka tidak berjaya.
Difahamkan, kedua-dua kanak-kanak itu tidak dapat bernafas selepas pintu peti sejuk beku yang menjadi tempat persembunyian mereka tertutup secara tiba-tiba. Insiden ini sekali lagi membuka mata tentang risiko tersembunyi dalam tragedi peti sejuk kanak-kanak yang jarang diberi perhatian.
Lebih memilukan, ketika kejadian, ibu bapa mereka hanya keluar selama kira-kira 20 minit untuk membeli barang keperluan di sekitar rumah mereka di Vista Hermosa. Mereka langsung tidak menyangka, tempoh yang begitu singkat itu cukup untuk meragut dua nyawa yang paling mereka sayangi.
Bapa mangsa, Brayan Guevara Trivino, berkata peti sejuk beku tersebut sebenarnya tidak disambungkan kepada bekalan elektrik ketika mereka keluar.
“Kami keluar untuk membeli barang dapur dan mencari baju kecil untuk perarakan sekolah. Hanya sekitar 20 minit.
“Peti sejuk beku itu tidak disambungkan. Anak-anak memanjat masuk untuk bermain tetapi penutupnya terjatuh dan tertutup. Mereka terperangkap dan lemas,” luahnya dengan penuh kesedihan.
Pihak polis mengesahkan siasatan telah dibuka bagi menyiasat kejadian tragis ini, termasuk kemungkinan kecuaian serta aspek keselamatan di rumah tersebut.
Kisah ini bukan sekadar kisah sedih, tetapi satu realiti yang perlu kita hadam bersama. Tragedi peti sejuk kanak-kanak seperti ini menunjukkan bahawa objek harian yang kelihatan tidak berbahaya sebenarnya boleh menjadi perangkap maut.
Kadang-kadang kita rasa rumah adalah tempat paling selamat. Tapi hakikatnya, tanpa pengawasan, benda biasa seperti peti sejuk, baldi air, almari semua boleh bertukar menjadi bahaya yang tidak disangka.
Antara langkah yang boleh diambil bagi mengelakkan tragedi seperti ini berulang:
Jangan pernah anggap “sekejap je keluar” itu selamat. Kerana dalam dunia kanak-kanak, satu minit pun cukup untuk tragedi berlaku.
Tragedi peti sejuk kanak-kanak ini menjadi peringatan bahawa keselamatan anak-anak bukan hanya tentang bahaya luar, tetapi juga ancaman yang berada sangat dekat dengan kita setiap hari.
Sebagai ibu bapa, kewaspadaan adalah benteng utama. Kerana dalam sekelip mata, perkara kecil boleh berubah menjadi kehilangan yang tidak terganti.
Sumber: Sinar Harian