
Bayangkan anak kecil berusia 7 tahun sudah duduk dalam dewan kuliah universiti, lengkap dengan tablet, nota dan botol air seperti pelajar dewasa lain. Itulah realiti luar biasa yang sedang dilalui oleh kanak-kanak genius Singapura, Theodore Kwan, apabila dia kini mengikuti kuliah kimia asas di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) sebanyak tiga kali seminggu sejak Ogos lalu.
Walaupun bukan pelajar berdaftar, Theodore diterima sebagai “tetamu khas” oleh Pensyarah Kanan NTU, Dr Sumod Pullarkat. Lebih istimewa, dia hadir ditemani ibu atau bapanya dan duduk di barisan hadapan bersama ‘rakan sekelas’ baharu yang rata-ratanya sudah bergelar mahasiswa.
Kehebatan Theodore bukan calang-calang. Dengan IQ setinggi 154, dia mencatat sejarah sebagai individu termuda di Singapura memperoleh gred A dalam peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) bagi mata pelajaran Kimia – ketika usianya baru 6 tahun 10 bulan.
Selain itu, dia juga memegang lima rekod kebangsaan Singapura, antaranya sebagai peserta termuda mendapat markah penuh dalam Olimpik Sains. Tidak hairanlah apabila pihak universiti sendiri mengiktiraf kebolehan luar biasa ini. Malah, Naib Presiden merangkap Provos NTU, Prof Christian Wolfrum menyatakan, universiti itu sentiasa terbuka menerima bakat luar biasa tanpa mengira usia.
Menurut ibunya, Crystal Tang, Theodore seorang anak yang tidak pernah jemu untuk belajar.
“Theodore selalu meminta untuk belajar kimia pada tahap lebih tinggi. Kami amat berterima kasih kerana Dr Pullarkat memberi peluang kepadanya untuk mengikuti kuliah tanpa sebarang tekanan peperiksaan,” jelasnya.
Theodore juga bukan sekadar hadir mendengar, malah aktif menjawab soalan pensyarah dengan penuh keyakinan. Keperibadiannya yang periang membuatkan kehadirannya diraikan oleh para pelajar NTU lain. Bagi Theodore, peluang belajar di universiti pada usia sekecil ini bagaikan mimpi jadi nyata.
Kisah Theodore menjadi inspirasi buat ibu bapa bahawa setiap anak menyimpan potensi luar biasa yang boleh digilap. Dengan sokongan dan bimbingan yang tepat, mereka mampu melangkaui jangkaan.
Namun, ibu bapanya tetap menekankan keseimbangan. Walaupun genius, Theodore tetap diberi ruang bermain dan menikmati zaman kanak-kanak seperti biasa, agar emosi dan sosialnya tidak ketinggalan berbanding rakan sebaya.
✨ Tip Pa&Ma: Cara Asah Potensi Anak Sejak Awal
Peka dengan minat anak – Tunjukkan sokongan pada apa yang mereka gemari.
Sediakan persekitaran kondusif – Buku, permainan pendidikan atau eksperimen kecil boleh merangsang kreativiti.
Galakkan anak bertanya – Setiap soalan adalah peluang untuk belajar sesuatu yang baharu.
Seimbangkan akademik & emosi – Anak pintar juga perlukan masa bermain untuk membesar dengan sihat.
Libatkan pakar jika perlu – Guru atau pakar pendidikan boleh membantu menilai tahap kecerdasan anak.
Theodore Kwan membuktikan bahawa usia hanyalah angka. Dengan sokongan ibu bapa dan peluang yang betul, kanak-kanak juga mampu menggegarkan dunia dengan pencapaian hebat mereka.
Sumber: NTU