Umpan Basikal Percuma, Kanak-Kanak 12 Tahun Jadi Mangsa Amang Fizikal!

Share

Sebagai ibu bapa, tiada apa yang lebih menakutkan selain mengetahui anak-anak kita berisiko menjadi mangsa gangguan fizikal atau seksual. Baru-baru ini, kisah menyayat hati dilaporkan di Kuala Muda apabila seorang lelaki berusia 46 tahun ditahan kerana disyaki melakukan amang fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun.

Umpan Dengan Hadiah Basikal

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, kejadian berlaku sekitar jam 9 malam, 29 September lalu. Mangsa yang ketika itu bersama tiga rakannya di kawasan Ramlee Bukit Bintang, didatangi suspek yang menaiki sebuah motosikal.

Dengan alasan mahu memberikan basikal percuma, suspek berjaya menarik perhatian mangsa untuk mengikutnya. Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke sebuah rumah sebelum diberikan sebuah basikal. Namun, tidak berhenti di situ, suspek sekali lagi ‘mengumpan’ dengan janji sebuah lagi basikal sehingga mangsa sanggup mengikutnya ke lokasi lain. Tragisnya, di kawasan hutan itulah suspek dipercayai melakukan perbuatan terkutuk tersebut.

Gambar Hiasan

Suspek Ditahan Polis

Menurut laporan Harian Metro, mangsa merupakan anak ketiga daripada empat beradik. Susulan laporan, polis berjaya menahan lelaki berusia 46 tahun yang bekerja di sebuah kilang. Kes disiasat di bawah Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017

. Pihak polis juga mengesahkan suspek tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini. Permohonan reman dibuat bagi membantu siasatan.

Pengajaran Buat Ibu Bapa

Kes ini sekali lagi membuka mata kita semua tentang betapa liciknya pemangsa menggunakan helah yang tidak disangka. Bagi kanak-kanak, hadiah percuma seperti basikal mudah membuat mereka teruja tanpa menyedari bahaya yang menanti.

Sebagai ibu bapa, kita perlu lebih berhati-hati dan sentiasa mendidik anak dengan perkara berikut:

  • Jangan mudah percaya pada janji atau hadiah orang asing.

  • Elakkan keluar berseorangan. Sentiasa dalam kumpulan atau ditemani orang dewasa.

  • Beritahu segera kepada ibu bapa atau guru jika ada individu mencurigakan cuba mendekati mereka.

  • Ajarkan konsep sentuhan selamat dan tidak selamat sejak anak kecil agar mereka lebih peka.

Lindungi Anak Kita

Pemangsa boleh muncul di mana-mana tanpa kita sangka. Justeru, ibu bapa adalah benteng utama dalam memastikan keselamatan anak-anak. Selain pengawasan rapi, bina komunikasi yang baik dengan anak agar mereka berani berkongsi jika berdepan situasi mencurigakan.

Anak-anak adalah amanah besar. Lindungi mereka dengan kasih sayang, doa dan ilmu yang betul supaya mereka tidak mudah menjadi mangsa kepada individu yang tidak berhati perut.

Published by
Nana