
Bermula tahun hadapan, landskap pendidikan awal kanak-kanak di negara ini bakal melalui satu perubahan penting apabila kerajaan mengumumkan pelarasan umur kemasukan sekolah ke sistem persekolahan.
Pendidikan prasekolah akan dimulakan pada usia lima tahun, manakala kemasukan ke Tahun Satu pula diselaraskan kepada usia enam tahun. Perubahan ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035.
Perkembangan ini pastinya menarik perhatian ramai ibu bapa, khususnya mereka yang sedang merancang perjalanan pendidikan anak-anak sejak usia awal.
Menurut Perdana Menteri, pelaksanaan awal perubahan umur kemasukan sekolah ini tidak bersifat wajib. Sebaliknya, ia memberi ruang kepada ibu bapa, sekolah serta warga pendidik untuk membuat persediaan rapi sebelum dasar ini dilaksanakan sepenuhnya di peringkat nasional.
Pendekatan ini dilihat lebih fleksibel dan berempati, memandangkan tahap perkembangan kanak-kanak adalah berbeza antara satu sama lain.
Ibu bapa masih diberikan pilihan untuk menentukan kesediaan anak, sama ada dari sudut emosi, sosial mahupun kognitif sebelum memulakan pendidikan formal.
Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 merupakan pelan jangka panjang selama 10 tahun yang digerakkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Pelan ini dirangka bagi membina semula sistem pendidikan negara agar lebih kukuh, relevan dan selari dengan keperluan masa depan, termasuk penambahbaikan kurikulum serta kaedah pentaksiran yang lebih menyeluruh.
Selain itu, pelan ini turut menekankan kebajikan warga pendidik sebagai tunjang utama kepada ekosistem pendidikan yang berkualiti.
Antara perubahan utama yang diumumkan di bawah Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 termasuk pelaksanaan pentaksiran berpusat bagi murid Tahun Empat dan Tingkatan Tiga.
Bagi murid Tahun Empat, pentaksiran berpusat akan bermula pada tahun 2026 melibatkan empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
Manakala pelajar Tingkatan Tiga pula akan mula dinilai secara berpusat pada tahun 2027 dengan penambahan mata pelajaran Sejarah.
Selain itu, kerajaan turut mengumumkan penyelarasan umur kemasukan sekolah ke Tahun Satu kepada enam tahun atau kategori 5+, yang dijadualkan bermula pada tahun 2027, bergantung kepada tahap kesiapsiagaan sistem pendidikan di seluruh negara.
Langkah ini bertujuan memperkukuh asas pembelajaran kanak-kanak agar mereka lebih bersedia sebelum memasuki alam pendidikan formal yang lebih mencabar.
Dalam memastikan perubahan dasar ini berjalan lancar, kebajikan guru juga tidak dipinggirkan.
Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi kerja naik taraf bilik guru di sekolah terlibat, dengan setiap sekolah menerima peruntukan RM100,000.
Usaha ini bertujuan mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selesa dan kondusif, sekali gus menyokong kesejahteraan emosi serta profesionalisme warga pendidik.
Selain itu, kerajaan turut menetapkan bahawa semua anak warganegara Malaysia wajib mengikuti pembelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah berdasarkan kurikulum kebangsaan.
Ketetapan ini terpakai kepada semua institusi pendidikan termasuk Sekolah Agama Rakyat, sekolah persendirian dan sekolah antarabangsa.
Langkah ini diambil sebagai usaha memperkukuh identiti nasional dan kefahaman sejarah dalam kalangan generasi muda sejak usia awal.
Secara keseluruhan, perubahan dalam Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkasakan sistem pendidikan negara secara menyeluruh.
Bagi ibu bapa, perubahan umur kemasukan sekolah ini adalah isyarat awal untuk mula merancang perjalanan pendidikan anak dengan lebih teliti, bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga perkembangan emosi dan sosial mereka.
Dengan persediaan yang betul serta sokongan berterusan daripada ibu bapa dan guru, setiap anak berpeluang melalui fasa pendidikan awal ini dengan lebih yakin dan seimbang.
BACA LAGI : KPM Perkenal Pelan Pendidikan Baharu, Murid Wajib Lulus 4 Subjek Teras Dengan Gred C
Sumber : Kementerian Pendidikan Malaysia