Vitamin D3 Bantu Tingkatkan Kesuburan Wanita TTC, Kata Pakar Pemakanan

Share

Ramai wanita yang sedang Trying To Conceive (TTC) berusaha pelbagai cara untuk mendapatkan zuriat dari menjaga pemakanan, mengambil suplemen sehinggalah menjalani rawatan kesuburan. Namun menurut pakar pemakanan, salah satu sebab utama wanita masih sukar hamil walaupun telah berusaha ialah kekurangan vitamin D3 dalam badan.

Pakar pemakanan berdaftar, Syaza Lyana, menjelaskan berdasarkan pengalamannya, hampir 90% wanita subfertil di Malaysia mempunyai paras vitamin D3 yang rendah. Sedangkan, vitamin ini sangat penting untuk membantu keseimbangan hormon dan meningkatkan peluang kehamilan.

Vitamin D3 Penting Untuk Hormon & Kesuburan

Vitamin D3 bukan sahaja berfungsi untuk menguatkan tulang, malah ia juga mempengaruhi hormon reproduktif seperti estrogen dan progesteron yang memainkan peranan besar dalam proses ovulasi serta penebalan dinding rahim.

“Apabila tahap vitamin D mencukupi, peluang wanita untuk hamil secara semula jadi akan meningkat kerana sistem hormon berada pada tahap optimum,” jelas Syaza.

 

View on Threads

 

Namun, laporan daripada Public Health Malaysia (PHM) turut mendapati bahawa 60 hingga 70 peratus wanita di negara ini kekurangan vitamin D, menjadikannya antara masalah nutrisi yang paling kerap berlaku dalam kalangan kaum hawa.

Lemak Perut ‘Perangkap’ Vitamin D Dalam Badan

Walaupun ramai mengambil suplemen atau berjemur di bawah matahari, paras vitamin D3 dalam darah masih tidak meningkat. Menurut Syaza, hal ini berlaku kerana lemak visceral di bahagian perut boleh mengganggu penyerapan vitamin D.

“Vitamin D ialah vitamin larut lemak. Jadi apabila badan mempunyai lemak berlebihan, vitamin ini akan ‘terperangkap’ dalam tisu lemak dan tidak dapat digunakan dengan baik oleh tubuh,” katanya.

Individu yang mengalami obesiti juga lebih berisiko kerana sel lemak mereka sukar memproses vitamin D disebabkan oleh keradangan dalaman dan pengurangan enzim aktif, sekali gus menjadikan penyerapan vitamin D3 tidak optimum.

Kitaran Bahaya: Vitamin D Rendah & Berat Badan Kekal

Kekurangan vitamin D3 dan berat badan berlebihan sebenarnya saling berkait rapat. Lemak berlebihan menyebabkan vitamin D tidak aktif, manakala kekurangan vitamin D pula mengganggu pembakaran lemak.

Akibatnya, berat badan menjadi sukar diturunkan, hormon tidak stabil dan risiko gangguan kesuburan seperti PCOS (Sindrom Ovari Polisistik) serta rintangan insulin meningkat.

Tidur Lewat & Makan Lepas 9 Malam Turut Jejas Penyerapan

Selain berat badan, gaya hidup juga memainkan peranan. Syaza menjelaskan bahawa tidur lewat dan tabiat makan malam selepas jam 9 malam boleh menjejaskan penyerapan vitamin D3.

“Bila kita makan lewat malam, enzim dalam hati dan buah pinggang yang sepatutnya bantu serap vitamin D akan terganggu. Sebab itu tubuh tidak dapat gunakan vitamin D dengan baik,” katanya.

Tip Tingkatkan Tahap Vitamin D3 Secara Semula Jadi

  • 💡 Dapatkan cahaya matahari pagi – Luangkan sekurang-kurangnya 15–20 minit di bawah sinaran matahari antara jam 8 hingga 10 pagi.
  • 💡 Ambil vitamin D selepas makan – Kerana ia larut lemak, sebaiknya diambil selepas sarapan.
  • 💡 Amalkan pemakanan seimbang – Pilih makanan kaya vitamin D3 seperti ikan salmon, sardin, kuning telur, susu diperkaya dan cendawan.
  • 💡 Kawal berat badan – Senaman ringan dan gaya hidup sihat bantu meningkatkan keupayaan badan menyerap vitamin.
  • 💡 Tidur awal – Waktu tidur yang cukup bantu tubuh menstabilkan hormon dan enzim yang terlibat dalam metabolisme vitamin.

Cahaya Matahari, Kunci Kecil Untuk Rezeki Besar

Vitamin D3 terhasil apabila sinaran UVB menembusi kulit dan menukar kolesterol semula jadi dalam tubuh kepada bentuk aktif yang boleh digunakan. Nilai harian yang disarankan ialah 800 IU (20 mcg).

💗 Kesimpulannya, vitamin D3 bukan sekadar suplemen biasa. Ia memainkan peranan penting dalam keseimbangan hormon, kualiti telur dan kesuburan wanita. Jadi, buat para ibu yang sedang berusaha mendapatkan zuriat, jangan lupa beri perhatian kepada vitamin D3 kerana kadang-kadang, rahsia besar untuk hamil bermula dari satu perkara kecil yang kita selalu abaikan.

Pa&Ma nasihatkan: Rujuk doktor atau pakar pemakanan sebelum mengambil apa-apa suplemen. Setiap tubuh wanita berbeza, dan pendekatan yang betul boleh membawa anda lebih dekat kepada rezeki yang ditunggu-tunggu.

Sumber : Nutrients,

Published by
Nana